Showing posts with label JDT. Show all posts
Showing posts with label JDT. Show all posts

Thursday, June 29, 2017

Pemain Import Baru Liga Super 2017 - Hanya Kedah Kekal Dan Percaya Dengan Pemain Import Mereka



Liga Super Malaysia juga akan bersambung pada 1 Julai 2017. Setiap pasukan sedang membaiki kualiti pasukan bolasepak masing-masing agar menepati sasaran yang ditetapkan. Beberapa pemain baru telah diambil termasuk juga pemain import dan ada juga pemain yang disingkirkan.


Johor Darul Ta'zim

Gonzalo Cabrera dan Marcos Antonio kekal sebagai pemain import JDT. Pada awal musim Jeronimo Barrales telah diturunkan ke JDT II manakala Gabriel Guerra telah dinaikkan ke JDT. Khidmat penyerang Argentina warganegara Iraq, Brian Ferreira telahpun ditamatkan.

Mohammed Ghaddar - penyerang prolifik Lubnan

Sebagai ganti JDT telah membeli penyerang import prolifik Lubnan, Mohammad Ghaddar dari Kelantan. Mohammed Ghaddar mula bermain di Liga Malaysia sejak musim 2012-2013.


Pahang

Matheus Alves, Mohamadou Sumareh dah Heo Jae-Won terus berkhidmat dengan Pahang untuk musim 2017 ini. Pahang terpaksa melepaskan Bright Dike yang bergelut dengan prestasi sendiri.

Yamil Romero dan Carlos Tevez di Boca Juniors

Sebagai ganti Pahang mendapatkan khidmat Yamil Romero dari pasukan simpanan Boca Juniors. Tapi... apa kaitan pemain tengah menyerang dari Argentina ini dengan penjaga gol Manchester United, Sergio Romero?


Kedah

Kedah mengekalkan keempat-empat pemain import mereka.


Perak TBG

Mehmet Durakovic mengekalkan Thiago Junio dan Yashir Pinto bagi menghadapi baki saingan Liga Super Malaysia 2017. Pemain yang dipilih mendiang Karl Henz Weigang iaitu Faton Toski dan Valdislav Mirchev dilepaskan Perak TBG. Pemain import baru mereka ialah :-

Gilmar - bekas penyerang berbisa Kelantan

i) Gilmar Jose da Silva Filho - penyerang dari Brazil yang pernah bermain untuk Kelantan dan Sarawak
ii) Leandro Dos Santos Oliveira - pemain sayap dari Brazil yang pernah bermain untuk T-Team dan Selangor


Selangor

Hanya Francis Forkey Doe dan Ugo Ukah kekal dengan Selangor. Seperti yang dijangka khidmat Victoras Astafei tidak diperlukan apabila Andik Vermansyah pulih dari kecederaan manakala pemain tengah Juliano Mineiro juga mengalami nasib yang sama. Pemain import baru Selangor ialah :-

Rufino semasa bersama Atletico Madrid

i) Andik Vermansyah - pemain sayap Indonesia kembali bermain untuk Selangor setelah berehat lama akibat kecederaan panjang
ii) Rufino Segovia del Burgo - bekas penyerang Kitchee SC ini berpengalaman luas dalam Liga Sepanyol termasuk bermain untuk pasukan remaja Rayo Vallecano, Atletico Madrid dan Valladolid.


Felda United

Hanya Zah Rahan Krangar dikekalkan bersama Felda United oleh B Sathianathan. Penyerang Gaston Cellerino, pemain muda Lucas Cano dan pertahanan Mootaz Junaidi telah dilepaskan. Sebagai ganti Felda United telah mengambil pemain berikut :-

Dino Djulbic ketika bermain dengan pasukan kebangsaan Australia

i) Thiago Augusto - penyerang berbahaya dari Brazil ini kembali bersama Felda United setelah dipinjamkan ke Kedah pada musim lepas.
ii) Dino Djulbic - pertahanan veteran dari Australia keturunan Bosnia ini berpengalaman luas dalam Liga Australia, Liga Jerman, Liga China dan Liga UAE.
iii) Ifedayo Olusegun - penyerang sayap dari Nigeria yang pernah bermain di Liga Bahrain


T-Team

T-Team mengekalkan Abdoulaye Maiga, Dilshod Sharofetdinov dan Mamadou Samassa sebagai pemain import mereka. Penyerang Uzbekistan Farhod Tadjiyev disingkirkan dan sebagai ganti mereka mendapatkan bekas penyerang kebangsaan Cameroon, Yannick N'Djeng yang berpengalaman bermain dalam liga Afrika seperti di Algeria dan Tunisia.

Yannick N'djeng (kanan) mewakili Cameroon ketika menentang Congo

Kelantan

Morgaro Gomis dan Mamadou Danso kekal sebagai pemain import Kelantan. Penjaring terbanyak Mohammed Ghaddar telah berhijrah ke JDT manakala Alessandro Celin cuba untuk dijual. Pemain import baru Kelantan ialah :-

Bako dalam perlawanan pertamanya menentang Pulau Pinang


i) Abou Bakr Al-Mel - penyerang muda Lubnan yang dikenali sebagai "Bako" ini dicadangkan oleh Mohammed Ghaddar
ii) L'Imam Seydi - penyerang tegap Senegal kelahiran Perancis yang pernah bermain di Liga Slovakia, Liga Hungary, Liga Azerbaijan dan Liga Malta.

* L'Imam Seydi gagal didaftarkan sebagai pemain import Kelantan kerana sekatan pendaftaran pemain import akibat isu tunggakan gaji pemain masih berkuatkuasa.
* Kelantan mendaftarkan semula Alessandro Celin setelah gagal mendaftarkan L'Imam Seydi


PKNS

Setakat ini Gonzalo Soto, Lucas Espindola dan Matias Hadwa tidak akan bermain untuk PKNS manakala Patrick Wleh masih kekal. Pemain import baru PKNS ialah :-

Fabio Ferreira - bekas anak didik Jose Mourinho

i) Fabio Ferreira - pemain sayap dari Portugal ini bernah bermain dengan pasukan remaja Sporting Lisbon dan kemudian dibawa oleh Jose Mourinho untuk bersama pasukan remaja Chelsea. Fabio Ferreira berpengalaman luas bermain di Liga Australia.
ii) Park Kwang-il - pemain tengah dari Korea Selatan ini pernah bermain di Liga India dan berpengalaman luas bermain di Liga Jepun.
iii) Abdou Jammeh - bekas pemain pertahanan kebangsaan Gambia yang pernah bermain di Liga Tunisia, Liga Rusia, Liga Belgium, Liga Cyprus, Liga Kuwait, Liga Gambia, Liga Finland dan Liga Qatar.


Sarawak 

Demerson dan Mateo Roskam kekal sebagai pemain import Sarawak. Bintang Filipina Mark Hartmann telah berhijrah ke Pulau Pinang, manakala pemain Korea Lee Jong Ho telah ditamatkan kontrak. Pemain import baru Sarawak ialah :-

Sahil Suhaimi - bintang muda Singapura yang mencuba nasib di Burnley FC

i) Milos Raickovic - bekas pemain remaja Montenegro berusia 23 tahun yang bermain di posisi tengah. Sebelum ini bermain dengan kelab Buducnost dalam Liga Montenegro.
ii) Sahil Suhaimi - penyerang muda Singapura dari kelab Tampines Rovers. Pernah bersama dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Burnley FC untuk tempoh percubaan tapi gagal untuk mendapatkan kontrak.


