Friday, July 31, 2015

5 Tips Mudah Atasi Masalah Sinki Dan Paip Tersumbat Tanpa Bantuan Suami



Pernah dan biasa hadapi masalah ni kan? Sinki dan Paip tersumbat... nak cuci pinggan pun susah. Pada kebiasannya memang kerja orang lelaki lah nak jolok paip dan mana-mana saluran yang tersumbat. Kalau dah kritikal dan kronik terpaksalah panggil mana-mana plumber untuk setelkan masalah ni.



Lagi pening kepala, apabila ada kenduri atau open house kat rumah. Masa tu lah sinki dan paip tersumbat. Nak tunggu plumber memang tak sempat. Pinggan mangkuk semakin berlambak yang nak kena cuci. Nak tak nak kena buat sendiri.

Baca : Pencuci Pinggan Tanpa Bahan Kimia


Sementara tunggu masalah paip tersumbat ni diselesaikan, boleh lah cuba beberapa tips di bawah ni yang boleh para isteri, surirumah dan juga orang perempuan cuba dan buat sendiri tanpa mengharapkan encik suami yang sentiasa 'sibuk' itu :-


1) Air Panas

Ini yang paling ringkas dan mudah. Tuang air panas mendidih ke dalam sinki tersumbat secara 2 atau 3 peringkat dan bukannya sekaligus



2) Pencuci Pinggan

Tuang 1/4 pencuci pinggan ke dalam sinki tersumbat disusuli dengan air yang mendidih



3) Garam dan Serbuk Penaik

Campur 1/2 cawan garam dan 1/2 cawan serbuk penaik dan tuang ke dalam sinki tersumbat. Selepas 15 minit, barulah tuang air mendidih ke dalam sinki tersumbat



4) Serbuk Penaik dan Cuka

Campur 1/3 cawan serbuk penaik dengan 1/3 cawan cuka dan tuang ke dalam sinki yang tersumbat. Biarkan selama sejam dan kemudian tuang pula dengan air panas mendidih. Kalau nak masukkan serbuk penaik dulu pun boleh dan kemudian baru tuang cuka ke dalam sinki tersumbat



5) Caustic Soda (Sodium Hydroxide)

Cara ni kena hati-hati sebab melihatkan bahan kimia. Kena guna sarung tangan getah dan pelindung mata. Caustic Soda juga dikenali sebagai Soda Api. Campurkan dengan air sejuk dan gaul dengan sebati guna pengacau kayu sebelum dituang ke dalam sinki tersumbat. Selepas setengah jam, barulah dituang dengan air panas mendidih.



Kesemua tips mudah di atas, elok dibuat dengan kerap seperti seminggu sekali. Takkanlah nak tunggu dapur dah banjir dengan keladak baru nak buat. Kalau dah panggil plumber datang dan fix the problem... off course duit pun dah melayang untuk servis encik plumber. Bukan sinki saja, tips di atas juga berguna untuk saluran-saluran lain di rumah... seperti lubang bilik air dan mangkuk tandas.

Selamat mencuba!!!






Thursday, July 30, 2015

Penyakit Sistem Pernafasan Manusia - Asma, Bronkitis, Emphysema, Pneumonia, TB Dan Barah Paru-Paru



Sistem Pernafasan Manusia secara ringkasnya ialah tarik nafas pakai hidung dan lepaskan nafas pakai mulut. Semasa tarik nafas oksigen masuk dalam paru-paru dan apabila hembus nafas, Karbon Dioksida akan keluar dari mulut. Itulah dia fungsi Sistem Pernafasan Manusia.

Selain daripada lubang hidung, anggota-anggota lain yang terlibat dalam Sistem Pernafasan ialah Larynx, Trakea dan Paru-Paru. Paru-paru pula terbahagi kepada beberapa bahagian utama iaitu Bronkus, Bronkial dan rerambut halus yang dipanggil Alveoli. Alveoli adalah tempat berlakunya pertukaran di antara gas oksigen dan gas karbon dioksida dalam kapilari darah.


Pneumonia juga dikenali sebagai paru-paru berair menyumbangkan kadar kematian sehingga 30% untuk sakit yang teruk di ICU. Secara keseluruhannya sekitar 5%-10% daripada pesakit yang dirawat di hospital telah mati akibat penyakit ini. 

Bayangkan jika Sistem Pernafasan yang sangat penting ini kacau bilau dan terganggu akibat pelbagai jenis penyakit? Adakah kita sudah bersedia untuk menghadapinya? Seorang kanak-kanak di Amerika telah membayangkan serangan asma adalah seolah-olah seekor ikan yang tiada air untuk bernafas.....



