Tuesday, June 30, 2015

Pengalaman Di Tanah Suci Kota Haramain - Kembara Madinah Dan Mekah (Part 2)



8.4.2015 - Day 4

SELAMAT PAGI MADINAH!

Kembara Haramain Madinah-Mekah diteruskan dengan hari terakhir di bumi Madinah. Alhamdulillah.... sangat-sangat bersyukur kerana dipanjangkan umur untuk meneruskan dengan Kembara Penyucian Jiwa ini.

Pernah dengar "Raudhah" ataupun "Raudhatus-Sakinah"??? Itulah dia sebahagian daripada taman-taman syurga yang telah diberitahu oleh junjungan kita Nabi Muhammad saw kepada umat baginda yang terdapat dalam Masjid Nabawi.

Justeru, tidak hairanlah kawasan ini dikawal ketat kerana semua orang berpusu-pusu dan berebut-rebut untuk menunaikan ibadah di kawasan ini.

Karpet di kawasan Raudhah bewarna hijau
sedangkan di kawasan lain masjid, karpetnya bewarna merah

Pagi-pagi lagi dah bawa turun beg ke lobi hotel. Selepas zohor, kami semua akan bertolak meninggalkan bumi Madinah menuju ke Mekah al-Mukarramah. Sebelum bertolak, kami pergi sekali lagi ke Masjid Nabawi untuk membuat Ziarah Wada' (Ziarah Selamat Tinggal). Semoga kami semua dipilih sekali lagi untuk bertemu denganmu Ya Rasulallah... Amin Ya Rabbal Alamin......

SELAMAT TINGGAL MADINAH!


Rumah/Apartment Percutian Untuk Disewa Di Mekah/Madinah

Para jemaah juga sudah bersedia dengan pakaian ihram menaiki bas menuju ke Masjid Bir Ali (Dzul Hulayfah) iaitu tempat Miqat ahli Madinah dan juga mereka yang datang dari arah utara Mekah. Berbeza dengan mereka yang datang dari Malaysia terus ke Mekah, tempat miqat mereka ialah di Qarn al-Manazil iaitu kira-kira 1 jam sebelum mendarat.

Peta Miqat

Umrah Pertama - Miqat Masjid Bir Ali

Tak sampai setengah jam dari Madinah dah sampai tempat Miqat di Masjid Bir Ali

Di kawasan Masjid Bir Ali
Pemandangan di dalam Masjid Bir Ali

Selesai solat sunat ihram dan niat miqat, kami semua naik semula ke dalam bas untuk meneruskan perjalanan ke Mekah. Bas berhenti untuk makan malam dan solat jamak di sebuah RnR yang terletak di Wadi Qudaid, kira-kira 1 jam setengah perjalanan lagi menuju ke Kota Mekah.

Wadi Qudaid adalah sebuah tempat bersejarah yang menunjukkan tanda kenabian Nabi Muhammad saw ketika baginda dalam perjalanan dari Mekah menuju ke kota Madinah

Baca : Tanda Kenabian Rasulullah saw di Wadi Qudaid



Hidangan makan malam kami
Solat Jamak di Wadi Gude (Qudaid)
Selesai urusan di Wadi Qudaid, kami menaiki bas semula dan meneruskan perjalanan untuk masuk ke Kota Mekah. Hampir waktu tengah malam, barulah kami memasuki Kota Mekah yang sangat crowded... bukan sahaja para jemaah yang ingin menunaikan ibadah umrah tetapi juga para peniaga, para gelandangan dan mungkin juga penduduk tempatan.

SELAMAT DATANG MEKAH!


9.4.2015 - Day 5

Lebih kurang pukul 1.00 pagi baru kami check in di hotel iaitu Hilton Tower. Hilton Tower adalah antara hotel yang terhampir dengan Masjidil Haram iaitu kira-kira 50 meter sahaja. Itupun pelbagai dugaan lagi yang melanda masa nak check in... salah faham dengan bell boy... lif yang terhad untuk mengangkut beg ke dalam bilik... dan akhir sekali terpaksa jugak jadi bell boy untuk mengangkut beg jemaah lain yang bell boy tersalah hantar dan tak nak ambil semula.... bersabarlah wahai hati!

Hilton Tower, Mekah
Mutawwif juga memahami dan menunggu semua jemaah selesai dengan urusan check in masing-masing. Umrah pertama ni perlu diselesaikan dengan segera ditakuti ada antara jemaah yang membuat kesalahan sehingga terkena dam (denda). Walaupun badan letih dan mata mengantuk... tapi inilah mujahadah yang perlu ditempuhi.