Melaka United

Hanya Jeon Woo-young kekal sebagai pemain import Melaka United. Pertahanan berpengalaman Godwin Antwi, penyerang Sergio Ezequiel Aguero dan Ilija Spasojevic telah ditunjukkan jalan keluar oleh Melaka United. Pemain import baru mereka ialah :-

Jasmin Mecinovic (6) ketika bersama pasukan remaja Macedonia

i) Jasmin Mecinovic - Pertahanan tinggi lampai, bekas pemain remaja Macedonia ini pernah bermain di Liga Macedonia, Liga Moldova, Liga Norway, Liga Hungary dan Liga Armenia.
ii) Felipe Almeida de Souza - pemain tengah menyerang dari kelab Brazil, Oeste FC
iii) Marko Simic - bekas penyerang Negeri Sembilan dari Croatia


Pulau Pinang

Zainal Abidin Hassan hanya mengekalkan Nigel Dabinyaba sebagai pemain import Pulau Pinang. Diogo Ferreira dan Andy Russell telah ditamatkan kontrak mereka manakala Reinaldo Lobo akan direhatkan. Pemain import baru Pulau Pinang ialah :-

Brandon McDonald (14) berentap dengan penyerang India Robin Singh

i) Mark Hartmann - penyerang Filipina ini berhijrah dari Sarawak
ii) Brandon McDonald - pertahanan Guam ini berasal dari Amerika Syarikat, berpengalaman luas di Liga Amerika Syarikat dan pernah bermain di Liga Sweden dan Liga Thailand.
iii) Sanna Nyassi - pemain tengah Gambia warganegara Amerika Syarikat yang berpengalaman luas di Liga Amerika Syarikat


Semoga dengan kehadiran pemain import baru ini akan merancakkan semula kancah bolasepak tempatan yang akan bersambung pada bulan Julai 2017 nanti. Kualiti dan profesional mereka diperlukan untuk diserapkan dalam pasukan Liga Super Malaysia.




Monday, February 13, 2017

Kenali Lawan JDT dan Felda United Dalam Piala AFC 2017



Piala AFC datang lagi... kali ini dengan format baru yang lebih kompetitif untuk tahun 2017. Pasukan-pasukan yang bertanding dibahagikan kepada 5 zon iaitu Zon Asia Barat, Zon Asia Tengah, Zon Asia Selatan, Zon Asia Tenggara dan Zon Asia Timur. Dari segi ranking, Malaysia adalah di belakang Vietnam setelah Indonesia menarik diri dalam Zon Asia Tenggara.

Juara bertahan, Al-Quwa Al-Jawiya (Iraq) tampil untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka tahun lepas setelah menewaskan Bengaluru FC (India) 1-0 di perlawanan akhir Piala AFC 2016.

Hasrat Kedah untuk bermain dalam Piala AFC 2017 sebagai "standby team" dari Malaysia tidak kesampaian apabila JDT gagal melayakkan diri ke peringkat kumpulan Liga Juara Asia 2017 setelah tewas kepada Gamba Osaka (Jepun) dengan jaringan 3-0 pada perlawanan play off.

Dua pasukan dari Malaysia yang bertanding untuk Piala AFC 2017 ialah JDT dan Felda United. JDT diletakkan dalam kumpulan F bersama-sama Magwe (Myanmar), Global (Filipina) dan Boeung Ket Angkor FC (Kemboja) manakala Felda United diletakkan dalam kumpulan G bersama-sama Hanoi T&T (Vietnam), Tampines Rovers (Singapura) dan Ceres-Negros (Filipina).


Siapa Magwe?

Magwe juga dikenali sebagai Magway FC. Ini ialah penampilan pertama Magwe dalam Piala AFC 2017 sebagai pemenang Piala Jeneral Aung San 2016. Dalam Liga Myanmar musim lepas pula, Magwe mendapat tempat ke-3.

Beberapa orang pemain tempatan Magwe beraksi dengan skuad kebangsaan Myanmar seperti penjaga gol, Kyaw Zhin Pyo, pemain pertahanan Nanda Kyaw dan Kyaw Zin Lwin. Magwe cuma menggunakan khidmat 3 orang pemain import sahaja iaitu pemain tengah kiri, Michael Henry Alloysius (Nigeria), penyerang Sylla Seikou (Guinea) dan pemain pertahanan baru, Jean Hilako (Mali).

Nanda Kyaw ialah ketua pasukan Myanmar semasa kejohanan
Piala Dunia bawah 20 tahun di New Zealand 2 tahun lepas


Siapa Global?

Ini ialah penampilan kali ke-2 Global dalam kempen Piala AFC. Global tampil sebagai juara berganda Filipina dan layak juga ke kelayakan Liga Juara Asia sebelum dibelasah Brisbane Roars (Australia) dengan jaringan 6-0.

Global menamakan pemain import seperti pertahanan kanan Louis Serge Kaole (Cameroon) untuk kempen Piala AFC 2017. Selain itu Global juga baru saja mendapatkan 2 orang pemain import baru dari Liga Australia iaitu Shu Sasaki (Jepun) dari kelab B. Spartans dan Ahamad Azzawi (Jepun/Iraq) dari kelab Capalaba Bulldogs.

Pemain Iraq warganegara Jepun, Ahamad Azzawi menewaskan Izwan Mahbud (Tampines Rovers)

Seperti biasa Filipina terkenal dengan lambakan pemain naturalisasi seperti Mark Winhoffer dan Charley Pettys (kedua-duanya dari USA), Paul Mulders (Belanda), Nick O'Donnell (Kanada), Hikaru de Asis Minegeshi (Jepun), Matthew Hartmann (England), Dennis Villanueva (Itali), Andreas Esswein (Jerman) dan Misagh Bahadoran (Iran).

Siapa Boeung Ket Angkor?

Boeung Ket Angkor dahulunya dikenali sebagai Boeung Ket Rubber Field ialah kelab bolasepak yang terletak di Kampung Cham, Kemboja yang mempunyai ramai etnik Melayu Champa beragama Islam di situ. Ini adalah penampilan kali pertama mereka dalam kejohanan Piala AFC dan mereka tampil atas tiket juara Liga Kemboja 2016 dan melepasi pusingan playoff dengan menewaskan naib juara Liga Laos, Lao Toyota dengan agregat 2-1.

Kali ini mereka agak kurang berbisa kerana pemain muda bintang mereka, Chan Vathanaka yang menjaringkan 2 gol ketika menentang Malaysia dalam Piala AFF Suzuki tahun lepas, telah dipinjamkan ke kelab divisyen 3 Jepun, Fujieda MYFC. Namun ketua pasukan mereka yang berpengalaman, Khuon Laboravy akan mengetuai jentera serangan bersama-sama tonggak import dari Brazil, Maycon Silva Calijuri.

Ly Mizan - anak muda Kampung Cham yang semakin meningkat naik

Di bahagian tengah dan sayap, 2 tonggak import dari Jepun iaitu Hikaru Mizuno dan Tomoki Muramatsu memainkan peranan penting. Selain beberapa tonggak pasukan kebangsaan Kemboja dalam skuad ini, kelibat pemain muda anak tempatan seperti Ly Mizan, Ly Vahed dan Seth Rosib pasti dinanti-nantikan oleh peminat mereka.