Gangguan Utama Dan Penyakit Sistem Pernafasan Manusia
1) Asma terjadi apabila sistem imun menjadi keliru dan akan melepaskan histamine akibat terdedah kepada sebarang penyebab alahan atau rengsaan sehingga menyebabkan keradangan.
Pada kebiasannya, laluan udara di paru-paru menjadi merah dan bengkak (keradangan). Lendir berlebihan akan dihasilkan dan menyekat laluan udara. Otot di sepanjang laluan udara semakin mengempis. Kejadian ini dipanggil bronchoconstriction. Asma yang teruk boleh menyebabkan kerosakan paru-paru yang tidak boleh dipulihkan akibat serangan yang kerap

Ibarat ikan yang hidup tanpa air
2) Bronkitis disebabkan oleh keradangan pada lapisan tiub bronkial yang membawa masuk dan keluar udara dari paru-paru.
3) Emphysema pula berlaku apabila pundi udara musnah sedikit demi sedikit menyebabkan kadar pernafasan yang pendek


Keadaan fizikal pesakit Emphysema
4) Pneumonia ialah keradangan berlaku pada Alveoli dalam paru-paru kerana Alveoli dipenuhi dengan cecair. Ini adalah disebabkan oleh jangkitan daripada pelbagai jenis mikroorganisma termasuk bakteria, virus, kulat dan parasit
5) Tuberculosis (TB) ialah sejenis penyakit yang serius tetapi masih boleh diubati. TB disebabkan oleh bakteria mycobacterium tuberculosis. Kuman pesakit TB juga boleh dipindahkan kepada orang lain melalui udara.
Gejala penyakit TB boleh dilihat seperti berikut :-
a) Batuk tidak berhenti selama 2-3 minggu
b) Batuk sehingga berdarah dan berkahak
c) Sakit dada atau sakit ketika bernafas atau batuk

Pesakit TB atau batuk kering
6) Barah Paru-Paru tidak mempunyai gejala-gejala yang nyata. Manakala sebahagian besar lagi mempunyai gejala-gejala seperti batuk berdarah, kahak bewarna karat, keletihan, kehilangan berat badan, jangkitan pernafasan yang berulang-ulang, suara serak dan pernafasan yang pendek.


Kahak yang bewarna karat
Paru-paru dan Sistem Pernafasan ialah sesuatu yang sangat penting dalam tubuh badan kita. Hanya kita yang mengetahui samada Paru-paru dan Sistem Pernafasan kita adalah dalam keadaan sihat atau sebaliknya. Ambillah langkah bijak dengan memilih jalan pencegahan dengan menjaga kesihatan Sistem Pernafasan kita sebaik mungkin.

Artikel asal : Loyerpencen.com


Semoga bermanfaat kepada semua!
==================
Lin Chalo & Mohd Alizal,
Health Consultant &
Business Mentor
014.338.6810 - Lin
012.401.6683 - Alizal
==================


Tuesday, July 28, 2015

Kolesterol Tinggi, Tekanan Darah Tinggi, Serangan Jantung Dan Strok Adalah Penyakit-Penyakit Sistem Peredaran Darah Manusia



Tahukah anda bahawa Jantung, Salur Darah dan Darah adalah Komponen Utama dalam Sistem Peredaran Darah Manusia? Tanpa salah satu daripada 3 Komponen ini Sistem Peredaran Darah tidak boleh berfungsi.

Fungsi Sistem Peredaran Darah Manusia

Sistem Peredaran Darah berfungsi untuk membekalkan oksigen dan nutrien ke seluruh tubuh badan manusia. Selain daripada itu, Sistem Peredaran Darah juga menyingkirkan bahan buangan yang tidak diperlukan daripada sel tubuh.



1) Jantung - berdegup sebanyak 100,000 kali sehari ataupun 35 juta kali setahun
Jantung ialah komponen utama bertanggungjawab untuk mengepam darah ke seluruh tubuh badan manusia. Bayangkan jika degupan Jantung kita lemah atau tidak normal, sudah pasti oksigen dan nutrisi penting tidak dapat dihantar secukupnya ke seluruh tubuh kita.
2) Salur Darah - Arteri, Urat dan Kapilari
Arteri - salur darah yang mengangkut darah yang kaya dengan oksigen keluar dari jantung
Urat - menghantar darah kembali ke jantung
Kapilari - menghubungkan Arteri dengan Urat
3) Darah - Platlet, Sel Darah Putih dan Sel Darah Merah
Komposisi darah orang dewasa dalam tubuh ialah 5 liter. Jika kita kehilangan Darah sebanyak 2 liter atau lebih akan menyebabkan kita dalam keadaan kritikal.

Ketiga-tiga komponen Darah mempunyai fungsi tersendiri seperti berikut :-
a) Thrombocytes (Platlet) - memberhentikan darah mengalir
b) Leukocytes (Sel Darah Putih) - membantu tubuh melawan kuman dan jangkitan
c) Erythrocytes (Sel Darah Merah) - mengangkut oksigen, nutrien dan bahan buangan
Darah terhasil daripada tulang sum-sum. Tulang sum-sum menghasilkan 500 billion sel darah dalam sehari melalui proses yang dikenali sebagai hematopoiesis. Sebab itulah Darah sentiasa mencukupi dalam tubuh badan kita.
1) Sel Darah Merah

Sejenis sel yang tidak mempunyai nukleus. Sel Darah Merah hanya mempunyai sitoplasma (cytoplasm) yang mengandungi haemoglobin. Sel Darah Merah berbentuk cakera biconcave berfungsi untuk mengangkut oksigen ke destinasi-destinasi yang ditetapkan.

