Monday, June 8, 2015

Barcelona - Juara Eropah Yang Sebenar!



Tahniah Barca!

Itu sahaja yang boleh diungkapkan... Barcelona antara pasukan terhebat di abad ini telah menggondol 3 kejuaraan musim ini bermula dengan La Liga Sepanyol, Copa Del Rey dan yang terbaru ialah UEFA Champions League 2014-2015.

Barcelona - juara Liga Eropah 2014-2015

Barcelona memintas Real Madrid sebagai juara Liga Sepanyol (kejuaraan yang ke-23) dengan beza hanya 2 mata, menewaskan Athletic Bilbao dalam perlawanan akhir dengan jaringan 3-1 untuk menggondol Copa Del Rey (kejuaraan ke-27) dan menewaskan Juventus dari Itali pada perlawanan akhir Liga Juara Eropah (kejuaraan ke-5) juga dengan jaringan 3-1.

Barcelona memulakan kempen Liga Juara Eropah dengan layak secara automatik ke peringkat kumpulan setelah menjadi naib juara La Liga Sepanyol pada musim 2013-2014 di belakang Atletico Madrid. 

Barcelona telah berjaya mendapatkan khidmat Luiz Suarez dari Liverpool dan tiada masalah untuk melepaskan Alexis Sanchez ke Arsenal dengan Pedro kekal sebagai pemain sayap atau penyerang simpanan. Lionel Messi dan Neymar juga kekal mengemudi jentera serangan Barcelona

Penyerang Uruguay, Brazil dan Argentina bergabung

Gabungan trio Messi, Neymar dan Suarez sahaja telah menghasilkan 27 gol dalam Liga Juara Eropah, tidak termasuk lagi gol dalam La Liga dan Copa Del Rey. Messi dan Neymar berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak Liga Juara Eropah bersama-sama dengan Cristiano Ronaldo (Real Madrid), masing-masing dengan 10 gol.

Barcelona telah layak ke peringkat kalah mati Liga Juara Eropah dengan menjadi juara dalam Kumpulan F dengan diikuti rapat oleh Paris St Germain (Perancis). Di peringkat kalah mati, Barcelona telah diundi bertemu Manchester City (England) dan tiada masalah untuk membenam Juara Inggeris itu dengan agregat 3-1.

Di peringkat suku akhir, sekali lagi Barcelona bertemu dengan Paris St Germain dan menewaskan Juara Perancis itu dengan agregat 5-1. Di separuk akhir, Barcelona dijangka menerima tentangan sengit daripada Juara Jerman, Bayern Munich... tapi nampaknya dengan mudah mengalahkannya dengan agregat 5-3.

Tonggak Juventus, Andrea Pirlo menangis kesedihan apabila trofi Liga Juara Eropah terlepas ke Barcelona

Akhirnya, pada perlawanan akhir... Barcelona menewaskan Juara Itali pula iaitu Juventus dengan jaringan 3-1. Lihat... betapa simboliknya Barcelona menggondol kejuaraan Eropah kali ini dengan menewaskan 4 juara iaitu juara England, juara Perancis, juara Jerman dan akhir sekali juara Itali.

Adakah ada pasukan lain yang boleh menandingi kehebatan Barcelona selagi mana trio serangan dari Amerika Latin Messi, Neymar dan Suarez masih mengetuai jentera serangan Barcelona?






No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...