Wednesday, June 10, 2015

Kaitan Antara Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Kelayakan Piala Asia 2019



Piala Dunia 2018 akan diadakan di Rusia, manakala Piala Asia 2019 akan diadakan di Emeriyah Arab Bersatu (UAE). Sekarang ni pun dah berlangsung perlawanan pemanas badan ataupun perlawanan persahabatan sebelum menjelangnya pusingan kelayakan menuju Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Perasan tak haritu Malaysia kena belasah dengan Oman 6-0? Baru-baru ni pulak Malaysia sekadar seri 0-0 dengan Hong Kong? Itulah dia barisan skuad negara yang sedang dipersiapkan untuk menuju Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Oman 6 Malaysia 0

Pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Asia/Piala Asia 2019 telahpun selesai dimana pasukan Asia ranking 35 hingga 46 setakat Januari 2015 berentap sesama sendiri. Sebanyak 6 pasukan layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Asia/Piala Asia 2019 iaitu India, Yemen, Timor Leste, Kemboja, Taiwan dan yang paling mengejutkan ialah Bhutan.

Ranking FIFA negara Asia setakat Januari 2015

Untuk pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Asia/Piala Asia 2019 ni, Malaysia telah diundi dalam pasukan A bersama-sama dengan UAE, Arab Saudi, Palestin dan Timor Leste. Secara keseluruhannya terdapat 8 kumpulan dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Asia /Piala Asia 2019 ini.

Ranking FIFA negara Asia setakat April 2015

Senang cerita... kalau mengikut ranking FIFA setakat April 2015, Malaysia adalah pasukan paling lemah dalam kumpulan A di belakang Timor Leste. Malaysia dijadualkan bertemu Timor Leste pada 11 Jun 2015 dan kemudiannya menanti cabaran Palestin pada 16 Jun 2015.


Peraturan Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019

Mengikut peraturan pula hanya 12 pasukan iaitu juara kumpulan (8 pasukan) bersama-sama dengan 4 pasukan tempat ke-2 terbaik sahaja akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Asia dan juga layak terus ke Piala Asia 2019.

Manakala 16 pasukan lain iaitu baki 4 pasukan tempat ke-2 yang lain pula bersama-sama dengan 8 pasukan tempat ke-3 dan 4 pasukan terbaik tempat ke-4 setiap kumpulan akan masuk ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019.

Sementara itu 12 pasukan lagi iaitu baki 4 pasukan tempat ke-4 bersama-sama dengan 8 pasukan tercorot setiap kumpulan pula akan berentap sesama sendiri untuk mengisi slot 8 pasukan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019.


Kumpulan A Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019

Jika diikutkan pencapaian semasa, UAE dan Arab Saudi akan bersaing sesama sendiri untuk menjadi juara kumpulan. Palestin akan menjadi pengacau, manakala Timor Leste dan Malaysia akan mengelak untuk dijadikan pasukan belasahan.

UAE

Setakat April 2015 UAE berada di ranking ke-5 Asia. Muncul sebagai pemenang tempat ke-3 Piala Asia 2015 di Australia baru-baru ini telah menunjukkan bahawa UAE adalah kuasa baru bolasepak Asia. UAE mempunyai barisan penyerang yang prolifik dimana Ali Mabkhout muncul sebagai penjaring terbanyak Piala Asia 2015 dengan 5 gol diikuti Ahmed Khalil dengan 4 gol.

Hamdan al-Kamali
Kekuatan pasukan UAE ini telahpun diceritakan dalam entri lain sebelum ini. Kebanyakan pemain UAE berpengkalan dalam negara sendiri melainkan pemain pertahanan mereka yang pernah menyarung jersi Lyon (Perancis), Hamdan Al-Kamali yang kini beraksi dalam Liga Malta.