Baca : Piala AFC 2016 - Kenali Lawan JDT Dan Selangor



Siapa Hanoi T&T?

Hanoi T&T ialah juara Liga Vietnam pada musim lepas. Hanoi T&T tak pernah terlepas daripada 2 tangga teratas dalam Liga Vietnam. Hanoi T&T bermain dalam Piala AFC apabila dikejutkan Kitchee (Hong Kong) dalam perlawanan kelayakan Liga Juara Asia 3-2 selepas masa tambahan.

Pemain import yang bermain untuk Hanoi T&T ialah Gonzalo Marronkle (Argentina) sebagai ketua pasukan. Pemain ini bergandingan dengan pemain naturalisasi iaitu Hoang Vu Samson atau Samson Olaleye (Vietnam/Nigeria) membentuk jentera serangan berbisa Hanoi T&T. Moses Oloya (Uganda) menggerakkan jentera tengah Hanoi T&T manakala Alvaro Silva (Filipina/Sepanyol) kental di bahagian pertahanan.

Samson sentiasa berharap untuk mewakili Vietnam suatu hari nanti

Pemain tempatan yang perlu diberikan perhatian ialah pertahanan berpengalaman, Nguyen Van Bien dan juga pemain muda yang sedang meningkat naik iaitu Nguyen Van Quret yang beraksi di bahagian tengah dan serangan. Pemain sayap Pham Thanh Lurong pula telah menggantungkan boot untuk pasukan kebangsaan Vietnam.


Siapa Tampines Rovers?

Ini adalah penampilan kali ke-9 Tampines Rovers dalam kempen Piala AFC. Tampines Rovers telah diberikan satu slot kelayakan ke Liga Juara Asia sebelum ini tetapi telah ditewaskan Global (Filipina) dalam pusingan kelayakan dengan jaringan 2-0. Tampines Rovers ialah naib juara Liga Singapura musim lepas di belakang Albirex Niigata, kelab Jepun yang berpengkalan di Singapura.

Tampines Rovers merekrut bekas penyerang dan kapten Croatia bawah 17 tahun, Ivan Jakov Dzoni, graduan universiti yang baru habis belajar iaitu Ryutaro Megumi (Jepun) dan juga bekas pemain import serba boleh dari kelab Ceres-Negros iaitu Son Yong Chan (Korea Selatan). Tampines Rovers juga baru mendapatkan Raspreet Sandhu (USA), graduan universiti yang baru saja tamat belajar. Raspreet Sandhu dalam proses untuk dinaturalisasikan kerana ayahnya berasal dari Singapura.

Ivan Jakov Joni (No 9) dalam perlawanan menentang Belanda

Tampines Rovers kehilangan Hafiz Sujad yang telah berhijrah ke kelab divisyen 2 Thailand serta beberapa orang pemain tempatan seperti Izzdin Shafiq dan Afiq Yunos. Namun, pengganti mereka bukan calang-calang orangnya seperti Daniel Bennett, Madhu Mohana dan Khairul Amri.


Siapa Ceres-Negros?

Ceres-Negros juga dikenali sebagai Ceres La Salle atau Ceres FC membuat penampilan kali ke-3 Piala AFC sebagai naib juara Liga Filipina. Ceres FC nampak serius musim ini dengan kehadiran beberapa orang pemain baru yang berkaliber.

Pemain sayap, Bienvenido Maranon (Sepanyol) kekal sebagai pemain import mereka. Pemain import baru pula ialah Kota Kawase (Jepun) dari divisyen 2 Liga Australia serta Manuel Hererra Lopez (Sepanyol) dan Fernando Rodriguez (Sepanyol) kedua-duanya dari divisyen 2 Liga Sepanyol.

Pemain baru lain pula ialah pemain naturalisasi seperti Simone Rota (Itali), OJ Porteria (USA), 3 orang pemain kacukan Belanda iaitu Jason de Jong, Jim Junior Munoz dan Joshua Grommen, pemain kacukan Soctland-Filipina warganegara Australia iaitu Iain Ramsay dan juga penjaga gol kacukan Jerman dari kelab Switzerland Servette FC iaitu Roland Muller.

Roland Muller semasa bersama Servette FC

Selain pemain baru, pemain lama sedia ada juga hampir semua ialah pemain naturalisasi seperti Manuel Ott, Kevin Ingresso dan Patrick Reichelt (kesemuanya dari Jerman), Jeffrey Christiaens (Belgium), Martin Steuble (Switzerland) dan Carli de Murga (Sepanyol).



Peluang JDT untuk ke peringkat kalah mati agak cerah memandangkan lawan JDT agak kurang pengalaman berbanding lawan Felda United seperti Hanoi T&T yang lebih berpengalaman dalam pentas bolasepak kelab Asia.

Semoga kehadiran JDT dan Felda United dalam Piala AFC 2017 kali ini bukan sekadar pelengkap pasukan dan jadual kejohanan, sebaliknya benar-benar serius untuk menaikkan nama pasukan masing-masing dan juga nama negara

Ayuh... Ayuh... JDT dan Felda United!





Thursday, February 2, 2017

Pemain Import Liga Super 2017 - Tiada Pemain Import Lama Yang Kekal Di Sarawak Dan Pahang



Sepakmula Liga Super Malaysia 2017 telahpun bermula sejak 21 Januari 2017. Kelibat pemain-pemain import baru kali ini sangat ramai dan hanya beberapa orang pemain import lama saja yang dikekalkan. Pendatang baru seperti Melaka United dan PKNS juga tidak kurang hebatnya.


Johor Darul Takzim

JDT mengekalkan Marcos Antonio (Brazil) sebagai pemain import mereka. Pemain import baru JDT ialah :-

1) Gonzalo Cabrera (Argentina) - bekas pemain remaja Boca Juniors, pemain sayap berpengalaman dan pernah bermain dalam Liga Argentina, Liga Colombia, Liga Cyprus, Liga Romania dan Liga Arab Saudi
2) Jeronimo Barrales (Argentina) - penyerang tegap yang pernah bermain dalam Liga Argentina, Liga Sepanyol, Liga Chile, Liga Greece dan Liga Turki. Sama pasukan dengan Nico Gonzalez (JDT II) semasa di Asteras Tripolis (Greece)
3) Brian Ferreira (Iraq/Argentina) - bekas pemain remaja Argentina yang menjaringkan gol menarik ketika menentang Jepun dalam Piala Dunia bawah 17 tahun. Masih berusia 22 tahun dah telah mewakili beberapa kelab ternama dalam Liga Argentina.

