Showing posts with label Liga Perdana Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Liga Perdana Malaysia. Show all posts

Wednesday, February 1, 2017

Pemain Import Liga Perdana 2017 - JDT II, Negeri Sembilan, UiTM, MISC-MIFA Dan PKNP 100% Berwajah Baru



Sepakmula Liga Perdana Malaysia 2017 telahpun bermula sejak 20 Januari 2017 yang lalu. Kebanyakan pasukan menggunakan khidmat pemain import baru dan hanya sebahagian sahaja pemain import lama yang dikekalkan.

DRB Hicom pula telah menarik diri musim ini akibat masalah kewangan menyebabkan ATM terselamat dan masih kekal dalam Liga Perdana Malaysia 2017.


PDRM

PDRM mengekalkan khidmat Souleymane Konate (Mali) dan Safuwan Baharuddin (Singapura). Pemain import baru PDRM ialah :-

1) Frederic Pooda (Ivory Coast) - bekas penyerang Sime Darby FC yang telah disingkirkan ke Liga FAM. Sebelum ini Frederic Pooda adalah penjaring terbanyak dalam Liga bolasepak Laos bersama Lao Toyota.
2) Dao Bakary (Ivory Coast) - penyerang berpengalaman yang pernah menyarung jersi Perlis, UiTM dan Kuantan FA

Frederic Pooda ketika bersama pasukan Lao Toyota


Terengganu

Terengganu mengekalkan Issey Nakajima-Farran (Jepun/Kanada) sebagai pemain import mereka. Pemain import baru Terengganu ialah :-

1) Lazaro Vinicius Alves Martins (Brazil) - pertahanan tinggi lampai produk akademi bolasepak Atletico Mineiro. Berpengalaman luas dan pernah bermain dalam Liga Belanda, Liga Brazil dan Liga Bahrain.
2) Federico Falcone (Argentina) - penyerang dari akademi bolasepak Newell's Old Boys di Argentina. Berpengalaman di liga bolasepak Chile dan yang terakhir merupakan penjaring terbanyak di liga Malta
3) Lutfulla Turaev (Uzbekistan) - bekas pemain tengah Felda United yang mengikuti Irfan Bakti ke Terengganu

Lazaro ketika bersama dengan skuad remaja SC Heenrenveen satu ketika dahulu


JDT II

JDT II menampilkan 4 orang pemain import baru mereka untuk musim ini :-

1) Samuel Caceres (Paraguay) - bekas pemain pertahanan remaja Independiente dan pernah beraksi di Liga Argentina dan Liga Amerika Syarikat
2) Nicolas Fernandez (Argentina) - pemain tengah berpengalaman dan pernah beraksi di Liga Sepanyol dan Liga Greece. Sama pasukan dengan Jeronimo Barrales (JDT) semasa di Asteras Tripolis (Greece).
3) Gabriel Guerra (Argentina) - pemain tengah lincah ni disambar dari Boca Juniors B setelah tempoh pinjaman selama 2 tahun dengan PKNS FC tamat
4) Alex Smith (Australia/England) - pemain tengah berpengalaman yang bersama pasukan Negeri Sembilan musim lepas. Pernah juga beraksi dalam Liga Amerika Syarikat dan Liga Australia

Nico Fernandez bersama pasukan Asteras Tripolis (Greece) ketika menentang
pasukan Tottenham Hotspurs dalam Piala UEFA


Negeri Sembilan

Negeri Sembilan menampilkan 4 orang pemain import baru musim ini iaitu :-

1) Nemanja Vidic (Serbia) - pemain tengah ini tidak pernah bermain dengan Manchester United tetapi berpengalaman dalam liga bolasepak Serbia dan liga Kazakhstan.
2) Marko Simic (Croatia) - bekas pemain remaja Croatia yang beraksi di bahagian sayap. Berpengalaman luas dan pernah beraksi dalam Liga Croatia, Rusia, Hungary, Slovenia, Itali dan Vietnam
3) Lee Tuck (England) - penyerang berpengalaman yang pernah beraksi dalam Liga Inggeris, Thailand dan Bangladesh
4) Bruno Junichi Suzuki Castanheira (Jepun/Brazil) - penyerang kacukan Brazil-Jepun dan pernah beraksi di Liga Jepun dan Liga Singapura

