Thursday, October 1, 2015

Sejarah Pasukan Dan Kelab Dari Malaysia Dalam Saingan Piala AFC



Piala AFC telah berlangsung selama 10 tahun dan Piala AFC 2015 adalah merupakan edisi yang ke-11. Saingan dalam Piala AFC ini dikhususkan kepada "developing nations" iaitu pasukan atau kelab dari negara yang sedang meningkat naik. Oleh itu, saingan Kejuaraan Kelab Asia pula hanya dikhususkan kepada pasukan yang benar-benar kuat dan dah "established".

Baca : Sejarah Pasukan Malaysia Dalam Liga Juara Asia

Baca : Sejarah Pasukan Dari Malaysia Dalam Asian Cup Winners' Cup


Piala AFC 2004

Perak dan Negeri Sembilan adalah wakil dari Malaysia untuk edisi pertama ini. Perak tampil sebagai juara liga 2003 manakala Negeri Sembilan pula ialah juara Piala FA 2003.

Negeri Sembilan terkandas di peringkat kumpulan di belakang East Bengal (India) dan Geylang United (Singapura) manakala Perak hanya mampu mara sehingga ke suku akhir sebelum tewas kepada Geylang United (Singapura) dengan agregat 3-5.

Selain mendiang Frank Seator, Khalid Jamlus dan V Saravanan adalah tonggak serangan Perak

Pasukan Al-Jaish (Syria) telah menjadi juara pertama Piala AFC 2004 ini menewaskan Al-Wahda (Syria) di perlawanan akhir.


Piala AFC 2005

Pahang tampil sebagai juara liga 2004 manakala Perak pula tampil sebagai juara Piala FA 2004 dalam edisi Piala AFC 2005 ini.

Kedua-dua Pahang dan Perak terkandas di peringkat kumpulan. Pahang di tempat ke-3 di belakang Home United (Singapura) dan New Radiant (Maldives) manakala Perak di tangga tercorot di belakang Sun Hei (Hong Kong), Tampines Rovers (Singapura) dan Club Valencia (Maldives).

Indra Putra Mahyuddin ketika menyarung jersi Pahang

Pasukan Al-Faisaly (Jordan) menjadi juara Piala AFC 2005 edisi ke-2 ini menewaskan pasukan Al-Nejmeh (Lubnan)


Piala AFC 2006

Perlis layak sebagai juara liga 2005 manakala Selangor layak sebagai juara Piala FA 2005 untuk bertanding dalam Piala AFC 2006 ini.

Perlis terkandas di peringkat kumpulan di belakang Xiangxue Sun Hei (Hong Kong) manakala Selangor telah tewas di suku akhir kepada Al-Nejmeh (Lubnan) dengan agregat 0-1.

Pemain import dari Indonesia, Bambang Pamungkas adalah penyerang prolifik Selangor ketika ini

Pasukan Al-Faisaly (Jordan) selaku juara bertahan telah mengekalkan kejuaraan Piala AFC 2006 menewaskan pasukan Al-Muharraq (Bahrain)


Piala AFC 2007

Negeri Sembilan tampil sebagai juara liga 2006 manakala Pahang tampil sebagai juara Piala FA 2006 untuk bertanding dalam Piala AFC 2007.

Kedua-dua Negeri Sembilan dan Pahang terkandas di peringkat kumpulan dimana Negeri Sembilan di tempat ke-2 di belakang Sun Hei (Hong Kong) manakala Pahang di tempat tercorot di belakang Tampines Rovers (Singapura), Mohun Bagan (India) dan Osotsapa (Thailand).

Pasangan adik beradik kembar Zaquan Adha dan Aidil Zafuan beraksi untuk Negeri Sembilan

Pasukan Shabab al-Ordon (Jordan) menewaskan juara bertahan Al-Faisaly dan muncul sebagai juara Piala AFC 2007.


Piala AFC 2008

Kedah layak sebagai juara berganda Malaysia tahun 2007 manakala Perak layak sebagai naib juara liga 2007 untuk bertanding dalam Piala AFC 2008.

Kedah dan Perak layak ke peringkat suku akhir sebelum tunduk kepada lawan masing-masing. Kedah tewas kepada Al-Muharraq (Bahrain) dengan agregat 1-7 manakala Perak tewas kepada Safa (Lubnan) dengan agregat 0-7.

Baddrol Bakhtiar dan Khyril Muhymeen adalah tonggak perancang utama Kedah

Pasukan Al-Muharraq (Bahrain) muncul juara Piala AFC 2008 setelah menewaskan Safa (Lubnan) di perlawanan akhir.


Piala AFC 2009

Beberapa perubahan format pertandingan telah dibuat pada edisi kali ini dan lebih banyak pasukan menyertai Piala AFC 2009 ini. Kedah layak sebagai juara berganda Malaysia pada tahun 2008 manakala Johor FC layak kerana mendapat tempat ke-3 dalam liga Malaysia 2008. 


Johor FC telah mendapat tempat terakhir dalam kumpulan di belakang South China (Hong Kong), PSMS Medan (Indonesia) dan VB (Maldives). Kedah meneruskan rentak kecemerlangan apabila mara ke pusingan kalah mati 16 pasukan sebelum tewas kepada Binh Duong (Vietnam) dengan agregat 2-8.

Eddy Helmi Abd Manan beraksi untuk Johor FC

Pasukan Al-Kuwait (Kuwait) telah muncul juara Piala AFC 2009 setelah menewaskan pasukan Al-Karamah (Syria) pada perlawanan akhir.


