Tuesday, June 9, 2015

"Malaysia" Di Persada Bolasepak Eropah



Dengar tajuk macam gempak kan? Tapi sebenarnya memang betul... sebab perkataan "Visit Malaysia" terpampang pada jersi pasukan bolasepak Sevilla dari Sepanyol yang baru-baru ini menjadi juara Liga Eropah UEFA 2014-2015.



Sevilla telah berjaya mempertahankan trofi ini yang telah dimenangi pada musim lepas dimana ini adalah trofi yang keempat buat mereka. Pada perlawanan akhir mereka telah menewaskan pasukan Dnipro (Ukraine) dengan jaringan 3-2.

Sevilla tampil dalam peringkat kumpulan sebagai juara bertahan pada edisi yang lepas. Pada musim lepas Sevilla menewaskan Benfica menerusi sepakan penalti 4-2 setelah terikat 0-0 sehingga masa tambahan. Di peringkat kumpulan, Sevilla tidak berapa menonjol dimana hanya menduduki tempat ke-2 di belakang naib juara Liga Belanda musim 2013-2014 iaitu Feyenoord.

Di pusingan kalah mati 32 pasukan, Sevilla diundi bertemu dengan Borussia Monchengladbach dari Jerman. Walaupun hanya menduduki tangga ke-6 dalam Liga Jerman musim lepas, pasukan dari Jerman ini telah membelasah pasukan Sarajevo (Bosnia) di pusingan kelayakan dengan agregat 10-2. Setelah menjuarai peringkat kumpulan mengatasi Villareal (Sepanyol) dengan cemerlang, namun Sevilla bukanlah lawan mereka apabila tumpas dengan agregat 4-2.



Di pusingan kalah mati 16 pasukan pula, Sevilla bertemu dengan pasukan senegara iaitu Villareal. Villareal juga menduduki tangga ke-6 dalam Liga Sepanyol musim lepas, membelasah pasukan Astana (Kazakhstan) dengan agregat 7-0 di pusingan kelayakan dan mendapat tempat ke-2 peringkat kumpulan di belakang Borussia Monchengladbach. Namun, Villareal masih tidak dapat mengatasi Sevilla apabila kecundang dengan agregat 5-2.



Pada peringkat suku akhir pula, Sevilla mendapat tentangan sengit daripada naib juara Liga Rusia musim lepas, Zenit St Petersburg. Zenit yang pada mulanya berada di peringkat kumpulan Liga Juara Eropah tetapi hanya menduduki tempat ke-3 di belakang Monaco (Perancis) dan Bayer Leverkusen (Jerman). Berada di tempat ke-3 bermakna cabaran Zenit bersambung dalam Liga Eropah UEFA. Sevilla telah menamatkan cabaran Zenit apabila menang dengan agregat 4-3.



Di separuh akhir, Sevilla menghadapi tentangan daripada pasukan daripada Itali iaitu Fiorentina. Fiorentina mendapat tempat ke-4 dalam Liga Itali pada musim lepas, menjuarai kumpulan di peringkat kumpulan Liga Eropah UEFA, menyingkirkan pasukan kuat seperti Tottenham Hotspur (England), Roma (Itali) dan Dynamo Kiev (Ukraine) sebelum tiba ke separuh akhir. Akhirnya Sevilla menewaskan Fiorentina dengan agregat 5-0.



Pada perlawanan akhir, Sevilla bertemu dengan naib juara Liga Ukraine musim lepas iaitu Dnipro. Dnipro telah gagal di pusingan kelayakan Liga Juara Eropah apabila tumpas kepada Copenhagen (Denmark) dengan agregat 2-0 menyebabkan Dnipro bertanding dalam Liga Eropah UEFA sahaja. Keputusan Dnipro di peringkat kumpulan sama sekali tidak memberangsangkan tetapi akhirnya melepasi peringkat kumpulan hinggalah ke perlawanan akhir. Dnipro tewas kepada Sevilla dengan jaringan 3-2 di perlawanan akhir.

Pemain Dnipro kesedihan apabila tewas di perlawanan akhir

Seramai 7 orang pemain Sevilla telah dipilih oleh UEFA sebagai pemain terbaik sepanjang kejohanan bermula dengan penjaga gol muda mereka, Sergio Rico, pemain pertahanan Aleix Vidal dan Timothee Kolodziejczak, pemain tengah Ever Banega, Stephen Mbia dan Grzegorz Krychowiak dan penyerang Carlos Bacca.

Entah bila agaknya pemain Malaysia akan bermain untuk Sevilla? Fantasi atau realiti?




No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...