Brian Fereirra (tengah) cuba melepasi halangan pemain Uruguay

* Hariss Harun (Singapura) - pemain tengah ini tidak didaftarkan dan dalam proses untuk dipinjamkan samada dengan kelab Jepun atau kelab Portugal

Edit 2.2.2017 - Hariss Harun sah dipinjamkan ke kelab CE L'Hospitalet iaitu kelab Sepanyol di Segunda Divisyen B (Divisyen 3 Liga Sepanyol)


Felda United

Felda United mengekalkan khidmat Zah Rahan Krangar (Liberia) untuk musim baru ini. Pemain import baru Felda United ialah :-

1) Gaston Cellerino (Argentina) - bekas pemain remaja Boca Juniors, penyerang berpengalaman yang mempunyai kewarganegaraan Itali. Gaston Cellerino pernah bermain dalam Liga Argentina, Liga Peru, Liga Uruguay, Liga Itali, Liga Sepanyol, Liga Amerika Syarikat dan Liga Bolivia.
2) Lucas Cano (Argentina) - penyerang muda yang dipinjamkan dari kelab Argentinos Juniors
3) Mootaz Jounaidi (Lubnan) - Pertahanan kebangsaan Lubnan yang pernah bermain dalam Liga Lubnan, Liga UAE dan Liga Iraq

Gaston Cellerino (kiri) pernah bermain untuk Celta Vigo di Liga Sepanyol


Kedah

Kedah mengekalkan Liridon Krasniqi (Kosovo/Albania) sebagai pemain import mereka. Pemain import baru Kedah ialah :-

1) Sandro Mendonca (Brazil) - Kembali didaftarkan sebagai pemain import setelah pulih dari kecederaan yang panjang. Penyerang berpengalaman yang pernah main dalam Liga Brazil, Liga Turki dan Liga Korea Selatan.
2) Ken Ilso Larsen (Denmark) - penyerang prolifik yang pernah bermain dalam Liga Belanda, Liga Denmark, Liga Jerman, Liga China dan Liga Singapura.
3) Zachary Michael Anderson (Australia) - Pertahanan tinggi lampai yang pernah bermain dalam Liga Australia dan Liga UAE

Ken Ilso semasa di zaman kemuncaknya bersama Fortuna Dusseldorf di Liga Jerman


Kelantan

Morgaro Gomis (Perancis/Senegal) kekal sebagai pemain import Kelantan. Pemain import baru Kelantan ialah : -

1) Mamadou Danso (Gambia) - Pertahanan berpengalaman dari Liga Amerika Syarikat
2) Alessandro Celin (Brazil) - penyerang ini juga mempunyai kewarganegaraan Itali dan pernah bermain di Liga Korea Selatan, Liga Hong Kong, Liga Ukraine, Liga Itali dan Liga Romania
3) Mohammed Ghaddar (Lubnan) - penyerang pengalaman Lubnan ini kembali bermain untuk Kelantan. Di Malaysia Mohammed Ghaddar juga pernah bermain untuk Felda United. Pemain ini pernah menabur bakti di Liga Lubnan, Liga Bahrain, Liga Mesir, Liga Syria, Liga Jordan dan Liga Iraq

Alessandro Celin (kanan) ketika mewakili Juve Stabia dalam Liga Itali


* Okiki Afolabi (Nigeria) - bekas penyerang remaja Nigeria ini pernah bermain di Liga Argentina. Pemain ini terpaksa disingkirkan sebelum sepakmula akibat masalah kecederaan dan kesihatan
* Cedric Djeugoue (Cameroon) - pertahanan muda ini juga disingkirkan sebelum sepakmula disebabkan masalah dokumen pendaftaran pemain.


Selangor

Ugo Ukah (Itali/Nigeria) kekal sebagai pemain import Selangor. Pemain import baru Selangor ialah :-

1) Victoras Astafei (Romania) - pemain sayap dari Liga Romania ini juga pernah bermain di Liga Turki
2) Francis Forkey Doe (Liberia) - Forkey Doe kembali bermain untuk Selangor. Di Malaysia, Forkey Doe pernah juga bermain untuk Terengganu, Kelantan, NS Matrix dan Felda United. Sebelum bermain di Malaysia, Forkey Doe bermain di Liga Amerika Syarikat, Liga Greece dan Liga Mesir.
3) Juliano Mineiro (Timor Leste/Brazil) - Pemain tengah naturalisasi Timor Leste dan juga bekas pemain remaja Fluminese. Berpengalaman main dalam Liga Brazil, Liga Portugal, Liga Arab Saudi, Liga Thailand dan Liga Jepun.

Juliano Mineiro semasa muda dengan jersi Fluminese

* Andik Vermansyah (Indonesia) - pemain sayap ini masih lagi bersama Selangor dan direhatkan akibat masalah kecederaan panjang. Pemain ini hanya akan didaftarkan sebagai pemain import setelah pulih dari kecederaan dan jika mana-mana pemain import lain ditamatkan kontrak akibat masalah prestasi.


Perak TBG

Thiago Junio (Brazil) kekal sebagai pemain import Perak. Pemain import baru Perak ialah :-

1) Faton Toski (Kosovo/Jerman) - bekas pemain tengah remaja Jerman ini adalah produk akademi bolasepak Frankfurt. Selain Liga Jerman, pemain ini juga pernah bermain dalam Liga Albania.
2) Vladislav Mirchev (Bulgaria) - bekas penyerang remaja Bulgaria ini berpengalaman main di Liga Bulgaria, Liga Belarus, Liga Itali, Liga Belgium, Liga Kazakhstan, Liga Cyprus dan Liga Maldives.
3) Yashir Pinto Islame (Palestin/Chile) - penyerang Palestin ini pernah mewakili pasukan remaja Chile. Yashir Pinto bermain untuk pasukan Melaka United musim lepas. Sebelum ini Yashir Pinto bermain dalam Liga Chile, Liga Amerika Syarikat dan Liga Jerman.

Faton Toski (hitam) semasa mewakili Frankfurt cuba melepasi pemain-pemain Real Madrid


T-Team

Abdoulaye Maiga (Mali) dan Dilshod Sharofetdinov (Uzbekistan) kekal sebagai pemain import T-Team. Pemain import baru T-Team ialah :-

1) Mamadou Samassa (Mali) - penyerang kebangsaan Mali ini pernah bermain untuk pasukan remaja Perancis dan merupakan produk akademi bolasepak Le Mans di Perancis. Selain di Liga Perancis, Mamadou Samassa pernah juga bermain di Liga Itali.
2) Farhod Tadjiyev (Uzbekistan) - Penyerang Uzbekistan ini kembali mewakili T-Team, pasukan yang dibantunya naik ke Liga Super satu ketika dahulu. Selain di Liga Uzbekistan, pemain ini juga pernah bermain di Liga China.

Mamadou Samassa mewakili Mali berentap dengan pemain Afrika Selatan
semasa kejohanan Piala Bangsa Afrika 2013


Sarawak

Sarawak menampilkan 4 orang pemain import baru musim ini iaitu :-

1) Demerson (Brazil) - pemain pertahanan berpengalaman ini mewakili beberapa kelab di Liga Brazil dan pernah juga bermain di Liga China
2) Lee Jong-ho (Korea Selatan) - Ini bukannya Lee Jong-ho yang bermain dengan Jeonbuk Hyundai Motors musim lepas. Tetapi ini ialah Lee Jong-ho bekas pemain penyerang remaja Paris St Germain dan pernah bermain di Liga Korea Selatan dan Liga Kemboja.
3) Mateo Roskam (Croatia) - seorang lagi penyerang berpengalaman yang pernah bermain untuk Sime Darby di Malaysia. Sebelum ini Mateo Roskam bermain dalam Liga Croatia, Liga Sepanyol, Liga Bosnia dan Liga Singapura.
4) Mark Hartmann (Filipina/England) - penyerang kacukan Inggeris-Filipina ini pernah bersama dengan pasukan remaja Porstmouth dan Swindon Town di Liga Inggeris. Pemain ini juga bermain di Liga Filipina dan juga Liga Singapura.

