Wednesday, September 30, 2015

Restoran Mai Makan : Mee Rebus Sedap Di Sg Tangkas, Kajang



Chelsea 2 Arsenal 0.... itulah keputusan muktamad yang mana Arsenal terpaksa bermain dengan 9 orang pemain menentang Chelsea setelah Gabriel dan Santi Cazorla dibuang padang. Memang tak aci... ni semua angkara penyerang Chelsea, Diego Costa yang terkenal sejak dulu lagi membuat provokasi ketika perlawanan. Game kontroversi ni aku saksikan di Restoran Mai Makan yang terletak di Sg Tangkas, Kajang ataupun Bandar Baru Bangi.

Rumah/Apartment Percutian Untuk Disewa Di Kajang



Ini first time pergi kat Restoran Mai Makan yang baru jer beroperasi lebih kurang 6 bulan. Nak pergi Restoran Mai Makan ni taklah susah sangat. Mereka yang biasa dengan kawasan Bandar Baru Bangi atau UKM memang takde masalah nak pergi Restoran Mai Makan yang terletak tak jauh dari Stesen Komuter UKM.



Apa yang best kat Restoran Mai Makan ni ialah Mee Rebus.... macam-macam jenis ada, Mee Rebus Kambing, Mee Rebus Daging atau Mee Rebus Ayam. Kalau nak review Mee Rebus ni memang dalam kategori sedap. Ya... betul, tekak dan selera masing-masing tak sama... tapi bagi aku Mee Rebus kat sini memang sedap.



Selain Mee Rebus yang sedap, banyak lagi pilihan makanan lain yang beraneka seperti nasi lemak dan juga nasi lauk pek ekonomi. Ooo ye.... owner kedai ni memang sangat baik hati. Menyedari bahawa kebanyakan yang datang makan di Restoran Mai Makan ialah pelajar universiti dan kolej, maka telah diadakan pek ekonomi khas untuk student. Tapi yang bukan student pun boleh jer beli makanan pek ekonomi ni





Ok.... jadi kepada penduduk di sekitar Cheras, Kajang dan Bandar Baru Bangi khususnya jangan lupa untuk singgah di Restoran Mai Makan ni. Mereka yang berada di luar kawasan tapi teringin nak rasa Mee Rebus Sedap atau aneka makanan lain pun dijemput mai makan sini.... Untuk maklumat lanjut boleh hubungi tuan kedai Encik Irwan Ismail di talian 011 1505 7836.

Mai makan!!!

Rumah/Apartment Percutian Untuk Disewa Di Kajang


Sunday, September 27, 2015

Belasungkawa : Kenalan Maut Dalam Kemalangan Jalan Raya Di Kedah



Seringkali kita dikejutkan dengan kematian ahli keluarga kita, saudara mara dan juga sahabat handai. Bagi mereka yang meninggalkan kita disebabkan faktor umur dan juga penyakit yang berpanjangan, mungkin orang di sekeliling mereka sudah bersedia dengan berita pemergian mereka.

Namun begitu, pada kebiasaannya pemergian mereka yang terlibat dalam kemalangan jalan raya adalah sesuatu yang tidak disangka-sangka akan berlaku. Ini yang telah berlaku kepada salah seorang junior di UIA dulu iaitu Allahyarhamah Noor Haslinda bt Hashim yang telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Ayer Hitam, Kedah Darul Aman.



Kemalangan berlaku lebih kurang pukul 5.00 pm pada hari Jumaat, 25 September baru-baru ini setelah Toyota Unser yang dinaiki mereka sekeluarga telah dirempuh dengan sebuah bas dari belakang. Turut terlibat dalam kemalangan tersebut ialah sebuat kereta Proton Waja dan sebuah motorbike.





Setelah bertarung nyawa.... akhirnya arwah menghembuskan nafas-nafas terakhir di Hospital Alor Setar lebih kurang jam 8.00 pm. Arwah pergi meninggalkan suami dan 2 orang anak lelaki berumur 5 dan 2 tahun. Mereka yang lain telah selamat dalam kemalangan jalan raya tersebut.




