Wednesday, June 10, 2015

Kaitan Antara Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Kelayakan Piala Asia 2019



Piala Dunia 2018 akan diadakan di Rusia, manakala Piala Asia 2019 akan diadakan di Emeriyah Arab Bersatu (UAE). Sekarang ni pun dah berlangsung perlawanan pemanas badan ataupun perlawanan persahabatan sebelum menjelangnya pusingan kelayakan menuju Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Perasan tak haritu Malaysia kena belasah dengan Oman 6-0? Baru-baru ni pulak Malaysia sekadar seri 0-0 dengan Hong Kong? Itulah dia barisan skuad negara yang sedang dipersiapkan untuk menuju Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Oman 6 Malaysia 0

Pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Asia/Piala Asia 2019 telahpun selesai dimana pasukan Asia ranking 35 hingga 46 setakat Januari 2015 berentap sesama sendiri. Sebanyak 6 pasukan layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Asia/Piala Asia 2019 iaitu India, Yemen, Timor Leste, Kemboja, Taiwan dan yang paling mengejutkan ialah Bhutan.

Ranking FIFA negara Asia setakat Januari 2015

Untuk pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Asia/Piala Asia 2019 ni, Malaysia telah diundi dalam pasukan A bersama-sama dengan UAE, Arab Saudi, Palestin dan Timor Leste. Secara keseluruhannya terdapat 8 kumpulan dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Asia /Piala Asia 2019 ini.

Ranking FIFA negara Asia setakat April 2015

Senang cerita... kalau mengikut ranking FIFA setakat April 2015, Malaysia adalah pasukan paling lemah dalam kumpulan A di belakang Timor Leste. Malaysia dijadualkan bertemu Timor Leste pada 11 Jun 2015 dan kemudiannya menanti cabaran Palestin pada 16 Jun 2015.


Peraturan Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019

Mengikut peraturan pula hanya 12 pasukan iaitu juara kumpulan (8 pasukan) bersama-sama dengan 4 pasukan tempat ke-2 terbaik sahaja akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Asia dan juga layak terus ke Piala Asia 2019.

Manakala 16 pasukan lain iaitu baki 4 pasukan tempat ke-2 yang lain pula bersama-sama dengan 8 pasukan tempat ke-3 dan 4 pasukan terbaik tempat ke-4 setiap kumpulan akan masuk ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019.

Sementara itu 12 pasukan lagi iaitu baki 4 pasukan tempat ke-4 bersama-sama dengan 8 pasukan tercorot setiap kumpulan pula akan berentap sesama sendiri untuk mengisi slot 8 pasukan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019.


Kumpulan A Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019

Jika diikutkan pencapaian semasa, UAE dan Arab Saudi akan bersaing sesama sendiri untuk menjadi juara kumpulan. Palestin akan menjadi pengacau, manakala Timor Leste dan Malaysia akan mengelak untuk dijadikan pasukan belasahan.

UAE

Setakat April 2015 UAE berada di ranking ke-5 Asia. Muncul sebagai pemenang tempat ke-3 Piala Asia 2015 di Australia baru-baru ini telah menunjukkan bahawa UAE adalah kuasa baru bolasepak Asia. UAE mempunyai barisan penyerang yang prolifik dimana Ali Mabkhout muncul sebagai penjaring terbanyak Piala Asia 2015 dengan 5 gol diikuti Ahmed Khalil dengan 4 gol.

Hamdan al-Kamali
Kekuatan pasukan UAE ini telahpun diceritakan dalam entri lain sebelum ini. Kebanyakan pemain UAE berpengkalan dalam negara sendiri melainkan pemain pertahanan mereka yang pernah menyarung jersi Lyon (Perancis), Hamdan Al-Kamali yang kini beraksi dalam Liga Malta.


Arab Saudi

Setakat April 2015 Arab Saudi berada di ranking ke-9 Asia. Arab Saudi perlu melupakan persembahan teruk mereka di Piala Asia 2015 apabila dipintas China di peringkat kumpulan. Sedangkan sebelum itu, Arab Saudi menjadi naib juara Piala Teluk 2014 setelah tewas kepada Qatar yang muncul sebagai Juara Piala Teluk 2014.