Lee Jong Ho - penyerang berpengalaman


Pahang

Pahang menampilkan 4 orang muka baru sebagai pemain import iaitu :-

1) Bright Dike (Nigeria/USA) - Penyerang Nigeria warganegara Amerika Syarikat ini pernah juga bermain di Liga Rusia selain di Liga Amerika Syarikat
2) Mohamadou Sumareh (Gambia) - Bekas pemain tengah Terengganu, PDRM dan Perlis. Desas-desus mengatakan pemain ini bakal dinaturalisasikan kerana telah bermain selama 5 tahun dalam Liga Malaysia
3) Matheus Alves Leandro (Brazil) - penyerang muda ini dipinjamkan dari kelab Fluminese, Brazil. Selain bermain di Liga Brazil, Matheus Alves juga pernah juga dipinjamkan ke kelab Perancis, kelab Finland dan kelab Korea Selatan.
4) Heo Jae-won (Korea Selatan) - pertahanan berpengalaman yang pernah bermain di Liga Korea Selatan, Liga Qatar dan Liga UAE

Matheus Alves ketika dipinjamkan ke kelab FC Istres di Liga Perancis satu ketika dahulu


* Julius Oiboh (Nigeria) - penyerang yang pernah bermain dalam Liga Thailand dan Liga Kemboja ini disingkirkan sebelum sepakmula disebabkan masalah kesihatan
* Kiko Insa (Sepanyol) - pemain tengah berpengalaman ini pada mulanya didaftarkan sebagai pemain import tetapi telah berjaya dinaturalisasikan sebelum sepakmula. Kiko Insa mendapat kerakyatan Malaysia kerana bapanya lahir di Sabah. Kiko Insa ialah bekas pemain remaja Valencia dan pernah bermain dalam Liga Sepanyol, Liga Belgium, Liga Jerman, Liga Iceland, Liga Latvia, Liga Inggeris dan Liga Indonesia


Pulau Pinang

Reinaldo Lobo (Brazil) kekal sebagai pemain import Pulau Pinang. Pemain import baru Pulau Pinang ialah :-

1) Diogo Fereirra (Australia/Portugal) - bekas pemain tengah remaja Porto ini lahir di Australia. Sebelum ke Pulau Pinang, pemain ini bermain di Liga Portugal, Liga Australia dan Liga Indonesia.
2) Nigel Dabinyaba (Papua New Guinea) - penyerang sayap PNG ini juga pernah bermain di Liga Australia dan Liga New Zealand
3) Andy Russell (Hong Kong/England) - pemain pertahanan naturalisasi Hong Kong ini pernah bermain di Liga Inggeris dan Liga Hong Kong

Diogo Fereirra bersama skuad Olimpik Australia


Melaka United

Ilija Spasosevic (Montenegro) kekal sebagai pemain import Melaka United. Pemain import baru Melaka United ialah :-

1) Godwin Antwi (Ghana/Sepanyol) - bekas pertahanan remaja Liverpool ini pernah bermain dengan pasukan remaja Sepanyol. Selain di Liga Inggeris, Godwin Antwi pernah bermain di Liga Sepanyol, Liga Denmark, Liga Norway dan Liga Thailand. Di Malaysia, Godwin Antwi pernah bermain untuk DRB-Hicom.
2) Sergio Aguero (Argentina) - Ini bukan penyerang Manchester City mahupun penyerang utama Argentina. Ini ialah penyerang muda yang pernah bermain di Liga Argentina dan Liga Hungary
3) Jeon Woo-young (Korea Selatan) - pemain tengah bertahan dari Liga Korea Selatan

Godwin Antwi - bekas pemain remaja Liverpool


* Omid Nazari (Filipina/Iran) - bekas pemain tengah remaja Malmo FF dari Sweden ini terpaksa disingkirkan akibat masalah kesihatan dan kecergasan. Omid Nazari cuma pernah bermain di Liga Sweden dan Liga Filipina dan pernah juga menyarung jersi Iran dalam beberapa perlawanan persahabatan. Adiknya Amin Nazari lebih menyerlah dan sudah beberapa kali bermain untuk pasukan remaja Sweden.


PKNS

PKNS mengekalkan Gonzalo Soto (Argentina) dan Matias Jadue (Palestin/Chile) sebagai pemain import mereka. Pemain import baru PKNS ialah :-

1) Patrick Ronaldinho Wleh (Liberia) - Kembali bersama PKNS setelah dipinjamkan ke Selangor musim lepas. Selain bermain di Liga Liberia, penyerang tinggi lampai ini juga pernah bermain bersama Sime Darby
2) Lucas Espindola (Argentina) - penyerang muda ini pernah bermain di Liga Argentina dan Liga Honduras

Lucas Espindola dari All Boys Argentina



Diharapkan kualiti pemain import yang bermain dalam Liga Super Malaysia 2017 semakin baik berbanding musim lepas untuk merancakkan lagi kancah bolasepak Malaysia. Pasukan seperti JDT juga tidak mampu untuk mengekalkan pemain import terbaik mereka seperti Jorge Pereyra Diaz (masalah terma kontrak) dan Juan Martin Lucero (tawaran lumayan dan lebih baik dari kelab Mexico).

Baca : Pemain Import Liga Super Malaysia 2016








Monday, January 30, 2017

Kelayakan Liga Juara Asia 2017 - Satu Lagi Misi Mustahil JDT?



Sekejap jer masa berlalu dan bermulanya tahun baru 2017 untuk kempen bolasepak AFC. Juara Asia pada tahun 2016 adalah milik Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan) yang menewaskan Al-Ain (UAE) manakala juara Piala AFC 2016 ialah milih Al-Quwa Al-Jawiya atau dikenali sebagai Air Force (Iraq) yang telah menewaskan Bengaluru FC (India).



JDT sekali lagi adalah wakil tunggal negara dalam kempen kelayakan Liga Juara Asia 2017. Kempen kelayakan tahun 2017 tampak lebih sukar berbanding tahun 2016 kerana lawan yang bakal dihadapi ialah kelab dari Thailand dan Jepun.



Pusingan Awal Pertama Liga Juara Asia 2017

Pusingan ini hanya melibatkan satu perlawanan dimana Global FC (Filipina) telah menewaskan Tampines Rovers (Singapura) dengan jaringan 2-0

Pusingan Awal Kedua Liga Juara Asia 2017

Lawan JDT kali ini ialah pasukan Bangkok United (Thailand) yang merupakan naib juara Liga Thailand musim lepas dan membuat penampilan kali ke-2 dalam Liga Juara Asia. Kebanyakan perlawanan berlangsung pada 31 Januari 2017. Selain daripada perlawanan Bangkok United dan JDT, Yadanaborn (Myanmar) akan bertandang ke tempat Sukhotai (Thailand), Global (Filipina) akan bertandang ke Brisbane Roar (Australia), Bengaluru (India) akan bertandang ke Al-Wehdat (Jordan) dan Al-Hidd (Bahrain) akan bertandang ke Nasaf Qarshi (Uzbekistan).

Dalam perlawanan yang lebih awal di Hong Kong, Kitchee FC telah membuat kejutan apabila menewaskan pasukan pilihan Hanoi T&T (Vietnam) dengan jaringan 3-2 setelah masa tambahan. Ini bermakna pasukan Vietnam yang tewas ini akan sekumpulan dengan Felda United dalam peringkat kumpulan Piala AFC 2017.