Semasa di universiti dulu banyak terlibat dalam program-program bersama dengan arwah. Kali terakhir bertemu arwah pula lebih kurang 8 tahun yang lepas di Kolej Jururawat Masterskill di Hulu Langat. Masa tu isteri baru je kerja di Masterskill sebagai lecturer..... terserempak dengan arwah yang rupa-rupanya mengajar juga di kolej tersebut, tetapi dalam proses nak berhenti kerja sebab dapat tawaran bekerja sebagai PTD.

Arwah berasal dari Pasir Gudang, Johor dan bekerja sebagai Penjawat Awam (PTD) di Putrajaya. Arwah menyambut Aidiladha di kampung suaminya di Alor Setar Kedah. Jenazah arwah telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam USJ 22 selepas zohor pada 26 September 2015.

Alfatihah.....





Tuesday, September 22, 2015

Feminin TV1 - Pengalaman Dijemput Menjadi Tetamu Rancangan TV



Pada hari Isnin, 21 September 2015, aku berpeluang untuk temankan isteri ke Angkasapuri di Lembah Pantai, Kuala Lumpur untuk sesi siaran langsung slot bual bicara Feminin TV1 yang bertajuk "istimewanya anak kidal". Rancangan Feminin TV1 ni bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis jam 11.30 pagi dan disiarkan secara langsung dari RTM

1st time masuk Angkasapuri

Isteri telah dijemput untuk menjadi tetamu Feminin TV1 ni oleh pihak penerbit disebabkan oleh artikel yang pernah ditulis oleh isteri dalam blognya sweetbonda.my berkenaan apa yang ibu bapa perlu tahu berkenaan anak kidal. Ini disebabkan anak ke-3 kami iaitu Azzalea Hannah mempunyai tangan kiri yang lebih dominan.



Selain daripada isteri, tetamu lain yang dijemput ialah "ikon tangan kiri" negara iaitu Man Kidal dan juga Dato' Dr. Hj Md Fadzilah Kamsah yang juga mempunyai anak yang kidal. Slot ini dikendalikan oleh hos yang ceria Sakinah al-Mubarakah. Sementara isteri dan Hannah berada di set pentas untuk siaran langsung... aku berada di belakang tabir bersama-sama dengan Adam, Myra dan Hasya.

Siaran secara langsung

Bergambar kenangan setelah selesai siaran langsung

Di belakang tabir

Sebenarnya aku sendiri pun dah pernah ada pengalaman masuk dalam TV zaman dulu-dulu tapi semua tu rakaman jer.... dan bukannya secara langsung pun. Masa zaman universiti dulu, aku pernah masuk program Juara Minda TV1 iaitu lebih kurang pada tahun 2000. Set rakaman bukan di Angkasapuri tapi kalau tak silap di sekitar kawasan Taman Batu Muda, Jalan Ipoh, KL.

Sumber : dsuarang.blogspot.com

Hos rancangan Juara Minda ni ialah Datuk Rosyam Nor. Yang paling aku ingat masa ni ialah... aku hanya perlu menjawab jawapan yang penuh iaitu "Xanana Gusmao" untuk mara ke pusingan seterusnya. Tapi, takde rezki masa tu sebab aku hanya mampu ingat perkataan "Gusmao" sajer... so, terkandas di pusingan awal.

Pada tahun 2005 pulak, aku try masuk pemilihan Kunci Khazanah dengan isteri di Astro Bukit Jalil. Kitorang ambil ujian bertulis terlebih dahulu dan lulus. Ujian bertulis tu menyediakan soalan-soalan berkaitan pengetahuan am. Kemudian kitorang masuk ujian lisan pulak... Alhamdulillah, aku lepas... tapi isteri tak lepas dengan alasan dia sarat mengandung.... masa tu memang isteri sedang mengandung anak pertama pun.

Hos Azhar Sulaiman

Dah lepas semua peringkat saringan Kunci Khazanah... aku kena datang untuk sesi rakaman seterusnya iaitu pertandingan sebenar. Masa tu bila soalan kena batang hidung sendiri... gelabah semacam nak jawab, sampaikan soalan yang senang pun tak dapat jawab. Akhirnya, memang terkandas jugak di pusingan awal.... hehe...

