Showing posts with label T-Team. Show all posts
Showing posts with label T-Team. Show all posts

Thursday, June 29, 2017

Pemain Import Baru Liga Super 2017 - Hanya Kedah Kekal Dan Percaya Dengan Pemain Import Mereka



Liga Super Malaysia juga akan bersambung pada 1 Julai 2017. Setiap pasukan sedang membaiki kualiti pasukan bolasepak masing-masing agar menepati sasaran yang ditetapkan. Beberapa pemain baru telah diambil termasuk juga pemain import dan ada juga pemain yang disingkirkan.


Johor Darul Ta'zim

Gonzalo Cabrera dan Marcos Antonio kekal sebagai pemain import JDT. Pada awal musim Jeronimo Barrales telah diturunkan ke JDT II manakala Gabriel Guerra telah dinaikkan ke JDT. Khidmat penyerang Argentina warganegara Iraq, Brian Ferreira telahpun ditamatkan.

Mohammed Ghaddar - penyerang prolifik Lubnan

Sebagai ganti JDT telah membeli penyerang import prolifik Lubnan, Mohammad Ghaddar dari Kelantan. Mohammed Ghaddar mula bermain di Liga Malaysia sejak musim 2012-2013.


Pahang

Matheus Alves, Mohamadou Sumareh dah Heo Jae-Won terus berkhidmat dengan Pahang untuk musim 2017 ini. Pahang terpaksa melepaskan Bright Dike yang bergelut dengan prestasi sendiri.

Yamil Romero dan Carlos Tevez di Boca Juniors

Sebagai ganti Pahang mendapatkan khidmat Yamil Romero dari pasukan simpanan Boca Juniors. Tapi... apa kaitan pemain tengah menyerang dari Argentina ini dengan penjaga gol Manchester United, Sergio Romero?


Kedah

Kedah mengekalkan keempat-empat pemain import mereka.


Perak TBG

Mehmet Durakovic mengekalkan Thiago Junio dan Yashir Pinto bagi menghadapi baki saingan Liga Super Malaysia 2017. Pemain yang dipilih mendiang Karl Henz Weigang iaitu Faton Toski dan Valdislav Mirchev dilepaskan Perak TBG. Pemain import baru mereka ialah :-

Gilmar - bekas penyerang berbisa Kelantan

i) Gilmar Jose da Silva Filho - penyerang dari Brazil yang pernah bermain untuk Kelantan dan Sarawak
ii) Leandro Dos Santos Oliveira - pemain sayap dari Brazil yang pernah bermain untuk T-Team dan Selangor


Selangor

Hanya Francis Forkey Doe dan Ugo Ukah kekal dengan Selangor. Seperti yang dijangka khidmat Victoras Astafei tidak diperlukan apabila Andik Vermansyah pulih dari kecederaan manakala pemain tengah Juliano Mineiro juga mengalami nasib yang sama. Pemain import baru Selangor ialah :-

Rufino semasa bersama Atletico Madrid

i) Andik Vermansyah - pemain sayap Indonesia kembali bermain untuk Selangor setelah berehat lama akibat kecederaan panjang
ii) Rufino Segovia del Burgo - bekas penyerang Kitchee SC ini berpengalaman luas dalam Liga Sepanyol termasuk bermain untuk pasukan remaja Rayo Vallecano, Atletico Madrid dan Valladolid.


Felda United

Hanya Zah Rahan Krangar dikekalkan bersama Felda United oleh B Sathianathan. Penyerang Gaston Cellerino, pemain muda Lucas Cano dan pertahanan Mootaz Junaidi telah dilepaskan. Sebagai ganti Felda United telah mengambil pemain berikut :-

Dino Djulbic ketika bermain dengan pasukan kebangsaan Australia

i) Thiago Augusto - penyerang berbahaya dari Brazil ini kembali bersama Felda United setelah dipinjamkan ke Kedah pada musim lepas.
ii) Dino Djulbic - pertahanan veteran dari Australia keturunan Bosnia ini berpengalaman luas dalam Liga Australia, Liga Jerman, Liga China dan Liga UAE.
iii) Ifedayo Olusegun - penyerang sayap dari Nigeria yang pernah bermain di Liga Bahrain


T-Team

T-Team mengekalkan Abdoulaye Maiga, Dilshod Sharofetdinov dan Mamadou Samassa sebagai pemain import mereka. Penyerang Uzbekistan Farhod Tadjiyev disingkirkan dan sebagai ganti mereka mendapatkan bekas penyerang kebangsaan Cameroon, Yannick N'Djeng yang berpengalaman bermain dalam liga Afrika seperti di Algeria dan Tunisia.

Yannick N'djeng (kanan) mewakili Cameroon ketika menentang Congo

Kelantan

Morgaro Gomis dan Mamadou Danso kekal sebagai pemain import Kelantan. Penjaring terbanyak Mohammed Ghaddar telah berhijrah ke JDT manakala Alessandro Celin cuba untuk dijual. Pemain import baru Kelantan ialah :-

Bako dalam perlawanan pertamanya menentang Pulau Pinang


i) Abou Bakr Al-Mel - penyerang muda Lubnan yang dikenali sebagai "Bako" ini dicadangkan oleh Mohammed Ghaddar
ii) L'Imam Seydi - penyerang tegap Senegal kelahiran Perancis yang pernah bermain di Liga Slovakia, Liga Hungary, Liga Azerbaijan dan Liga Malta.

