Monday, July 14, 2014

Juara Piala Dunia 2014 - Dari Jerman ke Malaysia?


Piala Dunia 2014 di Brazil telahpun berakhir apabila pasukan Jerman muncul sebagai juara baru kali ini setelah menewaskan Argentina 1-0 selepas masa tambahan. Strategi Joachim Low kali ini menjadi apabila apabila pemain Bayern Munich Mario Gotze yang masuk menggantikan penyerang Lazio Miroslav Klose meledakkan gol kemenangan Jerman menewaskan penjaga gol Argentina Sergio Romero setelah bijak menyudahkan umpanan bintang Chelsea Andre Schurrle.

*Juara Piala Dunia 2014 - Jerman*


Kemenangan Jerman ini amat bermakna bagi Jerman kerana inilah kali pertama Jerman mendapat kejuaraan dalam tempoh 24 tahun setelah kali terakhir mereka bergelar juara sebagai Jerman Barat di Piala Dunia 1990 Itali. Tambahan pula, inilah kali pertama mereka menggondol kejuaraan sebagai Jerman yang telah bersatu. Satu lagi fakta menarik yang diketahui ialah Jerman adalah pasukan luar pertama yang menjuarai Piala Dunia di bumi Amerika Latin.


Penyerang Jerman, Miroslav Klose juga telah mencipta sejarah apabila gol peribadinya yang ke-16 ketika menewaskan Brazil 7-1 di separuh akhir telah memintas legenda dunia, Ronaldo dari Brazil sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia sepanjang zaman. Penjaga Gol Jerman Manuel Neuer juga telah dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.


Apa-apa pun kemenangan Jerman ini pastinya menjadi kayu pengukur kepada kemampuan coach Lim Teong Kim yang memulakan karier kejurulatihannya bersama pasukan remaja Bayern Munich di Jerman pada tahun 2001. Coach Lim Teong Kim juga pernah mempunyai pengalaman singkat sebagai pemain di kelab Hertha Berlin yang ketika itu bermain di divisyen 3 Jerman. Kini sejak Ogos 2013, coach Lim Teong Kim telah kembali ke Malaysia setelah menandatangani kontrak 5 tahun bersama Kementerian Belia dan Sukan untuk membangunkan bolasepak negara.

*Lim Teong Kim - baris tengah paling kanan*


Pemain-pemain Jerman seperti Philipp LahmBastian Schweinsteiger, Thomas Muller dan Toni Kroos sudah pasti tidak asing lagi dengan coach Lim Teong Kim selain daripada pemain-pemain Bayern Munich yang lain. Walaupun usaha membangunkan bolasepak Jerman bukan usaha coach Lim Teong Kim seorang namun pengalamannya amat ditagih dalam bolasepak negara kita. Malah coach Lim juga mengakui bahawa prasarana bolasepak negara kita adalah ketinggalan 30 tahun berbanding dengan kemajuan bolasepak Jerman.


Apa-apa pun, tindakan yang proaktif harus dibuat oleh semua pihak sekiranya kita mahukan pasukan bolasepak negara yang mantap seperti pasukan Jerman dan tidak hanya bergantung pada bintang-bintang tertentu sahaja seperti pasukan lain.


Selain itu, kebijaksanaan Joachim Low yang menggunakan sebaiknya kualiti yang ada dalam pasukan Jerman dan tidak bergantung pada sesetengah pemain sahaja adalah kunci utama kejayaan tidak seperti pasukan Sepanyol juara edisi lepas yang tersingkir lebih awal kerana tidak bijak dalam menggunakan kualiti pemain mereka sendiri.


Sukar juga untuk menentukan siapa bintang utama Jerman kerana selain daripada nama-nama yang disebutkan mereka juga ada kelibat bintang Arsenal Mesut Ozil, Per Matersacker dan Lukas Podolski, bintang Dortmund Matt Hummels, pertahanan kental Jerome Boateng, Sami Khedira yang bermain di Real Madrid dan juga bintang yang meningkat naik dari Schalke, Julian Draxler.


Akhir sekali, penulis masih tertanya-tanya mengapa pasukan Jerman menghadapi kesukaran apabila berhadapan dengan pasukan Afrika. Hanya mampu seri 2-2 dengan pasukan Cameroon (persahabatan pra piala Dunia), diikat dengan Ghana 2-2 (peringkat kumpulan) dan menewaskan pasukan Algeria 2-1 selepas masa tambahan (peringkat kalah mati).


Sudah pasti juga Piala Dunia 2018 akan datang di Rusia pastinya akan menampilkan muka-muka baru dalam pasukan Jerman.


Herzlichen Glückwunsch Deutschland!!!






No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...