Anak sulung aku yang bernama Muhammad Adam Hakimi pun pernah masuk TV iaitu pada tahun 2010 sebagai pelakon cilik tambahan untuk drama berjudul Hani dalam slot Lestary TV3. Berlakon tak nampak muka pun.... hanya nampak belakang kepala... jadilah


Adam : anak panah warna merah

Baca : Pengalaman Anak Berlakon Dengan Rozita Che Wan


Bagi kita yang bukan dalam bidang penyiaran... pengalaman masuk dalam TV ni boleh jadi sekali jer dalam seumur hidup kita bila datang. Memang syarikat TV akan bagi sikit "token" kepada kita kalau kita masuk dalam TV. Kadang-kadang sikit... adakalanya kita terima jumlah yang kita tak sangka-sangka... hehe.... Kalau nak tahu banyak mana, kena cuba dan alami sendiri ye....

Agak terkilan jugak sebab takde bukti-bukti bergambar masa rakaman Juara Minda dan juga Kunci Khazanah. Kalau ada semua tu pasti jadi kenangan yang amat berharga untuk dikongsikan terutama sekali kepada keluarga dan generasi seterusnya.



Tuesday, September 15, 2015

Ambang Aidiladha 2015 - Pengalaman Ziarah Bakal Haji Di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya



Alhamdulillah.... bulan Zulhijjah datang lagi. Bulan Zulhijjah ialah bulan terakhir iaitu bulan ke-12 dalam kalendar Islam. Bulan Zulhijjah juga merupakan antara bulan terpenting dalam takwim kalendar Islam sebab di sinilah Aidil Adha ataupun Hari Raya Korban akan disambut pada setiap 10 Zulhijjah. Tarikh Hari Raya Aidiladha 2015 juga telahpun ditetapkan pada 24 September 2015 iaitu pada hari Khamis.

Baru-baru ini kita juga dikejutkan dengan tragedi kren terjatuh di Masjidil Haram, Mekah yang telah meragut nyawa lebih kurang 107 orang jemaah dan lebih kurang 230 orang jemaah telah cedera. Tragedi ini berlaku disebabkan oleh hujan yang turun dan juga ribut pasir yang berlaku di Tanah Arab khususnya di Mekah. Alfatihah.....


Pada 8 September yang lalu, kami berpeluang untuk ziarah jiran lama iaitu kawan mak yang tinggal di Muar, Johor yang menjadi Tetamu Allah ataupun Dhuyuffur Rahman. Sebelum ni pun ada jugak makcik dan saudara lain yang dah pergi menunaikan Haji... tapi tak berkesempatan pulak nak ziarah mereka.

Mak Yah dan mak

Samsul (anak Mak Yah), mak dan Helmi

Yang penting kena tahu bila tarikh dan masa bakal Haji ni akan berlepas... baru kita boleh bajet masa yang sesuai untuk ziarah mereka. Para jemaah atau bakal haji dicadangkan untuk berada di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya sekurang-kurangnya 2 jam sebelum pendaftaran supaya sempat untuk jumpa saudara mara dan rakan taulan yang ingin mengucapkan selamat jalan.

Mati kutu bila sampai kat Kompleks Tabung Haji sebab ramai sangat orang

Kat Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya tu memang ramai sangat orang... bukan saja para jemaah tetapi juga ahli keluarga para jemaah yang "berkampung" dan "berkelah" kat situ sampailah para jemaah "check in" di Kompleks Tabung Haji. Selepas "check in" para jemaah dan bakal Haji tidak dibenarkan untuk bertemu dengan sesiapa.

Ahli keluarga yang berkampung di Kompleks Tabung Haji

Selepas tu, para jemaah dan bakal Haji akan menjalani beberapa proses lain seperti diberikan "boarding pass" dan passport, tanda pengenalan diri dan tag nama. Kemudian, para jemaah dan bakal Haji akan mendengar taklimat ringkas sebelum menaiki bas yang akan diiringi oleh pegawai trafik terus ke lapangan terbang.