* L'Imam Seydi gagal didaftarkan sebagai pemain import Kelantan kerana sekatan pendaftaran pemain import akibat isu tunggakan gaji pemain masih berkuatkuasa.
* Kelantan mendaftarkan semula Alessandro Celin setelah gagal mendaftarkan L'Imam Seydi


PKNS

Setakat ini Gonzalo Soto, Lucas Espindola dan Matias Hadwa tidak akan bermain untuk PKNS manakala Patrick Wleh masih kekal. Pemain import baru PKNS ialah :-

Fabio Ferreira - bekas anak didik Jose Mourinho

i) Fabio Ferreira - pemain sayap dari Portugal ini bernah bermain dengan pasukan remaja Sporting Lisbon dan kemudian dibawa oleh Jose Mourinho untuk bersama pasukan remaja Chelsea. Fabio Ferreira berpengalaman luas bermain di Liga Australia.
ii) Park Kwang-il - pemain tengah dari Korea Selatan ini pernah bermain di Liga India dan berpengalaman luas bermain di Liga Jepun.
iii) Abdou Jammeh - bekas pemain pertahanan kebangsaan Gambia yang pernah bermain di Liga Tunisia, Liga Rusia, Liga Belgium, Liga Cyprus, Liga Kuwait, Liga Gambia, Liga Finland dan Liga Qatar.


Sarawak 

Demerson dan Mateo Roskam kekal sebagai pemain import Sarawak. Bintang Filipina Mark Hartmann telah berhijrah ke Pulau Pinang, manakala pemain Korea Lee Jong Ho telah ditamatkan kontrak. Pemain import baru Sarawak ialah :-

Sahil Suhaimi - bintang muda Singapura yang mencuba nasib di Burnley FC

i) Milos Raickovic - bekas pemain remaja Montenegro berusia 23 tahun yang bermain di posisi tengah. Sebelum ini bermain dengan kelab Buducnost dalam Liga Montenegro.
ii) Sahil Suhaimi - penyerang muda Singapura dari kelab Tampines Rovers. Pernah bersama dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Burnley FC untuk tempoh percubaan tapi gagal untuk mendapatkan kontrak.


Melaka United

Hanya Jeon Woo-young kekal sebagai pemain import Melaka United. Pertahanan berpengalaman Godwin Antwi, penyerang Sergio Ezequiel Aguero dan Ilija Spasojevic telah ditunjukkan jalan keluar oleh Melaka United. Pemain import baru mereka ialah :-

Jasmin Mecinovic (6) ketika bersama pasukan remaja Macedonia

i) Jasmin Mecinovic - Pertahanan tinggi lampai, bekas pemain remaja Macedonia ini pernah bermain di Liga Macedonia, Liga Moldova, Liga Norway, Liga Hungary dan Liga Armenia.
ii) Felipe Almeida de Souza - pemain tengah menyerang dari kelab Brazil, Oeste FC
iii) Marko Simic - bekas penyerang Negeri Sembilan dari Croatia


Pulau Pinang

Zainal Abidin Hassan hanya mengekalkan Nigel Dabinyaba sebagai pemain import Pulau Pinang. Diogo Ferreira dan Andy Russell telah ditamatkan kontrak mereka manakala Reinaldo Lobo akan direhatkan. Pemain import baru Pulau Pinang ialah :-

Brandon McDonald (14) berentap dengan penyerang India Robin Singh

i) Mark Hartmann - penyerang Filipina ini berhijrah dari Sarawak
ii) Brandon McDonald - pertahanan Guam ini berasal dari Amerika Syarikat, berpengalaman luas di Liga Amerika Syarikat dan pernah bermain di Liga Sweden dan Liga Thailand.
iii) Sanna Nyassi - pemain tengah Gambia warganegara Amerika Syarikat yang berpengalaman luas di Liga Amerika Syarikat


Semoga dengan kehadiran pemain import baru ini akan merancakkan semula kancah bolasepak tempatan yang akan bersambung pada bulan Julai 2017 nanti. Kualiti dan profesional mereka diperlukan untuk diserapkan dalam pasukan Liga Super Malaysia.




Thursday, February 2, 2017

Pemain Import Liga Super 2017 - Tiada Pemain Import Lama Yang Kekal Di Sarawak Dan Pahang



Sepakmula Liga Super Malaysia 2017 telahpun bermula sejak 21 Januari 2017. Kelibat pemain-pemain import baru kali ini sangat ramai dan hanya beberapa orang pemain import lama saja yang dikekalkan. Pendatang baru seperti Melaka United dan PKNS juga tidak kurang hebatnya.


Johor Darul Takzim

JDT mengekalkan Marcos Antonio (Brazil) sebagai pemain import mereka. Pemain import baru JDT ialah :-

1) Gonzalo Cabrera (Argentina) - bekas pemain remaja Boca Juniors, pemain sayap berpengalaman dan pernah bermain dalam Liga Argentina, Liga Colombia, Liga Cyprus, Liga Romania dan Liga Arab Saudi
2) Jeronimo Barrales (Argentina) - penyerang tegap yang pernah bermain dalam Liga Argentina, Liga Sepanyol, Liga Chile, Liga Greece dan Liga Turki. Sama pasukan dengan Nico Gonzalez (JDT II) semasa di Asteras Tripolis (Greece)
3) Brian Ferreira (Iraq/Argentina) - bekas pemain remaja Argentina yang menjaringkan gol menarik ketika menentang Jepun dalam Piala Dunia bawah 17 tahun. Masih berusia 22 tahun dah telah mewakili beberapa kelab ternama dalam Liga Argentina.