Apa Terjadi Jika Sel Darah Merah Kurang?
Kekurangan Sel Darah Merah dalam tubuh akan menyebabkan penyakit Anaemia iaitu kekurangmampuan Sel Darah Merah mengangkut oksigen dan nutrisi ke seluruh tubuh. Pada kebiasannya pesakit Anaemia akan mengalami keletihan, lemah dan pernafasan yang pendek.
2) Sel Darah Putih

Jenis-jenis Sel Darah Putih ialah monocyteeosinophilbasophillymphocytes  dan neutrophil. Sel Darah Putih berfungsi sebagai sel dalam sistem imunisasi dan pertahanan tubuh badan untuk melawan sebarang jenis jangkitan dan penyakit.

Apakah Kaitan Penyakit Leukimia dan Sel Darah Putih?
Penyakit Leukemia adalah sejenis barah yang bermula daripada tulang sum-sum sehingga menyebabkan sel-sel darah yang tidak normal khususnya Sel Darah Putih yang berlebihan, tidak menjalankan fungsi sebenar Sel Darah Putih sehingga membentuk sel leukemia. Pesakit Leukemia akan mengalami masalah luka dan pendarahan, sangat letih dan terdedah kepada risiko jangkitan.
3) Platlet

Juga dikenali sebagai Thrombocytes berfungsi untuk membantu darah membeku bagi mencegah kehilangan darah yang banyak.

Jumlah platlet yang normal ialah 150,000 - 250,000 mm3 (micro litre/cubic millimetres). Takat amaran dan bahaya bagi Platlet ialah 100,000 mm3 manakala Platlet bawah 50,000 mm3 boleh membawa maut seperti yang dialami oleh pesakit-pesakit demam denggi.

Jenis-Jenis Gangguan dan Penyakit Sistem Peredaran Darah

1) Kolesterol Tinggi
Kandungan Kolesterol yang tinggi adalah salah satu gangguan biasa pada Sistem Peredaran Darah. Adalah perlu untuk membuat ujian darah bagi memastikan tahap kandungan Kolesterol dalam darah dalam keadaan yang sihat dan selamat.


Apakah yang dikatakan tahap Kolesterol yang sihat dalam darah?

Jumlah keseluruhan Kolesterol dalam darah hendaklah kurang daripada 5.2 mmol/L dimana Kolesterol LDL (kolesterol jahat) hendaklah tidak lebih 3.3 mmol/L manakala Kolesterol HDL (kolesterol baik) hendaklah melebihi 0.9mmol/L.

Selain daripada Kolesterol, adalah penting untuk menyemak kandungan Triglyceride (sejenis lemak) dalam darah. Triglyceride mudah teroksida dan boleh menyebabkan salur darah pecah. Kandungan Triglyceride yang sihat dalam darah ialah tidak melebihi 2.3 mmol/L.

2) Tekanan Darah Tinggi

Tekanan darah yang normal adalah apabila bacaan sistolik (tekanan dalam arteri apabila jantung mengepam) kurang daripada 120 dan bacaan diastolik (tekanan dalam arteri ketika otot jantung berehat) kurang daripada 80. Berikut adalah kategori bacaan-bacaan tekanan darah yang lain :-
Sistolik 120-139; Diastolik 80-89 => Pra Tekanan Darah Tinggi
Sistolik 140-159; Diastolik 90-99 => Tekanan Darah Tinggi Peringkat 1
Sistolik 160 ke atas; Diastolik 100 ke atas => Tekanan Darah Tinggi Peringkat 2
Sistolik 180 ke atas; Diastolik 120 ke atas => KECEMASAN! Memerlukan perhatian perubatan
Kedua-dua Kolesterol Tinggi dan Tekanan Darah Tinggi adalah penyumbang utama kepada penyakit-penyakit lain seperti Serangan Jantung, Strok dan Kegagalan Buah Pinggang.


3) Serangan Jantung
Apabila aliran darah ke jantung tersekat untuk tempoh masa yang sangat panjang, sebahagian daripada otot jantung akan rosak dan mati sehingga menyebabkan Serangan Jantung. Ketika Serangan Jantung berlaku pada kebiasaannya pesakit akan sakit dada, sakit luar biasa di bahagian atas badan, berpeluh sejuk, kepala melayang, loya, keletihan luar biasa dan pernafasan yang pendek.

4) Strok

Strok pula berlaku apabila aliran darah ke otak tersekat. Dalam tempoh beberapa minit sel otak akan mati. Terdapat 2 punca utama Strok iaitu Ischemic Stroke dan Hemorrhagic StrokeIschemic Stroke adalah disebabkan oleh darah beku yang menyekat aliran darah ke otak manakala Hemorrhagic Stroke disebabkan oleh Salur Darah berpenyakit atau lemah yang telah pecah sehingga menyebabkan Darah memasuki tisu otak.