Lebih kurang pukul 3.00 pagi, barulah kami semua bergerak ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah pertama dengan mutawwif. Awal pagi macam ni tak ramai sangat orang, tak panas sangat... cuma badan kena lawan rasa letih dan mengantuk saja.

LABBAIKALLAHUMMA LABBAIK....


Alhamdulillah... selesai umrah pertama lebih kurang pukul 5.00 pagi. Tempat tujuan seterusnya ialah mencari kedai gunting rambut untuk tahallul dan cukur kepala.

Betul-betul memantulkan cahaya....

Kagum juga dengan semangat beberapa orang warga emas dalam jemaah kami termasuk mak dan abah yang berjaya sempurnakan umrah pertama walaupun dalam keadaan fizikal dan kesihatan yang sedikit lemah berbanding orang muda.

Heavy Construction di bumi Mekah

Lepas Subuh barulah kami tidur. Sempat juga bangun semula sebelum 10 pagi untuk tapau sarapan di Restoran El Etlalah iaitu sebuah restoran yang telah dipajak oleh Andalusia untuk para jemaah mereka. Takde masalah nak tapau makanan yang penting bawak tupperware sendiri. Di restoran inilah kami semua akan makan sehingga hari terakhir di bumi Mekah.

Restoran El Etlalah, Hilton Tower
Sama seperti dewan makan di Mubarak Silver Hotel, Madinah.... di sini pun makanan yang disediakan adalah jenis makanan Indonesia. Cuma ada kepelbagaian sikit di sini, ada unsur-unsur "makanan hotel" di sini seperti roti, emping jagung dengan susu dan makanan "eat clean" iaitu makanan segar yang tidak diproses.

Satu lagi yang menarik di sini ialah bukan saja jemaah Malaysia yang akan makan di sini tetapi semua jemaah Asia Tenggara akan makan di sini seperti jemaah dari Singapura, Brunei, Indonesia dan juga Thailand.

Sepanjang hari ini memang semua jemaah dilepaskan untuk buat aktiviti bebas dan juga merehatkan tubuh badan yang masih kepenatan dan keletihan.

SELAMAT MALAM MEKAH!



10.4.2015 - Day 6

SELAMAT PAGI MEKAH!

Sebagai ahli Mekah ataupun bagi mereka yang berada dan telah bermukim di Mekah ada beberapa tempat yang boleh dijadikan tempat Miqat dan yang paling hampir dari Mekah ialah di Tan'im.

Miqat ahli Mekah bewarna ungu

Umrah ke-2 - Miqat Masjid Siti Aisyah di Tan'im

Dulu di Masjid inilah dijalankan hukuman hudud ke atas pesalah-pesalah, tetapi sekarang tidak lagi. Masjid ini dinamakan bersempena nama Siti Aisyah isteri Nabi Muhammad saw.

Pemandangan dalam Masjid Siti Aisyah (Tan'im)
Untuk umrah ke-2 kali ini diniatkan untuk arwah adik yang telah meninggal dunia, manakala isteri telah meniatkan umrah ke-2 untuk arwah ayahnya yang telah lama meninggal dunia.

LABBAIKALLAHUMMA LABBAIK...

Baca : Belasungkawa...


Hari ni hari Jumaat, jadi berpeluang untuk solat Jumaat di Masjidil Haram... Alhamdulillah. Lepas solat Jumaat, barulah kami boleh pulang ke hotel setelah selesai semua manasik untuk umrah ke-2. Seperti biasa, aktiviti selepas ini ialah aktiviti bebas kepada semua jemaah. Inilah masanya juga untuk memanfaatkan kelebihan solat di Masjidil Haram yang 100,000 lebih baik dan afdhal berbanding solat di masjid lain.

SELAMAT MALAM MEKAH!


11.4.2015 - Day 7

SELAMAT PAGI MEKAH!

Kembara Haramain Madinah-Mekah ini diteruskan dengan program Ziarah Luar di Kota Mekah iaitu dengan menaiki bas yang telah disediakan.

Jabal Tsur - tempat Nabi Muhammad saw bersembunyi bersama Saidina Abu Bakar ra daripada kafir Quraisy ketika hijrah menuju Madinah

Pemandangan Jabal Tsur (Thur)

Jabal Rahmah, Arafah - tempat Nabi Adam dan Siti Hawa dipertemukan

Mak dan Abah di Jabal Rahmah


Bergambar kenangan bersama Mutawif kami, Ustaz Zaquan


Muzdalifah, Mina, Jumrah (melihat dari dalam bas)



melalui kawasan Mina

Para jemaah juga telah dipesan untuk membawa persalinan ihram kerana selesai Ziarah Luar, kami menuju ke Masjid Ja'ranah iaitu satu lagi miqat umrah yang paling afdhal dan paling baik.