Kesemua proses check in termasuk bagasi telah diselesaikan di Kompleks Tabung Haji, simkad Saudi juga ada dijual di Tabung Haji selain daripada urusan pertukaran wang ke Saudi Riyal juga ada disediakan di Kompleks Tabung Haji. Pendek kata, hampir kesemuanya diuruskan oleh Pihak Tabung Haji.

Baca : Pengalaman Umrah - Bahagian 1

Baca : Pengalaman Umrah - Bahagian 2

Baca : Pengalaman Umrah - Bahagian 3


Mudah-mudahan kita semua akan dipilih untuk menjadi Tetamu Allah dan mengerjakan fardhu Haji suatu hari nanti... Amin Ya Rabbal Alamin...

Labbaikallahumma labbaik!!!



Wednesday, September 9, 2015

Sejarah Kempen Kelayakan Bolasepak Piala Asia Yang Malaysia Sertai



Malaysia pernah layak ke kejohanan bolasepak Piala Asia sebanyak 3 kali sahaja iaitu pada tahun 1976 yang diadakan di Iran, tahun 1980 yang diadakan di Kuwait dan pada tahun 2007 sebagai tuan rumah bersama dengan Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Malaysia melepasi pusingan kelayakan dan beraksi pada pusingan akhir pada tahun 1976 dan tahun 1980. Pada tahun 1976 Malaysia mendapat tempat terakhir dalam kumpulan di belakang Kuwait dan China.

Pada tahun 1980 pula Malaysia mendapat tempat ke-3 dalam kumpulan dengan hanya tewas kepada Kuwait 3-1. Pada masa ini Malaysia mampu mengikat gergasi Asia Korea Selatan dengan 1-1, seri dengan Qatar 1-1 dan menewaskan UAE 2-0.

Pada tahun 2007 Malaysia layak sebagai tuan rumah bersama. Akan tetapi Malaysia tewas dalam semua perlawanan.

Pada tahun-tahun lain, Malaysia telah menyertai kempen kelayakan Piala Asia sejak tahun 1956 lagi dimana ketika itu dikenali sebagai pasukan bolasepak Malaya.

Pasukan bolasepak Malaya tahun 1958 bersama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj


Kelayakan Piala Asia 1956

Malaya tewas kepada Vietnam Selatan dengan agregat 3-7 dalam perlawanan akhir pusingan kelayakan Zon Tengah dan gagal layak ke Piala Asia 1956.

Kelayakan Piala Asia 1960


Sekali lagi Malaya tidak layak dan berada di tempat ke-2 di belakang Vietnam Selatan dalam pusingan kelayakan Zon Tengah

Kelayakan Piala Asia 1964


Malaysia tidak layak dan berada di tempat ke-3 di belakang Hong Kong dan Vietnam Selatan dalam pusingan kelayakan Zon Tengah

Kelayakan Piala Asia 1968


Malaysia tidak layak dan berada di tempat ke-4 di belakang Hong Kong, Thailand dan Vietnam Selatan dalam pusingan kelayakan Zon Tengah

Kelayakan Piala Asia 1972

Dalam perlawanan separuh akhir pusingan kelayakan Zon Tengah Malaysia ditewaskan Thailand 0-1 manakala Republik Khmer mengejutkan Indonesia 2-0. Thailand menewaskan Republik Khmer 4-2 pada perlawanan akhir dan menjadi juara keseluruhan

Thailand dan Republik Khmer layak ke Piala Asia 1972 mewakili Zon Tengah

Kelayakan Piala Asia 1976


Tahun yang cemerlang untuk pasukan Malaysia apabila menjuarai kumpulan 4 dan seterusnya layak ke Piala Asia 1976 bersama-sama dengan Thailand

Kelayakan Piala Asia 1980

Korea Utara muncul juara keseluruhan pusingan kelayakan Kumpulan 3 setelah menewaskan Malaysia 1-0 pada perlawanan akhir.