Kesan-kesan Strok ialah
a) lemah atau lumpuh samada pada bahagian kiri atau kanan tubuh badan
b) mempunyai masalah pertuturan, berfikir, membaca atau membuat kira-kira
c) kesukaran untuk mengambil barang, mengenakan butang baju atau memakai tali kasut
d) kesukaran belajar atau mengingati sesuatu yang baru
e) mempunyai masalah dengan memori jangka pendek

Sistem Peredaran Darah Manusia adalah sistem yang kompleks dan tersusun. Sedikit sahaja gangguan akibat masalah kesihatan akan menyebabkan penyakit-penyakit kronik seperti Serangan Jantung dan Strok. Justeru, adalah penting untuk memastikan kita dan generasi akan datang menjaga kesihatan sejak dari kecil lagi.
Idea asal : Loyerpencen.com

Semoga bermanfaat kepada semua!
==================
Lin Chalo & Mohd Alizal,
Health Consultant &
Business Mentor
014.338.6810 - Lin
012.401.6683 - Alizal
==================


Monday, July 27, 2015

Pinjaman Perumahan - Antara Hak Dan Tanggungjawab



Realiti yang berlaku dalam masyarakat apabila membeli rumah sudah pasti akan melibatkan Pinjaman Perumahan. Pinjaman Perumahan hanya akan diberikan sekiranya rumah yang dibeli adalah "rumah selamat" seperti yang ditakrifkan oleh institusi kewangan di Malaysia. 

"Rumah selamat" ni secara ringkasnya ialah bank atau institusi kewangan mempunyai kuasa untuk lelong semula rumah tersebut sekiranya peminjam gagal untuk membayar ansuran bulanan seperti yang dijanjikan. Kalau membeli rumah menggunakan Pinjaman Peribadi atau terpaksa menggunakan Tunai bermaksud rumah yang kita beli tu bukanlah "rumah selamat".


Ramai juga yang mengabaikan hak dan tanggungjawab mereka sebagai Peminjam. Apa yang penting hanyalah "loan lepas" dan rumah idaman yang diimpi-impikan berada dalam genggaman. Dokumen Pinjaman Perumahan juga ditandatangani tanpa mengetahui hak-hak dan tanggungjawab asas sebagai seorang Pembeli dan juga Peminjam.

Bukan Pembeli sahaja yang mempunyai hak dan tanggungjawab apabila Pinjaman Perumahan telah ditandatangani, pada masa yang sama pihak bank dan institusi kewangan juga mempunyai hak dan tanggungjawab mereka. Kalau nak tahu, selagi tak habis bayar... rumah impian anda itu, pemilik dari segi undang-undang (legal owner) ialah pihak bank sebaliknya Pembeli atau Peminjam hanyalah pemilik benefisial (beneficial owner).



Hak Sebagai Peminjam

- mengetahui segala maklumat yang akan mempengaruhi keputusan untuk buat pinjaman

- dilayan dengan profesional, bersopan dan tanpa prasangka

- boleh berunding untuk ubah terma-terma dan syarat-syarat sekiranya perlu

- mendapatkan maklumat akaun pinjamannya yang tepat dan benar

- memulakan tindakan undang-undang sekiranya terdapat pelanggaran perjanjian


Tanggungjawab Sebagai Peminjam

- memahami keseluruhan terma dan syarat pinjaman

- sentiasa mematuhi terma dan syarat perjanjian yang telah ditetapkan

- membayar fi, caj, faedah dan bayaran ansuran mengikut jadual


Hak Institusi Kewangan

- mengetahui kedudukan kredit (senarai hutang) Peminjam

- mendapatkan maklumat yang tepat dan benar mengenai Peminjam

- menerima pembayaran balik faedah/ansuran bulanan daripada Peminjam mengikut jadual

- memulakan tindakan undang-undang sekiranya ada pelanggaran perjanjian


Tanggungjawab Institusi Kewangan

- melaksanakan tanggungjawab sepertimana dalam Perjanjian

- berunding dengan Peminjam terlebih dahulu sebelum membuat pertukaran terma, syarat, fi dan maklumat lain dalam Perjanjian

- menjawab persoalan daripada Peminjam


Sumber : Bank Negara Malaysia

Rumah Impian Anda?

Pastikan kita sudah sedia untuk memberikan komitmen sepenuhnya sebelum menandatangani apa-apa perjanjian seperti Pinjaman Perumahan ini. Pinjaman Perumahan bukannya semata-mata alat untuk mendapatkan rumah impian kita, sebaliknya telah termaktub hak dan tanggungjawab kita sebagai Peminjam dan juga Pembeli Rumah.





Friday, July 24, 2015

Riang Ria Aidilfitri 2015 - Kembara 1 Syawal 1436 H



Alhamdulillah, dah seminggu kita semua menyambut hari lebaran iaitu hari kemenangan.... setelah kita semua menundukkan nafsu selama sebulan di bulan Ramadhan. Masing-masing juga telah kembali ke tempat mencari rezeki masing-masing setelah menghabiskan masa di kampung halaman masing-masing.

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin!