Umrah ke-3 - Miqat masjid Ja'ranah

Masjid Ja'ranah
Pemandangan di dalam Masjid Ja'ranah
Selesai niat ihram dan menunaikan solat sunat ihram, kami naik semula ke dalam bas menuju ke Tanah Haram untuk menunaikan umrah.

LABBAIKALLAHUMMA LABBAIK...


Kecik jer dunia ni... jumpa seorang kenalan dari Kota Tinggi... Zamri Hussin namanya, kat Bukit Safa masa tengah buat Sa'ie, dia yang tegur dulu..... 1st time jumpa haritu kat Disneyland, Los Angeles. Dia baru jer beberapa hari sampai Mekah.... dan akan bertolak ke Madinah tak lama lagi

15.8.2014 - Aku dan Zamri Hussin di Disneyland, California, USA
11.4.2015 - Bersama Zamri Hussin dari Kota Tinggi di Bukit Safa
www.rakitterjongket.blogspot.com
Alhamdulillah... selesai sudah umrah ke-3, seperti biasa kami semua dilepaskan untuk aktiviti bebas masing-masing. Inilah masanya juga untuk memanfaatkan kelebihan solat di Masjidil Haram yang 100,000 lebih baik dan afdhal berbanding solat di masjid lain.

Rumah/Apartment Percutian Untuk Disewa Di Mekah/Madinah


SELAMAT MALAM MEKAH!



Monday, June 29, 2015

Pengalaman Di Tanah Suci Kota Haramain - Kembara Madinah Dan Mekah (Part 1)



Alhamdulillah.... syukur pada Allah swt kerana menjemput kami menjadi tetamu-Nya untuk mengunjungi 2 kota suci iaitu Mekah dan Madinah. Perjalanan ke 2 kota Haramain (2 tanah Haram) bermula dari 4.4.2015 hingga 15.4.2015. Kami pergi berempat dengan mak dan abah.

Rumah/Apartment Percutian Untuk Disewa Di Mekah/Madinah



Jadi betullah.... bukan sebab wang ringgit dan bukan juga sebab kelapangan masa yang membolehkan seseorang untuk menunaikan Umrah mahupun kewajipan Haji. Kalau nak ikut logik, pada masa-masa sebelum ini kami mempunyai lebih wang dan lebih masa, tapi masih tidak terpanggil untuk ke Tanah Suci lebih awal.

Baca : Persediaan dan Dugaan Kecil sebelum ke Tanah Suci


4.4.2015 - Travelling Day

Tibalah hari yang dinanti-nantikan, kami bergerak ke airport awal pagi dengan taxi Exora yang sudah ditempah. Kami dikehendaki berada di KLIA 2 pukul 9.00 pagi untuk berjumpa dengan pegawai Andalusia yang bertugas. Setelah ambil tanda nama, tanda beg dan beberapa lagi barangan lain, kami susun beg untuk luggage drop terlebih dahulu.

Beg disusun rapi untuk masuk luggage drop

Kalau ikut jadual kapal terbang akan berlepas pukul 12.30 tengahari dari Kuala Lumpur terus ke Jeddah. Pakej yang kami ambil ialah ziarah di Madinah dahulu dan kemudian buat umrah di Mekah. Kami mendaftar untuk pergi umrah ni dah lambat, hanya kapal terbang Air Asia X yang available. Mungkin next time plak naik Saudi Airlines....

Sebelum bertolak kami dengar briefing di Tingkat 3 Kaunter Z. Briefing ni penting untuk tahu perjalanan dan aturcara kami semua sehinggalah sampai di Jeddah airport. Bila sampai di Jeddah, kami semua akan dipecahkan kepada 3 kumpulan iaitu 3 bas dengan mutawwif atau ustaz masing-masing. Para jemaah khususnya yang sudah berumur juga diingatkan untuk menjaga kesihatan masing-masing khususnya setelah berada di sana.