Marko Simic ketika bersama skuad remaja Croatia


Kuala Lumpur

Hanya Modibo Konte (Mali) sahaja yang dikekalkan dalam skuad Kuala Lumpur. Pemain import Kuala Lumpur yang baru ialah :-

1) Nicolas Alejandro Dul Del Rio (Argentina) - pemain tengah produk akademi bolasepak River Plate. Pernah beraksi dalam Liga Argentina, Sepanyol dan Itali.
2) Guilherme de Paula Lucrecio (Brazil) - bekas penyerang Selangor dan PDRM. Pernah beraksi di Liga Brazil, Portugal, Guatemala, Romania dan Cyprus.
3) Bobur Akbarov (Uzbekistan) - pertahanan tegap dari Liga Uzbekistan

Nicolas Dul depan dua dari kiri bersama pasukan River Plate B

* Carlos Chamorro (Argentina) - penyerang import ini disingkirkan di saat akhir dan digantikan dengan Guilherme de Paula. Pemain ini ialah pilihan Ismail Zakaria, bekas jurulatih Kuala Lumpur. Namun jurulatih baru Wanderley Junior tidak berpuashati dengan prestasi Carlos Chamorro.


Perlis

Perlis mengekalkan Damion Stewart (Jamaica) dan Park Yong-joon (Korea Selatan) sebagai pemain import mereka. Pemain import baru Perlis ialah :-

1) Oh Kyu-bin (Korea Selatan) - pemain tengah muda dari Liga Korea Selatan
2) Brandon Adams (England) - pemain remaja England yang dipinjamkan dari Queens Park Rangers

Brandon Adams (kanan) ketua pasukan remaja QPR

Kuantan FA

Khidmat pakar lontaran ke dalam Ljubo Baranin (Serbia) masih ditagih selain daripada pemain import Korea Selatan, Shim Un-Seob. Pemain import baru Kuantan FA ialah :-

1) Stefan Vukmirov (Serbia) - pemain tengah dari Liga bolasepak Serbia
2) Shunsuke Nakatake (Jepun) - baru pulih dari kecederaan panjang dan kembali didaftarkan sebagai pemain import Kuantan FA. Cuma pernah beraksi dalam liga universiti tempatan dan Liga Singapura.

Shunsuke Nakatake (kiri) bekas kapten Kanagawa University


Sabah

Sabah mengekalkan Igor Cerina (Croatia) sebagai pemain import mereka. Pemain import baru Sabah ialah :-

1) Soufiane Choubani (Perancis/Algeria) - bekas pemain remaja Perancis dan juga produk akademi bolasepak Nantes di Perancis. Pernah beraksi di Liga Perancis dan Liga Algeria.
2) Jonathan Behe (Perancis) - penyerang dari Perancis keturunan Ivory Coast, produk akademi bolasepak EA Guingamp di Perancis. Pernah beraksi dalam Liga Perancis, Rusia, Thailand dan Singapura
3) Masaya Jitozono (Jepun) - bekas pemain tengah remaja JEF United di Jepun dan pernah beraksi dalam Liga Jepun dan Liga Singapura

Soufiane Choubani (tengah) semasa mewakili FC Nantes mengasak pemain Bordeaux


UiTM

Musim lepas UiTM menggunakan 8 orang pemain import yang berbeza. 4 orang pada separuh musim pertama dan 4 orang lagi pada separuh musim kedua. Kali ini juga UiTM menampilkan 4 orang pemain import baru iaitu :-

1) Onorionde Kughegbe (Nigeria) - juga dikenali sebagai O. K. John. Pertahanan berpengalaman luas dari Liga Indonesia dan pernah bermain bersama PDRM
2) Dechi Marcel N'Guessan (Ivory Coast) - pemain sayap dari Liga Ivory Coast
3) Akanni-Sunday Wasiu (Nigeria) - penyerang berpengalaman yang pernah beraksi dalam Liga Poland, Lithuania, England, Malta, China dan Vietnam
4) Do Dong-hyun (Korea Selatan) - pemain sayap muda yang pernah bermain dalam Liga Australia, Jepun dan India