Pusingan Play-Off Liga Juara Asia 2017

Sekiranya JDT berjaya menumpaskan Bangkok United, JDT bakal berhadapan dengan gergasi Asia iaitu pasukan Gamba Osaka (Jepun). Pasukan-pasukan besar lain yang ada dalam pusingan play-off ini ialah Ulsan Hyundai (Korea Selatan), Shanghai SIPG, Shanghai Shenhua (kedua-duanya China), Esteghlal (Iran) dan Bunyodkor (Uzbekistan).

Sekiranya berlaku keajaiban dan JDT mampu menewaskan Gamba Osaka, JDT akan layak ke peringkat kumpulan Liga Juara Asia 2017 dan akan bersaing dalam peringkat kumpulan dengan Adelaide United (Australia), Jiangsu Suning (China) dan Jeju United (Korea Selatan).


Siapa Bangkok United?

Kekuatan Bangkok United ternyata bergantung kepada pemain-pemain import mereka. Walaupun liga Thailand tidak dihabiskan pada musim lepas akibat kemangkatan raja Thailand, mendiang Raja Bhumibol Adulyadej, Bangkok United muncul naib juara dengan hanya 2 kekalahan sahaja.

Trio import mereka yang berbisa ialah Dragan Boskovic (Montenegro), Jaycee John (Bahrain) dan Mario Gjurovski (Macedonia). Dragan Boskovic muncul penjaring terbanyak Bangkok United walaupun bermain di posisi tengah menyerang diikuti penyerang naturalisasi Bahrain, Jaycee John yang berasal dari Nigeria. Mario Gjurovski adalah top assist dalam pasukan Bangkok United.

Bangkok United baru saja mendapatkan pertahanan import berprofil tinggi iaitu Yohan Tavares (Portugal) yang pernah bermain di Liga Perancis, Belgium dan Portugal. Selain itu, pemain tengah kebangsaan Thailand, Pokklaw Anan juga baru berpindah ke Bangkok United dari Chonburi.

Satu lagi fakta menarik Bangkok United ialah mereka mempunyai ramai pemain naturalisasi dalam skuad mereka seperti bekas pemain remaja USA, Anthony Petch Ampaipitakwong, pemain kacukan Sepanyol-Thai, Ernesto Amantegui Phumipha, bekas pemain remaja Wales dan Cardiff City, Mika Chunuonsee, pemain kacukan Jerman-Thai yang pernah bersama skuad remaja Stuttgart, Manuel Bihr dan yang terbaru ialah pemain kacukan Sweden-Thai, Oscar Kahl.


Mika Chunuonsee (no 15) bersama skuad Wales bawah 17 tahun.
Turut kelihatan Gareth Bale (no 6) dan Aaron Ramsey (no 10)
Anthony Ampaipitakwong ketika bersama pasukan San Jose Earthquakes di USA

Tidak lupa juga pemain pengalaman Bangkok United yang pernah menyertai akademi bolasepak di England seperti Everton dan Crystal Palace iaitu Teeratep Winothai dan Sompong Soleb. Adunan pelbagai kepakaran ini membuatkan Bangkok United sebuah pasukan yang unik.


Siapa Gamba Osaka?

Pada musim lepas Gamba Osaka cuma menduduki di tangga ke-4 liga. Gamba Osaka diterajui oleh legenda bolasepak Jepun yang beraksi di bahagian tengah iaitu Yasuhito Endo yang kini berumur 37 tahun. Pemain serba boleh Yasuyuki Konno yang berumur 34 tahun juga adalah watak penting di bahagian tengah.

Gamba Osaka akan terasa kehilangan bintang mereka iaitu Takashi Usami yang telah berhijrah ke Jerman bersama FC Ausburg. Sebelum ini Takashi Usami pernah dipinjamkan ke Bayern Munich dan Hoffenheim.

Takashi Usami telah berhijtah ke FC Augsburg di Jerman

Gamba Osaka juga berjaya mendapatkan Ademilson, penyerang Brazil dari Sao Paulo secara kekal yang sebelum ini cuma dipinjamkan. Pertahanan Brazil, Fabio juga baru berhijrah ke Gamba Osaka dari Yokohama F Marinos.

Antara pemain bernilai dalam skuad Gamba Osaka ialah Masaaki Higashiguchi (penjaga gol), Shu Kurata (sayap kiri), Daiki Niwa (pertahanan tengah) dan Hiroki Fujiharu (pertahanan kiri). Tidak lupa juga bintang muda yang sedang meningkat naik iaitu Yosuke Ideguchi yang mendapat anugerah "rookie of the year" untuk tahun 2016.

Yosuke Ideguchi (No 20)


Berbanding tahun lepas, misi JDT untuk ke juara Liga Asia tampak lebih sukar kali ini kerana bertemu dengan lawan yang lebih kuat, Namun, semuanya bakal ditentukan di atas padang walaupun di atas kertas sudah boleh ucapkan selamat tinggal kepada Liga Juara Asia.

Liga Juara Asia 2017 juga dikejutkan dengan ketiadaan Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan) selaku juara bertahan untuk mempertahankan kejuaraan akibat skandal rasuah. Tempat Jeonbuk Hyundai Motors diambil alih oleh Jeju United yang bakal menjadi lawan samada JDT, Bangkok United atau Gamba Osaka ini.

All the best JDT!








Tuesday, September 13, 2016

Suku Akhir Piala AFC 2016 - Tugas Sukar JDT Mempertahankan Kejuaraan



Pada 26 Mei 2016 telah selesai peringkat kalah mati Piala AFC 2016 dan 8 pasukan ke suku akhir telahpun diketahui

4 pasukan dari Asia Barat yang layak ialah Al-Muharraq (Bahrain), Al-Quwa Al-Jawiya (Iraq), Al-Ahed (Lubnan) dan Al-Jaish (Syria) manakala 4 pasukan dari Asia Timur yang layak ialah South China (Hong Kong), Bengaluru FC (India), Tampines Rovers (Singapura) dan juara bertahan JDT (Malaysia)


Asia Barat

Al-Muharraq (Bahrain)

Ini adalah penampilan kali ke-5 juara Liga Bahrain ini dalam kempen Piala AFC. Ismail Abdul Latif kekal sebagai penyerang berbisa Al-Muharraq dan juga skuad kebangsaan Bahrain. Penyerang import Sweden keturunan Bosnia, Admir Catovic telahpun kembali ke Sweden bersama dengan kelab Degerfors IF.

Ismail Abdul Latif berentap dengan Ashkan Dejagah dari Iran

Namun, Al-Muharraq masih lagi boleh bergantung kepada pemain sayap dari Brazil, Elias de Oliveira Rosa juga dikenali sebagai Kanu. Al-Muharraq juga telah berjaya mendapatkan pemain berprofil tinggi iaitu Vitor Saba yang berpengalaman luas bermain di Liga Itali.

Di peringkat kalah mati, Al-Muharraq tiada masalah untuk ketepikan juara Piala FA Jordan, Al-Faisaly dengan jaringan 1-0. Di suku akhir, Al-Muharraq akan menanti cabaran juara Liga Lubnan iaitu Al-Ahed

Al-Quwa Al-Jawiya (Iraq)

Ini adalah penampilan kali pertama Al-Quwa Al-Jawiya ataupun dikenali "Air Force", sebuah kelab dari Iraq yang merupakan naib juara Liga Iraq musim 2014-2015. Penyerang utama mereka iaitu Hammadi Ahmad adalah penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan 12 gol.