Riang Ria Aidilfitri 2015 kali ini bermula di Cheras Perdana, Selangor. Kami adik beradik pun semua dah pindah ke kawasan KL dan Selangor. Ini kali ke-2 lah beraya di KL. Tahun 2013 beraya kat Hulu Langat dan tahun 2015 di Cheras Perdana.... pada tahun sebelum ni beraya kat Muar, Johor.




Walaupun beraya kat Cheras Perdana... tapi lepas solat Raya, kami bergambar-gambar sebentar dan terus bergerak ke selatan tanah air, memulakan Kembara 1 Syawal kami. Kami bergerak menggunakan 3 buah kereta menuju ke rumah mak long (akak mak) di Felda Kahang Timur, Kluang.



Malang tidak berbau, salah sebuah kereta tak boleh start sejurus selepas Tol Ayer Hitam. Hari pun dah mula nak hujan.... cepat jer ada orang 'offer' nak tolong carikan bateri kereta. Tapi bila dengar caj dia dan harga bateri tu... boleh fikir banyak kali lah...

Kepala mereka pening sebab bateri kong....

'Jumper' pun takde dalam kereta... jadi cuba lah pergi kat stesen minyak berdekatan untuk cari 'jumper' pun takde. Lepas tu salah seorang adik call dia kata dah dapat 'jumper'... OK lah.... Tapi bila start semula pun memang dah tak boleh... confirm bateri dah kong ni...

Jadi, terpaksalah masuk dalam pekan Ayer Hitam yang agak sesak di Hari Raya Pertama ditemani dengan hujan lebat. Akhirnya jumpa jugak kedai bateri yang bukak. Bila tengok harga bateri dan caj dia.... aku pun terus setuju.... sebab jauh lebih murah daripada kedai bateri Cheras Perdana yang biasa aku pergi.

Lepas 5 jam barulah kami semua sampai Felda Kahang Timur... huhu... memang penat... takpe makan ketupat dulu, rehatkan badan sekejap, pastu buat solat jamak kat rumah mak long.

Makan-makan dulu
Sumber : Handphone abang ijan



Selesai raya kat rumah mak long, kami bertolak ke rumah mak uteh (akak mak) di Felda Chempelak Barat, Labis, Segamat. Atas nasihat abang ijan (sepupu), kami guna highway jugak, keluar Tol Ayer Hitam dan masuk Tol Yong Peng Selatan. Lebih kurang 2 jam lepas tu... nak dekat dekat maghrib, baru kami tiba di Felda Chempelak Barat.



Sumber : Mujahid Ayid

Entah camne agaknyer... masa ni penat sangat kot.... sedar sedar memang tak banyak gambar pun ambik kat sini. Kat sini jugak kami bersihkan diri, tukar baju dan solat jamak sebelum bertolak ke Muar pulak.



Lebih kurang pukul 9 malam kami mulakan perjalanan dan tiba di Sg Abong, Muar pada pukul 10.00 malam. Rumah yang kami tuju ni ialah rumah Pak Itam (adik abah).



Selesai beraya kat rumah Pak Itam... kami ke Parit Bakar Laut, Jalan Joned untuk ziarah Mak Ngah sekeluarga. Mak Ngah ni arwah suami dia iaitu arwah Pak Ngah ialah abang abah. Kami tiba rumah Mak Ngah lebih kurang pukul 11.30 malam.


Jangan korang tak tau.... budak tinggi lampai baju kuning tu ialah Atlit Kayak Sukan Sea Malaysia!
Halim Heesham (tengah) - tumpang bangga ada sepupu wakil Malaysia, menang kalah lain cerita!

Akhirnya dah nak tamat Kembara 1 Syawal ni.... dari rumah Mak Ngah kami ikut by-pass Lebuh AMJ untuk masuk Tol Ayer Keroh menuju ke KL. Alhamdulillah... lebih kurang pukul 3.00 pagi kami semua selamat sampai ke rumah masing-masing.


Kami adik beradik cuba sebaik mungkin untuk ziarah saudara mara yang jauh mahupun yang dekat... dan mintak maaf sangat-sangat kalau ada rumah yang tidak dapat ziarah. Apakan daya... masa cuti kami tidak sama dan tidak serentak. Bukannya senang dan mudah untuk kami sekeluarga berkumpul walaupun tinggal berdekatan.

Inilah dilema kami... sebab arwah atok sebelah abah mempunyai 4 orang isteri dan arwah atok sebelah mak pun ada 4 orang isteri. Agak mustahil untuk jejak dan terjah rumah masing-masing di sepanjang bulan Syawal. Kalau ada peluang untuk jumpa pun masa open house ataupun majlis perkahwinan saudara mara.

Kepada mereka yang mengenali kami, terima kasih kerana memahami situasi kami ini... Mintak maaf ye kawan-kawan kalau tak dapat datang rumah korang.... Percayalah kami semua bukannya sombong dan bukannya lupa sedara dan kawan-kawan... Kalian semua sentiasa dalam doa kami... :)

Peace!!!