Akanni-Sunday Wasiu ketika bermain di Liga Inggeris untuk Cholchester United


ATM

ATM mengekalkan khidmat pemain import Uzbekistan Sirojiddin Rakhmatullaev yang beraksi cemerlang pada separuh terkahir musim lepas. Pemain import baru ATM ialah :-

1) Ikbol Babakhanov (Uzbekistan) - pertahanan muda dari Uzbekistan
2) Pavel Smolyachenko (Uzbekistan) - bekas penyerang kebangsaan Uzbekistan dengan 1 cap dan bermain dalam Liga Uzbekistan
3) Bae Beom-geun (Korea Selatan) - pemain tengah yang pernah bermain dalam Liga Jerman dan Liga Macedonia

Amer Saidin dan Muslim Ahmad cuba mengekang kemaraan Pavel Smolyachenko



MISC-MIFA

MISC-MIFA menggunakan khidmat 4 orang pemain import untuk kancah Liga Perdana Malaysia 2017 iaitu : -

1) Alan Emanuel Aciar (Argentina) - pertahanan yang pernah bermain di Liga Argentina dan Liga Indonesia
2) Tagne Foguieng Dimitri Bodric (Cameroon) - penyerang muda dari Cameroon
3) Ijezie Michael Chukwubunna (Nigeria) - penyerang berpengalaman dari Liga Myanmar. Pemain ini juga pernah bermain untuk NS Betaria dan KL Putrajaya SPA di Malaysia
4) Steven Imbiri (Indonesia) - pemain sayap dari Liga Indonesia

Alan Aciar (No 13) di sebelah kanan penjaga gol ketika zaman bersama Racing Club di Argentina


PKNP

PKNP hanya menggunakan 3 orang pemain import sahaja untuk saingan Liga Perdana Malaysia 2017. Pemain-pemain import PKNP ialah :-

1) Ritus Krjauklis (Latvia) - bekas pertahanan kebangsaan Latvia dan pernah bermain dalam Liga Latvia, Liga Azerbaijan dan Liga Afrika Selatan
2) Vincent Weijl (Belanda) - bekas pemain sayap remaja AZ Alkmaar dan Liverpool dan berpengalaman main di Liga Belanda, Liga Inggeris, Liga Sepanyol, Liga Hong Kong dan Liga Denmark
3) Gilberto Fortunato (Brazil) - penyerang berpengalaman yang pernah main di Liga Brazil, Liga Vietnam, Liga Albania, Liga Korea Selatan, Liga Thailand dan Liga Kosovo

Ritus Krjauklis (kanan) menghambat Vladimir Wiess dari Slovakia dalam perlawanan antarabangsa



Semoga kehadiran pemain import baru kali ini akan meningkatkan lagi kualiti bolaspeak negara dalam Liga Perdana Malaysia 2017. Kemampuan pasukan baru seperti MISC-MIFA dan PKNP mendapatkan pemain import berkualiti tinggi seperti Alan Aciar, Ritus Krjauklis dan Vincent Weijl adalah tanda positif dalam pengurusan kelab dan pasukan.

Baca : Pemain Import Liga Perdana Malaysia 2016






Friday, December 25, 2015

Bekas Pemain Import Yang Menyinar Setelah Keluar Dari Liga Malaysia



Tak lama lagi Liga Malaysia musim 2016 akan bermula. Sekarang ni tengah sibuk pasukan-pasukan mencari pemain baru ataupun pemain-pemain sedang mencari pasukan baru untuk musim 2016. Selain tu, ada beberapa pasukan yang masih lagi belum mengisi kuota pemain import mereka untuk musim 2016.

Apa yang best dalam Liga Malaysia ni ialah kualiti pemain import yang dipilih semakin lama semakin baik. Kalau ada pemain import yang tak bagus pun, halfway dapat dikesan... pastu ganti dengan pemain import baru yang lebih bagus dan ok.

Tapi ada jugak pemain import yang tak ok... lepas tu prestasi diorang semakin baik kat tempat lain. Maksudnya bila diorang keluar dari Liga Malaysia, diorang boleh perform. Diorang perform bukan sebarang perform.... tapi diorang perform kat beberapa kelab dalam Liga Eropah atau Liga Amerika Selatan.

