Wednesday, June 3, 2015

7 Fakta Yang Perlu Anda Tahu Di Sebalik Kekalahan Memalukan Malaysia Kepada Vietnam



Vietnam 5 Malaysia 1

Ini adalah kekalahan yang amat besar Malaysia kepada pasukan serantau seperti Vietnam. Kemampuan dan kekuatan skuad negara sepatutnya tidak jauh besarnya atau tidak jauh jurangnya dengan pasukan seperti Vietnam. Kekalahan boleh diterima tetapi biarlah kekalahan munasabah.

Skuad Malaysia bawah 23 ini adalah skuad pelapis kepada skuad senior yang telah 2 kali menggondol pingat emas sukan SEA sebelum ini. Beberapa fakta perlu kita tahu mengapa jurang di antara skuad Vietnam dan skuad negara kita sangat besar. Bukan sahaja kepada skor perlawanan tetapi juga keseluruhan permainan.


Fakta #1 - Keputusan Pengadil yang salah 

Beberapa keputusan pengadil boleh dipersoalkan sehinggakan Vietnam memperolehi gol. Ini pun angkara bookie??? Terpulang pada anda untuk menilainya. Yang pasti pengadil perlawanan membuat keputusan yang salah dan amat kritikal.

Gol pertama dihasilkan melalui tendangan penalti dimana sepatutnya tidak diberikan kerana pemain pertahanan Adam Nor Azlin dengan jelas membuat tackle yang bersih dalam kotak penalti.



Gol keempat pula dihasilkan melalui tendangan percuma dimana sepatutnya tidak diberikan. Pengadil mendakwa bola terkena tangan pemain pertahanan Malaysia dimana ulang tayang dengan jelas menunjukkan bola terkena muka pemain Malaysia. Gol-gol ini telah melunturkan semangat juang pemain Malaysia yang telah sedia luntur sebelumnya.


Fakta #2 - Kurang pendedahan antarabangsa

Kebanyakan skuad Malaysia bawah 23 ini kurang pendedahan antarabangsa atau sekurang-kurangnya pendedahan serantau. Kekurangan ini akan menyebabkan kekurangan keserasian sesama pemain dan kemungkinan membuat kesilapan dalam permainan adalah besar. Contohnya hantaran ke belakang pemain negara yang menyebabkan penalti diberikan untuk gol ke-3 Vietnam.



Dalam perlawanan pemanas badan sebelum sukan SEA ini, skuad negara hanya menang 2 kali iaitu 3-0 ke atas Sabah, 4-1 ke atas Real Mulia FC, seri dengan Korea Utara 1-1 tetapi tewas kepada Indonesia 1-0, Air Force United (Thailand) 2-0 dan Police United (Thailand) 3-0


Fakta #3 - Malaysia ketandusan penyerang?

Skuad Malaysia bawah 23 tahun hanya menyenaraikan 2 orang pemain penyerang dalam Sukan SEA kali ini iaitu penyerang Kedah, Syafiq Ahmad dan juga penyerang Harimau Muda B iaitu S Kumaarhan. Walaupun Syahrul Azwari boleh bermain di posisi penyerang tetapi dia lebih sesuai bermain di posisi sayap.


Pemain menyerang ataupun tengah menyerang sangat penting dalam sesuatu pasukan yang bercita-cita besar dan mempunyai hala tuju yang tinggi. Sudah tentu skuad negara inginkan pingat emas sukan SEA ini. Percubaan Malaysia ke arah pintu gol boleh dikira dengan jari.  Adakah negara kita sudah ketandusan penyerang berbakat?


Fakta #4 - Malaysia ketandusan pengalaman

Selain daripada kapten pasukan Fandi Othman, hanya Nazmi Faiz dan Gary Steven Robbat dilihat mempunyai pengalaman yang lebih. Nazirul Naim yang berpengalaman bermain di divisyen 3 Jepun juga dilihat banyak memanaskan bangku simpanan. Bekas pemain muda Perth Glory, Australia juga iaitu Matthew Thomas Davies (pemain kacukan Australia-Sabah) dilihat biasa-biasa sahaja dari segi kemampuannya.