Brian Fereirra (tengah) cuba melepasi halangan pemain Uruguay

* Hariss Harun (Singapura) - pemain tengah ini tidak didaftarkan dan dalam proses untuk dipinjamkan samada dengan kelab Jepun atau kelab Portugal

Edit 2.2.2017 - Hariss Harun sah dipinjamkan ke kelab CE L'Hospitalet iaitu kelab Sepanyol di Segunda Divisyen B (Divisyen 3 Liga Sepanyol)


Felda United

Felda United mengekalkan khidmat Zah Rahan Krangar (Liberia) untuk musim baru ini. Pemain import baru Felda United ialah :-

1) Gaston Cellerino (Argentina) - bekas pemain remaja Boca Juniors, penyerang berpengalaman yang mempunyai kewarganegaraan Itali. Gaston Cellerino pernah bermain dalam Liga Argentina, Liga Peru, Liga Uruguay, Liga Itali, Liga Sepanyol, Liga Amerika Syarikat dan Liga Bolivia.
2) Lucas Cano (Argentina) - penyerang muda yang dipinjamkan dari kelab Argentinos Juniors
3) Mootaz Jounaidi (Lubnan) - Pertahanan kebangsaan Lubnan yang pernah bermain dalam Liga Lubnan, Liga UAE dan Liga Iraq

Gaston Cellerino (kiri) pernah bermain untuk Celta Vigo di Liga Sepanyol


Kedah

Kedah mengekalkan Liridon Krasniqi (Kosovo/Albania) sebagai pemain import mereka. Pemain import baru Kedah ialah :-

1) Sandro Mendonca (Brazil) - Kembali didaftarkan sebagai pemain import setelah pulih dari kecederaan yang panjang. Penyerang berpengalaman yang pernah main dalam Liga Brazil, Liga Turki dan Liga Korea Selatan.
2) Ken Ilso Larsen (Denmark) - penyerang prolifik yang pernah bermain dalam Liga Belanda, Liga Denmark, Liga Jerman, Liga China dan Liga Singapura.
3) Zachary Michael Anderson (Australia) - Pertahanan tinggi lampai yang pernah bermain dalam Liga Australia dan Liga UAE

Ken Ilso semasa di zaman kemuncaknya bersama Fortuna Dusseldorf di Liga Jerman


Kelantan

Morgaro Gomis (Perancis/Senegal) kekal sebagai pemain import Kelantan. Pemain import baru Kelantan ialah : -

1) Mamadou Danso (Gambia) - Pertahanan berpengalaman dari Liga Amerika Syarikat
2) Alessandro Celin (Brazil) - penyerang ini juga mempunyai kewarganegaraan Itali dan pernah bermain di Liga Korea Selatan, Liga Hong Kong, Liga Ukraine, Liga Itali dan Liga Romania
3) Mohammed Ghaddar (Lubnan) - penyerang pengalaman Lubnan ini kembali bermain untuk Kelantan. Di Malaysia Mohammed Ghaddar juga pernah bermain untuk Felda United. Pemain ini pernah menabur bakti di Liga Lubnan, Liga Bahrain, Liga Mesir, Liga Syria, Liga Jordan dan Liga Iraq

Alessandro Celin (kanan) ketika mewakili Juve Stabia dalam Liga Itali


* Okiki Afolabi (Nigeria) - bekas penyerang remaja Nigeria ini pernah bermain di Liga Argentina. Pemain ini terpaksa disingkirkan sebelum sepakmula akibat masalah kecederaan dan kesihatan
* Cedric Djeugoue (Cameroon) - pertahanan muda ini juga disingkirkan sebelum sepakmula disebabkan masalah dokumen pendaftaran pemain.


Selangor

Ugo Ukah (Itali/Nigeria) kekal sebagai pemain import Selangor. Pemain import baru Selangor ialah :-

1) Victoras Astafei (Romania) - pemain sayap dari Liga Romania ini juga pernah bermain di Liga Turki
2) Francis Forkey Doe (Liberia) - Forkey Doe kembali bermain untuk Selangor. Di Malaysia, Forkey Doe pernah juga bermain untuk Terengganu, Kelantan, NS Matrix dan Felda United. Sebelum bermain di Malaysia, Forkey Doe bermain di Liga Amerika Syarikat, Liga Greece dan Liga Mesir.
3) Juliano Mineiro (Timor Leste/Brazil) - Pemain tengah naturalisasi Timor Leste dan juga bekas pemain remaja Fluminese. Berpengalaman main dalam Liga Brazil, Liga Portugal, Liga Arab Saudi, Liga Thailand dan Liga Jepun.

Juliano Mineiro semasa muda dengan jersi Fluminese

* Andik Vermansyah (Indonesia) - pemain sayap ini masih lagi bersama Selangor dan direhatkan akibat masalah kecederaan panjang. Pemain ini hanya akan didaftarkan sebagai pemain import setelah pulih dari kecederaan dan jika mana-mana pemain import lain ditamatkan kontrak akibat masalah prestasi.