Mohammad al-Sahlawi

Sebelum mara ke perlawanan akhir Piala Teluk, Arab Saudi telah menewaskan UAE dengan jaringan 3-2 di separuh akhir. Kekuatan Arab Saudi terletak pada penyerang prolifik mereka Mohammad al-Sahlawi yang beraksi dengan kelab Al-Nassr


Palestin

Setakat April 2015 Palestin berada di ranking ke-19 Asia. Palestin layak kali pertama ke Piala Asia 2015 baru-baru ini setelah memenangi Piala Cabaran AFC 2014 dengan menewaskan Filipina 1-0. Palestin diperkuatkan dengan penyerang Ashraf Nu'man yang beraksi dengan kelab Al-Faisaly di Arab Saudi. Selain itu, penyerang dari kelab Ismaily di Mesir Abdelhamid Abuhabib adalah gandingan utama Ashraf Nu'man.

Ashraf Nu'man

Palestin juga mempunyai ramai pemain yang berpengkalan di luar Palestin seperti Alexis Norambuena (GKS Belchatow, Poland), Abdelatif Bahdari (Al-Wehdat, Jordan), Jaka Ihbeisheh (Krka, Slovenia), Mahmoud Eid (Nykopings, Sweden), Matias Jadue (Deportes Antofagasta, Chile), Imad Zatara (Atvidaberg, Sweden), Javier Cohene (Borac Cacak, Serbia), Daniel Kabir Mustafa (Atletico Venezuela, Venezuela), Omar Jarun (Bharat FC, India) dan banyak lagi.


Timor Leste

Setakat April 2015 Timor Leste berada di ranking ke-25 Asia. Perkembangan pesat bolasepak Timor Leste dilihat bermula pada tahun 2012 apabila semakin ramai warga Brazil yang menyarung jersi kebangsaan Timor Leste. Dengan adunan teknik bolasepak Brazil, Portugal dan Australia... Timor Leste bukan lagi pasukan belasahan.

Patrick Fabiano pemain kelahiran Brazil ini bermain di Liga Kuwait

Sehingga kini separuh daripada pasukan Timor Leste bukannya warganegara asal sebaliknya adalah warga Brazil yang bermain untuk Timor Leste melalui proses "naturalisasi". Malah, pemain mereka juga beraksi di seluruh pelusuk dunia termasuk di Brazil, Portugal, Australia, Sepanyol, Uruguay, Jepun, China, Timur Tengah, Malaysia, Thailand dan Indonesia.


Malaysia

Setakat April 2015 Malaysia berada di ranking ke-33 Asia. Kekalahan demi kekalahan di peringkat antarabangsa menyebabkan ranking Malaysia jatuh dengan teruk. Jika ranking FIFA April 2015 menjadi ukuran, Malaysia adalah di tempat ke-8 Asia Tenggara di belakang Vietnam, Filipina, Thailand, Timor Leste, Myanmar, Indonesia dan Singapura.

Tugas kapten pasukan sekali lagi digalas oleh Safiq Rahim

Dibarisi oleh majoriti pemain JDT yang beraksi agak baik dalam Piala AFC 2015 juga tidak menjamin kejayaan pasukan negara yang menuntut lebih daripada reputasi. Pemain-pemain yang baru dipanggil untuk beraksi dengan pasukan kebangsaan juga sepatutnya menyesuaikan diri dengan cepat supaya dapat diterjemahkan kepada keputusan baik di atas padang.


Tiada harapan tinggi yang disandarkan kepada pasukan negara. Apa yang penting bermain sehabis baik dan tidak bermain sambil lewa. Biar kalah dalam berjuang dan jangan jadi pasukan belasahan lagi.

Ayuh Malaysiaku!!!





Tuesday, June 9, 2015

"Malaysia" Di Persada Bolasepak Eropah



Dengar tajuk macam gempak kan? Tapi sebenarnya memang betul... sebab perkataan "Visit Malaysia" terpampang pada jersi pasukan bolasepak Sevilla dari Sepanyol yang baru-baru ini menjadi juara Liga Eropah UEFA 2014-2015.



Sevilla telah berjaya mempertahankan trofi ini yang telah dimenangi pada musim lepas dimana ini adalah trofi yang keempat buat mereka. Pada perlawanan akhir mereka telah menewaskan pasukan Dnipro (Ukraine) dengan jaringan 3-2.

Sevilla tampil dalam peringkat kumpulan sebagai juara bertahan pada edisi yang lepas. Pada musim lepas Sevilla menewaskan Benfica menerusi sepakan penalti 4-2 setelah terikat 0-0 sehingga masa tambahan. Di peringkat kumpulan, Sevilla tidak berapa menonjol dimana hanya menduduki tempat ke-2 di belakang naib juara Liga Belanda musim 2013-2014 iaitu Feyenoord.