Pasukan Bolasepak Malaysia Tahun 1980

Korea Utara dan Malaysia layak ke Piala Asia 1980

Kelayakan Piala Asia 1984


Malaysia gagal layak ke Piala Asia 1984 apabila terkandas di peringkat kumpulan di belakang Korea Selatan dan India

Kelayakan Piala Asia 1988


Malaysia terkandas di peringkat kumpulan dan gagal layak ke Piala Asia 1988

Kelayakan Piala Asia 1992


Malaysia terkandas di peringkat kumpulan di belakang China dan Indonesia seterusnya gagal ke Piala Asia 1992

Kelayakan Piala Asia 1996


Malaysia tidak bernasib baik dan gagal layak ke Piala Asia 1996 disebabkan perbezaan gol memihak kepada Indonesia

Kelayakan Piala Asia 2000


Pada pusingan pertama yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia agak cemerlang dengan menewaskan Chinese Taipei dan Thailand serta mengikat Korea Utara. Walaubagaimanapun, segalanya tidak menjadi pada pusingan ke-2 di Bangkok apabila Malaysia tewas dalam semua perlawanan. Akhirnya, Thailand layak ke Piala Asia 2000.

Kelayakan Piala Asia 2004


Pada pusingan pertama di Kuala Lumpur, Malaysia tidak pernah kalah, menewaskan Myanmar dan mengikat Iraq dan Bahrain. Walaubagaimanapun pusingan kedua di Manama, Bahrain, Malaysia telah tewas dalam semua perlawanan. Iraq dan Bahrain telah layak ke Piala Asia 2004

Kelayakan Piala Asia 2007

Malaysia layak secara automatik sebagai tuan rumah bersama

Kelayakan Piala Asia 2011


Malaysia tewas semua perlawanan dan mendapat tempat terakhir Kumpulan C. UAE dan Uzbekistan layak ke Piala Asia 2011

Kelayakan Piala Asia 2015


Malaysia gagal layak ke Piala Asia 2015 setelah mendapat tempat Ke-3 dalam Kumpulan D di belakang Bahrain dan Qatar.

Baca : Piala Asia 2015


Kelayakan Piala Asia 2019

FIFA telah menggabungkan Kelayakan Piala Dunia 2018 bersama-sama dengan Kelayakan Piala Asia 2019. Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A di belakang UAE, Arab Saudi, Palestine dan Timor Leste.

Peraturan Kelayakan Piala Asia 2019 adalah seperti berikut :-

a) 8 juara kumpulan dan 4 pasukan tempat ke-2 terbaik setiap kumpulan layak terus ke Piala Asia 2019;
b) Baki 4 pasukan tempat ke-2 setiap kumpulan, 8 pasukan tempat ke-3 setiap kumpulan dan 4 pasukan terbaik tempat ke-4 setiap kumpulan (kesemuanya 16 pasukan) akan bertanding dalam pusingan ke-3 Kelayakan Piala Asia 2019; dan
c) Baki 4 pasukan tempat ke-4 setiap kumpulan dan 8 pasukan tercorot setiap kumpulan (kesemuanya 12 pasukan) akan berentap sesama sendiri dan hanya 8 pasukan yang akan layak ke pusingan ke-3 Kelayakan Piala Asia 2019

Baca : Kelayakan Piala Asia 2019


Berdasarkan kepada peraturan-peraturan Kelayakan Piala Asia 2019, adalah jelas bahawa pasukan Malaysia masih berpeluang untuk masuk ke pusingan ke-3 Piala Asia 2019. Cuma, dengan mendapat tempat tercorot dalam Kumpulan A akan menyukarkan lagi keadaan.

Ayuh.... Ayuh Malaysiaku!!!






Tuesday, September 8, 2015

Sejarah Kempen Kelayakan Bolasepak Piala Dunia Yang Malaysia Sertai



Ini adalah fakta... Malaysia memang tak pernah masuk World Cup dalam acara bolasepak. Salah satu cara cepat nak layak masuk World Cup ialah dengan menjadi tuan rumah World Cup. Itupun bukan senang nak melobi jadi tuan rumah.

Pasukan-pasukan lain seluruh dunia kalau nak masuk World Cup kena masuk pusingan kelayakan dulu. Ada pusingan pertama, kedua dan seterusnya bergantung pada format yang ditetapkan oleh FIFA dan kesatuan bolasepak benua masing-masing. Pusingan kelayakan pun ikut benua masing-masing. Off course kadang-kadang format pertandingan tak sama.

