Monday, February 13, 2017

Kenali Lawan JDT dan Felda United Dalam Piala AFC 2017



Piala AFC datang lagi... kali ini dengan format baru yang lebih kompetitif untuk tahun 2017. Pasukan-pasukan yang bertanding dibahagikan kepada 5 zon iaitu Zon Asia Barat, Zon Asia Tengah, Zon Asia Selatan, Zon Asia Tenggara dan Zon Asia Timur. Dari segi ranking, Malaysia adalah di belakang Vietnam setelah Indonesia menarik diri dalam Zon Asia Tenggara.

Juara bertahan, Al-Quwa Al-Jawiya (Iraq) tampil untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka tahun lepas setelah menewaskan Bengaluru FC (India) 1-0 di perlawanan akhir Piala AFC 2016.

Hasrat Kedah untuk bermain dalam Piala AFC 2017 sebagai "standby team" dari Malaysia tidak kesampaian apabila JDT gagal melayakkan diri ke peringkat kumpulan Liga Juara Asia 2017 setelah tewas kepada Gamba Osaka (Jepun) dengan jaringan 3-0 pada perlawanan play off.

Dua pasukan dari Malaysia yang bertanding untuk Piala AFC 2017 ialah JDT dan Felda United. JDT diletakkan dalam kumpulan F bersama-sama Magwe (Myanmar), Global (Filipina) dan Boeung Ket Angkor FC (Kemboja) manakala Felda United diletakkan dalam kumpulan G bersama-sama Hanoi T&T (Vietnam), Tampines Rovers (Singapura) dan Ceres-Negros (Filipina).


Siapa Magwe?

Magwe juga dikenali sebagai Magway FC. Ini ialah penampilan pertama Magwe dalam Piala AFC 2017 sebagai pemenang Piala Jeneral Aung San 2016. Dalam Liga Myanmar musim lepas pula, Magwe mendapat tempat ke-3.

Beberapa orang pemain tempatan Magwe beraksi dengan skuad kebangsaan Myanmar seperti penjaga gol, Kyaw Zhin Pyo, pemain pertahanan Nanda Kyaw dan Kyaw Zin Lwin. Magwe cuma menggunakan khidmat 3 orang pemain import sahaja iaitu pemain tengah kiri, Michael Henry Alloysius (Nigeria), penyerang Sylla Seikou (Guinea) dan pemain pertahanan baru, Jean Hilako (Mali).

Nanda Kyaw ialah ketua pasukan Myanmar semasa kejohanan
Piala Dunia bawah 20 tahun di New Zealand 2 tahun lepas


Siapa Global?

Ini ialah penampilan kali ke-2 Global dalam kempen Piala AFC. Global tampil sebagai juara berganda Filipina dan layak juga ke kelayakan Liga Juara Asia sebelum dibelasah Brisbane Roars (Australia) dengan jaringan 6-0.

Global menamakan pemain import seperti pertahanan kanan Louis Serge Kaole (Cameroon) untuk kempen Piala AFC 2017. Selain itu Global juga baru saja mendapatkan 2 orang pemain import baru dari Liga Australia iaitu Shu Sasaki (Jepun) dari kelab B. Spartans dan Ahamad Azzawi (Jepun/Iraq) dari kelab Capalaba Bulldogs.

Pemain Iraq warganegara Jepun, Ahamad Azzawi menewaskan Izwan Mahbud (Tampines Rovers)

Seperti biasa Filipina terkenal dengan lambakan pemain naturalisasi seperti Mark Winhoffer dan Charley Pettys (kedua-duanya dari USA), Paul Mulders (Belanda), Nick O'Donnell (Kanada), Hikaru de Asis Minegeshi (Jepun), Matthew Hartmann (England), Dennis Villanueva (Itali), Andreas Esswein (Jerman) dan Misagh Bahadoran (Iran).

Siapa Boeung Ket Angkor?

Boeung Ket Angkor dahulunya dikenali sebagai Boeung Ket Rubber Field ialah kelab bolasepak yang terletak di Kampung Cham, Kemboja yang mempunyai ramai etnik Melayu Champa beragama Islam di situ. Ini adalah penampilan kali pertama mereka dalam kejohanan Piala AFC dan mereka tampil atas tiket juara Liga Kemboja 2016 dan melepasi pusingan playoff dengan menewaskan naib juara Liga Laos, Lao Toyota dengan agregat 2-1.

Kali ini mereka agak kurang berbisa kerana pemain muda bintang mereka, Chan Vathanaka yang menjaringkan 2 gol ketika menentang Malaysia dalam Piala AFF Suzuki tahun lepas, telah dipinjamkan ke kelab divisyen 3 Jepun, Fujieda MYFC. Namun ketua pasukan mereka yang berpengalaman, Khuon Laboravy akan mengetuai jentera serangan bersama-sama tonggak import dari Brazil, Maycon Silva Calijuri.

Ly Mizan - anak muda Kampung Cham yang semakin meningkat naik

Di bahagian tengah dan sayap, 2 tonggak import dari Jepun iaitu Hikaru Mizuno dan Tomoki Muramatsu memainkan peranan penting. Selain beberapa tonggak pasukan kebangsaan Kemboja dalam skuad ini, kelibat pemain muda anak tempatan seperti Ly Mizan, Ly Vahed dan Seth Rosib pasti dinanti-nantikan oleh peminat mereka.

