Saturday, October 21, 2023

Pengalaman Pertama Daftar Anak Masuk Kolej - INTEC Shah Alam

 

Masa berlalu begitu pantas... anak sulung dah menamatkan zaman sekolah, dan kini bermula alam baru iaitu... campus life. Masa entry pertama blog ni dibuat... anak sulung baru berumur 9 tahun... sekarang dah 18 tahun 😂.

Selepas dapat keputusan tawaran biasiswa daripada Yayasan Peneraju dan juga tempat belajar di INTEC Shah Alam, maka dalam tempoh 5 hari dah nak kena bersiap untuk hari pendaftaran... memang kelam kabut... jadi bersiap dengan apa yang ada saja lah untuk hari pendaftaran. Kalau nak tau persediaan mungkin boleh baca blog ni....

Sejarah INTEC

INTEC Shah Alam ni lebih dikenali sebagai tempat persediaan pelajar sebelum ke luar negara. Perkataan INTEC tu sendiri daripada "International Education College" dimana sebelum ni juga dikenali sebagai PPP (Pusat Pendidikan Persediaan) dan PPLN (Pusat Persediaan Luar Negeri).

INTEC ditubuhkan pada tahun 1982 sebagai pusat persediaan di bawah ITM Mara. Pada tahun 2010, INTEC telah dinaiktaraf sebagai kolej dan pada tahun 2014 INTEC telah diswastakan dan tidak lagi bernaung di bawah MARA.

Berikut adalah program pengajian yang ditawarkan di INTEC Shah Alam :-
- American Degree Transfer Programme
- A-Levels
- A-Levels (German)
- Association of Chartered Certified Accounts (ACCA)
- Certified Accounting Technician (D-CAT)
- Foundation in Accounting (FIA)
- Korean Preparatory Programme
- Japanese Preparatory Programme
- South Australian Certificate of Education International (SACE)
- Diploma in Business Management
- Diploma in Accounting
- Diploma in Scientific Halal Practices
- Diploma in Islamic Finance
- Diploma in Public Management and Governance
- Certificate in Finance, Accounting and Business
- Association of Chartered Accountants (ACA) for Institute of Chartered Accountants in England and Wales
- English Language Proficiency
- Learn Korean with us
- ICDL - The Digital Skills Standard
- ACCA Accelerate Programme
- ACCA Intensive Revision Course 
- ACCA Modular Programme (Part-time)

31 Julai 2023 (Isnin) - Hari Pendaftaran

Kami decide untuk check in di homestay sekitar Shah Alam... untuk mengelakkan sebarang kelewatan yang tak patut masa hari pendaftaran. Secara tentatifnya... sebelah pagi adalah pendaftaran di kolej, dan sebelah petang adalah pendaftaran di asrama. Selepas sarapan di homestay, kami terus ke Intec Shah Alam di Seksyen 17 untuk pendaftaran.

Suasana di hari pendaftaran INTEC

INTEC ni kecik je macam sekolah... jadi tak jauh untuk jalan kaki dari satu tempat ke tempat yang lain. Belajar pun dalam kelas macam kat sekolah... Kelebihannya... mudah nak tanya lecturer on the spot dalam kelas, kalau ada apa-apa yang tak faham. Dulu pun, INTEC ni sebahagian daripada kolej ITM/UiTM. So, hari orientasi dia pun cuma 1 hari je lah... tak macam di kampus lain.

Perpustakaan INTEC

Asrama Pelajar INTEC

Agak-agak kat mana ye asrama pelajar INTEC? Secara tradisi dan sinonimnya asrama INTEC ada 3 iaitu kolej Cendana, Akasia dan Cemara. Kolej Akasia dan Cemara terletak di Seksyen 18 Shah Alam... lokasi dan suasana yang agak happening... boleh pergi mall, kedai makan dan beli barang runcit dengan jalan kaki je... Tapi yang kureng best sikit... kalau dapat tingkat atas (takde lif), fasiliti bangunan lama, dan kekadang takde air ☺.

Alhamdulillah... rezeki Adam dan batch dia kali ni sebab dapat kolej atau asrama baru yang dikenali sebagai Palm Garden terletak di Bandar Baru Klang... dan bertentangan dengan i-City Shah Alam. Ini adalah inisiatif daripada Intec sendiri yang berurusan dengan sebuah syarikat yang menyediakan penempatan pelajar di sekitar Shah Alam. Yayasan Peneraju juga telah request daripada Intec untuk ditempatkan semua pelajar bawah tajaan mereka di Palm Garden sahaja.