Perak TBG

Thiago Junio (Brazil) kekal sebagai pemain import Perak. Pemain import baru Perak ialah :-

1) Faton Toski (Kosovo/Jerman) - bekas pemain tengah remaja Jerman ini adalah produk akademi bolasepak Frankfurt. Selain Liga Jerman, pemain ini juga pernah bermain dalam Liga Albania.
2) Vladislav Mirchev (Bulgaria) - bekas penyerang remaja Bulgaria ini berpengalaman main di Liga Bulgaria, Liga Belarus, Liga Itali, Liga Belgium, Liga Kazakhstan, Liga Cyprus dan Liga Maldives.
3) Yashir Pinto Islame (Palestin/Chile) - penyerang Palestin ini pernah mewakili pasukan remaja Chile. Yashir Pinto bermain untuk pasukan Melaka United musim lepas. Sebelum ini Yashir Pinto bermain dalam Liga Chile, Liga Amerika Syarikat dan Liga Jerman.

Faton Toski (hitam) semasa mewakili Frankfurt cuba melepasi pemain-pemain Real Madrid


T-Team

Abdoulaye Maiga (Mali) dan Dilshod Sharofetdinov (Uzbekistan) kekal sebagai pemain import T-Team. Pemain import baru T-Team ialah :-

1) Mamadou Samassa (Mali) - penyerang kebangsaan Mali ini pernah bermain untuk pasukan remaja Perancis dan merupakan produk akademi bolasepak Le Mans di Perancis. Selain di Liga Perancis, Mamadou Samassa pernah juga bermain di Liga Itali.
2) Farhod Tadjiyev (Uzbekistan) - Penyerang Uzbekistan ini kembali mewakili T-Team, pasukan yang dibantunya naik ke Liga Super satu ketika dahulu. Selain di Liga Uzbekistan, pemain ini juga pernah bermain di Liga China.

Mamadou Samassa mewakili Mali berentap dengan pemain Afrika Selatan
semasa kejohanan Piala Bangsa Afrika 2013


Sarawak

Sarawak menampilkan 4 orang pemain import baru musim ini iaitu :-

1) Demerson (Brazil) - pemain pertahanan berpengalaman ini mewakili beberapa kelab di Liga Brazil dan pernah juga bermain di Liga China
2) Lee Jong-ho (Korea Selatan) - Ini bukannya Lee Jong-ho yang bermain dengan Jeonbuk Hyundai Motors musim lepas. Tetapi ini ialah Lee Jong-ho bekas pemain penyerang remaja Paris St Germain dan pernah bermain di Liga Korea Selatan dan Liga Kemboja.
3) Mateo Roskam (Croatia) - seorang lagi penyerang berpengalaman yang pernah bermain untuk Sime Darby di Malaysia. Sebelum ini Mateo Roskam bermain dalam Liga Croatia, Liga Sepanyol, Liga Bosnia dan Liga Singapura.
4) Mark Hartmann (Filipina/England) - penyerang kacukan Inggeris-Filipina ini pernah bersama dengan pasukan remaja Porstmouth dan Swindon Town di Liga Inggeris. Pemain ini juga bermain di Liga Filipina dan juga Liga Singapura.

Lee Jong Ho - penyerang berpengalaman


Pahang

Pahang menampilkan 4 orang muka baru sebagai pemain import iaitu :-

1) Bright Dike (Nigeria/USA) - Penyerang Nigeria warganegara Amerika Syarikat ini pernah juga bermain di Liga Rusia selain di Liga Amerika Syarikat
2) Mohamadou Sumareh (Gambia) - Bekas pemain tengah Terengganu, PDRM dan Perlis. Desas-desus mengatakan pemain ini bakal dinaturalisasikan kerana telah bermain selama 5 tahun dalam Liga Malaysia
3) Matheus Alves Leandro (Brazil) - penyerang muda ini dipinjamkan dari kelab Fluminese, Brazil. Selain bermain di Liga Brazil, Matheus Alves juga pernah juga dipinjamkan ke kelab Perancis, kelab Finland dan kelab Korea Selatan.
4) Heo Jae-won (Korea Selatan) - pertahanan berpengalaman yang pernah bermain di Liga Korea Selatan, Liga Qatar dan Liga UAE

Matheus Alves ketika dipinjamkan ke kelab FC Istres di Liga Perancis satu ketika dahulu


* Julius Oiboh (Nigeria) - penyerang yang pernah bermain dalam Liga Thailand dan Liga Kemboja ini disingkirkan sebelum sepakmula disebabkan masalah kesihatan
* Kiko Insa (Sepanyol) - pemain tengah berpengalaman ini pada mulanya didaftarkan sebagai pemain import tetapi telah berjaya dinaturalisasikan sebelum sepakmula. Kiko Insa mendapat kerakyatan Malaysia kerana bapanya lahir di Sabah. Kiko Insa ialah bekas pemain remaja Valencia dan pernah bermain dalam Liga Sepanyol, Liga Belgium, Liga Jerman, Liga Iceland, Liga Latvia, Liga Inggeris dan Liga Indonesia


Pulau Pinang

Reinaldo Lobo (Brazil) kekal sebagai pemain import Pulau Pinang. Pemain import baru Pulau Pinang ialah :-

1) Diogo Fereirra (Australia/Portugal) - bekas pemain tengah remaja Porto ini lahir di Australia. Sebelum ke Pulau Pinang, pemain ini bermain di Liga Portugal, Liga Australia dan Liga Indonesia.
2) Nigel Dabinyaba (Papua New Guinea) - penyerang sayap PNG ini juga pernah bermain di Liga Australia dan Liga New Zealand
3) Andy Russell (Hong Kong/England) - pemain pertahanan naturalisasi Hong Kong ini pernah bermain di Liga Inggeris dan Liga Hong Kong

