Showing posts with label Piala AFC. Show all posts
Showing posts with label Piala AFC. Show all posts

Wednesday, November 30, 2016

Juara Baru Kelab Asia - Jeonbuk Hyundai Motors Dan Al-Quwa Al-Jawiya



Liga Juara Asia 2016

Saingan kelab-kelab Asia untuk tahun 2016 dah melabuhkan tirai mereka apabila Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan) muncul sebagai juara baru kelab Asia setelah menundukkan Al-Ain (UAE) dengan agregat 3-2. Ini adalah kejuaraan ke-2 mereka setelah kali terakhir muncul juara genap pada 10 tahun yang lepas. Al-Ain tak pulang dengan tangan kosong kerana bintang mereka Omar Abdulrahman dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.



Jeonbuk Hyundai Motors bergantung kepada pemain-pemain tempatan mereka yang berkualiti terutama sekali penyerang veteran mereka Lee Dong Gook yang pernah beraksi dalam Liga Jerman dan Liga Inggeris serta pemain sayap Kim Bo Kyung yang pernah bermain dalam Liga Inggeris bersama Cardiff City dan Wigan Athletic.

Lee Dong Gook pernah bermain untuk Middlesbrough di England

Pemain import mereka dari Brazil juga sangat prolifik iaitu Leonardo dan Ricardo Lopes. Bekas penyerang Schalke 04 Edu dari Brazil juga ialah pemain import baru mereka yang banyak muncul sebagai pemain gantian. Tidak lupa juga seorang lagi pemain baru yang sangat membantu iaitu penyerang tinggi lampai Kim Shin Wook.


Piala AFC 2016

Dalam saingan Piala AFC 2016 pula, Al-Quwa Al-Jawiya ataupun Air Force Club (Iraq) muncul juara setelah menewaskan Bengaluru FC (India) dengan jaringan 1-0 di perlawanan akhir. Ini adalah kejuaraan pertama wakil dari Iraq dimana penyerang mereka Ahmad Hammadi dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dan juga pemain terbaik kejohanan.



Al-Quwa Al-Jawiya juga bergantung kepada pemain-pemain tempatan mereka yang berkualiti seperti bintang muda Iraq Humam Tariq yang dipinjamkan dari kelab Al-Ain (UAE). Majoriti pemain Al-Quwa Al-Jawiya ialah pemain kebangsaan Iraq bawah 23 tahun.

Humam Tariq (kiri) dan Ahmad Hammadi (kanan)
Al-Quwa Al-Jawiya cuma menggunakan pemain import dari Timur Tengah seperti pertahanan berpengaruh Ali Al-Saadi (Lubnan), pemain tengah bertahan Zaher Al-Midani (Syria) dan pemain sayap Hamid Mido (Syria).

Baca : Suku Akhir Piala AFC 2016

Pencapaian Bengaluru FC tahun ini boleh juga dibanggakan setelah menewaskan juara bertahan Piala AFC 2015 iaitu JDT di perlawanan separuh akhir sebelum ditewaskan Al-Quwa Al-Jawiya di perlawanan akhir. Kebangkitan Bengaluru FC bermula dengan perlantikan jurulatih baru dan juga pemain import baru yang lebih berpengalaman dan defensif.






Tuesday, September 13, 2016

Suku Akhir Piala AFC 2016 - Tugas Sukar JDT Mempertahankan Kejuaraan



Pada 26 Mei 2016 telah selesai peringkat kalah mati Piala AFC 2016 dan 8 pasukan ke suku akhir telahpun diketahui

4 pasukan dari Asia Barat yang layak ialah Al-Muharraq (Bahrain), Al-Quwa Al-Jawiya (Iraq), Al-Ahed (Lubnan) dan Al-Jaish (Syria) manakala 4 pasukan dari Asia Timur yang layak ialah South China (Hong Kong), Bengaluru FC (India), Tampines Rovers (Singapura) dan juara bertahan JDT (Malaysia)


Asia Barat

Al-Muharraq (Bahrain)

Ini adalah penampilan kali ke-5 juara Liga Bahrain ini dalam kempen Piala AFC. Ismail Abdul Latif kekal sebagai penyerang berbisa Al-Muharraq dan juga skuad kebangsaan Bahrain. Penyerang import Sweden keturunan Bosnia, Admir Catovic telahpun kembali ke Sweden bersama dengan kelab Degerfors IF.

Ismail Abdul Latif berentap dengan Ashkan Dejagah dari Iran

Namun, Al-Muharraq masih lagi boleh bergantung kepada pemain sayap dari Brazil, Elias de Oliveira Rosa juga dikenali sebagai Kanu. Al-Muharraq juga telah berjaya mendapatkan pemain berprofil tinggi iaitu Vitor Saba yang berpengalaman luas bermain di Liga Itali.