Bersama penyelaras asrama aka boss syarikat yang sediakan penempatan pelajar...
Siapa kenal??

Palm Garden ni ialah apartment dimana ada beberapa unit belum terjual dan sudah terjual bersetuju untuk menyewakan unit tersebut kepada mana-mana pihak berminat. Walaupun lokasinya agak jauh dari Intec berbanding kolej lain (20 minit perjalanan), tetapi kelebihannya adalah fasiliti yang bagus, ada gym, badminton court, swimming pool, ada lif. Apartment ni 3 bilik.. dimana 1 bilik boleh muat 2 pelajar, ada kitchen cabinet dan dibenarkan memasak (boleh jimat kos makanan luar), ada mesin basuh, ada peti sejuk, ada wifi (bil utiliti tak boleh lebih RM200 sebulan.. kalau lebih pelajar kena tanggung).

Ruang belajar di ruang tamu

1 bilik 2 orang = 3 bilik 6 orang

dapat mesin basuh baru

kitchen cabinet

Nak dapat rumah ni pun tak seindah yang disangka lah... 😂. Pada mulanya dapat rumah lain di Tingkat 1, tapi rupa-rupanya renovation rumah tu belum siap sepenuhnya... dan memang tak boleh nak tinggal situ... lepas request unit lain, dapatlah replacement rumah sekarang di Tingkat 19.

Walau dimana lokasi sekalipun terletaknya asrama pelajar INTEC... ada bas yang disediakan sebagai pengangkutan dari asrama ke kolej. Para pelajar kena alert dengan jadual perjalanan setiap bas... untuk mengelakkan lewat masuk ke kelas.

Sekiranya ingin bawa kenderaan sendiri... kena cek dengan penyelia asrama masing-masing kerana setiap asrama berbeza peraturannya. Contohnya jika asrama di Palm Garden, ada bayaran tambahan parking sekiranya ingin bawa kereta sendiri.

Mudah-mudahan dapat stay asrama atau rumah ni sampai habis belajar... dan tak perlu pindah ke kediaman lain... Amin.....




Friday, October 20, 2023

Pengalaman Anak Mohon Biasiswa - Halatuju Pendidikan Selepas SPM

 

Selepas keputusan SPM diumumkan, maka bermulalah perjalanan anak-anak untuk halatuju mereka ke menara gading samada ke matrikulasi, kolej atau universiti. Antara perkara yang perlu mereka tahu dan kena tahu ialah samada terdapat mana-mana badan kerajaan atau swasta yang menyediakan biasiswa atau bantuan pelajaran untuk membiayai dana pendidikan mereka.

Malah... ada yang seawal keputusan percubaan SPM (sekiranya cemerlang) telah memohon dana pembiayaan untuk mendapatkan biasiswa penuh, separa penuh ataupun pinjaman boleh ubah. Antara sumber yang boleh dipercayai untuk mendapatkan maklumat sebegini ialah di FB Halatuju Pendidikan Selepas SPM. Selain itu, boleh juga dapatkan maklumat daripada guru kaunseling sekolah masing-masing.

Bantuan pendidikan yang diperolehi ni tak semestinya untuk mereka yang melanjutkan ke luar negara, malah ada juga bantuan yang diberikan untuk belajar dalam negara. Jika tidak dapat mana-mana bantuan, maka bolehlah pertimbangkan mohon PTPTN ataupun "self sponsor" untuk mereka yang berkemampuan.

Untuk anak kami Adam, kami create whatsapp group untuk memantau perjalanan memohon biasiswa untuk pendidikan Adam seterusnya.

✅ selesai di setiap peringkat 
❌ gagal di peringkat tersebut
🌟 berjaya mendapat tawaran

Penting untuk berbincang dengan anak, bidang apa atau kerjaya apa yang menjadi target mereka pada masa hadapan. Sebaiknya seawal Tingkatan 4 dah boleh berbincang dengan mereka berkenaan ni.... kalau bertukar-tukar matlamat dan halatuju di peringkat ni... biasalah... 😅 Asalkan dia minat... Masa anak dah Form 5 diharapkan, anak kita dah nampak bayangan masa hadapan mereka. Hulurkan bantuan dengan mendengar pendapat mereka, memberikan pendapat dan cadangan... supaya jelas apa yang bakal anak kita lalui.

