Tuesday, September 8, 2015

Sejarah Kempen Kelayakan Bolasepak Piala Dunia Yang Malaysia Sertai



Ini adalah fakta... Malaysia memang tak pernah masuk World Cup dalam acara bolasepak. Salah satu cara cepat nak layak masuk World Cup ialah dengan menjadi tuan rumah World Cup. Itupun bukan senang nak melobi jadi tuan rumah.

Pasukan-pasukan lain seluruh dunia kalau nak masuk World Cup kena masuk pusingan kelayakan dulu. Ada pusingan pertama, kedua dan seterusnya bergantung pada format yang ditetapkan oleh FIFA dan kesatuan bolasepak benua masing-masing. Pusingan kelayakan pun ikut benua masing-masing. Off course kadang-kadang format pertandingan tak sama.

Pasukan bolasepak negara tahun 1972

Kali pertama Malaysia masuk kelayakan Piala Dunia untuk sukan bolasepak ialah pada tahun 1974. Sejarah pasukan bolasepak Malaysia dalam pusingan kelayakan adalah seperti berikut :-

Kelayakan Piala Dunia 1974


Tempat Ke-3 dalam Kumpulan 2 Zon A di belakang Israel dan Korea Selatan



Hanya Australia layak ke Piala Dunia 1974 mewakili benua Asia dan Oceania setelah menewaskan Korea Selatan 1-0 semasa pusingan akhir kelayakan.

Kelayakan Piala Dunia 1978


Tempat Ke-3 dalam Kumpulan 1 di belakang Hong Kong dan Singapura

Hanya Iran layak ke Piala Dunia 1978 mewakili benua Asia dan Oceania setelah menjadi juara liga pusingan akhir kelayakan.

Kelayakan Pialan Dunia 1982


Tempat ke-3 dalam Kumpulan 3 di belakang Kuwait dan Korea Selatan

Kuwait dan New Zealand layak ke Piala Dunia 1982 mewakili Asia dan Oceania setelah menjadi juara dan naib juara kumpulan pada pusingan akhir kelayakan.

Kelayakan Piala Dunia 1986


Buat pertama kalinya diadakan pusingan kelayakan sebanyak 2 pusingan sebelum pusingan akhir. Malaysia terkandas di pusingan pertama apabila berada di Tempat Ke-2 dalam Kumpulan 3A di belakang Korea Selatan.

Iraq dan Korea Selatan layak ke Piala Dunia 1986 sebagai wakil dari Asia Barat dan Asia Timur masing-masing. Dalam pusingan akhir, Iraq menewaskan Syria dengan agregat 3-1 manakala Korea Selatan menewaskan Jepun dengan agregat 3-1.

Kelayakan Piala Dunia 1990


Malaysia mendapat tempat ke-2 dalam kumpulan 4 di belakang Korea Selatan

Korea Selatan dan UAE telah layak ke Piala Dunia 1990 setelah menjadi juara dan naib juara kumpulan dalam pusingan akhir.

Kelayakan Piala Dunia 1994


Malaysia mendapat tempat ke-3 dalam kumpulan E di belakang Arab Saudi dan Kuwait

Arab Saudi dan Korea Selatan layak ke Piala Dunia 1994 setelah menjadi juara dan naib juara kumpulan dalam pusingan akhir.

Kelayakan Piala Dunia 1998


Semakin banyak pasukan dari Asia bertanding dalam pusingan kelayakan ini. Malaysia mendapat tempat ke-2 dalam kumpulan 1 di belakang Arab Saudi

Pusingan akhir juga terdapat 2 kumpulan dimana Arab Saudi menjadi juara Kumpulan A diikuti Iran manakala Korea Selatan menjadi juara Kumpulan B diikuti Jepun. Arab Saudi dan Korea Selatan layak secara otomatik selaku juara kumpulan masing-masing.

Manakala Jepun layak setelah menewaskan Iran 3-2 berdasarkan gol emas dalam perlawanan play-off. Iran yang tewas dikehendaki lawan dalam perlawanan play-off lain menentang juara Oceania iaitu Australia. Akhirnya Iran layak ke Piala Dunia 1998 menewaskan Australia berdasarkan peraturan "away gol" setelah terikat dengan agregat 3-3.

Buat kali pertama 4 pasukan dari Asia telah layak ke Piala Dunia 1998 iaitu Arab Saudi, Korea Selatan, Jepun dan Iran

Kelayakan Piala Dunia 2002


Seperti biasa Malaysia terkandas di pusingan pertama dan mendapat tempat ke-3 dalam kumpulan 3 di belakang Qatar dan Palestine.

Pada pusingan kedua Arab Saudi dan China layak ke Piala Dunia 2002 setelah menjadi juara dalam kumpulan masing-masing. Iran dan UAE masing-masing sebagai naib juara kumpulan perlu bertanding dalam perlawanan play off dimana dimenangi Iran dengan agregat 4-0. Iran pula perlu menentang wakil Eropah dalam satu lagi perlawanan play off dimana Iran tewas kepada Ireland dengan agregat 1-2.

