Wednesday, October 21, 2015

Perlawanan Akhir Liga Juara Asia 2015 : Pertembungan Hebat Wakil Asia Barat Dan Wakil Asia Timur



Baru sebentar tadi tamat perlawanan separuh akhir Liga Juara Asia 2015 antara Guangzhou Evergrande Tabao (China) dan Gamba Osaka (Jepun) dengan keputusan memihak wakil dari China dengan agregat 2-1. Jadi, Guangzhou Evergrande Tabao layak ke perlawanan akhir Liga Juara Asia 2015 bertemu dengan wakil dari UAE, Al-Ahli.

Sehari sebelum itu, Al-Ahli (UAE) telah mengejutkan naib juara tahun lepas iaitu Al-Hilal (Arab Saudi) apabila layak ke perlawanan akhir Liga Juara Asia 2015 dengan agregat 4-3. Di saat-saat Al-Hilal hampir ke perlawanan akhir dengan kelebihan gol di tempat lawan, pemain import dari Korea Selatan, Kwon Kyung Won telah menjaringkan gol kemenangan Al-Ahli pada masa kecederaan.

Kwon Kyung Won menyertai Al-Ahli pada Februari 2015 menggantikan Luis Jimenez (Palestine/Chile)
Walaupun tampil dalam Liga Juara Asia 2015 sebagai juara liga UAE musim 2013-2014, namun musim 2014-2015 sama sekali tidak memihak mereka apabila hanya menduduki tangga ke-7 dalam liga UAE musim 2014-2015. Ini juga adalah pencapaian bersejarah pasukan Al-Ahli dalam Liga Juara Asia, dimana selama ini wakil UAE yang cemerlang ialah pasukan Al-Ain

Jentera serangan Al-Ahli diterajui oleh penyerang kebangsaan UAE iaitu Ahmed Khalil sambil tonggak import dari Brazil iaitu Lima dan Everton Ribeiro cemerlang membantu jentera serangan Al-Ahli. Bekas pemain sayap Liverpool, Oussama Assaidi (Maghribi) sering menjadi super sub apabila khidmatnya diperlukan.

Ahmed Khalil (merah) ialah penyerang prolifik Al-Ahli dan juga UAE

Sebagai pemenang Liga Juara Asia 2013 di bawah bimbingan Marcelo Lippi ketika itu, Guangzhou Evergrande Tabao sudah pasti menjadi pasukan pilihan. Bekas pengendali Brazil, Luis Felipe Scolari telah menggantikan Fabio Cannavaro sebagai ketua jurulatih Guangzhou Evergrande Tabao sejak bulan Jun 2015 yang lalu. Dalam Liga Super China, Guangzhou Evergrande Tabao sangat cemerlang dan telah menjadi juara liga secara berturut-turut dari tahun 2011 hingga sekarang.

Guangzhou Evergrande Tabao berbelanja besar musim ini
untuk mendapatkan khidmat Paulinho daripada Tottenham Hotspurs

Selain daripada kapten pasukan Zheng Zhi yang berpengalaman luas, jentera tengah Guangzhou Evergrande Tabao juga digerakkan oleh penjaring terbanyak kejohanan Ricardo Goulart (Brazil) dan juga bekas pemain Tottenham Hotspurs dari Brazil iaitu Paulinho. Seorang lagi pemain Brazil di bahagian serangan ialah Elkeson dan juga tonggak pertahanan Korea Selatan Kim Young Gwon kental bertahan.

Beraksi di bahagian tengah tidak menghalang Ricardo Goulart
menjadi penjaring terbanyak kejohanan setakat ini

Perlawanan akhir pertama akan diadakan di Dubai, UAE pada 7.11.2015 manakala perlawanan akhir kedua akan diadakan di Guangzhou, China pada 21.11.2015. Pemenang bakal meraih hadiah bernilai 1.5 juta dollar manakala naib juara akan menerima 750,000 dollar. Perlawanan akhir ini juga bakal menyaksikan samada Piala Juara Liga Asia akan ke Asia Barat bersama Al-Ahli ataupun akan ke Asia Timur bersama Guangzhou Evergrande Tabao.




No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...