Di pusingan kalah mati 32 pasukan, Sevilla diundi bertemu dengan Borussia Monchengladbach dari Jerman. Walaupun hanya menduduki tangga ke-6 dalam Liga Jerman musim lepas, pasukan dari Jerman ini telah membelasah pasukan Sarajevo (Bosnia) di pusingan kelayakan dengan agregat 10-2. Setelah menjuarai peringkat kumpulan mengatasi Villareal (Sepanyol) dengan cemerlang, namun Sevilla bukanlah lawan mereka apabila tumpas dengan agregat 4-2.



Di pusingan kalah mati 16 pasukan pula, Sevilla bertemu dengan pasukan senegara iaitu Villareal. Villareal juga menduduki tangga ke-6 dalam Liga Sepanyol musim lepas, membelasah pasukan Astana (Kazakhstan) dengan agregat 7-0 di pusingan kelayakan dan mendapat tempat ke-2 peringkat kumpulan di belakang Borussia Monchengladbach. Namun, Villareal masih tidak dapat mengatasi Sevilla apabila kecundang dengan agregat 5-2.



Pada peringkat suku akhir pula, Sevilla mendapat tentangan sengit daripada naib juara Liga Rusia musim lepas, Zenit St Petersburg. Zenit yang pada mulanya berada di peringkat kumpulan Liga Juara Eropah tetapi hanya menduduki tempat ke-3 di belakang Monaco (Perancis) dan Bayer Leverkusen (Jerman). Berada di tempat ke-3 bermakna cabaran Zenit bersambung dalam Liga Eropah UEFA. Sevilla telah menamatkan cabaran Zenit apabila menang dengan agregat 4-3.



Di separuh akhir, Sevilla menghadapi tentangan daripada pasukan daripada Itali iaitu Fiorentina. Fiorentina mendapat tempat ke-4 dalam Liga Itali pada musim lepas, menjuarai kumpulan di peringkat kumpulan Liga Eropah UEFA, menyingkirkan pasukan kuat seperti Tottenham Hotspur (England), Roma (Itali) dan Dynamo Kiev (Ukraine) sebelum tiba ke separuh akhir. Akhirnya Sevilla menewaskan Fiorentina dengan agregat 5-0.



Pada perlawanan akhir, Sevilla bertemu dengan naib juara Liga Ukraine musim lepas iaitu Dnipro. Dnipro telah gagal di pusingan kelayakan Liga Juara Eropah apabila tumpas kepada Copenhagen (Denmark) dengan agregat 2-0 menyebabkan Dnipro bertanding dalam Liga Eropah UEFA sahaja. Keputusan Dnipro di peringkat kumpulan sama sekali tidak memberangsangkan tetapi akhirnya melepasi peringkat kumpulan hinggalah ke perlawanan akhir. Dnipro tewas kepada Sevilla dengan jaringan 3-2 di perlawanan akhir.

Pemain Dnipro kesedihan apabila tewas di perlawanan akhir

Seramai 7 orang pemain Sevilla telah dipilih oleh UEFA sebagai pemain terbaik sepanjang kejohanan bermula dengan penjaga gol muda mereka, Sergio Rico, pemain pertahanan Aleix Vidal dan Timothee Kolodziejczak, pemain tengah Ever Banega, Stephen Mbia dan Grzegorz Krychowiak dan penyerang Carlos Bacca.

Entah bila agaknya pemain Malaysia akan bermain untuk Sevilla? Fantasi atau realiti?




Monday, June 8, 2015

Barcelona - Juara Eropah Yang Sebenar!



Tahniah Barca!

Itu sahaja yang boleh diungkapkan... Barcelona antara pasukan terhebat di abad ini telah menggondol 3 kejuaraan musim ini bermula dengan La Liga Sepanyol, Copa Del Rey dan yang terbaru ialah UEFA Champions League 2014-2015.

Barcelona - juara Liga Eropah 2014-2015

Barcelona memintas Real Madrid sebagai juara Liga Sepanyol (kejuaraan yang ke-23) dengan beza hanya 2 mata, menewaskan Athletic Bilbao dalam perlawanan akhir dengan jaringan 3-1 untuk menggondol Copa Del Rey (kejuaraan ke-27) dan menewaskan Juventus dari Itali pada perlawanan akhir Liga Juara Eropah (kejuaraan ke-5) juga dengan jaringan 3-1.

