Tuesday, September 13, 2016

Suku Akhir Piala AFC 2016 - Tugas Sukar JDT Mempertahankan Kejuaraan



Pada 26 Mei 2016 telah selesai peringkat kalah mati Piala AFC 2016 dan 8 pasukan ke suku akhir telahpun diketahui

4 pasukan dari Asia Barat yang layak ialah Al-Muharraq (Bahrain), Al-Quwa Al-Jawiya (Iraq), Al-Ahed (Lubnan) dan Al-Jaish (Syria) manakala 4 pasukan dari Asia Timur yang layak ialah South China (Hong Kong), Bengaluru FC (India), Tampines Rovers (Singapura) dan juara bertahan JDT (Malaysia)


Asia Barat

Al-Muharraq (Bahrain)

Ini adalah penampilan kali ke-5 juara Liga Bahrain ini dalam kempen Piala AFC. Ismail Abdul Latif kekal sebagai penyerang berbisa Al-Muharraq dan juga skuad kebangsaan Bahrain. Penyerang import Sweden keturunan Bosnia, Admir Catovic telahpun kembali ke Sweden bersama dengan kelab Degerfors IF.

Ismail Abdul Latif berentap dengan Ashkan Dejagah dari Iran

Namun, Al-Muharraq masih lagi boleh bergantung kepada pemain sayap dari Brazil, Elias de Oliveira Rosa juga dikenali sebagai Kanu. Al-Muharraq juga telah berjaya mendapatkan pemain berprofil tinggi iaitu Vitor Saba yang berpengalaman luas bermain di Liga Itali.

Di peringkat kalah mati, Al-Muharraq tiada masalah untuk ketepikan juara Piala FA Jordan, Al-Faisaly dengan jaringan 1-0. Di suku akhir, Al-Muharraq akan menanti cabaran juara Liga Lubnan iaitu Al-Ahed

Al-Quwa Al-Jawiya (Iraq)

Ini adalah penampilan kali pertama Al-Quwa Al-Jawiya ataupun dikenali "Air Force", sebuah kelab dari Iraq yang merupakan naib juara Liga Iraq musim 2014-2015. Penyerang utama mereka iaitu Hammadi Ahmad adalah penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan 12 gol.

Hammadi Ahmad berentap dengan Yuto Nagatomo dari Jepun

Selain daripada dibelasah Al-Wahda (Syria) dengan jaringan 5-2 di peringkat kumpulan, Al-Quwa Al-Jawiya mempersembahkan pertahanan yang mantap yang diketuai pertahanan berpengalaman dari Cameroon, Jean-Paul Ndjoumeck Ndeki. Seorang lagi pemain import mereka ialah pemain tengah dari Ghana, Akwetey Mensah.

Di peringkat kalah mati Al-Quwa Al-Jawiya menewaskan juara Liga Jordan, Al-Wehdat dengan jaringan 2-1. Pada peringkat suku akhir pula, Al-Quwa Al-Jawiya telah diundi menentang juara Liga Syria, Al-Jaish.

Al-Ahed (Lubnan)

Ini adalah penampilan kali ke-7 juara Liga Lubnan musim 2014-2015. Penyerang dari Senegal, Mouhamadou Drame adalah penjaring terbanyak mereka dalam kejohanan ini. Tidak dilupakan juga bekas pemain import Terengganu, Hassan Chaito adalah penggerak bahagian tengah Al-Ahed.

Hassan Chaito ketika bersama pasukan Terengganu

Di peringkat kalah mati, Al-Ahed membelasah juara Piala Syria, Al-Wahda dengan jaringan 4-0. Di suku akhir nanti, Al-Ahed dijadualkan bertemu Al-Muharraq yang merupakan juara Liga Bahrain

Al-Jaish (Syria)

Juara Liga Syria ini membuat penampilan kali ke-6 dalam kempen Piala AFC ini. Al-Jaish mengharapkan Mohammad Hamadko sebagai penggempur utama selain daripada pemain Rusia keturunan Syria, Basel Mansur Abdoulfattakh yang beraksi di bahagian pertahanan.

Basel Abdoulfattakh pernah beraksi untuk pasukan Zenit St Petersburg di Rusia

Di peringkat kalah mati, Al-Jaish mengejutkan juara Liga Iraq iaitu Naft al-Wasat dengan jaringan 0-1. Perlawanan ini telah diadakan di Tehran, Iran sebagai gelanggang berkecuali akibat pergolakan yang berlaku di Iraq dan Syria.