Di peringkat kalah mati, Al-Muharraq tiada masalah untuk ketepikan juara Piala FA Jordan, Al-Faisaly dengan jaringan 1-0. Di suku akhir, Al-Muharraq akan menanti cabaran juara Liga Lubnan iaitu Al-Ahed

Al-Quwa Al-Jawiya (Iraq)

Ini adalah penampilan kali pertama Al-Quwa Al-Jawiya ataupun dikenali "Air Force", sebuah kelab dari Iraq yang merupakan naib juara Liga Iraq musim 2014-2015. Penyerang utama mereka iaitu Hammadi Ahmad adalah penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan 12 gol.

Hammadi Ahmad berentap dengan Yuto Nagatomo dari Jepun

Selain daripada dibelasah Al-Wahda (Syria) dengan jaringan 5-2 di peringkat kumpulan, Al-Quwa Al-Jawiya mempersembahkan pertahanan yang mantap yang diketuai pertahanan berpengalaman dari Cameroon, Jean-Paul Ndjoumeck Ndeki. Seorang lagi pemain import mereka ialah pemain tengah dari Ghana, Akwetey Mensah.

Di peringkat kalah mati Al-Quwa Al-Jawiya menewaskan juara Liga Jordan, Al-Wehdat dengan jaringan 2-1. Pada peringkat suku akhir pula, Al-Quwa Al-Jawiya telah diundi menentang juara Liga Syria, Al-Jaish.

Al-Ahed (Lubnan)

Ini adalah penampilan kali ke-7 juara Liga Lubnan musim 2014-2015. Penyerang dari Senegal, Mouhamadou Drame adalah penjaring terbanyak mereka dalam kejohanan ini. Tidak dilupakan juga bekas pemain import Terengganu, Hassan Chaito adalah penggerak bahagian tengah Al-Ahed.

Hassan Chaito ketika bersama pasukan Terengganu

Di peringkat kalah mati, Al-Ahed membelasah juara Piala Syria, Al-Wahda dengan jaringan 4-0. Di suku akhir nanti, Al-Ahed dijadualkan bertemu Al-Muharraq yang merupakan juara Liga Bahrain

Al-Jaish (Syria)

Juara Liga Syria ini membuat penampilan kali ke-6 dalam kempen Piala AFC ini. Al-Jaish mengharapkan Mohammad Hamadko sebagai penggempur utama selain daripada pemain Rusia keturunan Syria, Basel Mansur Abdoulfattakh yang beraksi di bahagian pertahanan.

Basel Abdoulfattakh pernah beraksi untuk pasukan Zenit St Petersburg di Rusia

Di peringkat kalah mati, Al-Jaish mengejutkan juara Liga Iraq iaitu Naft al-Wasat dengan jaringan 0-1. Perlawanan ini telah diadakan di Tehran, Iran sebagai gelanggang berkecuali akibat pergolakan yang berlaku di Iraq dan Syria.

Di suku akhir nanti, Al-Jaish akan berhadapan dengan cabaran pasukan dari Iraq juga iaitu naib juara Liga Iraq, Al-Quwa Al-Jawiya yang diadakan di Qatar sebagai gelanggang berkecuali untuk kedua-dua pasukan.




Asia Timur

South China (Hong Kong)

Ini adalah penampilan kali ke-7, juara play-off Hong Kong ini pada musim 2014-2015. South China mulakan kempen ini dengan agak goyah iaitu 3 kekalahan pertama sebelum bangkit semula dengan 3 kemenangan terakhir.

Mahama Awal dari Cameroon kekal sebagai pemain paling bernilai South China yang sentiasa mengancam dari bahagian sayap. Bekas pemain import Sarawak dari Australia, Ryan Griffiths juga banyak menjaringkan gol-gol penting untuk South China.

Ryan Griffiths ketika beraksi bersama Sarawak

Di peringkat kalah mati, South China menewaskan juara Liga Filipina, Ceres La Salle dengan jaringan 1-0 selepas masa tambahan. Di suku akhir nanti, South China dijadualkan menentang juara bertahan Piala AFC iaitu Johor Darul Takzim.

Bengaluru FC (India)

Ini adalah penampilan kali ke-2 Bengaluru FC dalam Piala AFC. Di peringkat suku akhir, Bengaluru FC akan dibimbing oleh jurulatih baru Albert Roca bekas pengendali skuad kebangsaan El Salvador menggantikan Ashley Westwood

Hanya John Johnson sahaja yang kekal sebagai pemain import Bengaluru FC. 3 orang pemain import baru dibawa masuk iaitu Alvaro Rubio (Sepanyol), Juanan (Sepanyol) dan Cameron Watson (Australia) menggantikan Curtis Osano, Michael Collins dan Kim Seng-Yong.

Juanan (merah) ketika beraksi dalam Liga Jerman bersama Fortuna Dusseldorf

Di peringkat kalah mati, Bengaluru FC mengejutkan juara Hong Kong, Kitchee FC apabila menewaskan mereka 3-2 di tempat lawan. Di peringkat suku akhir, Bengaluru FC akan menentang naib juara Liga Singapura Tampines Rovers.