Kat sini ada beberapa orang bekas pemain import dari Liga Malaysia yang semakin menyinar di Liga bolasepak negara lain :-


Nama : Mickael Antoine-Curier
Umur : 32 tahun
Asal : Perancis
Warganegara : Guadeloupe
Posisi : Penyerang
Kelab Liga M : Felda United
Kelab Terakhir : Dunfermline Athletic (Scotland)

Bekas pemain import Felda United ini memulakan kariernya di Liga Perancis bersama Paris St Germain dan Nice. Penyerang ini berpengalaman luas dalam Liga Inggeris, Liga Norway dan Liga Scotland. Mickael Antoine-Curier hanya dapat membantu Felda United menghuni tangga ke-10 liga pada musim 2012.

Mickael Antoine-Curier dan Mohd Nizad Ayub ketika perlawanan menentang Kuala Lumpur

Setelah meninggalkan Felda United, pemain ini telah bermain di FC Atyrau (Kazakhstan), Hamilton Academical (Scotland), Burton Albion (England) dan Dunfermline Athletic (Scotland). 

Setelah cemerlang membantu Hamilton Academical layak ke Liga Perdana Sotland (Divisyen 1) dari Liga Kejuaraan Scotland (Divisyen 2), Mickael Antoine Curier berhijrah ke Burton Albion yang ketika itu di bawah kendalian Jimmy Floyd Hasselbaink walaupun pada masa yang sama mendapat tawaran daripada kelab Cagliari dari Itali.

Mickael Antoine-Curier ketika berkasi untuk Hamilton Academical

Mickael Antoine Curier kembali semula ke Scotland dan bermain untuk pasukan Dunfermline Athletic dalam Divisyen 3 Liga Scotland setelah membantu Burton Albion naik ke Liga Satu England (Divisyen 3) dari Liga Dua England (Divisyen 4).

Nama : Denny Antwi
Umur : 22 tahun
Asal : Ghana
Posisi : Penyerang
Kelab Liga M : Kelantan dan Perlis
Kelab Terakhir : FK Jerv (Norway)

Nama penuh pemain ini ialah Dennis Agyare Antwi telah mewakili Kelantan dan pernah beraksi dalam kempen Piala AFC bersama Kelantan. Namun apabila pihak pengurusan Kelantan memutuskan untuk mengambil Dickson Nwakaeme yang lebih berpengalaman pada tahun 2013, Denny Antwi dan rakannya Emmanuel Okine telah dilepaskan kepada Perlis di Liga Perdana sebagai pemain pinjaman.

Denny Antwi bersama pasukan Kelantan

Denny Antwi (kiri) dipinjamkan ke Perlis

Setelah kontraknya bersama Kelantan ditamatkan, Denny Antwi telah pulang ke negara asalnya Ghana untuk bermain dengan pasukan International Allies FC. Pada tahun 2014, Denny Antwi telah menyertai pasukan divisyen 4 di Sweden iaitu FC Rosengard 1917 dimana Emmanuel Okine telah setahun bermain di situ.

Denny Antwi (tengah) beraksi untuk FK Jerv

Kecemerlangan Denny Antwi terserlah dan dia telah dipancing oleh kelab divisyen 3 di Norway iaitu FK Jerv. Dennis Antwi hampir membantu FK Jerv untuk layak ke divisyen 2 Liga Norway sebelum tewas di perlawanan akhir play-off.

Nama : Emmanuel Okine
Umur : 24 tahun
Asal : Ghana
Posisi : Pertahanan
Kelab Liga M : Kelantan, Kuala Lumpur dan Perlis
Kelab Terakhir : FC Rosengard 1917 (Sweden)

Emmanuel Ayaah Okine dibawa masuk ke Kelantan bersama-sama dengan Denny Antwi. Sebelum dipinjamkan ke Perlis pada tahun 2013, Emmanuel Okine telah dipinjamkan ke Kuala Lumpur di Liga Perdana setelah Kelantan mengambil Obinna Nwaneri sebagai pemain import pada tahun 2012.


Emmanuel Okine beraksi untuk Perlis pada tahun 2013

Apabila kontrak bersama Kelantan tamat, Emmanuel Okine disambar kelab Divisyen 4 Sweden, FC Rosengard 1917 dan bermain dengan kelab itu sehingga sekarang.