Barcelona memulakan kempen Liga Juara Eropah dengan layak secara automatik ke peringkat kumpulan setelah menjadi naib juara La Liga Sepanyol pada musim 2013-2014 di belakang Atletico Madrid. 

Barcelona telah berjaya mendapatkan khidmat Luiz Suarez dari Liverpool dan tiada masalah untuk melepaskan Alexis Sanchez ke Arsenal dengan Pedro kekal sebagai pemain sayap atau penyerang simpanan. Lionel Messi dan Neymar juga kekal mengemudi jentera serangan Barcelona

Penyerang Uruguay, Brazil dan Argentina bergabung

Gabungan trio Messi, Neymar dan Suarez sahaja telah menghasilkan 27 gol dalam Liga Juara Eropah, tidak termasuk lagi gol dalam La Liga dan Copa Del Rey. Messi dan Neymar berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak Liga Juara Eropah bersama-sama dengan Cristiano Ronaldo (Real Madrid), masing-masing dengan 10 gol.

Barcelona telah layak ke peringkat kalah mati Liga Juara Eropah dengan menjadi juara dalam Kumpulan F dengan diikuti rapat oleh Paris St Germain (Perancis). Di peringkat kalah mati, Barcelona telah diundi bertemu Manchester City (England) dan tiada masalah untuk membenam Juara Inggeris itu dengan agregat 3-1.

Di peringkat suku akhir, sekali lagi Barcelona bertemu dengan Paris St Germain dan menewaskan Juara Perancis itu dengan agregat 5-1. Di separuk akhir, Barcelona dijangka menerima tentangan sengit daripada Juara Jerman, Bayern Munich... tapi nampaknya dengan mudah mengalahkannya dengan agregat 5-3.

Tonggak Juventus, Andrea Pirlo menangis kesedihan apabila trofi Liga Juara Eropah terlepas ke Barcelona

Akhirnya, pada perlawanan akhir... Barcelona menewaskan Juara Itali pula iaitu Juventus dengan jaringan 3-1. Lihat... betapa simboliknya Barcelona menggondol kejuaraan Eropah kali ini dengan menewaskan 4 juara iaitu juara England, juara Perancis, juara Jerman dan akhir sekali juara Itali.

Adakah ada pasukan lain yang boleh menandingi kehebatan Barcelona selagi mana trio serangan dari Amerika Latin Messi, Neymar dan Suarez masih mengetuai jentera serangan Barcelona?






Friday, June 5, 2015

5 Pemain Yang Disisihkan Ini Mungkin Membantu Skuad Negara Kenduri Gol Dalam Sukan Sea 2015 Sekiranya Dipilih



Skuad Bolasepak Malaysia Bawah 23 Tahun yang juga dikenali sebagai Skuad Olimpik Malaysia adalah pasukan bolasepak Malaysia yang akan bertanding dalam Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan SEA. Skuad bawah 23 tahun adalah skuad pelapis kepada skuad negara. Skuad bawah 23 tahun ini melambangkan prestasi skuad negara pada masa akan datang. 

Kebanyakan daripada mereka ialah daripada skuad Harimau Muda yang beraksi dalam Liga Singapura. Manakala beberapa orang pemain berpotensi bawah 23 tahun daripada pasukan lain akan diserap masuk.

Setelah 7 perlawanan, Harimau Muda berada di tangga ke-8 daripada 10 pasukan
Nota : 9 gol sahaja yang dijaringkan

4 dan 6 tahun yang lalu iaitu pada tahun 2009 dan 2011, Malaysia telah menggondol pingat emas Sukan Sea dalam acara bolasepak. Generasi tersebut kini telah berada di skuad utama negara dan juga membantu pasukan masing-masing dalam liga tempatan mahupun kancah bolasepak kelab Asia.

Skuad Sukan Sea 2009

Skuad Sukan Sea 2011

Skuad Sukan Sea 2015 telah dibentuk. Para pemain yang dipercayai mampu menggalas tugas yang diberikan telahpun dipilih oleh Dato' Ong Kim Swee. Mereka yang tidak terpilih berkemungkinan besar mengalami kecederaan, tidak cergas sepenuhnya, tiada keserasian dan mungkin juga tidak menonjol semasa dalam kem persediaan untuk membentuk skuad Sukan Sea 2015.