Johor Darul Takzim (Malaysia)

JDT membuat penampilan ke-3 dalam kempen Piala AFC. Selaku juara bertahan, tugas mempertahankan kejuaraan kali ini nampak lebih sukar. Berbanding musim lepas, bahagian serangan JDT nampak lebih berbahaya dengan kembalinya Jorge Pereyra Diaz dari Independiente yang telah dipinjamkan dan juga penyerang baru mereka juga dari Independiente, Juan Martin Lucero.

Juan Martin Lucero ketika bersama Independiente

Di peringkat kalah mati, JDT membelasah juara Piala UFL Filipina Kaya FC dengan jaringan 7-2. Di suku akhir, JDT akan berhadapan cabaran wakil Hong Kong, South China

Tampines Rovers (Singapura)

Ini adalah penampilan ke-8 Tampines Rovers yang merupakan naib juara Liga Singapura tahun 2015. Kekuatan Tampines Rovers adalah pada pemain sayap yang pernah beraksi dengan kelab besar seperti Arsenal dan Liverpool iaitu Jermain Pennant.

Selain itu bekas pemain remaja West Ham United yang pernah menjadi pemain import untuk Kedah dah Sarawak juga menguatkan jentera serangan Tampines Rovers. Billy Mehmet juga dikenali sebagai Billy Osman Mehmet lahir di London tapi mempunyai bapa keturunan Turki-Cyprus dan ibu berbangsa Ireland.

Billy Mehmet semasa beraksi untuk pasukan Kedah

Di peringkat kalah mati, Tampines Rovers mengejutkan juara Liga India musim 2014-2015 Mohun Bagan dengan jaringan 2-1 setelah masa tambahan. Tampines Rovers akan menentang satu lagi pasukan dari India iaitu Bengaluru FC yang tampil sebagai juara Piala Konfederasi India.


Antara 8 pasukan yang bertanding... hanya JDT, South China dan Al-Jaish sahaja yang bermain di peringkat suku akhir pada Piala AFC 2015 musim lepas. South China tewas kepada JDT dengan agregat 4-2 manakala Al-Jaish tewas kepada Al-Qadsia dengan agregat 3-2.

Pertembungan di suku akhir Piala AFC 2016 ini juga akan lebih menarik kerana pasukan-pasukan yang layak nampak lebih berkualiti dan lebih bersedia. Pasukan dari Asia Barat sudah pasti ingin merampas semula Piala AFC ini daripada JDT yang telah membuat kejutan pada musim lepas.



Monday, February 22, 2016

Piala AFC 2016 - Kenali Lawan Selangor Dan JDT Di Peringkat Kumpulan



Dua pasukan dari Malaysia yang akan menyertai Piala AFC 2016 ialah juara Liga Super Malaysia 2015 iaitu JDT dan naib juara Liga Super Malaysia 2015 iaitu Selangor. Selangor menggantikan pasukan Lions XII (juara Piala FA) yang tidak layak ke Piala AFC disebabkan Lions XII adalah pasukan jemputan dalam Liga Malaysia.

JDT - juara Piala AFC 2015

Pada mulanya, naib juara Liga Malaysia ialah Pahang manakala Selangor mendapat tempat ke-3 dalam Liga Malaysia. Namun, semuanya bertukar disebabkan kegagalan Pahang untuk melunaskan tunggakan gaji bekas pemain import mereka, Muhammad Borji. Ini menyebabkan Pahang telah dipotong mata dan jatuh ke tempat ke-3 dalam Liga Malaysia.

Namun begitu, peluang Pahang untuk ke Piala AFC 2016 masih lagi terbuka dengan syarat JDT melepasi pusingan kelayakan Liga Juara Asia menentang Muangthong United (Thailand) dan Shanghai SIPG (China) dan seterusnya layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia.

Namun begitu, JDT terkandas apabila tewas kepada Muangthong United 3-0 menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 0-0 setelah masa tambahan.

Baca : Kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2016


Selangor bukanlah pasukan yang asing dalam kejohanan Piala AFC ni... cuma Selangor masih belum berpeluang untuk menggondol Piala AFC. Pencapaian terbaik Selangor ialah mara ke suku akhir Piala AFC 2006 sebelum tewas kepada Al-Nejmeh (Lubnan) dengan agregat 0-1. Ini adalah penampilan kali ke-5 Selangor dalam kancah Piala AFC

Baca : Sejarah Kelab Dari Malaysia Dalam Piala AFC


Selangor telah diundi bersama-sama dengan Tampines Rovers (naib juara Liga Singapura), Ceres (juara Liga Filipina) dan Sheikh Jamal Dhamondi (juara Liga Bangladesh). Pada masa yang sama Tampines Rovers juga bertanding dalam pusingan pertama kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2016.

Sekiranya Tampines Rovers layak ke Liga Juara Asia 2016, maka slot Piala AFC akan diisi oleh pasukan Warriors. Namun, harapan Tampines Rovers punah apabila mereka ditewaskan juara liga India, Mohun Bagan dengan jaringan 3-1.