Thursday, July 23, 2015

2015 Emirates Cup - 4 pasukan berentap di Kota London



Pada 25 hingga 26 Julai 2015 bertempat di Emirates Stadium London, akan diadakan perlawanan persahabatan 4 penjuru di antara tuan rumah Arsenal (England), Olympique Lyonnais (Perancis), Villareal (Sepanyol) dan Wolfsburg (Jerman).



Emirates Stadium telah siap dibina sepenuhnya pada tahun 2006 dan bermula tahun 2007 Emirates Cup telah diadakan di Emirates Stadium setiap tahun kecuali tahun 2012 disebabkan oleh Sukan Olimpik 2012 yang diadakan di kota London.

Arsenal telah memenangi kejohanan ini sebanyak 3 kali iaitu pada tahun 2007, 2009 dan 2010 manakala tahun 2008 dimenangi oleh Hamburg (Jerman), tahun 2011 dimenangi oleh New York Red Bulls (USA), tahun 2013 dimenangi oleh Galatasaray (Turki) dan Valencia (Sepanyol) telah menjadi juara pada edisi yang lepas tahun 2014.

Valencia - juara Emirates Cup tahun 2014

Walaupun sekadar permainan pra-musim dan pemanas badan tapi inilah peluang untuk bakat-bakat muda pasukan masing-masing menyinar dan merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan. Beberapa orang muka baru dalam setiap pasukan juga tidak sabar-sabar untuk beraksi dan mempamerkan aksi sebenar mereka.


Arsenal

Arsenal mendapat tempat ke-3 dalam Liga Inggeris musim lepas dan menjadi juara Piala FA Inggeris serta berkedudukan no. 9 ranking UEFA. Setakat hari ini Arsenal hanya membeli Peter Cech dari Chelsea. Posisi panas DMC masih lagi belum diisi dan kemungkinan besar pemain muda Barcelona, Sergi Samper akan ke Arsenal.

Baca  : Selamat Datang Peter Cech!

Aaron Ramsey

Tanpa Alexis Sanchez yang masih bercuti setelah membantu Chile menjuarai Copa America buat kali pertama, Aaron Ramsey sudah pasti akan mengemudi barisan tengah Arsenal bersama-sama dengan pemain lain.


Olympique Lyonnais

Lyon ialah naib juara Liga Perancis musim lepas di belakang Paris St Germain serta berkedudukan no 25 ranking UEFA. Lyon hanya membeli pertahanan kiri, Jeremy Morel dari Marseille dan juga penyerang Guadeloupe dari Guingamp iaitu Claudio Beauvue.

Nabil Fekir

Pemain yang bakal menonjol sudah pasti pemain muda Lyon iaitu Nabil Fekir yang merupakan penjaring kedua terbanyak Lyon dan juga pemain penyumbang (assist) terbanyak untuk Lyon pada musim lepas.


Villareal

Villareal hanya menduduki tangga ke-6 dalam Liga Sepanyol musim lepas tetapi layak sehingga separuh akhir Piala Sepanyol Copa Del Rey dan berkedudukan no. 29 ranking UEFA.

Beberapa orang pemain baru menghiasi skuad baru Villareal ini seperti Alphonse Areola (Penjaga gol yang dipinjamkan dari Paris St Germain), Samu Castillejo (Pemain sayap muda dari Malaga), Samuel Garcia Sanchez (bekas penyerang Malaga), Victor Ruiz (bekas pertahanan Valencia), Leo Baptistao (penyerang muda Brazil yang dipinjamkan dari Atletico Madrid) dan Mariano Barbosa (penjaga gol berpengalaman dari Sevilla)

Gerard Moreno

Tanpa penjaring terbanyak Luciano Vietto yang telah berhijrah ke Atletico Madrid, sudah pasti jentera serangan Villareal dipikul oleh penyerang muda, Gerard Moreno.


Wolfsburg

Wolfsburg ialah naib juara Liga Jerman musim lepas di belakang Bayern Munich serta juara Piala Jerman DFB-Pokal tetapi hanya berkedudukan no. 67 ranking UEFA. Setakat hari ini, Wolfsburg telah membeli penyerang dari Borussia Monchengladbach, Max Kruse dan juga pemain tengah muda Francisco Rodriguez yang juga merupakan adik kepada Ricardo Rodriguez, pemain pertahanan kiri.

Kevin De Bruyne

Selain daripada penjaring terbanyak Wolfsburg musim lepas iaitu Bas Dost (Belanda), pemain yang dijangka menyerlah ialah pemain sayap Belgium yang pernah beraksi bersama Chelsea iaitu Kevin De Bruyne. Kevin De Bruyne juga adalah pemain penyumbang (assist) yang terbanyak untuk Wolfsburg pada musim lepas. Pemain ini sedang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City.


Perlawanan pemanas badan seperti ini amat penting dan perlu bagi mengembalikan semula kecergasan pemain-pemain setelah mengharungi cuti musim panas masing-masing. Tak kisah siapa pun yang menang, yang penting setiap pemain Arsenal harus bersungguh-sungguh dan lebih serius pada musim baru ini.


COYG!