Antara Stok Vitamin C dan Vitamin lain yang dibawa

Selesai briefing, kami telah diberikan dengan passport/visa dan boarding pass masing-masing. Penerbangan ke Jeddah bakal mengambil masa selama 9 jam dan dijangka tiba di Jeddah pada pukul 5.10 petang waktu Jeddah. Kesian tengok orang tua yang tak biasa dengan penerbangan jarak jauh. Mak paling jauh pun pergi Kelantan (1 jam), Abah pulak tahun 90-an dulu pernah pergi India (lebih kurang 6 jam). Kami alhamdulillah dah pernah mengalami penerbangan selama 23 jam ke US!

Baca : Kuala Lumpur - Taipei - Los Angeles

Baca : San Francisco - Taipei - Kuala Lumpur

SELAMAT TINGGAL KUALA LUMPUR!


Dulu-dulu pernah terbaca artikel bahawa Jeddah Airport adalah antara airport yang terbaik di dunia! Tapi bila sampai situ... tertanya-tanya pulak betul ke apa yang telah dibaca... Yelah... serba serbi kat situ amat simple. Rupa-rupanya Jeddah Airport yang kami mendarat ni ialah Terminal Haji dan bukannya airport utama.

Urusan imigresen sangat lambat... dugaan awal sebelum tiba di tanah suci... bertabahlah wahai hati! Selesai urusan imigresen kami kena serahkan passpot/visa kembali kepada mutawwif masing-masing. Kami difahamkan dah kerap sangat para jemaah yang kehilangan dan tercicir passport semasa berada di Tanah Suci. Oh ye... nama mutawwif kami ialah Ustaz Zaquan. Kemudian kami tunggu bas untuk ke Madinah dan masa tu azan Maghrib mula berkumandang.

Tunggu bas di Jeddah Airport - Hajj Terminal

Setelah bas sampai, kami cari bas yang betul dan masukkan beg ke dalam bas masing-masing. Dugaan berikutnya berlaku.... bas berhenti di tepi jalan untuk beberapa jam tanpa sebab yang diketahui. Bertabahlah wahai hati...... Mata pun dah nak tertutup sebab kalau waktu Malaysia dah tengah malam... Beza waktu Jeddah dengan Kuala Lumpur pulak ialah 5 jam.

SELAMAT TINGGAL JEDDAH!


Bila terjaga, kami dah sampai di sebuah RnR menghala ke Madinah yang tak ingat apa nama.... untuk solat jamak dan juga makan malam. Kalau siapa yang biasa pergi ke luar negara akan tahu RnR kat luar negara seperti Melbourne dan juga kat sini fasilitinya lebih kurang jer... tak macam Malaysia, kemudahan RnR di Malaysia nampak mewah dan lengkap sesuai dengan jumlah tol yang dibayar.

Sebuah masjid di RnR.....
Masa ni dah terasa dingin... tak pasti berapa suhunya...

Masa makan borak-borak dengan mutawwif... dan tanya sikit kenapa bas berhenti tepi jalan lama sangat... rosak ke... Rupa-rupanya, bas tunggu makanan untuk makan malam jemaah yang tak sampai-sampai lagi.... Oh ye... menu makan malam kami masa ni ialah sajian Indonesia ala-ala ayam penyet. Lapar dan ngantuk punya pasal lupa nak ambik gambar.

Gambar : amerazlan

5.4.2015 - Day 1

Perjalanan dari Jeddah ke Madinah dengan bas mengambil masa lebih kurang 4 jam. Tapi, rasanya dalam 6 jam baru sampai Madinah, tambah tolak masa kat RnR lagi dan juga masa yang bas berhenti kat tepi jalan. Awal pagi baru kami ambil kunci dan check in kat Mubarak Silver Hotel, Madinah.


Lebih kurang +- 200 meter jer dari Masjid Nabawi

SELAMAT PAGI MADINAH!

Dapat tidur sekejap pun jadilah... dalam bas pun dah tidur. Solat Subuh pertama di sini dan terus bersarapan di hotel. Melihat makanan yang dihidangkan dan juga para pekerja di kantin Mubarak Silver Hotel ini memang boleh diagak sepanjang 4 hari di Madinah, menu utamanya ialah makanan Indonesia.

Imej : syathebackpacker

Program diteruskan dengan Ziarah Dalam iaitu ziarah di kawasan sekitar Masjid Nabawi iaitu makam Rasulullah saw, para sahabat dan perkuburan Baqi'.