Siapa Tampines Rovers?

Ini adalah penampilan ke-8 Tampines Rovers dalam Piala AFC. Tampines Rovers diperkuatkan dengan beberapa orang pemain kebangsaan Singapura seperti penjaga gol, Izwan Mahbud, pemain tengah Hafiz Sujad dan penyerang Fazrul Nawaz. Tampines Rovers dipimpin oleh ketua pasukan kelahiran Serbia, Fahrudin Mustafic.

Tampines Rovers mempunyai 2 orang pemain import yang pernah bermain dalam Liga Malaysia iaitu bekas pertahanan DRB-Hicom dan Putrajaya SPA, Kwon Jun (Korea Selatan) dan juga bekas pemain remaja Ireland Utara yang pernah bermain dengan Kedah dan Sarawak iaitu Billy Mehmet.

Jermaine Pennant ketika mewakili Arsenal dan Liverpool

2 orang lagi pemain import Tampines Rovers ialah pemain sayap dari Kanada Jordan Webb dan juga bekas bintang Arsenal, Liverpool dan Stoke City dari England, Jermaine Pennant.


Siapa Ceres?

Ceres membuat penampilan ke-2 dimana pada musim lepas mereka terkandas di pusingan kelayakan Piala AFC 2015. Kekuatan Ceres terletak di bahagian tengah yang diisi oleh beberapa orang pemain naturalisasi seperti Manuel Ott, Paul Mulders, Martin Steuble dan Patrick Reichelt. Juan Luis Guirado pula ampuh di bahagian pertahanan sebagai ketua pasukan. Stephan Schrock pula dipinjamkan dari kelab Jerman SpVgg Greuther Fruth.

Stephan Schrock (No 7) ketika mewakili skuad Jerman bawah 19 tahun pada tahun 2005

Pemain-pemain naturalisasi ini berpengalaman bermain dalam Liga Jerman, Liga Itali, Liga Belgium, Liga Switzerland, Liga Belanda, Liga Amerika Syarikat dan Liga Sepanyol. Pemain-pemain import Ceres pula tidaklah berapa dikenali. Ceres menggunakan pemain-pemain import dari Korea Selatan, Ireland Utara dan Sepanyol.


Siapa Sheikh Jamal Dhanmondi?

Ini adalah penampilan pertama juara Liga Bangladesh ini dalam kancah Piala AFC. Tidak banyak yang diketahui mengenai pasukan ini. Pemain tempatan yang berprofil tinggi ialah Jamal Bhuyan yang berpengalaman luas dalam Liga Denmark. Selain itu, Sheikh Jamal Dhanmondi juga diperkuatkan dengan pemain kebangsaan seperti Nasiruddin Chowdury dan Mamunul Islam.

Jamal Bhuyan ketika mewakili kelab Denamrk Avedore IF

Sheikh Jamal menggunakan khidmat pemain import dari Nigeria, Gambia dan Haiti. Penyerang Nigeria Kabiru Musa pernah bermain untuk pasukan kebangsaan Nigeria.


JDT pula telah diundi bersama-sama dengan Bengaluru FC (naib juara Liga India), Lao Toyota FC (juara Laos) dan Ayeyawady United (juara piala Aung San Myanmar). JDT juga sedang bertanding dalam pusingan ke-2 Liga Juara-Juara Asia 2016. Sekiranya JDT layak ke Liga Juara Asia 2016, maka slot Piala AFC akan diisi oleh Pahang, namun itu semua tidak berlaku.

Siapa Bengaluru FC?

Ini bukan kali pertama mereka bertemu. Pada tahun lepas JDT menewaskan Bengaluru FC 2-1 setelah masa tambahan dalam pusingan pertama kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2015.

Bengaluru FC membawa masuk penyerang import Korea Utara kelahiran Jepun, Kim Song-Yong untuk menguatkan jentera serangan mereka. Bekas pemain remaja Ireland Utara, Michael Collins juga dibawa masuk untuk menggerakkan jentera tengah. Curtis Osano (Kenya) dan John Johnson (England) masih dikekalkan khidmat mereka.

Bekas ketua pasukan Scunthorpe United, Michael Collins

Tidak ramai pemain kebangsaan India dalam Bengaluru FC dengan pertahanan Lalchhuan Mawia serta pemain tengah Eugeneson Lyongdoh antara yang dikenalpasti. Sunil Chettri masih lagi memberikan khidmatnya tetapi kali ini dipinjamkan dari kelab Mumbai City.


Siapa Lao Toyota FC?

Persembahan Lao Yoyota FC dalam kempen Piala AFC 2015 tidaklah teruk sangat apabila seri 3 kali di tempat sendiri dan tewas tipis 3 kali di tempat lawan. Semestinya dalam penampilan ke-2 kali ni juara Laos ini akan cuba mempertingkatkan persembahan dan kualiti mereka.