Piala AFC 2010

Hanya Selangor sebagai juara liga 2009 yang mewakili Malaysia pada edisi Piala AFC 2010 ini. Pasukan Negeri Sembilan telah menarik diri sekali lagi dan akibatnya satu lagi slot untuk Malaysia telah diberikan kepada Indonesia iaitu pasukan Persiwa Wamena.

Pasukan Selangor tekandas di peringkat kumpulan di belakang Sriwijaya (Indonesia) dan Binh Durong (Vietnam).

Safee Sali dan Safiq Rahim adalah tonggak utama pasukan Selangor

Juara Piala AFC 2010 adalah milik pasukan Al-Ittihad (Syria) yang telah menewaskan Al-Qadsia (Kuwait) di perlawanan akhir.


Piala AFC 2011

Malaysia telah gagal untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh AFC sebelum kejohanan Piala AFC 2011. Oleh itu, tiada wakil dari Malaysia dalam edisi kali ini.

Pasukan Nasaf Qarshi (Uzbekistan) muncul juara Piala AFC 2011 selepas menewaskan Al-Kuwait (Kuwait) di perlawanan akhir


Piala AFC 2012

Malaysia kembali menyertai Piala AFC 2012 dengan Kelantan layak sebagai juara liga tahun 2011. Terengganu sebagai juara Piala FA 2011 sepatutnya bertanding dalam pusingan kelayakan Piala AFC 2012 tetapi memandangkan Liaoning Whowin (China) telah menarik diri, maka Terengganu terus layak ke peringkat kumpulan tanpa melalui pusingan kelayakan.

Kelantan dan Terengganu melepasi peringkat kumpulan dan mara ke pusingan kalah mati 16 pasukan. Malangnya Kelantan dan Terengganu bertemu sesama sendiri dan Kelantan telah mara ke suku akhir setelah menewaskan Terengganu 3-2. Di peringkat suku akhir pula, Kelantan dibenam pasukan Erbil (Iraq) dengan agregat 2-6.

Penyerang prolifik Terengganu, Francis Forkey Doe

Juara Piala AFC 2012 adalah milik pasukan Al-Kuwait (Kuwait) setelah menewaskan Erbil (Iraq) di perlawanan akhir.


Piala AFC 2013

Kelantan muncul dalam Piala AFC 2013 sebagai juara berganda dari Malaysia untuk tahun 2012 manakala Selangor muncul sebagai tempat ke-3 dalam liga Malaysia 2012 menggantikan Lions XII (naib juara liga) yang merupakan pasukan jemputan.

Kelantan dan Selangor terkandas kepada lawan masing-masing di peringkat kalah mati 16 pasukan. Kelantan tewas kepada Kitchee (Hong Kong) dengan 0-2 manakala Selangor tewas kepada New Radiant (Maldives) juga 0-2 setelah masa tambahan.

Dickson Nwakaeme cemerlang bersama Kelantan

Al-Kuwait (Kuwait) mempertahankan kejuaraan dan muncul juara Piala AFC 2013 menewaskan Al-Qadsia (Kuwait) di perlawanan akhir.


Piala AFC 2014

Dalam Piala AFC 2014 ini, Selangor tampil sebagai naib juara liga 2013 menggantikan Lions XII (juara liga 2013) yang merupakan pasukan jemputan. Kelantan pula tampil sebagai juara Piala FA 2013.

Kedua-dua Selangor dan Kelantan terkandas di peringkat kumpulan. Selangor di tempat ke-3 di belakang Hanoi T&T (Vietnam) dan Arema Cronus (Indonesia) manakala Kelantan di tangga tercorot di belakang Vissai Ninh Binh (Vietnam), Yangon United (Myanmar) dan South China (Hong Kong).

Penyerang berbisa Selangor, Paulo Rangel

Piala AFC 2014 dimenangi oleh Al-Qadsia (Kuwait) yang telah menewaskan Erbil (Iraq) di perlawanan akhir.


Piala AFC 2015

Sebagai juara liga 2014, JDT layak ke pusingan kelayakan liga juara-juara Asia namun terkandas apabila tewas kepada Bangkok Glass (Thailand) dengan jaringan 0-3. Jadi JDT dan Pahang (juara Piala FA 2014) bertanding dalam Piala AFC 2015 kali ini

Pemain import JDT, Luciano Figueroa

JDT muncul pasukan dari Malaysia yang pertama menjejakkan kaki ke peringkat separuh akhir Piala AFC setelah mengejutkan South China (Hong Kong) di suku akhir. Pahang pula terkandas di suku akhir kepada pasukan Istiklol (Tajikistan). Menanti JDT di separuh akhir ialah juara bertahan dari Kuwait iaitu al-Qadsia.

Ternyata kejohanan Piala AFC ini didominasi oleh pasukan dari Asia Barat khususnya dari negara Teluk seperti Kuwait dan Syria. Belum ada pasukan dari Asia Timur yang layak ke perlawanan akhir Piala AFC ini. 

Pasukan dari Asia Timur seperti Kitchee (Hong Kong), Persipura Jayapura (Indonesia), East Bengal (India), Chonburi (Thailand), Muangthong United (Thailand), South China (Hong Kong), Binh Duong (Vietnam), Dempo (India), Sun Hei (Hong Kong), New Radiant (Maldives), Geylang United (Singapura) dan Home United (Singapura) sahaja yang pernah layak ke peringkat separuh akhir Piala AFC ini.




2 comments:

  1. setidaknya kelayakan kali pertama ke peringkat separuh akhir AFC 2015 utk JDT dari Malaysia membuka mata semua..
    syabas JDT..
    syabas pengendali blog!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih.... terdetik untuk berkongsi sejarah bolasepak melalui penulisan supaya kita semua sedar tak mustahil untuk tingkatkan mutu bolasepak negara....

      Delete

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...