Di suku akhir nanti, Al-Jaish akan berhadapan dengan cabaran pasukan dari Iraq juga iaitu naib juara Liga Iraq, Al-Quwa Al-Jawiya yang diadakan di Qatar sebagai gelanggang berkecuali untuk kedua-dua pasukan.




Asia Timur

South China (Hong Kong)

Ini adalah penampilan kali ke-7, juara play-off Hong Kong ini pada musim 2014-2015. South China mulakan kempen ini dengan agak goyah iaitu 3 kekalahan pertama sebelum bangkit semula dengan 3 kemenangan terakhir.

Mahama Awal dari Cameroon kekal sebagai pemain paling bernilai South China yang sentiasa mengancam dari bahagian sayap. Bekas pemain import Sarawak dari Australia, Ryan Griffiths juga banyak menjaringkan gol-gol penting untuk South China.

Ryan Griffiths ketika beraksi bersama Sarawak

Di peringkat kalah mati, South China menewaskan juara Liga Filipina, Ceres La Salle dengan jaringan 1-0 selepas masa tambahan. Di suku akhir nanti, South China dijadualkan menentang juara bertahan Piala AFC iaitu Johor Darul Takzim.

Bengaluru FC (India)

Ini adalah penampilan kali ke-2 Bengaluru FC dalam Piala AFC. Di peringkat suku akhir, Bengaluru FC akan dibimbing oleh jurulatih baru Albert Roca bekas pengendali skuad kebangsaan El Salvador menggantikan Ashley Westwood

Hanya John Johnson sahaja yang kekal sebagai pemain import Bengaluru FC. 3 orang pemain import baru dibawa masuk iaitu Alvaro Rubio (Sepanyol), Juanan (Sepanyol) dan Cameron Watson (Australia) menggantikan Curtis Osano, Michael Collins dan Kim Seng-Yong.

Juanan (merah) ketika beraksi dalam Liga Jerman bersama Fortuna Dusseldorf

Di peringkat kalah mati, Bengaluru FC mengejutkan juara Hong Kong, Kitchee FC apabila menewaskan mereka 3-2 di tempat lawan. Di peringkat suku akhir, Bengaluru FC akan menentang naib juara Liga Singapura Tampines Rovers.

Johor Darul Takzim (Malaysia)

JDT membuat penampilan ke-3 dalam kempen Piala AFC. Selaku juara bertahan, tugas mempertahankan kejuaraan kali ini nampak lebih sukar. Berbanding musim lepas, bahagian serangan JDT nampak lebih berbahaya dengan kembalinya Jorge Pereyra Diaz dari Independiente yang telah dipinjamkan dan juga penyerang baru mereka juga dari Independiente, Juan Martin Lucero.

Juan Martin Lucero ketika bersama Independiente

Di peringkat kalah mati, JDT membelasah juara Piala UFL Filipina Kaya FC dengan jaringan 7-2. Di suku akhir, JDT akan berhadapan cabaran wakil Hong Kong, South China

Tampines Rovers (Singapura)

Ini adalah penampilan ke-8 Tampines Rovers yang merupakan naib juara Liga Singapura tahun 2015. Kekuatan Tampines Rovers adalah pada pemain sayap yang pernah beraksi dengan kelab besar seperti Arsenal dan Liverpool iaitu Jermain Pennant.

Selain itu bekas pemain remaja West Ham United yang pernah menjadi pemain import untuk Kedah dah Sarawak juga menguatkan jentera serangan Tampines Rovers. Billy Mehmet juga dikenali sebagai Billy Osman Mehmet lahir di London tapi mempunyai bapa keturunan Turki-Cyprus dan ibu berbangsa Ireland.

Billy Mehmet semasa beraksi untuk pasukan Kedah

Di peringkat kalah mati, Tampines Rovers mengejutkan juara Liga India musim 2014-2015 Mohun Bagan dengan jaringan 2-1 setelah masa tambahan. Tampines Rovers akan menentang satu lagi pasukan dari India iaitu Bengaluru FC yang tampil sebagai juara Piala Konfederasi India.


Antara 8 pasukan yang bertanding... hanya JDT, South China dan Al-Jaish sahaja yang bermain di peringkat suku akhir pada Piala AFC 2015 musim lepas. South China tewas kepada JDT dengan agregat 4-2 manakala Al-Jaish tewas kepada Al-Qadsia dengan agregat 3-2.

Pertembungan di suku akhir Piala AFC 2016 ini juga akan lebih menarik kerana pasukan-pasukan yang layak nampak lebih berkualiti dan lebih bersedia. Pasukan dari Asia Barat sudah pasti ingin merampas semula Piala AFC ini daripada JDT yang telah membuat kejutan pada musim lepas.



No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...