Macam Adam pada mulanya dia minat bidang Ekonomi... masa Form 5 dia dapat info daripada cikgu Prinsip Akaun dia berkenaan ACCA iaitu Sijil Akauntan Professional. Dan dengan ada ACCA ni pun dia boleh support dan tambah nilai minat dia dalam bidang Ekonomi. Adam pun ada dapatkan maklumat-maklumat ACCA daripada beberapa orang senior dia. Basically ACCA ni bukan diploma atau ijazah, tapi sijil professional yang diiktiraf seluruh dunia.

Road to ACCA

Perjalanan nak cari biasiswa ni bermula lepas habis SPM, guna result trial SPM dulu... ada juga yang kena tunggu result SPM sebenar baru boleh mohon. Selain cari biasiswa, masa ni pun dah boleh masuk permohonan ke universiti awam di UPU online.

Antara banyak-banyak yang Adam mohon ni... dia dah ada target no 1 iaitu untuk melanjutkan pelajaran dalam ACCA dan dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Peneraju. Permohonan-permohonan lain dibuat juga sebagai backup sekiranya tak dapat... dan juga ambil pengalaman untuk tempuhi assessment. Itupun banyak yang Adam tak dapat apply biasiswa, sebab tak dapat capai target minimum kebanyakan biasiswa... Add Math A- 😐

Selepas tarikh keputusan SPM sebenar diumumkan, maka bermulalah proses assessment ataupun penilaian untuk kesemua calon biasiswa ni. Ada assessment yang dilakukan secara bersemuka dan ada juga assessment yang dilakukan secara online. Para pelajar kena alert dengan email masing-masing kerana pada kebiasaannya makluman akan disalurkan ke email. Assessment ni berbeza untuk setiap badan yang tawarkan biasiswa... ada yang perlukan kita siapkan English essay untuk topik tertentu, online interview, online test, grouping assessment, presentation dan banyak lagi.

Alhamdulillah... setelah semua keputusan diperolehi... Adam decide untuk terima biasiswa penuh daripada Yayasan Peneraju untuk melanjutkan pelajarannya dalam ACCA. Adam pilih penempatan di INTEC Shah Alam. Selain INTEC, ACCA di bawah Yayasan Peneraju ada juga penempatan di Sunway TES, TYMBA dan UOW Malaysia KDU College. Kalau pilih penempatan lain, ada kemungkinan kena top up bayaran disebabkan kos penginapan dan makanan terutamanya di kolej lain adalah lebih tinggi.

Antara tawaran yang ditolak 🙏

Yayasan Peneraju juga ada membuka peluang biasiswa setelah pelajar-pelajar mendapatkan universiti terlebih dahulu... contohnya pengajian ACCA di UiTM Tapah. Ini bermakna pelajar terima dahulu tawaran di universiti dan memohon biasiswa kemudian.

Yayasan Peneraju menanggung sepenuhnya yuran pengajian, penginapan dan duit poket sebanyak RM750.00 sebulan. Duit poket ni dibayar 3 bulan sekali... dan adakalanya dapat lewat atas sebab-sebab pentadbiran... So memang pada awalnya kena pakai duit sendiri... mujur Adam ada buat kerja part time lepas habis SPM... adalah duit belanja.... Bila dah dapat biasiswa penuh ni... kena jaga prestasi pelajaran... jangan leka, jangan banyak main... dan kena fokus pada pelajaran. Kalau result tak achieve... biasiswa akan ditarik balik.

Dalam tempoh 3 tahun pertama, biasanya akan dapat kerja dengan company atau firm Malaysia sama ada dalam atau luar negara. Didoakan semoga lebih ramai lagi bumiputra menjadi akauntan professional dengan asbab bantuan daripada Yayasan Peneraju... Amin Ya Rabb.....