Monday, July 20, 2015

Premier League Asia Trophy 2015



Baru-baru ini telah diadakan Premier League Asia Trophy 2015 di Singapura. Perlawanan persahabatan 4 penjuru ini telah disertai oleh tuan rumah Singapura dan kelab-kelab Liga Inggeris iaitu Arsenal, Everton dan Stoke City. Tahniah kepada pasukan Arsenal yang telah menjuarai edisi kali ini setelah menewaskan Everton 3-1.



Tahukah anda sebenarnya Premier League Asia Trophy yang pertama telah diadakan di Malaysia pada tahun 2003? Pada masa itu, Chelsea muncul juara setelah menewaskan Newcastle United 5-4 berdasarkan penentuan sepakan penalti setelah terikat 0-0. Malaysia pula mendapat tempat ke-4 setelah ditewaskan Birmingham City 4-0.

Hairuddin Omar ketika menjaringkan gol tunggal negara
apabila tewas kepada Chelsea 1-4 pada tahun 2003

Kejohanan dwi tahunan ini telah diteruskan pada tahun 2005 dengan Thailand menjadi tuan rumah, tahun 2007 pula pasukan South China Hong Kong menjadi tuan rumah, tahun 2009 pula pasukan Beijing Guoan, China menjadi tuan rumah, pada tahun 2011 pasukan Kitchee, Hong Kong menjadi tuan rumah dan pada tahun 2013 giliran South China, Hong Kong pula menjadi tuan rumah.

Kesemua pasukan tuan rumah pada kebiasaannya akan mendapat tempat ke-4 kecuali Thailand pada tahun 2005 yang menjadi naib juara setelah ditewaskan oleh Bolton Wanderers 1-0 pada perlawanan akhir. Sebelum itu, Thailand menyingkirkan Everton 5-3 berdasarkan penentuan sepakan penalti setelah terikat 1-1.

Ini adalah kali pertama Arsenal menyertai Premier League Asia Trophy yang bertujuan untuk mempromosikan Liga Inggeris yang sangat popular di Asia. Pasukan yang menyertai Premier League Asia Trophy ini juga memanfaatkan peluang yang diberikan untuk memberi peluang kepada barisan pemain pelapis yang masih muda untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka sebelum diserapkan ke dalam skuad utama.

Chuba Akpom

Tumpuan utama sudah pasti kemunculan Peter Cech dalam kesebelasan utama Arsenal ketika menentang Everton. Walaubagaimanapun, Peter Cech tewas juga kepada rembatan kencang pemain muda Everton, Ross Barkley.

Baca : Selamat Datang Peter Cech!

Dalam edisi kali ini penyerang muda Arsenal, Chuba Akpom muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 3 gol setelah menjaringkan hatrik ketika Arsenal menewaskan Singapura 4-0 pada perlawanan pertama.

COYG!





Sunday, July 19, 2015

2015 Concacaf Gold Cup - Peluang Pemain Muda Untuk Menyinar?



Di Amerika Syarikat dan Kanada sedang diadakan kejohanan Piala Emas CONCACAF 2015 ataupun 2015 CONCACAF Gold Cup dari 7 hingga 26 Julai 2015. CONCACAF Gold Cup ialah kejohanan bolasepak yang disertai oleh pasukan-pasukan dari Amerika Utara, Amerika Tengah dan Kepulauan Carribean.

Pasukan paling berjaya dalam Gold Cup ini ialah Mexico dengan 6 kejuaraan diikuti juara bertahan Amerika Syarikat dengan 5 kejuaraan dan Kanada dengan 1 kejuaraan sahaja. Pada edisi yang lepas Amerika Syarikat muncul juara setelah menewaskan Panama dengan jaringan 1-0.

Amerika Syarikat - Juara Piala Emas Concacaf 2013


Saingan peringkat kumpulan telahpun selesai dan berikut adalah pasukan-pasukan yang telah melayakkan diri ke peringkat suku akhir :-


Amerika Syarikat

Status selaku juara bertahan, tuan rumah dan kuasa utama bolasepak di rantau CONCACAF tampak sukar untuk digugat. Kedukukan Amerika Syarikat di ranking ke-34 dunia juga menunjukkan dominasi mereka di rantau ini mengatasi Mexico dan Costa Rica.

John Brooks
Khidmat pemain berpengalaman seperti Michael Bradley dan Clint Dempsey amat ditagih di samping pemain-pemain muda yang sedikit demi sedikit masuk ke dalam kesebelasan utama Amerika Syarikat ini. Antara pemain muda yang bakal menonjol ialah pertahanan kental mereka John Brooks yang beraksi dalam Liga Jerman.



Jamaica

Walaupun Jamaica adalah kuasa besar bolasepak di rantau Carribean, tetapi dalam rantau CONCACAF, pencapaian terbaik Jamaica hanyalah tempat -3 pada tahun 1993. Dibarisi dengan kebanyakan pemain yang beraksi dalam Liga Inggeris, Jamaica hanya menduduki di tangga ke-76 ranking dunia FIFA.