Tiada lagi penyerang import Ivory Coast, Frederic Pooda yang telah berhijrah ke Sime Darby FC. Dengan Toyota sebagai penaja utama, tidak hairanlah majoriti pemain import mereka dari Jepun seperti pertahanan Itsuki Yamada yang berpengalaman dalam Liga Singapura bersama Albirex Niigata dan juga penyerang veteran, Kazuo Honma yang berpengalaman luas bermain dalam Liga Hungary di Eropah

Kazuo Honma pernah beraksi dengan gergasi bolasepak Hungary, Ferencvaros

Antara pemain tempatan yang bakal menyinar ialah pertahanan berpengalaman Saynakhonevieng Phommapanya dan juga ketua pasukan Paseuthsack Souliyavong yang menggerakkan jentera tengah.


Siapa Ayeyawady United?

Ayeyawady United sudah membuat 3 kali penampilan dalam Piala AFC dimana pada penampilan yang lepas Ayeyawady United telah mara dari peringkat kumpulan sebelum dibelasah JDT 5-0 dalam perlawanan kalah mati. Ayewayady United sekali lagi diundi bersama juara Laos, Lao Toyota dalam peringkat kumpulan sama seperti tahun lepas.

Skuad Ayeyawady United dibarisi dengan ramai pemain-pemain muda tempatan dan antara yang dijangka menyerlah ialah bekas pemain import Perak, Kyaw Zayar Win selain daripada beberapa orang pemain kebangsaan lain seperti Phyo Ko Ko Thien dan ketua pasukan Min Min Thu.

Kyaw Zayar Win ketika bersama pasukan Perak

Ayeyawady United menggunakan khidmat pemain import dari Ghana, Nigeria, Jepun dan juga penyerang kebangsaan Thailand Kirati Keawsombat.


Dengan status sebagai juara bertahan Piala AFC, sudah pasti JDT akan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan trofi ini dan terus menaikkan ranking bolasepak negara. Selangor sebagai pasukan berpengalaman dalam Piala AFC pula sudah pasti akan membuat persembahan terbaik dan terus bersaing dalam kancah Piala AFC ini.




Saturday, October 31, 2015

Tahniah JDT! Juara Baru Piala AFC 2015 Dari Asia Tenggara



Tahniah JDT! Tanpa kelibat pasukan pilihan seperti Kuwait SC dan juga juara bertahan Al-Qadsia kerana Persatuan Bolasepak Kuwait telah digantung FIFA, telah menyebabkan Istiklol dan JDT membuat penampilan pertama di perlawanan akhir pada percubaan sulong masing-masing dalam Piala AFC.



Sejarah demi sejarah tercipta sejak JDT menewaskan South China pada perlawanan suku akhir dimana JDT tampil sebagai pasukan dari Malaysia pertama layak ke separuh akhir Piala AFC. Tidak lama kemudian, JDT bukan sahaja menjadi pasukan pertama di Malaysia layak ke perlawanan akhir, malah JDT ialah pasukan pertama dari Asia Timur layak ke perlawanan akhir. Dan hari ini, satu lagi sejarah tercipta iaitu JDT adalah pasukan pertama dari Malaysia dan juga dari Asia Timur yang menjulang Piala AFC 2015 ini.

Sejak 3 tahun lalu telah banyak pelaburan yang dibuat dalam pasukan JDT secara keseluruhannya dan hari ini hasilnya telah dituai. Tolak ke tepi segala sentimen kenegerian atau mana-mana perasaan tidak puas hati terhadap mana-mana individu, kelab dan pasukan lain sepatutnya mencontohi model pembangunan bolasepak di Johor secara keseluruhannya.



FAM juga harus buka mata dan bertindak sewajarnya. Mutu bolasepak negara takdelah teruk sangat.... Dana dan tajaan yang diterima diharapkan dapat disalurkan sebaik mungkin agar pengurusan kelab tidak ada masalah kewangan ketika menguruskan kelab.

Sebelum perlawanan bermula, Istiklol adalah calon juara. Mereka beraksi di stadium sendiri, mendapat sokongan padu daripada penyokong tempatan dan Istiklol juga mampu menewaskan Al-Qadsia dalam perlawanan peringkat kumpulan.



Istiklol juga sangat pantas ketika menyerang dan sangat agresif ketika bertahan. Namun, JDT mampu menyaingi kepantasan dan agresif dari pasukan Istiklol. Tanpa kelibat Amri Yahyah sama dalam kesebelasan utama menunjukkan percaturan berani dari coach Mario Gomez yang sangat berpengalaman.

3 gol yang dijaringkan Istiklol juga tidak dikira dan satu-satunya gol JDT yang dijaringkan oleh pemain yang dipinjamkan dari JDT II iaitu Leandro Vazquez berjaya dipertahankan sehingga ke wisel penamat seterusnya melabelkan JDT sebagai juara baru Piala AFC 2015 memecahkan monopoli pasukan dari Asia Barat.