Thursday, October 19, 2023

SPM 2022 - Tahniah Buat Semua Anak-Anak

 

SPM 2022 telah diadakan pada 20 Februari 2023 hingga 15 Mac 2023 yang lalu. Anak-anak yang ambil SPM 2022 ni juga dikenali sebagai batch 05 sebab majoriti daripada mereka lahir pada tahun 2005. Ini adalah pengalaman besar kami sebagai ibu bapa untuk anak sulung yang ambil peperiksaan besar. Maklum sajalah PT3 zaman mereka dibatalkan.

Cabaran besar untuk anak-anak SPM 2022 ni ialah subjek Matematik Tambahan. Kebanyakan daripada mereka masih lemah penguasaan asas matematik semasa menengah rendah disebabkan suasana belajar semasa PKP yang kurang membantu. Asas matematik ni diperlukan untuk subjek Matematik Tambahan. Akibatnya majoriti gagal subjek Matematik Tambahan semasa ujian dan peperiksaan Tingkatan 4. Ini terkecuali untuk mereka yang benar-benar genius 😅.

👉Buku Nota Add Maths dan Maths Cikgu Hassan👈

Begitu juga terjadi pada anak sulung kami, Adam... yang tak pernah lulus Matematik Tambahan... even semasa percubaan SPM juga masih gagal. Alhamdulillah... semasa keluar result SPM sebenar, akhirnya Adam lulus subjek Matematik Tambahan.

Oh ye... bukan semua sekolah ada ambil subjek Matematik Tambahan. Sekolah-sekolah khusus, sekolah berasrama penuh, MRSM mewajibkan semua pelajarnya ambil subjek Matematik Tambahan walaupun mereka bukan di aliran Sains. Kenapa diwajibkan? Biasanya subjek Matematik Tambahan ni adalah pra-syarat untuk anak-anak mohon biasiswa penuh, pinjaman boleh ubah dan bantuan-batuan lain daripada agensi kerajaan ataupun swasta untuk mereka melanjutkan pengajian lebih tinggi. Selain itu, subjek ni juga akan menaikkan merit anak-anak untuk memohon masuk ke universiti-universiti pilhan mereka.

8 Jun 2023 - Hari ambil result SPM 2022

Masanya dah tiba... awal pagi gerak dari Cheras menuju ke Klang. Sampai di Klang cari port sarapan dulu... then baru gerak ke dewan sekolah. Suasana dalam dewan... macam-macam ada... ada yang menangis (gembira atau sedih??)... ada yang mengucapkan tahniah sesama sendiri dan macam-macam lagi. Maklumlah... ada yang dah cek result SPM secara online... dan ada yang hold... dan tunggu slip result secara manual... Adam pun cuba cek secara online... tapi loading je... satu Malaysia kot tengah cek 😂. Dah hujung-hujung tu, barulah dapat result secara online...

Majlis dimulakan dengan ucapan pengetua... dan disertakan dengan slide presentation analisa pencapaian sekolah.... result batch ni agak merosot jika dibandingkan dengan result senior-senior mereka sebelum ini 😓. Dan akhir sekali diumumkan nama pelajar-pelajar yang dapat straight A's (11A) untuk naik ke pentas. Kat KISAS ni yang 10A tak dapat naik pentas... sebab tak muat... Masa hari anugerah kecemerlangan nanti baru ada peluang naik pentas.

Keputusan yang agak merosot

Para pelajar 11A di atas pentas

Adam dan BFF dia... Rasyid

9 Ogos 2023 - Hari Anugerah Kecemerlangan SPM 2022

Masa majils ni Adam dah masuk kolej... sama juga dengan pelajar-pelajar lain yang kebanyakannya dah masuk kampus universiti masing-masing. Majlis kali ni menjemput pelajar-pelajar yang mendapat 11A dan 10A untuk naik ke pentas untuk mengambil sijil SPM dan token wang tunai.



Kejayaan adalah sebuah perjalanan, bukannya satu destinasi. Perjalanan menuntut ilmu adalah jauh lagi sehingga ke liang lahad. Semoga Allah swt melindungi anak-anak kita semua dan menjadikan mereka pencinta ilmu... Amin Ya Rabb....



Wednesday, October 18, 2023

Pengalaman Anak Exam PKSK ( Peperiksaan Kemasukan Sekolah Khusus )

 

UPSR dan PT3 dimansuhkan sepenuhnya bermula tahun 2022 dan digantikan dengan PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) dan PBD (Pentaksiran Bilik Darjah) secara menyeluruh. Sebelum ini, UPSR dan PT3 juga tidak dilaksanakan bermula tahun 2020 disebabkan pandemik covid-19. 