Diogo Fereirra bersama skuad Olimpik Australia


Melaka United

Ilija Spasosevic (Montenegro) kekal sebagai pemain import Melaka United. Pemain import baru Melaka United ialah :-

1) Godwin Antwi (Ghana/Sepanyol) - bekas pertahanan remaja Liverpool ini pernah bermain dengan pasukan remaja Sepanyol. Selain di Liga Inggeris, Godwin Antwi pernah bermain di Liga Sepanyol, Liga Denmark, Liga Norway dan Liga Thailand. Di Malaysia, Godwin Antwi pernah bermain untuk DRB-Hicom.
2) Sergio Aguero (Argentina) - Ini bukan penyerang Manchester City mahupun penyerang utama Argentina. Ini ialah penyerang muda yang pernah bermain di Liga Argentina dan Liga Hungary
3) Jeon Woo-young (Korea Selatan) - pemain tengah bertahan dari Liga Korea Selatan

Godwin Antwi - bekas pemain remaja Liverpool


* Omid Nazari (Filipina/Iran) - bekas pemain tengah remaja Malmo FF dari Sweden ini terpaksa disingkirkan akibat masalah kesihatan dan kecergasan. Omid Nazari cuma pernah bermain di Liga Sweden dan Liga Filipina dan pernah juga menyarung jersi Iran dalam beberapa perlawanan persahabatan. Adiknya Amin Nazari lebih menyerlah dan sudah beberapa kali bermain untuk pasukan remaja Sweden.


PKNS

PKNS mengekalkan Gonzalo Soto (Argentina) dan Matias Jadue (Palestin/Chile) sebagai pemain import mereka. Pemain import baru PKNS ialah :-

1) Patrick Ronaldinho Wleh (Liberia) - Kembali bersama PKNS setelah dipinjamkan ke Selangor musim lepas. Selain bermain di Liga Liberia, penyerang tinggi lampai ini juga pernah bermain bersama Sime Darby
2) Lucas Espindola (Argentina) - penyerang muda ini pernah bermain di Liga Argentina dan Liga Honduras

Lucas Espindola dari All Boys Argentina



Diharapkan kualiti pemain import yang bermain dalam Liga Super Malaysia 2017 semakin baik berbanding musim lepas untuk merancakkan lagi kancah bolasepak Malaysia. Pasukan seperti JDT juga tidak mampu untuk mengekalkan pemain import terbaik mereka seperti Jorge Pereyra Diaz (masalah terma kontrak) dan Juan Martin Lucero (tawaran lumayan dan lebih baik dari kelab Mexico).

Baca : Pemain Import Liga Super Malaysia 2016








Saturday, February 13, 2016

Pemain Import Liga Super Malaysia 2016 - Hanya Sarawak Menampilkan 100% Muka Import Baru



Hari ni plak, 13 Februari 2016 bermulanya sepakmula Liga Super Malaysia 2016. JDT akan mempertahankan kejuaraan manakala Kedah, Pulau Pinang dan T-Team (Terengganu II) adalah pasukan baru yang dinaikkan dari Liga Perdana 2015.

Ada sebahagian daripada pemain import akan terus beraksi dalam Liga Malaysia manakala sebahagian lagi adalah pemain-pemain import baru yang tidak sabar untuk membuktikan kemampuan masing-masing bersama pasukan baru mereka. Senarai pemain import baru Liga Super 2016 adalah seperti berikut :-

Baca : Pemain Import Liga Super 2017


Felda United

Felda United ialah antara pasukan yang sentiasa memberikan saingan yang kuat. Mereka mengekalkan khidmat pemain import Zah Rahan Krangar (Liberia) dan Thiago Augusto Fernandes (Brazil). Ndumba Makeche (Australia) telah dilepaskan ke Sarawak manakala Bojan Miladinovic (Serbia) tidak disambungkan kontrak.

Lutfulla Turaev (kiri) mengekang asakan pemain Korea Selatan

Pemain-pemain import baru Felda United ialah :-

Gilberto Alemao - pertahanan dari Brazil yang juga dikenali dengan nama Gilberto Carlos Marangoni Filho
Lutfulla Turaev - pemain tengah kebangsaan Uzbekistan

* Bekas penyerang Terengganu, Kelantan, Selangor dan NS Matrix Francis Forkey Doe (Liberia) telah menggantikan Thiago Augusto Fernandes yang mengalami kecederaan yang serius


JDT

Duo import juara Piala AFC ini dikekalkan iaitu Marcos Antonio (Brazil) dan Hariss Harun (Singapura). Jorge Pereyra Diaz juga telah kembali setelah tamat tempoh pinjaman di kelab Argentina, Independiente. Pada mulanya, Paulo Rangel menggantikan Luciano Figueroa yang telah bersara tetapi Paulo Rangel telah diturunkan untuk bermain dengan JDT II.

Juan Martin Lucero pernah bermain bersama dengan Jorge Pereyra Diaz di Independiente musim lepas

Pemain import baru JDT ialah penyerang dari Argentina, Juan Martin Lucero yang telah dibeli dari kelab Argentina, Independiete


Kedah 

Juara Liga Perdana 2015 ini mengekalkan trio import mereka iaitu Liridon Krasniqi (Kosovo), Sandro Mendonca (Brazil) dan Bang Seung-hwan (Korea Selatan).