Baca : Piala AFC 2016 - Kenali Lawan JDT Dan Selangor



Siapa Hanoi T&T?

Hanoi T&T ialah juara Liga Vietnam pada musim lepas. Hanoi T&T tak pernah terlepas daripada 2 tangga teratas dalam Liga Vietnam. Hanoi T&T bermain dalam Piala AFC apabila dikejutkan Kitchee (Hong Kong) dalam perlawanan kelayakan Liga Juara Asia 3-2 selepas masa tambahan.

Pemain import yang bermain untuk Hanoi T&T ialah Gonzalo Marronkle (Argentina) sebagai ketua pasukan. Pemain ini bergandingan dengan pemain naturalisasi iaitu Hoang Vu Samson atau Samson Olaleye (Vietnam/Nigeria) membentuk jentera serangan berbisa Hanoi T&T. Moses Oloya (Uganda) menggerakkan jentera tengah Hanoi T&T manakala Alvaro Silva (Filipina/Sepanyol) kental di bahagian pertahanan.

Samson sentiasa berharap untuk mewakili Vietnam suatu hari nanti

Pemain tempatan yang perlu diberikan perhatian ialah pertahanan berpengalaman, Nguyen Van Bien dan juga pemain muda yang sedang meningkat naik iaitu Nguyen Van Quret yang beraksi di bahagian tengah dan serangan. Pemain sayap Pham Thanh Lurong pula telah menggantungkan boot untuk pasukan kebangsaan Vietnam.


Siapa Tampines Rovers?

Ini adalah penampilan kali ke-9 Tampines Rovers dalam kempen Piala AFC. Tampines Rovers telah diberikan satu slot kelayakan ke Liga Juara Asia sebelum ini tetapi telah ditewaskan Global (Filipina) dalam pusingan kelayakan dengan jaringan 2-0. Tampines Rovers ialah naib juara Liga Singapura musim lepas di belakang Albirex Niigata, kelab Jepun yang berpengkalan di Singapura.

Tampines Rovers merekrut bekas penyerang dan kapten Croatia bawah 17 tahun, Ivan Jakov Dzoni, graduan universiti yang baru habis belajar iaitu Ryutaro Megumi (Jepun) dan juga bekas pemain import serba boleh dari kelab Ceres-Negros iaitu Son Yong Chan (Korea Selatan). Tampines Rovers juga baru mendapatkan Raspreet Sandhu (USA), graduan universiti yang baru saja tamat belajar. Raspreet Sandhu dalam proses untuk dinaturalisasikan kerana ayahnya berasal dari Singapura.

Ivan Jakov Joni (No 9) dalam perlawanan menentang Belanda

Tampines Rovers kehilangan Hafiz Sujad yang telah berhijrah ke kelab divisyen 2 Thailand serta beberapa orang pemain tempatan seperti Izzdin Shafiq dan Afiq Yunos. Namun, pengganti mereka bukan calang-calang orangnya seperti Daniel Bennett, Madhu Mohana dan Khairul Amri.


Siapa Ceres-Negros?

Ceres-Negros juga dikenali sebagai Ceres La Salle atau Ceres FC membuat penampilan kali ke-3 Piala AFC sebagai naib juara Liga Filipina. Ceres FC nampak serius musim ini dengan kehadiran beberapa orang pemain baru yang berkaliber.

Pemain sayap, Bienvenido Maranon (Sepanyol) kekal sebagai pemain import mereka. Pemain import baru pula ialah Kota Kawase (Jepun) dari divisyen 2 Liga Australia serta Manuel Hererra Lopez (Sepanyol) dan Fernando Rodriguez (Sepanyol) kedua-duanya dari divisyen 2 Liga Sepanyol.

Pemain baru lain pula ialah pemain naturalisasi seperti Simone Rota (Itali), OJ Porteria (USA), 3 orang pemain kacukan Belanda iaitu Jason de Jong, Jim Junior Munoz dan Joshua Grommen, pemain kacukan Soctland-Filipina warganegara Australia iaitu Iain Ramsay dan juga penjaga gol kacukan Jerman dari kelab Switzerland Servette FC iaitu Roland Muller.

Roland Muller semasa bersama Servette FC

Selain pemain baru, pemain lama sedia ada juga hampir semua ialah pemain naturalisasi seperti Manuel Ott, Kevin Ingresso dan Patrick Reichelt (kesemuanya dari Jerman), Jeffrey Christiaens (Belgium), Martin Steuble (Switzerland) dan Carli de Murga (Sepanyol).



Peluang JDT untuk ke peringkat kalah mati agak cerah memandangkan lawan JDT agak kurang pengalaman berbanding lawan Felda United seperti Hanoi T&T yang lebih berpengalaman dalam pentas bolasepak kelab Asia.

Semoga kehadiran JDT dan Felda United dalam Piala AFC 2017 kali ini bukan sekadar pelengkap pasukan dan jadual kejohanan, sebaliknya benar-benar serius untuk menaikkan nama pasukan masing-masing dan juga nama negara

Ayuh... Ayuh... JDT dan Felda United!





No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...