PKSK pula dilaksanakan bukan sebagai pengganti UPSR dan PT3 tapi sebaliknya sebagai "entry point" untuk anak-anak memohon ke sekolah khusus seperti SBP (Sekolah Berasrama Penuh), SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama), SMT (Sekolah Menengah Teknik), KV (Kolej Vokasional) dan MTD (Maktab Tentera Diraja).

18/02/2021 - Adam PKSK di SMK Bandar Rinching, Semenyih untuk kemasukan Form 4
02/02/2023 - Myra PKSK di SMK Bandar Tun Hussein Onn, Cheras untuk kemasukan Form 4
15/02/2023 - Hannah PKSK di SMK Bandar Tun Hussein Onn, Cheras untuk kemasukan Form 1

Macam mana nak mohon PKSK ni?? Permohonan biasanya dibuka pada bulan Ogos setiap tahun... tertakluk pada sebarang pindaan tarikh. Syarat utama adalah wajib seorang warganegara Malaysia dan wajib daftar APDM (Aplikasi Pengkalan Data Murid). Pemohon mestilah berumur 12 tahun untuk permohonan ke Tingkatan 1 dan berumur 15 tahun untuk permohonan ke Tingkatan 4.

Seterusnya murid hendaklah menghubungi pihak sekolah atau guru dan kemaskini data dalam APDM. Murid juga perlu mendapatkan PBD daripada guru masing-masing. Format exam PKSK adalah untuk menguji kecerdasan insaniah - EQ, SQ, SSQ (20%), kecerdasan intelek - IQ, Pengetahuan Am dan Penyelesaian Masalah (70%) dan artikulasi penulisan (10%). Berhati-hati ketika membuat permohonan PKSK secara online dan sebaik-baiknya dapatkan panduan dan pengawasan daripada guru atau ibu bapa.


Masa Adam ambik PKSK, banyak benda tak prepare... sebab masih baru lagi benda ni. Mujur dia kata boleh jawab... dan Alhamdulillah... dapat masuk sekolah pilihan dia. Masa Myra dan Hannah nak exam PKSK kami banyak suruh dia buat latihan artikulasi penulisan jer... yang lain-lain tu memang base on pengetahuan am masing-masing. Alhamdulillah... Myra pun dapat ke sekolah pilihan dia... Hannah tak dapat ke sekolah yang dipohon... dah buat rayuan pun masih gagal... Beberapa bulan lepas tu Hannah terlepas cakap yang dia tak buat betul-betul... hmmmm.... 😅




Tuesday, October 17, 2023

Pengalaman Anak Dapat Sekolah KISAS - Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang

 

Alhamdulillah... syukur ke hadrat Ilahi... anak kami seterusnya juga dapat masuk ke Tingkatan 4 KISAS untuk tahun 2023. Dapat juga ikut jejak langkah abangnya masuk KISAS tahun 2021.

Baca : Pengalaman exam PKSK


Dari segi persediaan... dah tak kelam kabut sangat... sebab dah ada pengalaman sebelum ni, masa abang dia dapat KISAS. Cuma persediaan untuk pelajar perempuan ada beza sikit berbanding pelajar lelaki.

Masa Form 1, Myra dah masuk asrama kat SAMSMEL (Sekolah Agama Menengah Sungai Merab Luar)... sekolah bawah JAIS... masa ni tahun pertama PKP... memang struggle lah... setiap kali ada arahan kena balik... memang tak boleh tinggal langsung barang kat asrama... dah macam pindah rumah penatnya... 😅

Tahun berikutnya... dah halfway Tingkatan 2... kami decide keluarkan Myra dari asrama dan kembali ke sekolah lamanya... sekolah harian di Cheras... Alhamdulillah... nampak ada perkembangan positif dari segi pelajarannya dan cara dia uruskan masanya...

27/03/2023 - Hari Pendaftaran Tingkatan 4 KISAS 2023

Bangunan "baru" KISAS 3 tingkat - sebelum ni bangunan kandang kuda yang dah dirobohkan

Mulai tahun 2023, pakaian pelajar KISAS dah berubah iaitu warna putih dan hitam untuk kedua-dua pelajar lelaki dan perempuan. Ini bertujuan untuk seragamkan dengan warna blazer hitam yang dipakai pada hari Isnin semasa perhimpunan dan juga semasa acara rasmi.