Nazirul Naim dan Wan Zack Haikal ketika sesi latihan bersama Ryukyu FC satu ketika dahulu
Mathew Thomas Davies (baju ungu) ketika beraksi bersama Perth Glory FC

Fakta #5 - Tiada perancang tengah

Ketiadaan Nazmi Faiz amat terasa kerana beban terpikul di bahu Gary Steven Robbat untuk membantu pertahanan dan pada masa yang sama mencipta gerakan untuk negara. AFC baru saja mengenakan hukuman gantung 6 perlawanan kepada Nazmi Faiz akibat kesalahan meludah pemain lawan pada perlawanan pertama tempoh hari.

Nazmi Faiz mendapat 6 bulan pengalaman bermain dengan kelab Beira Mar, Portugal
Gary mendapat pengalaman berharga berlatih bersama pasukan remaja Borussia Dortmund selama 3 bulan

Gary Steven Robbat juga dilihat belum cergas sepenuhnya setelah selesai menjalani penggantungan 3 bulan daripada FAM. Walaupun mendapat pendedahan berlatih dengan gergasi Jerman, Borussia Dortmund namun ternyata Gary kurang pendedahan dalam perlawanan kompetitif.

Saiful Ridzuwan yang menggantikan tempat Nazmi Faiz juga tampak tidak berfungsi sehingga digantikan dengan Syahrul Azwari di separuh masa ke-2.


Fakta #6 - Kualiti penyerang Vietnam

Penjaring gol pertama Vietnam, Mac Hong Quan pernah bermain dengan gergasi bolasepak Republik Czech iaitu Sparta Prague manakala pemain No. 10 Vietnam yang menjaringkan 2 gol serta penjaring gol ke-5 Vietnam adalah pemain dari akademi bolasepak Arsenal yang berpengkalan di Vietnam iaitu HAGL - JMG Academy Arsenal.

Mac Hong Quan ketika beraksi bersama Sparta Prague



Pengalaman yang ditimba mereka sangatlah berbeza jika nak dibandingkan dengan pengalaman penyerang negara kita


Fakta #7 - Taktikal pasukan Vietnam

Toshiya Miura ialah jurulatih kebangsaan Vietnam dari Jepun yang mengendalikan pasukan Vietnam pada piala Suzuki AFF yang lalu dimana Vietnam tewas pada perlawanan separuh akhir kepada Malaysia. Dalam masa yang sama juga Miura mengendalikan skuad bawah 23 tahun Vietnam untuk suka SEA.

Taktik yang diterapkan oleh Miura dilihat agak mudah dan senang dipraktikkan oleh pemain-pemain Vietnam. Miura tidak mementingkan permainan cantik tetapi melihat kepada hasil permainan. Walaubagaimanapun, Miura juga dikecam di Vietnam kerana dikatakan merosakkan permainan "tiki taka" pemain-pemain HAGL - JMG Academy Arsenal


Peluang Malaysia di Sukan Sea 2015

Peluang Malaysia dalam Sukan Sea 2015 ini masih belum tertutup dengan syarat mesti menewaskan kesemua pasukan lain dalam Kumpulan B ini termasuklah lawan akan datang iaitu Thailand selaku juara bertahan.

Nurul Sriyankem

Tugas pasukan negara bukanlah mudah. Selain daripada menghalang hantaran-hantaran dan gerakan daripada Chanatip Songkrasin (bintang Thailand semasa piala AFF Suzuki), mereka juga harus merantai kelincahan pemain sayap Thailand iaitu Nurul Sriyankem bintang dari selatan Thailand yang semakin meningkat naik.

Ayuh... ayuh Malaysiaku!!!




No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...