Emmanuel Okine (putih) beraksi untuk pasukan FC Rosengard 1917 di Sweden

Nama : Daniel Guiza
Umur : 35 tahun
Asal : Sepanyol
Posisi : Penyerang
Kelab Liga M : JDT
Kelab Terakhir : Cadiz (Sepanyol)

Kemasukan Daniel Guiza dan Pablo Aimar ke dalam JDT pada tahun 2012 telah mencetuskan fenomena baru dalam sukan bolasepak Malaysia. Namun begitu, JDT hanya menggunakan khidmat Guiza selama 6 bulan sahaja secara pinjaman dari kelab Sepanyol Getafe.

Daniel Guiza bersama JDT

Setelah meninggalkan JDT dan dilepaskan oleh Getafe, Daniel Guiza telah disambar oleh juara liga Paraguay iaitu Cerro Porteno selama 2 musim.

Daniel Guiza bersama Cerro Porteno

Pada tahun 2015, Daniel Guiza telah kembali ke Sepanyol dan bermain untuk kelab divisyen 3 Liga Sepanyol iaitu Cadiz.

Daniel Guiza bersama Cadiz

Nama : Arthuro Berndhart
Umur : 33 tahun
Asal : Brazil
Warganegara : Itali
Posisi : Penyerang
Kelab Liga M : Johor FC
Kelab Terakhir : Recreativo Huelva (Sepanyol)

Setelah meninggalkan Johor FC, Arthuro telah kembali ke negara asalnya untuk bermain dalam divisyen 4 Liga Brazil bersama kelab Pelotas. Pada musim 2013-2014, Arthuro telah ke Portugal untuk bermain dengan kelab Uniao Madeira dalam divisyen 2 Liga Portugal. Bekas pemian remaja Hamburg ini muncul penjaring terbanyak kelab itu.

Arthuro ketika bersama Johor FC 
Arthuro menjadi penjaring terbanyak untuk kelab Uniao Madeira

Prestasi cemerlang Arthuro menyebabkan beliau disambar oleh kelab divisyen 1 Liga Portugal iaitu Estoril. Malah, Arthuro juga pernah bermain dalam kejohanan Eropah Piala UEFA untuk kelab Estoril. Arthuro bergelut dengan prestasi sendiri di sini dan hanya mampu membantu Estoril menduduki tempat ke-12 dalam Liga utama Portugal.

Arthuro (kiri) cuba menyekat kemaraan Georginio Wijnaldum dari PSV

Kini, Arthuro bermain dalam divisyen 3 Liga Sepanyol bersama kelab Recreativo Huelva.


Nama : Petr Chrappan
Umur : 31 tahun
Asal : Slovakia
Posisi : Pertahanan
Kelab Liga M : Selangor
Kelab Terakhir : 1. FC Saarbucken (Jerman)

Setelah meninggalkan Selangor, Petr Chrappan telah pulang ke negara asalnya dan bermain dengan pasukan FC Vion Zlate Moravce, dimana Irfan Fazail dan Fadhli Shas juga pernah bermain.

Petr Chrappan (tengah) ketika menentang JDT

Kemudian, Petr Chrappan telah berhijrah ke Jerman untuk bermain dengan pasukan divisyen 4, FC Saarbucken.
Petr Chrappan (biru) bersama pasukan FC Saarbucken

Nama : Jose Gomez (Regino)
Umur : 26 tahun
Asal : Sepanyol
Posisi : Pertahanan
Kelab Liga M : Kedah
Kelab Terakhir : Olympiakos Nicosia (Cyprus)

Pemain dari selatan Sepanyol ini pernah bersama dengan pasukan seperti Sevilla dan Betis di Sepanyol.

Aksi Regino ketika perlawanan antara Kedah dan JDT

Setelah kontraknya dengan Kedah tamat, pemain ini berkelana ke Cyprus dan bermain untuk pasukan divisyen 2 Liga Cyprus iaitu Olympiakos Nicosia

Regino menandatangani kontrak bersama Olympiakos Nicosia

Nama : Lawrence Olum
Umur : 31 tahun
Asal : Kenya
Posisi : Tengah Bertahan
Kelab Liga M : Kedah
Kelab Terakhir : Sporting Kansas City (Amerika Syarikat)

Walaupun dilahirkan di Kenya, Lawrence Olum banyak menghabiskan masa dan karier di Amerika Syarikat. Jodoh dengan pasukan Kedah juga tak lama dan beliau telah digantikan dengan bintang Kosovo, Liridon Krisniqi.