Hammadi Ahmad berentap dengan Yuto Nagatomo dari Jepun

Selain daripada dibelasah Al-Wahda (Syria) dengan jaringan 5-2 di peringkat kumpulan, Al-Quwa Al-Jawiya mempersembahkan pertahanan yang mantap yang diketuai pertahanan berpengalaman dari Cameroon, Jean-Paul Ndjoumeck Ndeki. Seorang lagi pemain import mereka ialah pemain tengah dari Ghana, Akwetey Mensah.

Di peringkat kalah mati Al-Quwa Al-Jawiya menewaskan juara Liga Jordan, Al-Wehdat dengan jaringan 2-1. Pada peringkat suku akhir pula, Al-Quwa Al-Jawiya telah diundi menentang juara Liga Syria, Al-Jaish.

Al-Ahed (Lubnan)

Ini adalah penampilan kali ke-7 juara Liga Lubnan musim 2014-2015. Penyerang dari Senegal, Mouhamadou Drame adalah penjaring terbanyak mereka dalam kejohanan ini. Tidak dilupakan juga bekas pemain import Terengganu, Hassan Chaito adalah penggerak bahagian tengah Al-Ahed.

Hassan Chaito ketika bersama pasukan Terengganu

Di peringkat kalah mati, Al-Ahed membelasah juara Piala Syria, Al-Wahda dengan jaringan 4-0. Di suku akhir nanti, Al-Ahed dijadualkan bertemu Al-Muharraq yang merupakan juara Liga Bahrain

Al-Jaish (Syria)

Juara Liga Syria ini membuat penampilan kali ke-6 dalam kempen Piala AFC ini. Al-Jaish mengharapkan Mohammad Hamadko sebagai penggempur utama selain daripada pemain Rusia keturunan Syria, Basel Mansur Abdoulfattakh yang beraksi di bahagian pertahanan.

Basel Abdoulfattakh pernah beraksi untuk pasukan Zenit St Petersburg di Rusia

Di peringkat kalah mati, Al-Jaish mengejutkan juara Liga Iraq iaitu Naft al-Wasat dengan jaringan 0-1. Perlawanan ini telah diadakan di Tehran, Iran sebagai gelanggang berkecuali akibat pergolakan yang berlaku di Iraq dan Syria.

Di suku akhir nanti, Al-Jaish akan berhadapan dengan cabaran pasukan dari Iraq juga iaitu naib juara Liga Iraq, Al-Quwa Al-Jawiya yang diadakan di Qatar sebagai gelanggang berkecuali untuk kedua-dua pasukan.




Asia Timur

South China (Hong Kong)

Ini adalah penampilan kali ke-7, juara play-off Hong Kong ini pada musim 2014-2015. South China mulakan kempen ini dengan agak goyah iaitu 3 kekalahan pertama sebelum bangkit semula dengan 3 kemenangan terakhir.

Mahama Awal dari Cameroon kekal sebagai pemain paling bernilai South China yang sentiasa mengancam dari bahagian sayap. Bekas pemain import Sarawak dari Australia, Ryan Griffiths juga banyak menjaringkan gol-gol penting untuk South China.

Ryan Griffiths ketika beraksi bersama Sarawak

Di peringkat kalah mati, South China menewaskan juara Liga Filipina, Ceres La Salle dengan jaringan 1-0 selepas masa tambahan. Di suku akhir nanti, South China dijadualkan menentang juara bertahan Piala AFC iaitu Johor Darul Takzim.

Bengaluru FC (India)

Ini adalah penampilan kali ke-2 Bengaluru FC dalam Piala AFC. Di peringkat suku akhir, Bengaluru FC akan dibimbing oleh jurulatih baru Albert Roca bekas pengendali skuad kebangsaan El Salvador menggantikan Ashley Westwood

Hanya John Johnson sahaja yang kekal sebagai pemain import Bengaluru FC. 3 orang pemain import baru dibawa masuk iaitu Alvaro Rubio (Sepanyol), Juanan (Sepanyol) dan Cameron Watson (Australia) menggantikan Curtis Osano, Michael Collins dan Kim Seng-Yong.

Juanan (merah) ketika beraksi dalam Liga Jerman bersama Fortuna Dusseldorf

Di peringkat kalah mati, Bengaluru FC mengejutkan juara Hong Kong, Kitchee FC apabila menewaskan mereka 3-2 di tempat lawan. Di peringkat suku akhir, Bengaluru FC akan menentang naib juara Liga Singapura Tampines Rovers.

Johor Darul Takzim (Malaysia)

JDT membuat penampilan ke-3 dalam kempen Piala AFC. Selaku juara bertahan, tugas mempertahankan kejuaraan kali ini nampak lebih sukar. Berbanding musim lepas, bahagian serangan JDT nampak lebih berbahaya dengan kembalinya Jorge Pereyra Diaz dari Independiente yang telah dipinjamkan dan juga penyerang baru mereka juga dari Independiente, Juan Martin Lucero.

Juan Martin Lucero ketika bersama Independiente

Di peringkat kalah mati, JDT membelasah juara Piala UFL Filipina Kaya FC dengan jaringan 7-2. Di suku akhir, JDT akan berhadapan cabaran wakil Hong Kong, South China

Tampines Rovers (Singapura)

Ini adalah penampilan ke-8 Tampines Rovers yang merupakan naib juara Liga Singapura tahun 2015. Kekuatan Tampines Rovers adalah pada pemain sayap yang pernah beraksi dengan kelab besar seperti Arsenal dan Liverpool iaitu Jermain Pennant.

Selain itu bekas pemain remaja West Ham United yang pernah menjadi pemain import untuk Kedah dah Sarawak juga menguatkan jentera serangan Tampines Rovers. Billy Mehmet juga dikenali sebagai Billy Osman Mehmet lahir di London tapi mempunyai bapa keturunan Turki-Cyprus dan ibu berbangsa Ireland.

Billy Mehmet semasa beraksi untuk pasukan Kedah

Di peringkat kalah mati, Tampines Rovers mengejutkan juara Liga India musim 2014-2015 Mohun Bagan dengan jaringan 2-1 setelah masa tambahan. Tampines Rovers akan menentang satu lagi pasukan dari India iaitu Bengaluru FC yang tampil sebagai juara Piala Konfederasi India.


Antara 8 pasukan yang bertanding... hanya JDT, South China dan Al-Jaish sahaja yang bermain di peringkat suku akhir pada Piala AFC 2015 musim lepas. South China tewas kepada JDT dengan agregat 4-2 manakala Al-Jaish tewas kepada Al-Qadsia dengan agregat 3-2.

Pertembungan di suku akhir Piala AFC 2016 ini juga akan lebih menarik kerana pasukan-pasukan yang layak nampak lebih berkualiti dan lebih bersedia. Pasukan dari Asia Barat sudah pasti ingin merampas semula Piala AFC ini daripada JDT yang telah membuat kejutan pada musim lepas.



Monday, March 7, 2016

Piala FA Malaysia 2016 - Hanya PDRM dan PKNS FC Tiada Pengalaman Beraksi Di Perlawanan Akhir



Lengkap sudah 8 pasukan yang layak ke suku akhir Piala FA Malaysia 2016. Piala FA tahun 2016 kali ni telah ditaja oleh "SuperBest Power" iaitu sebuah jenama minuman. Sebab tu selalu diorang dok cakap SuperBest Power Piala FA 2016 dalam TV.