Namun begitu ada beberapa orang pemain yang mungkin akan memberikan impak berbeza sekiranya dipilih :-

Rozaimi Abdul Rahman (Sabah) - 23 tahun

Tidak terpilih dalam saringan akhir Skuad Sukan Sea 2015. Pernah bermain untuk pasukan utama negara. Berkemampuan menjaringkan gol dari pelbagai sudut dan boleh bermain di posisi tengah di bahagian belakang penyerang utama



Shafiq Shaharudin (JDT II) - 21 tahun

Sama sekali tidak dipanggil ke skuad awal Sukan Sea 2015. Penjaring ke-2 terbanyak Liga Perdana Malaysia di belakang Forkey Doe. Satu-satunya pemain yang pernah menjaringkan hatrik dalam Liga Perdana. Pemain ini bijak mencuri peluang dan membuat penyudahan. Pernah mewakili skuad bawah 22 negara 2 kali dan menjaringkan 1 gol.



Akram Mahinan (JDT II) - 22 tahun

Pemain tengah serba boleh samada di bahagian bertahan, menyerang dan juga bahagian sayap. Mampu menjaringkan gol dari jarak jauh. Berpotensi untuk menggantikan Gary atau Nazmi Faiz sekiranya diperlukan.



Muhammad Ridzuan bin Abdunloh Pulo (Harimau Muda) - 21 tahun

Penyerang berkacukan Siam dan berasal dari Kedah ini adalah penjaring terbanyak Harimau Muda dalam Liga Singapura setelah 7 perlawanan. Sama sekali tidak dipanggil ke skuad awal Sukan Sea 2015.



Muhammad Farhan Roslan (Kedah) - 19 tahun

Pemain tengah menyerang yang sedang meningkat naik ini tidak terpilih dalam skuad akhir Sukan Sea 2015. Kehadiran beliau mungkin akan menaikkan semangat penyerang Syafiq Ahmad kerana mereka berdua serasi bermain bersama.


Tewas kepada Vietnam 1-5 dan tewas kepada Thailand 0-1 secara logiknya telah menamatkan perjalanan Malaysia untuk layak ke peringkat separuh akhir Sukan Sea 2015. Namun begitu, perlawanan bertemu Brunei dan Laos perlu dihabiskan sebagai pelengkap jadual.

Selain daripada pencarian bakat di peringkat kelab dan negeri, konsep "Harimau Muda" ini tidak salah untuk diteruskan mengikut peringkat umur. Cuma apa yang perlu dibuat ialah dengan membanyakkan dan melambakkan lagi pemain-pemain muda dalam "pool" serta menanamkan konsep semua pemain ada peluang.

Konsep seperti ini akan memberikan persaingan sihat sesama pemain. Pemain-pemain muda juga akan cuba untuk menjadi pemain serba boleh dan tidak terhad untuk bermain pada satu-satu posisi sahaja. Konsep ini telah diamalkan di negara Jepun sehingga menjadikan mereka raja bolasepak Asia.

Malaysia Boleh!!!





Thursday, June 4, 2015

Ketahui Peraturan Dan Hukuman Sebenar Meludah Pemain Dalam Bolasepak



Baru-baru ini kita digemparkan dengan insiden pemain tengah negara Nazmi Faiz Mansor yang dilayangkan kad merah kerana meludah pemain lawan. Beberapa hari kemudian jawatankuasa tatatertib AFC telah mengenakan penggantungan 6 perlawanan kepada Nazmi.



Ramai yang memberi reaksi dan respon yang bermacam-macam. Ada yang mengatakan bahawa hukuman gantung 6 perlawanan itu adalah sangat melampau sebab kononnya ludahan Nazmi tidak kena langsung pada pemain lawan dan pemain lawan langsung tidak sedar akan perbuatan Nazmi!!!

Ada juga yang mengatakan bahawa semua ini telah dirancang... pengadil dari Singapura ada kaitan dengan bookie dari Singapura... perlawanan telah diaturkan... dan banyak lagi. Masing-masing memang tak kalah kalau nak bagi pendapat dan pandangan. Kadang-kadang boleh jadi bergaduh sebab nak pertahankan pendapat masing-masing.