Lawrence Olum berentap dengan bintang LA Galaxy dan Amerika Syarikat, Landon Donovan

Setelah tamat kontrak dengan pasukan Kedah, pasukan lamanya Sporting Kansas City telah mengambilnya semula untuk bermain

Nama : Eamon Zayed
Umur : 32 tahun
Asal : Republik Ireland
Warganegara : Libya
Posisi : Penyerang
Kelab Liga M : Sabah
Kelab Terakhir : Indy Eleven (Amerika Syarikat)

Eamon Zayed ialah penjaring terbanyak Sabah musim lepas dengan 10 gol. Namun prestasi Sabah yang pada mulanya agak bagus telah merudum di hujung musim.



Bekas produk akademi Leicester City ini membawa diri ke Amerika Syarikat dan bermain dalam liga NASL (divisyen 2 Amerika Utara) dengan pasukan Indy Eleven.

Nama : Muriel Orlando
Umur : 26 tahun
Asal : Argentina
Posisi : Penyerang
Kelab Liga M : Johor FA
Kelab Terakhir : Copiapo (Chile)

Orlando bersama dengan Johor FA selama 2 musim. Musim 2012 Orlando hanya meledak 7 gol dan diikuti 17 gol (penjaring terbanyak) pada musim 2013.

Orlando dikawal ketat pemain UiTM FC

Setelah meninggalkan Johor FA, Orlando membantu pasukan Leon de Huanaco menduduki tempat ke-7 dalam liga utama bolasepak Peru. Kemudian Orlando berhijrah ke Uruguay untuk bermain dengan pasukan Rampla Juniors dalam Liga utama Uruguay. Orlando tidak bernasib baik dimana pasukannya tersingkir ke divisyen 2.

Orlando (kiri) bersama pasukan barunya, Deportes Copiapo
Kini, Orlando beraksi di Primera B Liga Chile bersama pasukan Deportes Copiapo

Nama : Leonel Nunez
Umur : 31 tahun
Asal : Argentina
Posisi : Penyerang
Kelab Liga M : JDT
Kelab Terakhir : Mushuc Runa (Ecuador)

Walaupun hanya 6 bulan di Malaysia, Leonel Nunez sangat diingati kerana susuk tubuhnya yang agak gempal tidak seperti pemain bolasepak yang lain. Leonel Nunez juga gagal untuk menyaingi kehebatan Daniel Guiza yang digantinya. Leonel Nunez hanya mampu membantu JDT menduduki tempat ke-3 liga pada musim 2013.

Nunez ketika bersama JDT

Selepas meninggalkan JDT, Leonel Nunez berkelana di Greece bersama pasukan OFI Crete FC di Liga Super Greece. Jodohnya di situ tak lama sebab OFI Crete FC menghadapi masalah kewangan sehingga tersingkir ke liga bawahan.

Nunez bersama pasukan barunya Muschuc Runa

Kini, Nunez kembali ke Amerika Selatan dan bermain untuk pasukan Mushuc Runa dalam Seria A Liga Ecuador.


Kebanyakan nama-nama yang disebutkan di atas telah pun berada di puncak karier masing-masing dan akan menggantungkan but mereka pada bila-bila masa. Namun, beberapa orang pemain masih lagi boleh bermain lama seperti Denny Antwi, Emmanuel Okine dan Regino. Persoalannya adakah mereka akan kembali ke Liga M sekali lagi sekiranya ada pasukan dari Malaysia yang membuat tawaran?

Kebanyakan pemain import berprofil tinggi hanya akan mejadikan Liga M sebagai destinasi terakhir mereka sebelum bersara. Namun, pemain-pemain yang disebutkan di atas masih lagi cemerlang dalam karier masing-masing dan prestasi mereka semakin baik setelah keluar dari Liga Malaysia.




Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...