Tuesday, October 14, 2014

Pengalaman Mengembara Ke Kelantan 4H 3M



Pada 5 Oktober 2014 yang lalu, adik lelaki aku telah menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihan hatinya di Kg Kangkong, Pasir Mas, Kelantan. Rombongan pengantin lelaki telah bertolak dari Cheras Perdana, Selangor pada pukul 9.30 pagi 4 Oktober 2014. Maka bermulalah Pengalaman 4 Hari 3 Malam di Kelantan.

Rumah/Apartment Percutian Untuk Disewa Di Kelantan


4 Oktober 2014 (Day 1)

Rombongan pengantin lelaki terdiri daripada 3 buah kereta sahaja. Menyedari kemungkinan-kemungkinan dan risiko yang bakal dihadapi akibat bertolak sehari sebelum Hari Raya Aidiladha, kami semua sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menempuh perjalanan ini. Bagi warga Kelantan mungkin ini perkara biasa bagi mereka tetapi tidak bagi kami warga Johor yang kebanyakannya telah menetap di Lembah Kelang.


Awal-awal lagi kami telah berhadapan dengan kesesakan jalan raya yang teruk sejurus selepas Tol Gombak. Masya Allah.... pergerakan macam siput... kena bersabar jelah.... bukan ada kemalangan jalan raya pun... tapi kereta memang banyak... sejat.... Aku biasa jugak pergi Raub dulu atas urusan kerja. Biasanya antara sejam setengah hingga 2 jam dah tiba di Raub dari Cheras.... Amazingly hanya selepas 4 jam baru kami semua tiba di Raub iaitu lebih kurang pukul 1.30 petang.


Selepas solat jamak di Masjid Tengku Abu Bakar, Raub kami menikmati hidangan tengah hari di gerai-gerai yang terletak di luar masjid. Terima kasih kepada pengantin yang sudi belanja kami semua makan.






Kami semua meneruskan perjalanan menuju ke Pasir Mas. Pada mulanya perjalanan dari Raub agak lancar sehinggalah selepas bandar Lipis dimana kenderaan sudah mula bergerak dengan perlahan. Cuaca pun sudah mula menjadi mendung dan gelap. Walaupun belum lagi masuk waktu Asar tapi langit sudah gelap seperti waktu Maghrib. Kami hanya tiba di pekan Gua Musang lebih kurang pukul 6.30 petang untuk berehat sebentar dan mengisi minyak.


Jalan Lipis - Gua Musang 


Perjalanan kami diteruskan lagi dan seperti yang dijangka menjadi semakin mencabar. Perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai ditemani dengan hujan yang sangat lebat sehingga menjejaskan sedikit jarak penglihatan. Hendak berhenti susah... jadi kami teruskan saja perjalanan dengan lebih berhati-hati. Pada ketika ini juga jiwa sedikit terubat dengan mendengarkan takbir Hari Raya di corong-corong radio kereta.


Kami berhenti di Bandar Kuala Krai untuk menikmati makan malam lebih kurang pukul 10.30 malam iaitu setelah 13jam perjalanan dari Cheras Perdana. Nak cari kedai makan pun susah sebab kebanyakan daripada mereka dah tutup kedai sempena malam Hari Raya Aidiladha. Cari punya cari... jumpa juga akhirnya.... Terima kasih sekali kepada pengantin sebab belanja kami semua.


Selepas makan malam kami meneruskan perjalanan ke Pasir Mas melalui Tanah Merah. Perjalanan agak lancar kali ini mungkin disebabkan kebanyakan warga Kelantan telah tiba ke destinasi masing-masing. Lebih kurang 1 jam dari Kuala Krai akhirnya kami tiba di Kg Kangkong Pasir Mas iaitu lebih kurang pukul 12.30 pagi.


SELAMAT MALAM KELANTAN!



5 Oktober 2014 (Day 2)

Pagi yang dingin di Kelantan... pagi Hari Raya yang syahdu juga..... bergema takbir di pagi raya.... Kami semua bersiap-siap untuk menunaikan solat Hari Raya Aidiladha di surau berhampiran... walking distance jer....


Ooo ye.... di Pasir Mas kami menetap di Homestay yang diberi nama Kenjong Guesthouse... Terima kasih kepada keluarga pengantin perempuan yang menyediakan tempat kediaman untuk kami tinggal selama 3 Hari di Kelantan. Bunyi kokokan ayam di pagi hari menambahkan lagi suasana tinggal di kampung apabila tinggal di sini. Homestay ini juga mempunyai 3 bilik dan 3 bilik air.

Kat Pasir Mas ni banyak jugak homestay lain yang boleh kita pilih.... cantik-cantik belaka dan sangat menarik... boleh klik SINI.








Pagi tu juga sebelum solat Hari Raya, aku dapat panggilan daripada isteri mengatakan bahawa dia tidak boleh datang ke Kelantan kerana anak ke-2 kami menghidapi batuk yang teruk sehingga muntah-muntah sejak petang semalamnya. Sepatutnya isteri, 3 orang anak dan mak dengan abah, mereka berenam naik flight dari KLIA2 ke Kota Bharu jam 1.30 petang.


Selepas solat hari Raya kami menuju ke rumah pengantin perempuan untuk menikmati juadah Hari Raya. Setelah selesai menjamu selera kami pulang ke homestay untuk sambung berehat. Peluang yang ada juga telah diambil oleh diorang ni apabila buat keputusan untuk ke Rantau Panjang meninggalkan aku dan pengantin saja yang akan ke airport untuk mengambil mak dan abah.