Tahniah sekali lagi untuk JDT!
Luaskan kuasamu....





Tuesday, October 27, 2015

Perlawanan Akhir Piala AFC 2015 : JDT Ialah Wakil Asia Timur Pertama Ke Peringkat Akhir



Penggantungan Persatuan Bolasepak Kuwait (KFA) oleh FIFA berkuatkuasa pada 16.10.2015 yang lalu kerana gagal untuk membuat pindaan undang-undang sukan telah memberikan impak yang sangat besar pada Piala AFC 2015 kali ini.

FAM versi Kuwait

Ini disebabkan oleh 2 pasukan pilihan dalam Piala AFC 2015 kali ini ialah dari Kuwait iaitu Al-Qadsia selaku juara bertahan manakala Al-Kuwait (Kuwait SC) selaku pasukan paling berjaya dengan 3 kejuaraan dalam sejarah kempen Piala AFC.



Dalam perlawanan separuh akhir pertama Al-Qadsia sedang mendahului JDT (Malaysia) dengan 3-1 manakala Kuwait SC sedang mendahului Istiklol (Tajikistan) dengan 4-0. Ini bermakna, kedua-dua pasukan JDT dan Istiklol yang kali pertama beraksi dalam kempen Piala AFC akan beraksi di perlawanan akhir Piala AFC buat julung kalinya.

Pasukan JDT juga bukan sahaja menempa sejarah sebagai pasukan pertama dari Malaysia menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Piala AFC, malahan merupakan pasukan pertama dari Asia Timur mara ke perlawanan akhir Piala AFC.



Pasukan JDT dibarisi oleh majoriti pemain kebangsaan yang diketuai oleh Shafiq Rahim yang mengemudi jentera tengah bersama-sama dengan bintang Singapura, Hariss Harun. Jentera serangan pula diterajui oleh bintang berpengalaman dari Argentina, Luciano Figueroa manakala benteng pertahanan ampuh dengan kehadiran Marcos Antonio (Brazil)



Pasukan Istiklol pula diperkuatkan dengan penjaring terbanyak mereka iaitu Kurshed Makhmudov serta bekas penyerang Lokomotiv Moscow, Manuchekhr Dhalilov. Benteng pertahanan Istiklol diketuai oleh Petro Kovalchuk (Ukraine) dan gawang gol pula dikawal oleh bekas pemain remaja Serbia, Nikola Stosic.



JDT juga perlu berhati-hati dengan kemampuan pasukan dari Dushanbe ini walaupun ini kali pertama mereka menyertai kempen Piala AFC. Di peringkat kumpulan Istiklol menjadi juara kumpulan mengatasi Al-Qadsia. Al-Qadsia juga tidak pernah menewaskan Istiklol di peringkat kumpulan.

Kemudian, di peringkat kalah mati, Istiklol menewaskan juara Syria, Al-Wahda menerusi penentuan sepakan penalti. Pada peringkat suku akhir pula, Istiklol membelasah Pahang 4-0 di Dushanbe. Walaupun Pahang menewaskan Istiklol 3-1 di Kuantan, tapi ini tidak dapat menghalang kemaraan Istiklol ke separuh akhir.

Pintu masuk stadium Pamir di Dushanbe, Tajikistan yang menjadi venue perlawanan akhir Piala AFC 2015

Berdasarkan undian, perlawanan akhir Piala AFC 2015 akan diadakan di Stadium Pamir, Dushanbe pada 31.10.2015. Di atas kertas Istiklol adalah calon juara berdasarkan kepada prestasi dan juga kekuatan sokongan daripada penyokong tempatan nanti. Namun, di bawah kendalian Mario Gomez, JDT sentiasa ada helah tersembunyi untuk menghadapi lawan mereka. Samada sejarah seterusnya tercipta bergantung kepada persembahan JDT di atas padang.

Luasakan kuasamu!!!



Thursday, October 1, 2015

Sejarah Pasukan Dan Kelab Dari Malaysia Dalam Saingan Piala AFC



Piala AFC telah berlangsung selama 10 tahun dan Piala AFC 2015 adalah merupakan edisi yang ke-11. Saingan dalam Piala AFC ini dikhususkan kepada "developing nations" iaitu pasukan atau kelab dari negara yang sedang meningkat naik. Oleh itu, saingan Kejuaraan Kelab Asia pula hanya dikhususkan kepada pasukan yang benar-benar kuat dan dah "established".

Baca : Sejarah Pasukan Malaysia Dalam Liga Juara Asia

Baca : Sejarah Pasukan Dari Malaysia Dalam Asian Cup Winners' Cup


Piala AFC 2004

Perak dan Negeri Sembilan adalah wakil dari Malaysia untuk edisi pertama ini. Perak tampil sebagai juara liga 2003 manakala Negeri Sembilan pula ialah juara Piala FA 2003.