Pasukan bolasepak negara tahun 1972

Kali pertama Malaysia masuk kelayakan Piala Dunia untuk sukan bolasepak ialah pada tahun 1974. Sejarah pasukan bolasepak Malaysia dalam pusingan kelayakan adalah seperti berikut :-

Kelayakan Piala Dunia 1974


Tempat Ke-3 dalam Kumpulan 2 Zon A di belakang Israel dan Korea Selatan



Hanya Australia layak ke Piala Dunia 1974 mewakili benua Asia dan Oceania setelah menewaskan Korea Selatan 1-0 semasa pusingan akhir kelayakan.

Kelayakan Piala Dunia 1978


Tempat Ke-3 dalam Kumpulan 1 di belakang Hong Kong dan Singapura

Hanya Iran layak ke Piala Dunia 1978 mewakili benua Asia dan Oceania setelah menjadi juara liga pusingan akhir kelayakan.

Kelayakan Pialan Dunia 1982


Tempat ke-3 dalam Kumpulan 3 di belakang Kuwait dan Korea Selatan

Kuwait dan New Zealand layak ke Piala Dunia 1982 mewakili Asia dan Oceania setelah menjadi juara dan naib juara kumpulan pada pusingan akhir kelayakan.

Kelayakan Piala Dunia 1986


Buat pertama kalinya diadakan pusingan kelayakan sebanyak 2 pusingan sebelum pusingan akhir. Malaysia terkandas di pusingan pertama apabila berada di Tempat Ke-2 dalam Kumpulan 3A di belakang Korea Selatan.

Iraq dan Korea Selatan layak ke Piala Dunia 1986 sebagai wakil dari Asia Barat dan Asia Timur masing-masing. Dalam pusingan akhir, Iraq menewaskan Syria dengan agregat 3-1 manakala Korea Selatan menewaskan Jepun dengan agregat 3-1.

Kelayakan Piala Dunia 1990


Malaysia mendapat tempat ke-2 dalam kumpulan 4 di belakang Korea Selatan

Korea Selatan dan UAE telah layak ke Piala Dunia 1990 setelah menjadi juara dan naib juara kumpulan dalam pusingan akhir.

Kelayakan Piala Dunia 1994


Malaysia mendapat tempat ke-3 dalam kumpulan E di belakang Arab Saudi dan Kuwait

Arab Saudi dan Korea Selatan layak ke Piala Dunia 1994 setelah menjadi juara dan naib juara kumpulan dalam pusingan akhir.

Kelayakan Piala Dunia 1998


Semakin banyak pasukan dari Asia bertanding dalam pusingan kelayakan ini. Malaysia mendapat tempat ke-2 dalam kumpulan 1 di belakang Arab Saudi

Pusingan akhir juga terdapat 2 kumpulan dimana Arab Saudi menjadi juara Kumpulan A diikuti Iran manakala Korea Selatan menjadi juara Kumpulan B diikuti Jepun. Arab Saudi dan Korea Selatan layak secara otomatik selaku juara kumpulan masing-masing.

Manakala Jepun layak setelah menewaskan Iran 3-2 berdasarkan gol emas dalam perlawanan play-off. Iran yang tewas dikehendaki lawan dalam perlawanan play-off lain menentang juara Oceania iaitu Australia. Akhirnya Iran layak ke Piala Dunia 1998 menewaskan Australia berdasarkan peraturan "away gol" setelah terikat dengan agregat 3-3.

Buat kali pertama 4 pasukan dari Asia telah layak ke Piala Dunia 1998 iaitu Arab Saudi, Korea Selatan, Jepun dan Iran

Kelayakan Piala Dunia 2002


Seperti biasa Malaysia terkandas di pusingan pertama dan mendapat tempat ke-3 dalam kumpulan 3 di belakang Qatar dan Palestine.

Pada pusingan kedua Arab Saudi dan China layak ke Piala Dunia 2002 setelah menjadi juara dalam kumpulan masing-masing. Iran dan UAE masing-masing sebagai naib juara kumpulan perlu bertanding dalam perlawanan play off dimana dimenangi Iran dengan agregat 4-0. Iran pula perlu menentang wakil Eropah dalam satu lagi perlawanan play off dimana Iran tewas kepada Ireland dengan agregat 1-2.