Arab Saudi

Setakat April 2015 Arab Saudi berada di ranking ke-9 Asia. Arab Saudi perlu melupakan persembahan teruk mereka di Piala Asia 2015 apabila dipintas China di peringkat kumpulan. Sedangkan sebelum itu, Arab Saudi menjadi naib juara Piala Teluk 2014 setelah tewas kepada Qatar yang muncul sebagai Juara Piala Teluk 2014.

Mohammad al-Sahlawi

Sebelum mara ke perlawanan akhir Piala Teluk, Arab Saudi telah menewaskan UAE dengan jaringan 3-2 di separuh akhir. Kekuatan Arab Saudi terletak pada penyerang prolifik mereka Mohammad al-Sahlawi yang beraksi dengan kelab Al-Nassr


Palestin

Setakat April 2015 Palestin berada di ranking ke-19 Asia. Palestin layak kali pertama ke Piala Asia 2015 baru-baru ini setelah memenangi Piala Cabaran AFC 2014 dengan menewaskan Filipina 1-0. Palestin diperkuatkan dengan penyerang Ashraf Nu'man yang beraksi dengan kelab Al-Faisaly di Arab Saudi. Selain itu, penyerang dari kelab Ismaily di Mesir Abdelhamid Abuhabib adalah gandingan utama Ashraf Nu'man.

Ashraf Nu'man

Palestin juga mempunyai ramai pemain yang berpengkalan di luar Palestin seperti Alexis Norambuena (GKS Belchatow, Poland), Abdelatif Bahdari (Al-Wehdat, Jordan), Jaka Ihbeisheh (Krka, Slovenia), Mahmoud Eid (Nykopings, Sweden), Matias Jadue (Deportes Antofagasta, Chile), Imad Zatara (Atvidaberg, Sweden), Javier Cohene (Borac Cacak, Serbia), Daniel Kabir Mustafa (Atletico Venezuela, Venezuela), Omar Jarun (Bharat FC, India) dan banyak lagi.


Timor Leste

Setakat April 2015 Timor Leste berada di ranking ke-25 Asia. Perkembangan pesat bolasepak Timor Leste dilihat bermula pada tahun 2012 apabila semakin ramai warga Brazil yang menyarung jersi kebangsaan Timor Leste. Dengan adunan teknik bolasepak Brazil, Portugal dan Australia... Timor Leste bukan lagi pasukan belasahan.

Patrick Fabiano pemain kelahiran Brazil ini bermain di Liga Kuwait

Sehingga kini separuh daripada pasukan Timor Leste bukannya warganegara asal sebaliknya adalah warga Brazil yang bermain untuk Timor Leste melalui proses "naturalisasi". Malah, pemain mereka juga beraksi di seluruh pelusuk dunia termasuk di Brazil, Portugal, Australia, Sepanyol, Uruguay, Jepun, China, Timur Tengah, Malaysia, Thailand dan Indonesia.


Malaysia

Setakat April 2015 Malaysia berada di ranking ke-33 Asia. Kekalahan demi kekalahan di peringkat antarabangsa menyebabkan ranking Malaysia jatuh dengan teruk. Jika ranking FIFA April 2015 menjadi ukuran, Malaysia adalah di tempat ke-8 Asia Tenggara di belakang Vietnam, Filipina, Thailand, Timor Leste, Myanmar, Indonesia dan Singapura.

Tugas kapten pasukan sekali lagi digalas oleh Safiq Rahim

Dibarisi oleh majoriti pemain JDT yang beraksi agak baik dalam Piala AFC 2015 juga tidak menjamin kejayaan pasukan negara yang menuntut lebih daripada reputasi. Pemain-pemain yang baru dipanggil untuk beraksi dengan pasukan kebangsaan juga sepatutnya menyesuaikan diri dengan cepat supaya dapat diterjemahkan kepada keputusan baik di atas padang.


Tiada harapan tinggi yang disandarkan kepada pasukan negara. Apa yang penting bermain sehabis baik dan tidak bermain sambil lewa. Biar kalah dalam berjuang dan jangan jadi pasukan belasahan lagi.

Ayuh Malaysiaku!!!





No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...