Makam Baginda Rasulullah saw,
Saidina Abu Bakar as-Siddiq ra dan Saidina Umar al-Khattab ra

"Apa di antara kuburku dan mimbarku terdapat taman (raudhah)
di antara taman syurga" - maksud Hadis Nabi saw

Di bawah kubah hijau ini adalah terletaknya maqam Rasulullah saw
Antara kemudahan air zam zam di luar Masjid Nabawi
Imej : Perkuburan Baqi'

Selesai Ziarah Dalam... mutawwif melepaskan kami untuk aktiviti bebas. Ada yang beriktikaf, beribadat dan tidak kurang pula yang sambung berehat di hotel akibat keletihan dan juga "jetlag" yang tak seberapa.

SELAMAT MALAM MADINAH!


6.4.2015 - Day 2

SELAMAT PAGI MADINAH!

Program di Madinah diteruskan dengan Ziarah Luar iaitu ziarah di kawasan-kawasan luar dalam Kota Madinah dengan menaiki bas.

Antara jemaah dalam bas

Masjid Quba' - Masjid pertama yang dibina atas dasar taqwa. Masjid ke-4 terpenting dalam Islam selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa. Jika berwuduk dari tempat kediaman dan solat sunat 2 rakaat di Masjid Quba', pahalanya adalah seperti menunaikan umrah.

Mendung dan hujan renyai seketika ketika kami tiba di sini
Dalam Masjid Quba'

Ladang Kurma, Madinah - melalui pemerhatian peribadi, pemilik ladang kurma ini samada warganegara Indonesia ataupun keturunan Indonesia

Kedai Kurma
Ladang Kurma

Jabal Uhud - menyusuri perjuangan di Bukit Uhud

Me and wife berlatarbelakangkan bukit pemanah, Jabal Uhud
Pasar-pasar di dataran Jabal Uhud
Gunung Uhud di belakang kami

Masjid Qiblatain dan Masjid Tujuh (Perang Khandak) cuma lalu sahaja

Masjid Qiblatain terletak tidak jauh dari Masjid Tujuh (Khandak)
Seperti biasa, pada waktu petang jemaah dilepaskan untuk aktiviti bebas dan berehat. Inilah masanya juga untuk memanfaatkan kelebihan solat di Masjid Nabawi yang 1,000 lebih baik dan afdhal daripada solat di masjid lain selain Masjidil Haram.

SELAMAT MALAM MADINAH!


7.4.2015 - Day 3

SELAMAT PAGI MADINAH!

Kami juga tidak menyertai mana-mana Ziarah Pilihan yang disediakan di Madinah. Kami juga dah membuat keputusan untuk membeli belah hanya di Madinah dan bukannya di Mekah. Penduduk di Madinah rata-rata sangat peramah dan mampu berbahasa Melayu atau berbahasa Indonesia dengan baik.

Urusan jual beli juga tidak sukar kerana di Madinah mereka menerima wang Malaysia (tukaran wang asing pada masa itu adalah sama). Pernah juga try tukar duit kat money changer sebelah hotel dan memang diorang akan tukarkan dengan jumlah yang sama. Contoh RM100 = 100 Riyal Saudi.

Pasar-pasar di luar Masjid Nabawi
Pagi, petang, siang dan malam rancak aktiviti jual beli

Pembinaan di Madinah juga tidak kurang hebatnya kerana pembesaran Masjid Nabawi sedang dilakukan. Cuaca di Madinah yang biasanya nyaman kini sudah berdebu. Mereka yang tidak berapa sihat telah dinasihatkan lebih awal untuk memakai penutup hidung supaya tidak mudah jatuh sakit.

Heavy Construction berhampiran Masjid Nabawi
Mentari terik di bumi Madinah

Waktu gelap di sini juga iaitu waktu solat Maghrib, Isyak sehingga Subuh adalah lebih nyaman daripada waktu siang. Sekali sekala ada juga angin yang bertiup dingin memberikan rasa ketenangan dan nyaman.

Sebuah tugu di Kota Madinah, di luar Masjid Nabawi
Berlatarbelakangkan Masjid Nabawi

Masa untuk packing barang-barang sebab esok dah nak bertolak ke Mekah untuk menunaikan Umrah. Apa yang penting masa ni bukan saja teknik menguruskan beg-beg dengan hasil tangkapan di Madinah, tetapi juga macam mana untuk tanda beg masing-masing dengan nama mutawwif, nama kumpulan, no bas dan nama hotel di Mekah untuk melancarkan urusan penghantaran beg kelak.

Rumah/Apartment Percutian Untuk Disewa Di Mekah/Madinah


SELAMAT MALAM MADINAH!



Baca : Kembara Madinah Dan Mekah (Part 2)

Baca : Kembara Madinah Dan Mekah (Part 3)







Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...