Carlos Kahe (kiri) ketika mewakili Borussia M'Gladbach dan
bintang Republik Czech Tomas Galasek (kanan) ketika mewakili FC Nurnberg

Pemain import baru Kedah untuk musim 2016 ialah Carlos Kahe (Brazil), bekas penyerang remaja Brazil yang menggantikan Chidi Edeh yang tidak menyambungkan kontraknya bersama Kedah. Carlos Kahe juga dikenali sebagai Carlos Eduardo de Souza Floresta berpengalaman main di Liga Jerman dan Liga Turki.


Kelantan 

Kali ini Kelantan dikenali sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors disebabkan oleh penajaan atau "sponsor". Kelantan hanya mengekalkan pertahanan import Australia, Jonathan McKain manakala pemain import lain telah beralih angin termasuk Gilmar yang dilepaskan ke Sarawak.

Jonatan Lucca (paling kanan) ketika bersama skuad remaja AS Roma

Pemain import baru Kelantan ialah :-

Jonatan Lucca - bekas pemain remaja AS Roma, Itali dari Brazil
Baze Illijoski - penyerang kebangsaan Macedonia
Dramane Traore - penyerang kebangsaan Senegal yang pernah beraksi dengan PDRM


Pahang

Hanya Zesh Rehman (Pakistan) sahaja yang dikekalkan Pahang dalam skuad mereka kali ini. Pemain-pemain lain tidak disambungkan kontrak manakala Matias Conti kini bermain dalam Liga Chile, Universidad de Concepcion.

German Pacheco ketika bersama Atletico Madrid

Pemain import baru Pahang untuk musim 2016 ialah :-

Nejc Potokar - pertahanan dari Slovenia
Dalibor Volas - bekas penyerang remaja Slovenia
German Pacheco - bekas penyerang remaja Atletico Madrid dari Argentina


PDRM

PDRM hanya mengekalkan bintang Maldives iaitu penyerang prolifik Ali Ashfaq. Jaime Braganca tidak disambungkan kontrak, Mohamadou Sumareh dilepaskan ke Perlis dan Dramane Traore dilepaskan ke Kelantan.

Safuwan Baharudin ketika bersama Melbourne City FC

Pemain import baru PDRM ialah :-

Suleymane Konate - pertahanan dari Mali
Andrezinho - pemain tengah dari Brazil yang pernah bermain bersama Johor FA dan JDT
Safuwan Baharudin - pemain serba boleh Singapura yang pernah dipinjamkan ke kelab Australia, Melbourne City FC


Pulau Pinang 

Naib juara Liga Perdana 2015 ini hanya mengekalkan pertahanan import mereka iaitu Reinaldo Lobo (Brazil)

Brent Griffiths ketika bersama pasukan Central Coast Mariners

Pemain-pemain import baru Pulau Pinang ialah :-

Matias Cordoba - pemain tengah dari Argentina
Brent Griffiths - bekas pertahanan remaja Blackburn Rovers dari England, warganegara Australia
Charles Souza Chad - bekas penyerang PDRM dan Perak ini baru sahaja menggantikan penyerang dari Brazil, Jose Tadeu yang gagal menjaringkan gol sama sekali untuk Pulau Pinang dalam pelawanan pemanas badan

* Pulau Pinang tidak jadi mengambil Charles Souza Chad sebagai pemain import, sebaliknya mengambil bekas penyerang remaja Nigeria, Osas Saha atau dikenali Osas Marvelous Ikpefua yang berpengalaman di Liga Indonesia


Perak

Pada musim 2016, Perak tampil dengan nama Perak The Bos Gaurus. Perak hanya mengekalkan bekas pertahanan remaja Brazil iaitu Thiago Junior.

Vokhid Sodiev (putih) berentap dengan pemain Arab Saudi

Pemain import baru Perak ialah :-

Erick Weeks Lewis - pemain tengah kebangsaan Liberia
Elias - juga dikenali dengan nama Elias Fernandes de Oliveira ialah penyerang Brazil yang berpengalaman dalam Liga Korea Selatan
Vokhid Shodiev - pemain tengah kebangsaan Uzbekistan


Sarawak

Sarawak tidak mengekalkan pemain-pemain import lama mereka. Dengan K Rajagopal sebagai jurulatih baru mereka, pasukan Sarawak nampak lebih mencabar.

Davide Grassi (kanan baju merah) ketika bersama Aberdeen dalam Liga Scotland

Pemain import baru Sarawak ialah :-

Davide Grassi - pertahanan dari Itali yang berpengalaman luas dalam pelbagai Liga di benua Eropah
Juninho - pemain naturalisasi Timor Leste dari Brazil yang pernah bermain untuk Selangor
Gilmar - bekas penyerang Kelantan dari Brazil
Ndumba Makeche - bekas penyerang Felda United etnik Zambia dari Australia


Selangor

Juara Piala Malaysia 2015 ini hanya mengekalkan pemain sayap Indonesia, Andik Vermansyah dan juga pertahanan dari Australia, Robert Cornwaithe. Pemain-pemain import lain tidak disambungkan kontrak termasuk Guilherme de Paula yang kini bermain di Liga Cyprus bersama Ethnikos Achna.