Negeri Sembilan terkandas di peringkat kumpulan di belakang East Bengal (India) dan Geylang United (Singapura) manakala Perak hanya mampu mara sehingga ke suku akhir sebelum tewas kepada Geylang United (Singapura) dengan agregat 3-5.

Selain mendiang Frank Seator, Khalid Jamlus dan V Saravanan adalah tonggak serangan Perak

Pasukan Al-Jaish (Syria) telah menjadi juara pertama Piala AFC 2004 ini menewaskan Al-Wahda (Syria) di perlawanan akhir.


Piala AFC 2005

Pahang tampil sebagai juara liga 2004 manakala Perak pula tampil sebagai juara Piala FA 2004 dalam edisi Piala AFC 2005 ini.

Kedua-dua Pahang dan Perak terkandas di peringkat kumpulan. Pahang di tempat ke-3 di belakang Home United (Singapura) dan New Radiant (Maldives) manakala Perak di tangga tercorot di belakang Sun Hei (Hong Kong), Tampines Rovers (Singapura) dan Club Valencia (Maldives).

Indra Putra Mahyuddin ketika menyarung jersi Pahang

Pasukan Al-Faisaly (Jordan) menjadi juara Piala AFC 2005 edisi ke-2 ini menewaskan pasukan Al-Nejmeh (Lubnan)


Piala AFC 2006

Perlis layak sebagai juara liga 2005 manakala Selangor layak sebagai juara Piala FA 2005 untuk bertanding dalam Piala AFC 2006 ini.

Perlis terkandas di peringkat kumpulan di belakang Xiangxue Sun Hei (Hong Kong) manakala Selangor telah tewas di suku akhir kepada Al-Nejmeh (Lubnan) dengan agregat 0-1.

Pemain import dari Indonesia, Bambang Pamungkas adalah penyerang prolifik Selangor ketika ini

Pasukan Al-Faisaly (Jordan) selaku juara bertahan telah mengekalkan kejuaraan Piala AFC 2006 menewaskan pasukan Al-Muharraq (Bahrain)


Piala AFC 2007

Negeri Sembilan tampil sebagai juara liga 2006 manakala Pahang tampil sebagai juara Piala FA 2006 untuk bertanding dalam Piala AFC 2007.

Kedua-dua Negeri Sembilan dan Pahang terkandas di peringkat kumpulan dimana Negeri Sembilan di tempat ke-2 di belakang Sun Hei (Hong Kong) manakala Pahang di tempat tercorot di belakang Tampines Rovers (Singapura), Mohun Bagan (India) dan Osotsapa (Thailand).

Pasangan adik beradik kembar Zaquan Adha dan Aidil Zafuan beraksi untuk Negeri Sembilan

Pasukan Shabab al-Ordon (Jordan) menewaskan juara bertahan Al-Faisaly dan muncul sebagai juara Piala AFC 2007.


Piala AFC 2008

Kedah layak sebagai juara berganda Malaysia tahun 2007 manakala Perak layak sebagai naib juara liga 2007 untuk bertanding dalam Piala AFC 2008.

Kedah dan Perak layak ke peringkat suku akhir sebelum tunduk kepada lawan masing-masing. Kedah tewas kepada Al-Muharraq (Bahrain) dengan agregat 1-7 manakala Perak tewas kepada Safa (Lubnan) dengan agregat 0-7.

Baddrol Bakhtiar dan Khyril Muhymeen adalah tonggak perancang utama Kedah

Pasukan Al-Muharraq (Bahrain) muncul juara Piala AFC 2008 setelah menewaskan Safa (Lubnan) di perlawanan akhir.


Piala AFC 2009

Beberapa perubahan format pertandingan telah dibuat pada edisi kali ini dan lebih banyak pasukan menyertai Piala AFC 2009 ini. Kedah layak sebagai juara berganda Malaysia pada tahun 2008 manakala Johor FC layak kerana mendapat tempat ke-3 dalam liga Malaysia 2008. 


Johor FC telah mendapat tempat terakhir dalam kumpulan di belakang South China (Hong Kong), PSMS Medan (Indonesia) dan VB (Maldives). Kedah meneruskan rentak kecemerlangan apabila mara ke pusingan kalah mati 16 pasukan sebelum tewas kepada Binh Duong (Vietnam) dengan agregat 2-8.

Eddy Helmi Abd Manan beraksi untuk Johor FC

Pasukan Al-Kuwait (Kuwait) telah muncul juara Piala AFC 2009 setelah menewaskan pasukan Al-Karamah (Syria) pada perlawanan akhir.


Piala AFC 2010

Hanya Selangor sebagai juara liga 2009 yang mewakili Malaysia pada edisi Piala AFC 2010 ini. Pasukan Negeri Sembilan telah menarik diri sekali lagi dan akibatnya satu lagi slot untuk Malaysia telah diberikan kepada Indonesia iaitu pasukan Persiwa Wamena.

Pasukan Selangor tekandas di peringkat kumpulan di belakang Sriwijaya (Indonesia) dan Binh Durong (Vietnam).