Tiada lagi pendaftaran secara drive through macam 2 tahun lepas... kali ni boleh buat secara proper... dan pelajar baru just follow senior untuk ke checkpoint tertentu sehingga selesai pendaftaran. Selesai pendaftaran di sekolah... beberapa orang kakak senior dah ready dengan trolley datang ke kereta untuk memunggah barang naik ke asrama.

Sama macam abang dia... Myra pun dapat rumah biru (Khalid)... Yang bestnya kalau dapat rumah biru untuk pelajar perempuan ialah ada peluang untuk dapat katil single dan bukan double decker... Memang betul rezekilah... masa masuk dorm tu memang dapat dorm yang katil single.

Dapat katil single....

Lepas selesai kemas katil dan locker... maka ditinggalkanlah Myra bersama rakan-rakan yang lain untuk memulakan kehidupan asrama di KISAS. Untuk pelajar perempuan... jarak dari asrama ke sekolah memang dekat dengan berjalan kaki... tak perlu guna jejantas macam pelajar lelaki 😄

Waktu melawat dan outing pelajar asrama KISAS

Setiap hujung minggu, ibu bapa dan keluarga boleh melawat pelajar asrama KISAS... biasanya hari Ahad. Pada hari Sabtu... hanya hari-hari tertentu bergantung kepada arahan terkini pihak sekolah. Pada kebiasaannya pagi Sabtu ada macam-macam program asrama seperti gotong-royong, program motivasi dan rohani, kelas tambahan dan sebagainya... Takdelah rasa "kosong" sangat masa hujung minggu di asrama.

Jadual giliran melawat dan outing juga ada disediakan oleh pihak sekolah. Pada kebiasaannya jika hari giliran melawat pelajar perempuan, maka hari yang sama ialah giliran pelajar lelaki outing dan begitulah sebaliknya. Waktu outing pelajar KISAS ialah bermula 12.30 tengah hari dan perlu pulang ke asrama sebelum 5.00 - 5.30 petang.

Pihak sekolah boleh membekukan keistimewaan outing pelajar ini untuk tempoh tertentu sekiranya para pelajar ada melanggar peraturan sekolah seperti tidak menjaga kebersihan asrama, tidak mengemas bilik dan katil dan lain-lain.

Waktu pelajar KISAS boleh pulang bermalam di rumah

Selain daripada "balik wajib" iaitu semasa cuti panjang macam cuti sekolah dan cuti perayaan... pihak sekolah juga ada memberikan "balik bermalam pilihan" untuk minggu-minggu tertentu. Ini memberikan peluang kepada pelajar untuk pulang ke rumah keluarga masing-masing, rumah saudara-mara terdekat atau rumah kawan-kawan mereka untuk menghabiskan masa hujung minggu mereka. Pelajar boleh pulang pada hari Jumaat dan perlu kembali ke asrama pada petang Ahad.

Bas balik kampung disediakan oleh KISAS

Untuk pelajar yang rumahnya jauh atau berada di luar lembah Klang, KISAS ada menyediakan bas untuk pulang ke kampung halaman masing-masing... tetapi hanya untuk situasi balik wajib atau cuti panjang sahaja... Ini bermakna dalam bas tersebut hanya pelajar KISAS sahaja.... dan akan diturunkan ke hentian-hentian tertentu... biasanya di sekolah SBP lain.


Sama-sama kita doakan agar anak-anak kita semua berada di bawah lindungan dan rahmat Allah swt walau dimana jua mereka berada... Aminn... 

Insya Allah, jumpa lagi di entry yang lain ✌




Wednesday, October 11, 2023

Pengalaman Pertama Anak Masuk Ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP)

 

Mendapatkan pendidikan terbaik untuk anak-anak adalah impian dan harapan setiap ibu bapa. Bukannya kesempurnaan yang dikejar... tetapi suasana tempat belajar yang terbaik dan kondusif diperlukan bersama-sama rakan-rakan yang positif untuk pergi lebih jauh dan mendapat peluang lebih cerah.