Mauro Olivi - penyerang prolifik dari Argentina

Pemain import baru Selangor untuk musim 2016 ialah :-

Mauro Olivi - penyerang prolifik dari Argentina
Patrick Wleh - penyerang prolifik Liberia yang dipinjamkan dari PKNS FC


Terengganu

Terengganu masih menaruh kepercayaan kepada 3 orang pemain import mereka iaitu Vincent Bikana (Cameroon), Gustavo Lopez (Argentina) dan Issey Nakajima-Farran (Kanada/Jepun), Paulo Rangel yang telah ditamatkan kontraknya lebih awal kini bersama JDT II.

Abam sado, Juan Jose Morales sah jadi milik Terengganu

Pemain import Terengganu yang baru ialah Juan Jose Morales, penyerang tegap dari Argentina


T-Team

T-Team layak ke Liga Super 2016 setelah menewaskan ATM 2-1 dalam perlawanan play-off. T-Team juga dikenali sebagai Terengganu II hanya mengekalkan bekas penyerang remaja Croatia iaitu Tomislav Busic.

Sebelum ke T-Team, bintang Nepal ini beraksi dalam Liga Indonesia

Pemain import baru T-Team untuk musim 2016 ialah :-

Abdoulaye Maiga - bekas pertahanan kebangsaan Mali
Makan Konate - pemain tengah dari Mali yang pernah bermain dalam Liga Indonesia
Rohit Chand - pemain kebangsaan Nepal yang paling bernilai

* Bekas pemain import Sime Darby dari Uzbekistan, Dilshod Sharofetdinov telah menggantikan Rohit Chand yang mengalami kecederaan serius
* Penyerang muda dari Brazil Patrick Dos Santos Cruz telah menggantikan Tomislav Busic yang telah tamat kontrak


Diharapkan pemain-pemain import ini akan menjadi sebab agar pemain tempatan menjadi kuat bersaing dan sentiasa upgrade skil mereka dari semasa ke semasa. Tiada istilah pemain import akan menenggelamkan bakat tempatan. Apa yang penting setiap pasukan haruslah mendapatkan pemain import berkualiti dan bukan sekadar tangkap muat sahaja.




Thursday, August 20, 2015

Liga Perdana Malaysia 2015 - Saingan 3 Penjuru Antara Kedah, T-Team dan Pulau Pinang



21 Ogos 2015 bakal menyaksikan siapakah juara baru Liga Perdana Malaysia musim 2015. Pada musim lepas hanya saingan 2 penjuru di antara PDRM dan Felda United dimana menyaksikan PDRM muncul Juara Liga Perdana Malaysia 2014. Pada tahun ini, persaingan agak sengit dengan saingan 3 penjuru antara Kedah, T-Team dan Pulau Pinang.



Kedah mempunyai kelebihan untuk menjadi juara dan seterusnya layak ke Liga Super 2016 dengan hanya perlu seri pada perlawanan terakhir menentang DRB-Hicom di tempat lawan. T-Team dan Pulau Pinang harus menang dengan bergaya terhadap lawan masing-masing iaitu Kuantan FA dan UiTM FC di tempat lawan sambil mengharapkan DRB-Hicom menundukkan Kedah.

Antara aksi pertemuan Pulau Pinang menentang Kedah

Pulau Pinang juga wajib menang dan perlu mengharapkan T-Team tercicir mata pada perlawanan terakhir bagi memastikan Pulau Pinang layak ke Liga Super musim 2016. Prestasi cemerlang T-Team diawal musim gagal dikekalkan setelah kehilangan kapten pasukan, mendiang David Oniya yang mati mengejut ketika perlawanan persahabatan menentang Kelantan.

Pertembungan antara T-Team dan Kedah tidak kurang hebatnya





Untuk slot ke Piala Malaysia pula, selain Kedah, T-Team dan Pulau Pinang, satu lagi pasukan yang mengesahkan slot automatik ke Piala Malaysia ialah PKNS FC. Manakala 2 lagi pasukan iaitu JDT II dan juga samada NS Matrix atau Sabah akan berentap dalam pusingan kelayakan ke Piala Malaysia menentang 2 pasukan terbawah dari pasukan Liga Super iaitu Sime Darby dan ATM.

Pasukan Putrajaya SPA pula sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Perdana dimana mereka akan bertanding dalam Liga FAM untuk musim 2016. Satu lagi slot untuk diturunkan ke Liga FAM ialah samada DRB Hicom, Kuala Lumpur dan Kuantan FA yang hanya akan ditentukan pada perlawanan terakhir nanti.

Pertemuan Kuala Lumpur dan Kuantan FA dicemari dengan insiden pembalingan suar ke dalam padang

Kelebihan jaringan setakat ini banyak memihak kepada DRB Hicom untuk tidak disingkirkan ke Liga FAM sekiranya ketiga-tiga pasukan terikat dengan mata yang sama nanti. Namun, kemenangan ke atas Kedah harus dicari supaya DRB Hicom tidak tersingkir dari Liga Perdana. Kuala Lumpur juga mempunyai misi yang sukar apabila berkunjung ke gelanggang NS Matrix manakala Kuantan FA pula menanti kunjungan calon juara iaitu T-Team.

PDRM - Juara Liga Perdana 2014

Selain PKNS dan JDT II, pasukan UiTM bermain tanpa tekanan di perlawanan terakhir dan hanya melengkapkan jadual perlawanan apabila menanti satu lagi pasukan calon juara iaitu Pulau Pinang. Nampaknya, Kedah hampir pasti menjadi juara baru Liga Perdana Malaysia 2014, namun saingan daripada T-Team dan Pulau Pinang tidak boleh dipandang ringan.