Ya, isteri dan 3 orang anak lagi tak dapat datang ke Kelantan. Nasib baik mak dan abah boleh tiba di Kelantan dengan selamatnya walaupun abah dah biasa naik kapal terbang dan mak baru first time naik kapal terbang. Selepas makan tengah hari dengan mak dan abah kami bertolak ke homestay semula.


Bila tiba di homestay... aku mendengar keluhan mereka yang penat ke Rantau Panjang tetapi semua kedai tutup kerana cuti Hari Raya. Masa dah semakin suntuk... kami semua bersiap-siap untuk majlis pernikahan yang diadakan selepas solat Isyak di Masjid Kg Kangkong, Pasir Mas.


Alhamdulillah... dengan sekali lafaz, Kamalrull Arifin bin Abdul Razak telah sah menjadi suami kepada Zul Azlina binti Mohammad.













Selepas majlis pernikahan, kami semua ke rumah pengantin perempuan untuk menikmati juadah makan malam dan juga sesi bergambar.








SELAMAT MALAM KELANTAN!



6 Oktober 2014 (Day 3)

Pagi-pagi lagi poksu (adik abah) dah keluar rumah untuk beli sarapan. Mujurlah dah ada orang berniaga walaupun masih lagi Hari Raya Kedua. Makan nasik lauk kite....... Terima kasih poksu belanja kitorang.....



Source : KelantanGal@Life 

Tengah malam semalam pulak baru dapat mesej isteri yang maklumkan anak ke-2 kami dah masuk wad pukul 6.00 petang semalam akibat paru-paru berkuman. Sedih memang sedih...... Tidak ada apa yang mampu aku lakukan... hanya berdoa dari jauh untuk kesembuhan yang hakiki.




Kami juga telah dimaklumkan oleh pengantin perempuan untuk berada di tempat majlis jam 12.45 tengah hari. Dengan diiringi paluan kompang yang telah direkodkan, rombongan kami telah disambut oleh keluarga pengantin perempuan.









Selesai saja majlis kami meninggalkan pengantin lelaki di rumah pengantin perempuan dan kembali ke homestay. Aku ingat diorang balik homestay nak berehat... rupa-rupanya ada misi yang belum selesai iaitu mereka kembali ke Rantau Panjang! Sampai jugak diorang kat Rantau Panjang...





Waktu malam pula... aku dengan anak lelaki aku tak dapat nak makan malam dengan diorang di rumah pengantin perempuan sebab nak hantar mak dan abah ke airport untuk pulang ke Kuala Lumpur. Aku dah arrange untuk taxi datang ambil mak abah setibanya diorang kat KLIA2 nanti.


Satu kereta juga terpaksa balik Kuala Lumpur malam ni kerana besoknya dah kerja sementara 2 kereta lagi akan balik pagi besok. Kami mengisi waktu malam dengan berborak-borak pasal keluarga dan kisah silam. Memang poksu ni kelakar dan sporting orangnya....



SELAMAT MALAM KELANTAN!



7 Oktober 2014 (Day 4)


Hari terakhir di Kelantan... kami semua berkemas dan bersiap-siap untuk pulang. Lebih kurang pukul 8.30 pagi kami bertolak pulang. Kami berhenti sekejap di sebuah gerai di Pasir Tumboh, Kota Bharu untuk bersarapan nasi lauk.



Kami meneruskan perjalanan pulang dengan menggunakan laluan di negeri Terengganu pula. Bermula dengan Pasir Puteh, Kelantan, Jerteh, Permaisuri di Terengganu dan terus menggunakan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 yang masih belum siap sepenuhnya. Lebuhraya yang menghubungkan Jabor di Selatan sehingga ke Kuala Terengganu ini masih belum mengenakan sebarang tol kerana belum siap sepenuhnya termasuklah prasarana seperti kawasan Rehat dan Rawat.



Malang tidak berbau, minyak semakin habis, stesen minyak di RnR Ajil pulak masih dalam pembinaan. Kami pun keluar dari lebuhraya dan ke bandar berhampiran iaitu di sekitar bandar Bukit Besi untuk mengisi minyak.


Kami makan tengah hari agak lewat sikit dan tiba di Hentian Ceneh Baharu di kawasan Kemaman lebih kurang pukul 3.00 petang. Hidangan yang jadi pilihan masa ni ialah Mee Celup. Rasa Mee Celup yang pedas dan berangin (disebabkan halia) ini seolah-olah memberikan tenaga baru untuk menghadapi perjalanan seterusnya. Setelah selesai makan dan solat jamak kami meneruskan perjalanan pulang.





Lebih kurang pukul 5.30 petang, kami berhenti pula di kawasan RnR Temerloh untuk berehat seketika. Masa ni juga aku mendapat berita bahawa anak ke-2 ku dah discharge dari hospital tadi... Alhamdulillah. Syukur juga kerana sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur memang tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku mahupun kesesakan jalan raya yang teruk. Kami tiba di Cheras lebih kurang pukul 7.00 malam, itupun disebabkan oleh kesesakan jalan raya di MRR2.


Ada beberapa perkara yang tidak dapat dibuat di Kelantan akibat hambatan masa yang suntuk. Beberapa jenis makanan juga tidak sempat untuk dirasai. Semestinya... aku akan ke Kelantan lagi suatu hari nanti.

Rumah/Apartment Percutian Untuk Disewa Di Kelantan



SELAMAT TINGGAL KELANTAN!






No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...