Sebenarnya kalau ikut undang-undnag FIFA, hukuman 6 perlawanan tu adalah minimum dan paling ringan yang diterima oleh Nazmi. Nasib baik tak ludah pengadil... sebab kalau ludah pengadil, hukuman paling ringan ialah gantung 12 bulan daripada main bolasepak!

Artikel 48 dan 49 membicarakan pasal kesalahan meludah


Tak kisah ler... kalau ludah tu ada kahak ke takde kahak, ludah tu kaler putih ke kuning ke hijau ke.... kena muka ke badan pemain lawan, pemain lawan nampak ke tidak nampak... hukuman paling ringan ialah gantung 6 perlawanan



Semua pemain bolasepak profesional telah maklum berkenaan undang-undang ini, cuma bergantung kepada setiap individu samada dapat mengawal diri masing-masing daripada melakukan sebarang kesalahan samada serius atau tidak... Dalam bahasa mudah, kalau kesalahan tu perlu... its ok, tapi kalau kesalahan tu adalah kesalahan bodoh dan menjejaskan pasukan... maka sendirilah tanggung.

Nampaknya, kelibat Nazmi Faiz Mansor tidak lagi akan kelihatan dalam Sukan Sea 2015 kali ini. Penggantungan Nazmi termasuk juga gantung 2 perlawanan akibat menerima kad merah dalam perlawanan.

Dato' Ong Kim Swee ternyata tidak gembira dengan tindakan Nazmi yang tidak profesional dan telah menjejaskan moral dan semangat pasukan. Walaupun Nazmi telah meminta maaf atas perbuatannya, namun kesalahan telah dilakukan dan Nazmi harus menjalani hukuman dan berazam untuk meningkatkan lagi prestasi bolasepaknya.



Semoga Nazmi Faiz akan kembali ke atas padang dan jadikan insiden di Sukan Sea 2015 sebagai pengajaran berguna kepada beliau. 





Wednesday, June 3, 2015

7 Fakta Yang Perlu Anda Tahu Di Sebalik Kekalahan Memalukan Malaysia Kepada Vietnam



Vietnam 5 Malaysia 1

Ini adalah kekalahan yang amat besar Malaysia kepada pasukan serantau seperti Vietnam. Kemampuan dan kekuatan skuad negara sepatutnya tidak jauh besarnya atau tidak jauh jurangnya dengan pasukan seperti Vietnam. Kekalahan boleh diterima tetapi biarlah kekalahan munasabah.

Skuad Malaysia bawah 23 ini adalah skuad pelapis kepada skuad senior yang telah 2 kali menggondol pingat emas sukan SEA sebelum ini. Beberapa fakta perlu kita tahu mengapa jurang di antara skuad Vietnam dan skuad negara kita sangat besar. Bukan sahaja kepada skor perlawanan tetapi juga keseluruhan permainan.


Fakta #1 - Keputusan Pengadil yang salah 

Beberapa keputusan pengadil boleh dipersoalkan sehinggakan Vietnam memperolehi gol. Ini pun angkara bookie??? Terpulang pada anda untuk menilainya. Yang pasti pengadil perlawanan membuat keputusan yang salah dan amat kritikal.

Gol pertama dihasilkan melalui tendangan penalti dimana sepatutnya tidak diberikan kerana pemain pertahanan Adam Nor Azlin dengan jelas membuat tackle yang bersih dalam kotak penalti.



Gol keempat pula dihasilkan melalui tendangan percuma dimana sepatutnya tidak diberikan. Pengadil mendakwa bola terkena tangan pemain pertahanan Malaysia dimana ulang tayang dengan jelas menunjukkan bola terkena muka pemain Malaysia. Gol-gol ini telah melunturkan semangat juang pemain Malaysia yang telah sedia luntur sebelumnya.


Fakta #2 - Kurang pendedahan antarabangsa

Kebanyakan skuad Malaysia bawah 23 ini kurang pendedahan antarabangsa atau sekurang-kurangnya pendedahan serantau. Kekurangan ini akan menyebabkan kekurangan keserasian sesama pemain dan kemungkinan membuat kesilapan dalam permainan adalah besar. Contohnya hantaran ke belakang pemain negara yang menyebabkan penalti diberikan untuk gol ke-3 Vietnam.



Dalam perlawanan pemanas badan sebelum sukan SEA ini, skuad negara hanya menang 2 kali iaitu 3-0 ke atas Sabah, 4-1 ke atas Real Mulia FC, seri dengan Korea Utara 1-1 tetapi tewas kepada Indonesia 1-0, Air Force United (Thailand) 2-0 dan Police United (Thailand) 3-0


Fakta #3 - Malaysia ketandusan penyerang?