Tuesday, June 16, 2015

Pemain Import Baru Liga Perdana 2015



Setelah 10 perlawanan Liga Perdana berlangsung T-Team masih mengungguli kedudukan carta dan diekori rapat oleh Kedah. Tinggal 12 perlawanan sahaja yang berbaki sebelum menutup kempen liga.



Tingkap perpindahan April juga telah selesai dimana kita menyaksikan pemain import yang tidak menyerlah telah pergi dan digantikan dengan pemain import baru. Entri berkenaan pemain import Liga Perdana di awal musim telah pun diceritakan sebelum ini.


T-Team

Josip Milardovic - bekas pemain remaja Croatia bawah 21 tahun ini telah melengkapkan kuota 4 orang pemain import T-Team. Bermain di posisi tengah bertahan, T-Team dilihat cuba menguatkan bahagian pertahanan dan tengah pasukan itu.

Josip Milardovic (jersi kuning)

* Takziah kepada kapten pasukan dan juga pemain import T-Team, David Faramola Oniya yang telah meninggal dunia pada 13.6.2015 setelah rebah ketika perlawanan persahabatan bertemu Kelantan


PKNS

Pedro Henrique - PKNS dilihat cuba memperkuatkan bahagian serangannya bagi mencabar kejuaraan liga dengan mendapatkan khidmat penyerang muda Timor Leste ini. PKNS terpaksa melepaskan pertahanan kiri mereka dari Jepun, Keisuke Ogawa.



Pulau Pinang

Dengan hanya 1 kekalahan dan rekod pertahanan terbaik dalam Liga Perdana, Pulau Pinang masih mempercayai pemain import mereka dan tidak membuat apa-apa perubahan.


Kedah

Berada di tangga ke-2 liga setakat ini... Kedah merasakan mereka kurang kreativiti di bahagian tengah dan telah mengambil 2 pemain tengah menyerang. Lawrence Olum dan Keith Nah yang sama sekali tidak menyerlah telah dipinggirkan.

Sandro Mendonca - seorang pemain berpengalaman dari Brazil

Liridon Krasniqi - pemain Albania/Kosovo merupakan bekas pemain remaja FC Nurnberg



JDT II dan NS Matrix tidak membuat sebarang perubahan kepada pemain import mereka. Posisi serangan mereka nampak kuat tetapi tidak di bahagian pertahanan.


DRB Hicom

Hayato Hashimoto - pemain ini melengkapkan kuota import DRB Hicom. Bermain di posisi tengah bertahan, DRB Hicom dilihat cuba untuk menguatkan posisi pertahanan dan tengah mereka. Komen pemain ini berkenaan mutu dan kualiti bolasepak Malaysia telah menjadi viral baru-baru ini.

Hayato Hashimoto (jersi oren)

Sabah

Joel Chianese - penyerang muda Australia ini menggantikan penyerang Singapura, Fazrul Nawaz yang tidak menyerlah. Sabah dilihat cuba untuk menguatkan lagi jentera serangan mereka.

Joel Chianese ketika beraksi bersama Sydney FC

UiTM

Mbom Mbom Julien - pemain tengah Cameroon yang berpengalaman luas dalam Liga Perancis dan Liga Indonesia. Nasib pertahanan Korea Selatan, Park Chul Hyung masih tidak diketahui.

Mbom Mbom Julien (tengah)

Putrajaya SPA

Putrajaya SPA membuat rombakan besar-besaran pemain import mereka dengan hanya mengekalkan pertahanan Korea Selatan, Kwong Jun sahaja. Pemain-pemain seperti Guy Bwele, Michael Ijezie, dan Precious Emuejeraye semuanya telah diketepikan.

Rod Dyachenko - pemain tengah Rusia yang berpengalaman luas di Liga Amerika Syarikat dan Liga Thailand

Simone Quintieri - penyerang berpengalaman Itali yang pernah beraksi di Liga Itali, Liga Amerika Syarikat, Liga Malta dan Liga Indonesia

Cameron Edwards - pemain muda Australia beraksi di bahagian tengah dan pernah menjadi pemain remaja kelab Reading di England

Cameron Edwards

Kuala Lumpur

Sama seperti Putrajaya SPA, Kuala Lumpur juga membuat rombakan besar-besaran dengan menyingkirkan Martin Ekoule, Kalle Sone dan Ogunboye Iyanu. Pemain tengah Korea Selatan Choi Hyun Yeon masih lagi dikekalkan.

Lee Sung Hyun - pertahanan dari Korea Selatan

Modibo Konte - pemain muda Mali yang beraksi di bahagian sayap

Lee Jin Seuk - penyerang dari Korea Selatan

Modibo Konte (tengah) ketika beraksi dengan pasukan Mali bawah-16

Kuantan FA

Fabrice Noel - pemain kebangsaan Haiti dan juga bekas penyerang ATM telah menggantikan penyerang Korea Selatan Im Kyung Hyun

Fabrice Noel ketika beraksi bersama pasukan kebangsaannya

Tidak hairanlah kalau mana-mana pasukan tidak berani memberikan kontrak jangka panjang ataupun bayaran gaji yang mahal kepada mana-mana pemain import yang masih belum terbukti kemampuan masing-masing di atas padang.

Kecederaan jangka masa panjang, pemain yang "indah khabar dari rupa", tidak dapat menyesuaikan diri dengan Liga Malaysia dan banyak lagi kemungkinan-kemungkinan yang bakal dihadapi.




Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...