Piala Dunia 2002 menampilkan Korea Selatan dan Jepun sebagai tuan rumah bersama telah layak secara automatik, diikuti Arab Saudi dan China sebagai wakil Asia.

Kelayakan Piala Dunia 2006



Memandangkan ranking FIFA Malaysia sebelum ini agak baik, Malaysia terus masuk ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia. Namun, Malaysia mendapat tempat terakhir Kumpulan 4 di belakang Kuwait, China dan Hong Kong.

Dalam pusingan ke-3, Arab Saudi sebagai juara kumpulan 1 telah layak ke Piala Dunia 2006 diikuti dengan Korea Selatan. Manakala dalam kumpulan 2 pula, Jepun sebagai juara kumpulan layak ke Piala Dunia 2006 diikuti Iran.

Tempat ke-3 setiap kumpulan pula iaitu Uzbekistan dan Bahrain perlu ke pusingan ke-4 iaitu perlawanan play off dimana telah dimenangi Bahrain berdasarkan "away goal" setelah terikat dengan agregat 1-1. Walaubagaimanapun, Bahrain tewas dalam perlawanan play off lain menentang wakil Concacaf iaitu Trinidad and Tobago dengan agregat 1-2.

Jadi, hanya Arab Saudi, Jepun, Korea Selatan dan Iran saja yang layak ke Piala Dunia 2006 sebagai wakil Asia.

Kelayakan Piala Dunia 2010


Akibat ranking FIFA yang rendah Malaysia dijadualkan bertemu Bahrain dalam pusingan pertama dan telah tewas dengan Bahrain agregat 1-4.

Australia telah layak ke Piala Dunia 2010 sebagai juara kumpulan A dalam pusingan ke-4 diikuti dengan Jepun. Manakala dalam kumpulan B pula, Korea Selatan telah layak ke Piala Dunia 2010 diikuti dengan Korea Utara.

Tempat ke-3 setiap kumpulan pula iaitu Bahrain dan Arab Saudi masing-masing harus bertemu dalam pusingan ke-5 iaitu perlawanan play-off yang telah dimenangi oleh Bahrain secara "away goal" setelah terikat dengan agregat 2-2.

Bahrain yang telah menang pula harus bertemu dengan wakil Oceania iaitu New Zealand dalam satu lagi perlawanan play-off dimana telah dimenangi oleh New Zealand dengan agregat 0-1.

Jadi, wakil Asia yang layak ke Piala Dunia 2010 ialah Australia, Korea Selatan, Jepun dan Korea Utara.

Kelayakan Piala Dunia 2014

Sekali lagi akibat ranking FIFA yang rendah, Malaysia harus bertemu Chinese Taipei dalam pusingan pertama dimana Malaysia bernasib baik untuk layak ke pusingan kedua berdasarkan "away goal" setelah terikat dengan agregat 4-4. Dalam pusingan ke-2, Malaysia kecundang kepada Singapura dengan agregat 4-6.


Iran dan Jepun telah layak ke Piala Dunia 2014 masing-masing sebagai juara kumpulan dalam pusingan ke-4 manakala Korea Selatan dan Australia masing-masing sebagai naib juara kumpulan turut layak.

Tempat ke-3 dalam kumpulan masing-masing iaitu Uzbekistan dan Jordan harus berentap dalam pusingan ke-5 ataupun perlawanan play off dimana memihak kepada Jordan yang menang menerusi penentuan penalti 9-8 setelah terikat dengan agregat 2-2.

Walaubagaimanapun, Jordan gagal untuk layak ke Piala Dunia 2014 setelah dibenam oleh wakil Amerika Selatan, Uruguay dengan agregat 0-5.

Kelayakan Piala Dunia 2018

FIFA telah menggabungkan Kelayakan Piala Dunia 2018 bersama-sama dengan Kelayakan Piala Asia 2019. Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A di belakang UAE, Arab Saudi, Palestine dan Timor Leste. Hanya pasukan teratas dan 4 pasukan kedua terbaik sahaja akan layak ke pusingan ke-3 kelayakan Piala Dunia 2018

Baca : Kelayakan Piala Dunia 2018


Berdasarkan sejarah pusingan kelayakan Piala Dunia yang Malaysia sertai, kita dah boleh menilai betapa merosotnya prestasi pasukan kebangsaan. Ternyata ranking FIFA yang baik sedikit sebanyak akan memberikan kelebihan kepada pasukan negara ketika undian dibuat.

Dahulu Malaysia mampu menyaingi pasukan seperti Korea Selatan, tetapi kini terlalu jauh jurang perbezaan antara kedua-dua pasukan. Pasukan Jepun juga hanya pada sekitar tahun 1980-an bangkit dalam sukan bolasepak.

Tidaklah mengharapkan sesuatu yang tinggi dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018, tetapi sekurang-kurangnya keputusan yang munasabah adalah memadai dan bukannya menjadi pasukan belasahan seolah-olah Malaysia baru setahun jagung dalam sukan bolasepak.

Ayuh Malaysiaku!!!









No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...