Skuad Malaysia bawah 23 tahun hanya menyenaraikan 2 orang pemain penyerang dalam Sukan SEA kali ini iaitu penyerang Kedah, Syafiq Ahmad dan juga penyerang Harimau Muda B iaitu S Kumaarhan. Walaupun Syahrul Azwari boleh bermain di posisi penyerang tetapi dia lebih sesuai bermain di posisi sayap.


Pemain menyerang ataupun tengah menyerang sangat penting dalam sesuatu pasukan yang bercita-cita besar dan mempunyai hala tuju yang tinggi. Sudah tentu skuad negara inginkan pingat emas sukan SEA ini. Percubaan Malaysia ke arah pintu gol boleh dikira dengan jari.  Adakah negara kita sudah ketandusan penyerang berbakat?


Fakta #4 - Malaysia ketandusan pengalaman

Selain daripada kapten pasukan Fandi Othman, hanya Nazmi Faiz dan Gary Steven Robbat dilihat mempunyai pengalaman yang lebih. Nazirul Naim yang berpengalaman bermain di divisyen 3 Jepun juga dilihat banyak memanaskan bangku simpanan. Bekas pemain muda Perth Glory, Australia juga iaitu Matthew Thomas Davies (pemain kacukan Australia-Sabah) dilihat biasa-biasa sahaja dari segi kemampuannya.

Nazirul Naim dan Wan Zack Haikal ketika sesi latihan bersama Ryukyu FC satu ketika dahulu
Mathew Thomas Davies (baju ungu) ketika beraksi bersama Perth Glory FC

Fakta #5 - Tiada perancang tengah

Ketiadaan Nazmi Faiz amat terasa kerana beban terpikul di bahu Gary Steven Robbat untuk membantu pertahanan dan pada masa yang sama mencipta gerakan untuk negara. AFC baru saja mengenakan hukuman gantung 6 perlawanan kepada Nazmi Faiz akibat kesalahan meludah pemain lawan pada perlawanan pertama tempoh hari.

Nazmi Faiz mendapat 6 bulan pengalaman bermain dengan kelab Beira Mar, Portugal
Gary mendapat pengalaman berharga berlatih bersama pasukan remaja Borussia Dortmund selama 3 bulan

Gary Steven Robbat juga dilihat belum cergas sepenuhnya setelah selesai menjalani penggantungan 3 bulan daripada FAM. Walaupun mendapat pendedahan berlatih dengan gergasi Jerman, Borussia Dortmund namun ternyata Gary kurang pendedahan dalam perlawanan kompetitif.

Saiful Ridzuwan yang menggantikan tempat Nazmi Faiz juga tampak tidak berfungsi sehingga digantikan dengan Syahrul Azwari di separuh masa ke-2.


Fakta #6 - Kualiti penyerang Vietnam

Penjaring gol pertama Vietnam, Mac Hong Quan pernah bermain dengan gergasi bolasepak Republik Czech iaitu Sparta Prague manakala pemain No. 10 Vietnam yang menjaringkan 2 gol serta penjaring gol ke-5 Vietnam adalah pemain dari akademi bolasepak Arsenal yang berpengkalan di Vietnam iaitu HAGL - JMG Academy Arsenal.

Mac Hong Quan ketika beraksi bersama Sparta Prague



Pengalaman yang ditimba mereka sangatlah berbeza jika nak dibandingkan dengan pengalaman penyerang negara kita


Fakta #7 - Taktikal pasukan Vietnam

Toshiya Miura ialah jurulatih kebangsaan Vietnam dari Jepun yang mengendalikan pasukan Vietnam pada piala Suzuki AFF yang lalu dimana Vietnam tewas pada perlawanan separuh akhir kepada Malaysia. Dalam masa yang sama juga Miura mengendalikan skuad bawah 23 tahun Vietnam untuk suka SEA.

Taktik yang diterapkan oleh Miura dilihat agak mudah dan senang dipraktikkan oleh pemain-pemain Vietnam. Miura tidak mementingkan permainan cantik tetapi melihat kepada hasil permainan. Walaubagaimanapun, Miura juga dikecam di Vietnam kerana dikatakan merosakkan permainan "tiki taka" pemain-pemain HAGL - JMG Academy Arsenal


Peluang Malaysia di Sukan Sea 2015

Peluang Malaysia dalam Sukan Sea 2015 ini masih belum tertutup dengan syarat mesti menewaskan kesemua pasukan lain dalam Kumpulan B ini termasuklah lawan akan datang iaitu Thailand selaku juara bertahan.