Sabah, Kedah, PDRM, JDT, Sime Darby, PKNS, Perak dan Kuala Lumpur telah melepasi halangan masing-masing dan layak ke suku akhir Piala FA 2016. Banyak nama-nama besar yang tak layak kali ini seperti Kelantan (naib juara 2015), Pahang (juara 2014), Felda United (naib juara 2014), Terengganu (juara 2011) dan juga Selangor.

Daripada 8 pasukan ini terdapat 4 pasukan daripada Liga Super iaitu Kedah, PDRM, JDT dan Perak manakala 4 lagi pasukan dari Liga Perdana iaitu Sabah, Sime Darby, PKNS dan Kuala Lumpur. Ini menunjukkan betapa seimbangnya kekuatan yang dimiliki setiap pasukan baik dari Liga Super mahupun dari Liga Perdana.


Sabah

Sabah boleh dikatakan amat bernasib untuk melangkah ke suku akhir. Sabah mara setelah menewaskan MOF (Ministry of Finance) 3-0 dan seterusnya menewaskan ATM 2-1. Kedua-dua perlawanan Sabah diadakan di Kota Kinabalu. Di peringkat suku akhir Piala FA 2016, Sabah akan menanti cabaran Kedah.

Bekas pemain sayap Harimau Muda, Maxsius Musa (biru) menjadi sandaran utama pasukan Sabah musim ini

Dalam Liga Perdana, Sabah masih lagi belum mengutip sebarang mata iaitu tanpa menang dan tanpa seri dalam 4 perlawanan liga setakat ini.

Rekod Piala FA : Juara 1 kali (1995) dan Naib juara 3 kali (1993, 1994, 1998)


Sime Darby

Sime Darby mara ke suku akhir setelah menewaskan JDT II 2-0 di Selayang sebelum mengejutkan Pahang 1-0 di Kuantan. Lawan Sime Darby di suku akhir Piala FA 2016 nanti ialah PKNS FC.

Nazrul Kamaruzaman - bekas penyerang Harimau Muda dan Selangor yang semakin meningkat naik

Dalam Liga Perdana setakat ini Sime Darby menghuni di tangga ke-9 liga daripada 12 pasukan dengan mencatat sekali kemenangan, 2 kali seri dan tewas sekali.

Rekod Piala FA : Naib juara 1 kali (2012)


PKNS

PKNS pula mara ke suku akhir dengan megah setelah membuat 2 kali kejutan. Kejutan pertama ialah mereka menewaskan Terengganu 3-1 dan seterusnya PKNS menewaskan naib juara Piala FA 2014, Felda United dengan jaringan 3-2. Menanti PKNS di suku akhir Piala FA 2016 ialah Sime Darby.

Shahrul Azhar Ture - Ketua pasukan PKNS FC kelahiran Tawau, Sabah

Dalam Liga Perdana, PKNS menghuni tangga ke-6 liga dengan 6 mata setelah menang 2 kali dan tewas 2 kali.

Rekod Piala FA : Tiada


Kuala Lumpur

Di bawah bimbingan bekas pengendali Sime Darby Ismail Zakaria, Kuala Lumpur bermula dengan cemerlang musim ini. Kuala Lumpur terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan Melaka United 4-2 menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga masa tambahan. Kemudian Kuala Lumpur dengan cemerlangnya menundukkan anak buah Dollah Salleh di Kangar, Perlis dengan jaringan 2-0.

Ahmad Azlan Zainal (kiri) - anak jati Kuala Lumpur yang kaya dengan pengalaman
kini menjadi kapten pasukan The City Boys

Kini, Kuala Lumpur adalah pendahulu Liga Perdana dengan 10 mata setelah menang 3 kali dan seri sekali. Menanti Kuala Lumpur di suku akhir Piala FA 2016 ialah pasukan Perak.

Rekod Piala FA : Juara 3 kali (1993, 1994 dan 1999) dan Naib juara 1 kali (1992)

Baca : Kenali pemain import Liga Perdana 2016


Perak 

Perak masih lagi belum mengutip sebarang kemenangan dalam Liga Super dan menghuni tangga ke-9 liga daripada 12 pasukan dengan 3 kali seri dan tewas sekali.

Bekas pemain Harimau Muda dan Felda United, Mohd Shahrul Saad
kembali menabur bakti bersama pasukan kelahirannya Perak yang dibimbing abangnya Syamsul Saad

Perak mara ke suku akhir setelah menundukkan anak buah K Rajagopal, Sarawak 3-1 setelah masa tambahan dan seterusnya menewaskan Kuantan FA 1-0. Lawan Perak di suku akhir Piala FA 2016 ialah pasukan yang sedang meningkat naik iaitu Kuala Lumpur.

Rekod Piala FA : Juara 2 kali (1990 dan 2004) dan Naib juara 3 kali (1991, 2002 dan 2005)


PDRM

PDRM pula hanya satu tangga di atas Perak iaitu menghuni di tangga ke-8 lapan liga setelah menang sekali, seri 2 kali dan tewas sekali.

Pasukan PDRM diketuai oleh bekas bintang Terengganu dan T-Team, Muhammad Faizal sebagai ketua pasukan

PDRM terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pasukan yang sedang meningkat naik, DRB-Hicom dengan jaringan 2-1 setelah masa tambahan di Tanjung Malim dan seterusnya mengejutkan Selangor 2-1. PDRM akan bertemu JDT dalam perlawanan suku akhir Piala FA 2016.

Rekod Piala FA : Tiada


Kedah

Kedah berada di tangga ke-4 Liga Super di belakang Selangor, JDT dan Felda United setelah menang 2 kali, seri sekali dan tewas sekali.

Ariff Farhan Isa - pemain serba boleh dari Kedah

Kedah membelasah pasukan Megah Murni FC 8-0 dan seterusnya menang 5-4 menerusi sepakan penalti ke atas Kelantan setelah kedua-dua pasukan seri 1-1. Kedah akan bertemu Sabah pada perlawanan suku akhir Piala FA 2016.

Rekod Piala FA : Juara 3 kali (1996, 2007 dan 2008) dan Naib juara 1 kali (2010)


JDT

Rekod JDT dalam Piala FA memang tidak berapa bagus dengan hanya menjadi juara pada tahun 1998 sebagai Johor FA dan menjadi naib juara pada tahun 2013 setelah tewas kepada Kelantan 1-0.

Kini, JDT menghuni tangga ke-2 Liga Super di belakang Selangor dengan 10 mata dan dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

Setelah cemerlang membantu Pulau Pinang musim lepas, Azinee Taib kembali berkhidmat untuk JDT

JDT mara ke suku akhir setelah membelasah UiTM 5-0 di Shah Alam dan menewaskan Negeri Sembilan 4-1 di Johor Bharu. JDT akan menanti cabaran PDRM pada perlawanan suku akhir Piala FA.

Rekod Piala FA  : Naib Juara 1 kali (2013)

Baca : Kenali Pemain Import Liga Super 2016


Suku akhir dan separuh akhir akan dimainkan secara timbal balik manakala perlawanan akhir Piala FA 2016 akan diadakan secara single match di venue yang akan ditentukan kelak. Inilah masanya untuk pasukan-pasukan kerdil menjadi giant killer dan membuat kejutan. Tambahan pula, juara Piala FA akan mendapat satu slot untuk bertanding dalam Piala AFC 2017.



Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...