Di Malaysia... menghantar anak ke asrama terutamanya ke sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) adalah amat sinonim dan biasa didengari... Ada yang pengambilan masuk diambil semasa Tingkatan 1 dan ada juga pengambilan masuk semasa Tingkatan 4.

Masa Tingkatan 1, Adam masuk sekolah asrama bawah MAIWP di Cheras. Semasa Tingkatan 3, pandemik covid-19 melanda... banyak masa dihabiskan di rumah, belajar online dari rumah dan PT3 dimansuhkan.


Masa entry ni ditulis Adam dah belajar kat INTEC Shah Alam... sekarang tengah mid sem break semester 1 untuk foundation ACCA. Alhamdulillah... Adam dapat biasiswa penuh daripada Yayasan Peneraju untuk teruskan dengan program ACCA ni...

Untuk masuk ke mana-mana sekolah khusus, anak-anak perlu hadiri peperiksaan PKSK. Sebelum tu... biasanya bulan Ogos setiap tahun akan dibuka pendaftaran untuk PKSK, pada bulan September akan diketahui lokasi pusat taksiran PKSK (pada kebiasaannya sekolah tertentu yang berhampiran dengan kediaman pelajar) dan pada bulan Oktober akan dilaksanakan taksiran PKSK. Keputusan PKSK akan diketahui biasanya pada bulan Mac tahun berikutnya.


Alhamdulillah... Adam dapat pilihan sekolah pertama iaitu KISAS... Tempoh masa lepas dapat tawaran dan juga masa pendaftaran tak lama... lebih kurang 2 minggu je... masa tu memang rushing untuk cari kelengkapan dan keperluan asrama, serta lengkapkan dokumen dan medical check up yang diperlukan.


Pengalaman Anak masuk ke Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Kelang

6 April 2021 - Zaman ni masih lagi era pandemik... Proses pendaftaran juga dibuat secara "touch n go" ataupun "drive through" untuk mengurangkan potensi kontek rapat.

Khemah-khemah atau checkpoint yang perlu dilalui semasa pendafataran pandu lalu

Selepas selesai pendaftaran di sekolah... kami terus ke seberang jalan untuk menghantar barang-barang ke asrama...

Abam senior rumah Khalid (biru) yang sado sedia untuk tolong angkat barang 😃

Pelajar lelaki di KISAS akan dapat bilik untuk 4 orang dengan katil double decker, so dia tak macam dorm asrama sangat yang ramai orang...

Barang-barang dah siap masuk ke bilik... 

Dah selesai semua urusan... maka ditinggalkanlah mereka untuk meneruskan kehidupan asrama yang lebih berdikari dan berdisiplin...

Bergambar kenangan di hadapan sekolah

Bergambar kenangan di hadapan asrama

Pelajar lelaki di KISAS akan ke sekolah dengan menggunakan jejantas yang menyeberangi jalan raya. Dulu-dulu boleh je nak seberang jalan tanpa jejantas... sebab kereta tak banyak sangat dan tak laju... Zaman sekarang dah lain... wajib guna jejantas untuk keselamatan.

Jejantas kisas

Tahun 2021 ni pun entah berapa kali kena balik... bergantung pada situasi covid semasa... Tahap pembelajaran kebanyakan pelajar juga tidak mencapai target yang sepatutnya... Memang kena berdisiplin, bermotivasi dan hard work untuk catch up balik mana-mana pelajaran yang ketinggalan.

Jumpa lagi di entry yang lain ✌

Sunday, October 8, 2023

Perunding Hartanah vs Ejen Hartanah


Di Malaysia... Perunding Hartanah dipanggil dan dikenali sebagai Ejen Hartanah. Pada hakikatnya, Perunding Hartanah dan Ejen Hartanah adalah 2 entiti yang berbeza. Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan pernah menggunakan khidmat ejen hartanah untuk menjual rumah, tanah atau hartanah lain... ketahuilah bahawa mereka ialah "Perunding Hartanah".

Perunding Hartanah ialah mereka yang dilantik oleh Ejen Hartanah untuk membantu Agensi Hartanah menjalankan operasi, mendapatkan listing hartanah, mengiklankan, memasarkan dan menjual hartanah bagi pihak Ejen Hartanah. 


Bagaimana cara untuk menjadi Perunding Hartanah?

