Sunday, July 19, 2015

2015 Concacaf Gold Cup - Peluang Pemain Muda Untuk Menyinar?



Di Amerika Syarikat dan Kanada sedang diadakan kejohanan Piala Emas CONCACAF 2015 ataupun 2015 CONCACAF Gold Cup dari 7 hingga 26 Julai 2015. CONCACAF Gold Cup ialah kejohanan bolasepak yang disertai oleh pasukan-pasukan dari Amerika Utara, Amerika Tengah dan Kepulauan Carribean.

Pasukan paling berjaya dalam Gold Cup ini ialah Mexico dengan 6 kejuaraan diikuti juara bertahan Amerika Syarikat dengan 5 kejuaraan dan Kanada dengan 1 kejuaraan sahaja. Pada edisi yang lepas Amerika Syarikat muncul juara setelah menewaskan Panama dengan jaringan 1-0.

Amerika Syarikat - Juara Piala Emas Concacaf 2013


Saingan peringkat kumpulan telahpun selesai dan berikut adalah pasukan-pasukan yang telah melayakkan diri ke peringkat suku akhir :-


Amerika Syarikat

Status selaku juara bertahan, tuan rumah dan kuasa utama bolasepak di rantau CONCACAF tampak sukar untuk digugat. Kedukukan Amerika Syarikat di ranking ke-34 dunia juga menunjukkan dominasi mereka di rantau ini mengatasi Mexico dan Costa Rica.

John Brooks
Khidmat pemain berpengalaman seperti Michael Bradley dan Clint Dempsey amat ditagih di samping pemain-pemain muda yang sedikit demi sedikit masuk ke dalam kesebelasan utama Amerika Syarikat ini. Antara pemain muda yang bakal menonjol ialah pertahanan kental mereka John Brooks yang beraksi dalam Liga Jerman.



Jamaica

Walaupun Jamaica adalah kuasa besar bolasepak di rantau Carribean, tetapi dalam rantau CONCACAF, pencapaian terbaik Jamaica hanyalah tempat -3 pada tahun 1993. Dibarisi dengan kebanyakan pemain yang beraksi dalam Liga Inggeris, Jamaica hanya menduduki di tangga ke-76 ranking dunia FIFA.

Kemar Lawrence
Barisan pertahanan Jamaica tampak ampuh dengan hanya melepaskan 2 gol kepada Costa Rica dan hanya melepaskan 3 gol dalam saingan Copa America baru-baru ini. Pemain muda seperti Kemar Lawrence yang beraksi di Liga Amerika Syarikat juga membantu mengemudi barisan pertahanan Jamaica ini.



Trinidad and Tobago

Pasukan ini mampu menyaingi kehebatan Mexico di peringkat kumpulan dan muncul juara kumpulan setelah seri 4-4 dengan Mexico. Trinidad and Tobago adalah kuasa besar bolasepak di rantau Carribean selain daripada Jamaica. Kedudukan ranking FIFA mereka juga lebih baik daripada Jamaica iaitu di kedudukan ke-64 dunia.

Joevin Jones
Diketuai kapten dan penyerang berpengalaman Kenwyne Jones, kemampuan kesebelasan utama Trinidad and Tobago adalah sekata dan seimbang. Beberapa orang pemain muda juga telah diberikan kepercayaan oleh jurulatih mereka untuk menyinar seperti pemain pertahanan dan sayap kiri, Joevin Jones yang beraksi di Liga Amerika Syarikat.



Mexico

Selain daripada Amerika Syarikat, Mexico juga adalah pasukan pilihan dan juga kuasa besar bolasepak di rantau ini walaupun kedudukan ranking FIFA mereka iaitu di tangga ke-40 tidak menceritakan kehebatan sebenar pasukan ini.

Diego Reyes
Mexico dibarisi pemain-pemain berpengalaman dan hanya beberapa pemain muda sahaja yang diberikan kepercayaan dalam kesebelasan utama iaitu Jesus Corona (Twente) dan juga pertahanan Porto yang akan dipinjamkan ke Real Sociedad, Diego Reyes.



Haiti

Pada tahun 1970-an, Haiti adalah kuasa bolasepak di rantau ini dan sedikit demi sedikit Haiti terus tenggelam. Haiti berada di ranking FIFA yang ke-79 setakat 9 Julai 2015 dan siapa sangka pemain import NS Matrix, Jean Alexandre tersenarai dalam kesebelasan utama Haiti.

Duckens Nazon

Tiada pemain yang ketara kebolehannya beraksi dalam skuad Haiti namun pemain muda seperti Duckens Nazon yang beraksi di Liga Perancis adalah penyerang muda harapan mereka. Penyerang Haiti yang lain pula beraksi di Liga bolasepak Cyprus.


Costa Rica

Pada tahun 1960-an, Costa Rica telah menggondol beberapa kejuaraan di rantau ini begitu juga pada tahun 1989. Namun, pada era moden pencapaian terbaik Costa Rica ialah menjadi naib juara pada tahun 2002. Costa Rica beraksi cemerlang pada Piala Dunia 2014 yang lepas sebelum tunduk pada Belanda menerusi penentuan sepakan penalti.

Joel Campbell
Pencapaian Costa Rica yang cemerlang di Piala Dunia menjadikan mereka adalah pasukan pilihan namun sehingga kini persembahan mereka tidak menyerlah. Kini, Costa Rica berada di kedudukan ke 41 ranking FIFA. Selain daripada kapten pasukan Bryan Ruiz, pemain Arsenal Joel Campbell dijangka akan menyinar dalam kejohanan ini.


Panama

Seri dalam kesemua saingan peringkat kumpulan, akhirnya Panama layak ke peringkat suku akhir sebagai salah satu pasukan tempat ke-3 kumpulan terbaik. Naib juara edisi 2 tahun lepas ini tidak berapa menonjol dan persembahan mereka amat mengecewakan.

Harold Cummings

Berada di kedudukan 62 ranking dunia setakat 9 Julai 2015, Panama membariskan banyak pemain senior yang berpengalaman. Antara pemain muda yang diberi kepercayaan mengemudi barisan pertahanan ialah Harold Cummings yang beraksi di Liga Colombia


Cuba

Tampil bukan sebagai pasukan pilihan, tetapi layak di saat-saat akhir setelah menewaskan Guatemala 1-0 dan layak sebagai antara pasukan tempat ke-3 kumpulan terbaik. Kesemua pemain Cuba bermain dalam liga tempatan negara mereka.

Maikel Reyes

Pasukan Cuba berada di ranking 104 dunia setakat 9 Julai 2015 juga tampil dengan formasi yang sangat defensif dan hanya menaraikan 2 orang penyerang sahaja. Salah seorangnya ialah penyerang muda mereka, Maikel Reyes yang bermain dengan kelab tempatan, Pinar del Rio.


Baca : Pemain Muda Copa America 2015

Semasa entri ini ditulis, Amerika Syarikat dan Jamaica telah meneruskan kemaraan ke peringkat sepatuh akhir setelah menamatkan cabaran lawan masing-masing iaitu Cuba dan Haiti.

Dominasi Amerika Syarikat dan Mexico di rantau Amerika Utara, Amerika Tengah dan Kepulauan Carribean terlalu ketara sehingga menenggelamkan pasukan-pasukan kerdil yang lain. Semoga akan bangkit pasukan lain yang mampu menandingi 2 kuasa besar dalam CONCACAF ini.




No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...