Piala Dunia 2002 menampilkan Korea Selatan dan Jepun sebagai tuan rumah bersama telah layak secara automatik, diikuti Arab Saudi dan China sebagai wakil Asia.

Kelayakan Piala Dunia 2006



Memandangkan ranking FIFA Malaysia sebelum ini agak baik, Malaysia terus masuk ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia. Namun, Malaysia mendapat tempat terakhir Kumpulan 4 di belakang Kuwait, China dan Hong Kong.

Dalam pusingan ke-3, Arab Saudi sebagai juara kumpulan 1 telah layak ke Piala Dunia 2006 diikuti dengan Korea Selatan. Manakala dalam kumpulan 2 pula, Jepun sebagai juara kumpulan layak ke Piala Dunia 2006 diikuti Iran.

Tempat ke-3 setiap kumpulan pula iaitu Uzbekistan dan Bahrain perlu ke pusingan ke-4 iaitu perlawanan play off dimana telah dimenangi Bahrain berdasarkan "away goal" setelah terikat dengan agregat 1-1. Walaubagaimanapun, Bahrain tewas dalam perlawanan play off lain menentang wakil Concacaf iaitu Trinidad and Tobago dengan agregat 1-2.

Jadi, hanya Arab Saudi, Jepun, Korea Selatan dan Iran saja yang layak ke Piala Dunia 2006 sebagai wakil Asia.

Kelayakan Piala Dunia 2010


Akibat ranking FIFA yang rendah Malaysia dijadualkan bertemu Bahrain dalam pusingan pertama dan telah tewas dengan Bahrain agregat 1-4.

Australia telah layak ke Piala Dunia 2010 sebagai juara kumpulan A dalam pusingan ke-4 diikuti dengan Jepun. Manakala dalam kumpulan B pula, Korea Selatan telah layak ke Piala Dunia 2010 diikuti dengan Korea Utara.

Tempat ke-3 setiap kumpulan pula iaitu Bahrain dan Arab Saudi masing-masing harus bertemu dalam pusingan ke-5 iaitu perlawanan play-off yang telah dimenangi oleh Bahrain secara "away goal" setelah terikat dengan agregat 2-2.

Bahrain yang telah menang pula harus bertemu dengan wakil Oceania iaitu New Zealand dalam satu lagi perlawanan play-off dimana telah dimenangi oleh New Zealand dengan agregat 0-1.

Jadi, wakil Asia yang layak ke Piala Dunia 2010 ialah Australia, Korea Selatan, Jepun dan Korea Utara.

Kelayakan Piala Dunia 2014

Sekali lagi akibat ranking FIFA yang rendah, Malaysia harus bertemu Chinese Taipei dalam pusingan pertama dimana Malaysia bernasib baik untuk layak ke pusingan kedua berdasarkan "away goal" setelah terikat dengan agregat 4-4. Dalam pusingan ke-2, Malaysia kecundang kepada Singapura dengan agregat 4-6.


Iran dan Jepun telah layak ke Piala Dunia 2014 masing-masing sebagai juara kumpulan dalam pusingan ke-4 manakala Korea Selatan dan Australia masing-masing sebagai naib juara kumpulan turut layak.

Tempat ke-3 dalam kumpulan masing-masing iaitu Uzbekistan dan Jordan harus berentap dalam pusingan ke-5 ataupun perlawanan play off dimana memihak kepada Jordan yang menang menerusi penentuan penalti 9-8 setelah terikat dengan agregat 2-2.

Walaubagaimanapun, Jordan gagal untuk layak ke Piala Dunia 2014 setelah dibenam oleh wakil Amerika Selatan, Uruguay dengan agregat 0-5.