1 - Daftar dengan mana-mana Agensi Hartanah berdaftar dan seterusnya menghadiri kursus Perunding Hartanah (NCC course); atau

2 - Daftar dan hadiri NCC course, bawa sijil NCC ke Agensi Hartanah dan terus mendaftar.

Mudahkan? NCC course ni biasanya dijalankan selama 1 hari penuh atau 2 hari jika tidak penuh, bergantung kepada apa yang ditawarkan oleh institusi yang menawarkan NCC course ini... Anda boleh juga pertimbangkan untuk ambil NCC course dengan Persatuan Perunding Hartanah Muslim (PEHAM).

Dengan adanya sijil NCC course dan berdaftar dengan agensi hartanah berdaftar, maka melayakkan anda untuk menjadi Perunding Hartanah dan akan dapat no REN (Real Estate Negotiator) yang berdaftar di bawah sebuah badan dikenali sebagai LPPEH atau BOVAEPM ("Board"). LPPEH adalah berada di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

Amalan Standard Agensi Hartanah boleh dibaca di sini :

Siapa pula Ejen Hartanah?

Ejen Hartanah adalah mereka yang berkelayakan untuk membuka Agensi Hartanah setelah melalui beberapa proses penilaian. Seorang Ejen Hartanah boleh merekrut sehingga 50 orang Perunding Hartanah dalam sesuatu agensi hartanah. Contohnya, jika dalam Agensi Hartanah tersebut ada 5 orang Ejen Hartanah, maka seramai maksimum 250 orang Perunding Hartanah boleh berdaftar dengan Agensi Hartanah tersebut.

Jika Perunding Hartanah dikenali dengan no REN mereka, maka Ejen Hartanah dikenali dengan no REA (Real Estate Agent) mereka. Contoh : Ali seorang Perunding Hartanah dengan no REN 27176, manakala Ahmad seorang Ejen Hartanah dengan no REA 7176.

Siapa pula PEA?

Pernah dengar PEA? PEA ataupun Probationary Estate Agent adalah mereka yang dalam proses untuk menjadi REA. Tempoh PEA ini biasanya 2 tahun, dan juga 1 tahun jika mereka ada kelayakan akademik yang berkaitan. Dalam tempoh ini tugas mereka adalah sama seperti REN tetapi ada beberapa tugasan atau task yang perlu disiapkan dan mereka perlu merekodkan kerja-kerja hartanah mereka dalam "logbook" dan dihantar ke Board setiap tahun. Kemudian, PEA akan menunggu giliran temuduga TPC (Test of Professional Competence) untuk menyerlahkan "competency" mereka dalam beberapa topik sebelum layak bergelar dan mendaftar sebagai REA.


Wajib ke lantik Ejen Hartanah untuk menjual atau sewakan rumah?

Kat Malaysia... berdasarkan undang-undang yang termaktub, hanya 3 golongan saja yang boleh jual hartanah iaitu pemilik hartanah atau owner sendiri, Ejen Hartanah dan juga Pemaju Perumahan. Sekiranya sayangkan duit dan tidak mau bayar kos ejen hartanah, owner boleh jual hartanah mereka sendiri.

Boleh ke lantik broker (tidak berlesen) untuk jual Hartanah?

Amalan broker atau orang tengah ni dah wujud sejak zaman dahulu lagi... maka tak hairanlah sekiranya anda pernah berurusan dengan broker-broker yang kebanyakan mereka agak berusia. Walaubagaimanapun, setelah wujudnya Akta LPPEH pada tahun 1981, urusan menjual, membeli atau mengiklankan hartanah melalui orang tengah telah dimansuhkan dan perlu melalui Ejen Hartanah berdaftar.

Akta Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta Tanah 1981

Pada hakikatnya amalan Agensi Hartanah adalah tak sama di seluruh dunia... Ada negara yang tidak membenarkan owner jual hartanah sendiri dan wajib melalui Ejen Hartanah berdaftar.... Setiap negara bergantung kepada Board masing-masing yang mengawal selia aktiviti hartanah... 

Kesimpulannya adalah jelas dan ketara bahawa terdapat perbezaan antara Perunding Hartanah dan Ejen Hartanah. Di negara kita, pemilik hartanah adalah selesa untuk berhubung terus dengan Perunding Hartanah dan bukannya melalui Ejen Hartanah, tidak seperti di negara-negara luar yang lain.





Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...