Kemar Lawrence
Barisan pertahanan Jamaica tampak ampuh dengan hanya melepaskan 2 gol kepada Costa Rica dan hanya melepaskan 3 gol dalam saingan Copa America baru-baru ini. Pemain muda seperti Kemar Lawrence yang beraksi di Liga Amerika Syarikat juga membantu mengemudi barisan pertahanan Jamaica ini.



Trinidad and Tobago

Pasukan ini mampu menyaingi kehebatan Mexico di peringkat kumpulan dan muncul juara kumpulan setelah seri 4-4 dengan Mexico. Trinidad and Tobago adalah kuasa besar bolasepak di rantau Carribean selain daripada Jamaica. Kedudukan ranking FIFA mereka juga lebih baik daripada Jamaica iaitu di kedudukan ke-64 dunia.

Joevin Jones
Diketuai kapten dan penyerang berpengalaman Kenwyne Jones, kemampuan kesebelasan utama Trinidad and Tobago adalah sekata dan seimbang. Beberapa orang pemain muda juga telah diberikan kepercayaan oleh jurulatih mereka untuk menyinar seperti pemain pertahanan dan sayap kiri, Joevin Jones yang beraksi di Liga Amerika Syarikat.



Mexico

Selain daripada Amerika Syarikat, Mexico juga adalah pasukan pilihan dan juga kuasa besar bolasepak di rantau ini walaupun kedudukan ranking FIFA mereka iaitu di tangga ke-40 tidak menceritakan kehebatan sebenar pasukan ini.

Diego Reyes
Mexico dibarisi pemain-pemain berpengalaman dan hanya beberapa pemain muda sahaja yang diberikan kepercayaan dalam kesebelasan utama iaitu Jesus Corona (Twente) dan juga pertahanan Porto yang akan dipinjamkan ke Real Sociedad, Diego Reyes.



Haiti

Pada tahun 1970-an, Haiti adalah kuasa bolasepak di rantau ini dan sedikit demi sedikit Haiti terus tenggelam. Haiti berada di ranking FIFA yang ke-79 setakat 9 Julai 2015 dan siapa sangka pemain import NS Matrix, Jean Alexandre tersenarai dalam kesebelasan utama Haiti.

Duckens Nazon

Tiada pemain yang ketara kebolehannya beraksi dalam skuad Haiti namun pemain muda seperti Duckens Nazon yang beraksi di Liga Perancis adalah penyerang muda harapan mereka. Penyerang Haiti yang lain pula beraksi di Liga bolasepak Cyprus.


Costa Rica

Pada tahun 1960-an, Costa Rica telah menggondol beberapa kejuaraan di rantau ini begitu juga pada tahun 1989. Namun, pada era moden pencapaian terbaik Costa Rica ialah menjadi naib juara pada tahun 2002. Costa Rica beraksi cemerlang pada Piala Dunia 2014 yang lepas sebelum tunduk pada Belanda menerusi penentuan sepakan penalti.

Joel Campbell
Pencapaian Costa Rica yang cemerlang di Piala Dunia menjadikan mereka adalah pasukan pilihan namun sehingga kini persembahan mereka tidak menyerlah. Kini, Costa Rica berada di kedudukan ke 41 ranking FIFA. Selain daripada kapten pasukan Bryan Ruiz, pemain Arsenal Joel Campbell dijangka akan menyinar dalam kejohanan ini.


Panama

Seri dalam kesemua saingan peringkat kumpulan, akhirnya Panama layak ke peringkat suku akhir sebagai salah satu pasukan tempat ke-3 kumpulan terbaik. Naib juara edisi 2 tahun lepas ini tidak berapa menonjol dan persembahan mereka amat mengecewakan.

Harold Cummings

Berada di kedudukan 62 ranking dunia setakat 9 Julai 2015, Panama membariskan banyak pemain senior yang berpengalaman. Antara pemain muda yang diberi kepercayaan mengemudi barisan pertahanan ialah Harold Cummings yang beraksi di Liga Colombia


Cuba

Tampil bukan sebagai pasukan pilihan, tetapi layak di saat-saat akhir setelah menewaskan Guatemala 1-0 dan layak sebagai antara pasukan tempat ke-3 kumpulan terbaik. Kesemua pemain Cuba bermain dalam liga tempatan negara mereka.

Maikel Reyes

Pasukan Cuba berada di ranking 104 dunia setakat 9 Julai 2015 juga tampil dengan formasi yang sangat defensif dan hanya menaraikan 2 orang penyerang sahaja. Salah seorangnya ialah penyerang muda mereka, Maikel Reyes yang bermain dengan kelab tempatan, Pinar del Rio.


Baca : Pemain Muda Copa America 2015

Semasa entri ini ditulis, Amerika Syarikat dan Jamaica telah meneruskan kemaraan ke peringkat sepatuh akhir setelah menamatkan cabaran lawan masing-masing iaitu Cuba dan Haiti.

Dominasi Amerika Syarikat dan Mexico di rantau Amerika Utara, Amerika Tengah dan Kepulauan Carribean terlalu ketara sehingga menenggelamkan pasukan-pasukan kerdil yang lain. Semoga akan bangkit pasukan lain yang mampu menandingi 2 kuasa besar dalam CONCACAF ini.




Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...