Kelayakan Piala Dunia 2018

FIFA telah menggabungkan Kelayakan Piala Dunia 2018 bersama-sama dengan Kelayakan Piala Asia 2019. Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A di belakang UAE, Arab Saudi, Palestine dan Timor Leste. Hanya pasukan teratas dan 4 pasukan kedua terbaik sahaja akan layak ke pusingan ke-3 kelayakan Piala Dunia 2018

Baca : Kelayakan Piala Dunia 2018


Berdasarkan sejarah pusingan kelayakan Piala Dunia yang Malaysia sertai, kita dah boleh menilai betapa merosotnya prestasi pasukan kebangsaan. Ternyata ranking FIFA yang baik sedikit sebanyak akan memberikan kelebihan kepada pasukan negara ketika undian dibuat.

Dahulu Malaysia mampu menyaingi pasukan seperti Korea Selatan, tetapi kini terlalu jauh jurang perbezaan antara kedua-dua pasukan. Pasukan Jepun juga hanya pada sekitar tahun 1980-an bangkit dalam sukan bolasepak.

Tidaklah mengharapkan sesuatu yang tinggi dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018, tetapi sekurang-kurangnya keputusan yang munasabah adalah memadai dan bukannya menjadi pasukan belasahan seolah-olah Malaysia baru setahun jagung dalam sukan bolasepak.

Ayuh Malaysiaku!!!









Monday, September 7, 2015

Pelaksanaan Kutipan Tol Elektronik Menggunakan PLUSMiles, Touch N Go dan Smart Tag Bermula 9 September 2015



Kepada pengguna tegar highway atau lebuhraya, bermula waktu tengahari 9 September 2015 tiada lagi bayaran tol tunai akan dikenakan pada 12 plaza tol seperti berikut :-

1) Plaza Tol Jitra (PLUS)
2) Plaza Tol Bukit Kayu Hitam (PLUS)
3) Plaza Tol Lunas (BKE - Lebuhraya Kulim Butterworth)
4) Plaza Tol Kubang Semang (BKE)
5) Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang
6) Plaza Tol Gombak (KLK)
7) Plaza Tol Bentong (KLK)
8) Plaza Tol Dato' Keramat (AKLEH)
9) Plaza Tol Ayer Panas (DUKE)
10) Plaza Tol Sentul Pasar (DUKE)
11) Plaza Tol Batu (DUKE)
12) Plaza Tol Lebuhraya SMART

Kesemua bayaran tol akan dibuat berdasarkan kutipan elektronik menggunakan kad PLUSMiles, Touch N Go atau Smart Tag. Pengguna Smart Tag boleh guna kedua-dua lorong Touch N Go dan Smart Tag manakala pengguna kad PLUSMiles dan Touch N Go hanya boleh guna lorong Touch N Go saja.



Jadi kepada sesiapa yang belum ada mana-mana kad atau alat yang dinyatakan di atas, jangan tangguh lagi dan cepat-cepat dapatkan kad Touch N Go anda sekarang. Pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga ada sediakan perkhidmatan 24 jam untuk Tambah Nilai ataupun jualan kad Touch N Go kepada mereka yang memerlukan.

Kadang-kadang hanya disebabkan kita tidak "alert" atau kita tak ambil tahu tentang perubahan sebegini akan menyebabkan kesesakan jalan raya yang tidak diingini di Plaza Tol yang mana sudah pasti boleh dielakkan kalau kita waspada.



Sekiranya berjalan lancar, kutipan tol secara elektronik ni juga akan mengurangkan kadar kesesakan di Plaza Tol dan juga di lebuh raya. Tapi sedar tak sedar, kita pun tak tahu apa dah jadi dengan nasib pekerja-pekerja tol mulai 9 September 2015? Adakah mereka ditempatkan di bahagian lain? Ataupun adakah mereka diberhentikan? Takpe, mungkin rezeki mereka ada di tempat lain.



Jadi, kita sebar-sebarkanlah berita ini kerana mungkin di luar sana ramai yang masih tak "alert" dengan perubahan ni. Nampak macam hal kecik jer kan? Tapi percayalah, kesesakan jalan raya atau kemalangan kecil mungkin akan berlaku disebabkan tersalah lorong, nak tukar lorong di Plaza Tol dan macam-macam lagi.

Yang dah ada kad elektronik ni pulak... kadang-kadang lain pulak halnya.... Tak top up lagi lah, tak cukup baki lah dan macam-macam ragam lagi. Selagi boleh elak... kita elakkan lah ye....



Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...