Safee Sali dan Safiq Rahim adalah tonggak utama pasukan Selangor

Juara Piala AFC 2010 adalah milik pasukan Al-Ittihad (Syria) yang telah menewaskan Al-Qadsia (Kuwait) di perlawanan akhir.


Piala AFC 2011

Malaysia telah gagal untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh AFC sebelum kejohanan Piala AFC 2011. Oleh itu, tiada wakil dari Malaysia dalam edisi kali ini.

Pasukan Nasaf Qarshi (Uzbekistan) muncul juara Piala AFC 2011 selepas menewaskan Al-Kuwait (Kuwait) di perlawanan akhir


Piala AFC 2012

Malaysia kembali menyertai Piala AFC 2012 dengan Kelantan layak sebagai juara liga tahun 2011. Terengganu sebagai juara Piala FA 2011 sepatutnya bertanding dalam pusingan kelayakan Piala AFC 2012 tetapi memandangkan Liaoning Whowin (China) telah menarik diri, maka Terengganu terus layak ke peringkat kumpulan tanpa melalui pusingan kelayakan.

Kelantan dan Terengganu melepasi peringkat kumpulan dan mara ke pusingan kalah mati 16 pasukan. Malangnya Kelantan dan Terengganu bertemu sesama sendiri dan Kelantan telah mara ke suku akhir setelah menewaskan Terengganu 3-2. Di peringkat suku akhir pula, Kelantan dibenam pasukan Erbil (Iraq) dengan agregat 2-6.

Penyerang prolifik Terengganu, Francis Forkey Doe

Juara Piala AFC 2012 adalah milik pasukan Al-Kuwait (Kuwait) setelah menewaskan Erbil (Iraq) di perlawanan akhir.


Piala AFC 2013

Kelantan muncul dalam Piala AFC 2013 sebagai juara berganda dari Malaysia untuk tahun 2012 manakala Selangor muncul sebagai tempat ke-3 dalam liga Malaysia 2012 menggantikan Lions XII (naib juara liga) yang merupakan pasukan jemputan.

Kelantan dan Selangor terkandas kepada lawan masing-masing di peringkat kalah mati 16 pasukan. Kelantan tewas kepada Kitchee (Hong Kong) dengan 0-2 manakala Selangor tewas kepada New Radiant (Maldives) juga 0-2 setelah masa tambahan.

Dickson Nwakaeme cemerlang bersama Kelantan

Al-Kuwait (Kuwait) mempertahankan kejuaraan dan muncul juara Piala AFC 2013 menewaskan Al-Qadsia (Kuwait) di perlawanan akhir.


Piala AFC 2014

Dalam Piala AFC 2014 ini, Selangor tampil sebagai naib juara liga 2013 menggantikan Lions XII (juara liga 2013) yang merupakan pasukan jemputan. Kelantan pula tampil sebagai juara Piala FA 2013.

Kedua-dua Selangor dan Kelantan terkandas di peringkat kumpulan. Selangor di tempat ke-3 di belakang Hanoi T&T (Vietnam) dan Arema Cronus (Indonesia) manakala Kelantan di tangga tercorot di belakang Vissai Ninh Binh (Vietnam), Yangon United (Myanmar) dan South China (Hong Kong).

Penyerang berbisa Selangor, Paulo Rangel

Piala AFC 2014 dimenangi oleh Al-Qadsia (Kuwait) yang telah menewaskan Erbil (Iraq) di perlawanan akhir.


Piala AFC 2015

Sebagai juara liga 2014, JDT layak ke pusingan kelayakan liga juara-juara Asia namun terkandas apabila tewas kepada Bangkok Glass (Thailand) dengan jaringan 0-3. Jadi JDT dan Pahang (juara Piala FA 2014) bertanding dalam Piala AFC 2015 kali ini

Pemain import JDT, Luciano Figueroa

JDT muncul pasukan dari Malaysia yang pertama menjejakkan kaki ke peringkat separuh akhir Piala AFC setelah mengejutkan South China (Hong Kong) di suku akhir. Pahang pula terkandas di suku akhir kepada pasukan Istiklol (Tajikistan). Menanti JDT di separuh akhir ialah juara bertahan dari Kuwait iaitu al-Qadsia.

Ternyata kejohanan Piala AFC ini didominasi oleh pasukan dari Asia Barat khususnya dari negara Teluk seperti Kuwait dan Syria. Belum ada pasukan dari Asia Timur yang layak ke perlawanan akhir Piala AFC ini. 

Pasukan dari Asia Timur seperti Kitchee (Hong Kong), Persipura Jayapura (Indonesia), East Bengal (India), Chonburi (Thailand), Muangthong United (Thailand), South China (Hong Kong), Binh Duong (Vietnam), Dempo (India), Sun Hei (Hong Kong), New Radiant (Maldives), Geylang United (Singapura) dan Home United (Singapura) sahaja yang pernah layak ke peringkat separuh akhir Piala AFC ini.




Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...