Nurul Sriyankem

Tugas pasukan negara bukanlah mudah. Selain daripada menghalang hantaran-hantaran dan gerakan daripada Chanatip Songkrasin (bintang Thailand semasa piala AFF Suzuki), mereka juga harus merantai kelincahan pemain sayap Thailand iaitu Nurul Sriyankem bintang dari selatan Thailand yang semakin meningkat naik.

Ayuh... ayuh Malaysiaku!!!




Tuesday, June 2, 2015

Piala FA Inggeris 2015 - Arsenal 4 Aston Villa 0


Tahniah Arsenal!

Buat kali ke-2 Arsenal berjaya mempertahankan Piala FA Inggeris untuk musim 2014-2015 setelah menewaskan Aston Villa 4-0 pada perlawanan akhir di Stadium Wembley. Pada musim lepas Arsenal berhempas pulas sebelum menewaskan Hull City 3-2 selepas masa tambahan.

FA Cup Winners 2015 - Arsenal!

Kali pertama Arsenal mempertahankan kejuaraan Piala FA Inggeris ialah pada musim 2002-2003 setelah menewaskan Southampton 1-0 manakala pada musim 2001-2002 pula, Arsenal menewaskan Chelsea dengan jaringan 2-0.

Dengan kejuaraan terbaru ini juga Arsenal muncul sebagai pemenang terbanyak Piala FA Inggeris dengan 12 kali kemenangan dan pada masa yang sama juga Arsenal adalah pasukan yang telah membuat penampilan terbanyak di perlawanan akhir iaitu sebanyak 19 penampilan.

Arsenal memulakan kempen mempertahankan Piala FA pada bulan Januari 2015 apabila diundi menentang finalis musim lalu Hull City di Emirates Stadium. Ternyata, Arsenal tidak menghadapi masalah dengan menewaskan Hull City 2-0. Gol-gol telah dijaringkan oleh Metersacker dan Sanchez.



Pada pusingan ke-4 pula, Arsenal telah diundi menentang pasukan dari divisyen bawahan iaitu Brighton & Hove Albion di tempat lawan. Arsenal bernasib baik apabila menang dengan jaringan 3-2. Gol-gol telah disumbangkan oleh Walcott, Ozil dan Rosicky.



Pada pusingan ke-5 Arsenal juga diundi menentang pasukan dari divisyen bawahan iaitu Middlesbrough. Gol-gol pantas daripada Giroud telah memastikan Arsenal layak ke suku akhir dengan jaringan 2-0.



Pada suku akhir, Arsenal diramal agak sukar untuk melangkah ke pusingan seterusnya apabila diundi bertemu Manchester United di Old Trafford. Walaubagaimanapun, Arsenal telah menampilkan permainan kemas dan meyakinkan dan berjaya menewaskan Manchester United 2-1 dengan gol sumbangan daripada Monreal dan Welbeck.



Pada perlawanan separuh akhir, Arsenal terpaksa berhempas pulas menewaskan pasukan dari divisyen bawahan iaitu Reading dengan jaringan 2-1 selepas masa tambahan. Kedua-dua gol Arsenal telah dijaringkan oleh Alexis Sanchez.



Ramai yang meramalkan Arsenal akan menentang Liverpool pada perlawanan akhir. Namun begitu, Aston Villa telah mengejutkan Liverpool pada perlawanan separuh akhir dengan jaringan 2-1. Arsenal ternyata menjadi pilihan utama pada perlawanan akhir. Rekod dalam perlawanan liga menunjukkan Aston Villa telah tewas 3-0 di laman sendiri dan tewas di Emirates Stadium dengan 5-0.

Gol-gol Arsenal dijaringkan oleh Walcott, Sanchez Mertesacker dan Giroud

Arsenal tidak memandang rendah keupayaan Aston Villa walaupun rekod jelas memihak kepada Arsenal. Arsenal juga bermain tanpa tekanan dan nampak "enjoy" dengan gerakan-gerakan dan percubaan menarik. Tahniah sekali lagi kepada Arsenal!

COYG!




Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...