Monday, January 30, 2017

Kelayakan Liga Juara Asia 2017 - Satu Lagi Misi Mustahil JDT?



Sekejap jer masa berlalu dan bermulanya tahun baru 2017 untuk kempen bolasepak AFC. Juara Asia pada tahun 2016 adalah milik Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan) yang menewaskan Al-Ain (UAE) manakala juara Piala AFC 2016 ialah milih Al-Quwa Al-Jawiya atau dikenali sebagai Air Force (Iraq) yang telah menewaskan Bengaluru FC (India).



JDT sekali lagi adalah wakil tunggal negara dalam kempen kelayakan Liga Juara Asia 2017. Kempen kelayakan tahun 2017 tampak lebih sukar berbanding tahun 2016 kerana lawan yang bakal dihadapi ialah kelab dari Thailand dan Jepun.



Pusingan Awal Pertama Liga Juara Asia 2017

Pusingan ini hanya melibatkan satu perlawanan dimana Global FC (Filipina) telah menewaskan Tampines Rovers (Singapura) dengan jaringan 2-0

Pusingan Awal Kedua Liga Juara Asia 2017

Lawan JDT kali ini ialah pasukan Bangkok United (Thailand) yang merupakan naib juara Liga Thailand musim lepas dan membuat penampilan kali ke-2 dalam Liga Juara Asia. Kebanyakan perlawanan berlangsung pada 31 Januari 2017. Selain daripada perlawanan Bangkok United dan JDT, Yadanaborn (Myanmar) akan bertandang ke tempat Sukhotai (Thailand), Global (Filipina) akan bertandang ke Brisbane Roar (Australia), Bengaluru (India) akan bertandang ke Al-Wehdat (Jordan) dan Al-Hidd (Bahrain) akan bertandang ke Nasaf Qarshi (Uzbekistan).

Dalam perlawanan yang lebih awal di Hong Kong, Kitchee FC telah membuat kejutan apabila menewaskan pasukan pilihan Hanoi T&T (Vietnam) dengan jaringan 3-2 setelah masa tambahan. Ini bermakna pasukan Vietnam yang tewas ini akan sekumpulan dengan Felda United dalam peringkat kumpulan Piala AFC 2017.

Pusingan Play-Off Liga Juara Asia 2017

Sekiranya JDT berjaya menumpaskan Bangkok United, JDT bakal berhadapan dengan gergasi Asia iaitu pasukan Gamba Osaka (Jepun). Pasukan-pasukan besar lain yang ada dalam pusingan play-off ini ialah Ulsan Hyundai (Korea Selatan), Shanghai SIPG, Shanghai Shenhua (kedua-duanya China), Esteghlal (Iran) dan Bunyodkor (Uzbekistan).

Sekiranya berlaku keajaiban dan JDT mampu menewaskan Gamba Osaka, JDT akan layak ke peringkat kumpulan Liga Juara Asia 2017 dan akan bersaing dalam peringkat kumpulan dengan Adelaide United (Australia), Jiangsu Suning (China) dan Jeju United (Korea Selatan).


Siapa Bangkok United?

Kekuatan Bangkok United ternyata bergantung kepada pemain-pemain import mereka. Walaupun liga Thailand tidak dihabiskan pada musim lepas akibat kemangkatan raja Thailand, mendiang Raja Bhumibol Adulyadej, Bangkok United muncul naib juara dengan hanya 2 kekalahan sahaja.

Trio import mereka yang berbisa ialah Dragan Boskovic (Montenegro), Jaycee John (Bahrain) dan Mario Gjurovski (Macedonia). Dragan Boskovic muncul penjaring terbanyak Bangkok United walaupun bermain di posisi tengah menyerang diikuti penyerang naturalisasi Bahrain, Jaycee John yang berasal dari Nigeria. Mario Gjurovski adalah top assist dalam pasukan Bangkok United.

Bangkok United baru saja mendapatkan pertahanan import berprofil tinggi iaitu Yohan Tavares (Portugal) yang pernah bermain di Liga Perancis, Belgium dan Portugal. Selain itu, pemain tengah kebangsaan Thailand, Pokklaw Anan juga baru berpindah ke Bangkok United dari Chonburi.

Satu lagi fakta menarik Bangkok United ialah mereka mempunyai ramai pemain naturalisasi dalam skuad mereka seperti bekas pemain remaja USA, Anthony Petch Ampaipitakwong, pemain kacukan Sepanyol-Thai, Ernesto Amantegui Phumipha, bekas pemain remaja Wales dan Cardiff City, Mika Chunuonsee, pemain kacukan Jerman-Thai yang pernah bersama skuad remaja Stuttgart, Manuel Bihr dan yang terbaru ialah pemain kacukan Sweden-Thai, Oscar Kahl.


Mika Chunuonsee (no 15) bersama skuad Wales bawah 17 tahun.
Turut kelihatan Gareth Bale (no 6) dan Aaron Ramsey (no 10)
Anthony Ampaipitakwong ketika bersama pasukan San Jose Earthquakes di USA

Tidak lupa juga pemain pengalaman Bangkok United yang pernah menyertai akademi bolasepak di England seperti Everton dan Crystal Palace iaitu Teeratep Winothai dan Sompong Soleb. Adunan pelbagai kepakaran ini membuatkan Bangkok United sebuah pasukan yang unik.


Siapa Gamba Osaka?

Pada musim lepas Gamba Osaka cuma menduduki di tangga ke-4 liga. Gamba Osaka diterajui oleh legenda bolasepak Jepun yang beraksi di bahagian tengah iaitu Yasuhito Endo yang kini berumur 37 tahun. Pemain serba boleh Yasuyuki Konno yang berumur 34 tahun juga adalah watak penting di bahagian tengah.

Gamba Osaka akan terasa kehilangan bintang mereka iaitu Takashi Usami yang telah berhijrah ke Jerman bersama FC Ausburg. Sebelum ini Takashi Usami pernah dipinjamkan ke Bayern Munich dan Hoffenheim.

Takashi Usami telah berhijtah ke FC Augsburg di Jerman

Gamba Osaka juga berjaya mendapatkan Ademilson, penyerang Brazil dari Sao Paulo secara kekal yang sebelum ini cuma dipinjamkan. Pertahanan Brazil, Fabio juga baru berhijrah ke Gamba Osaka dari Yokohama F Marinos.

Antara pemain bernilai dalam skuad Gamba Osaka ialah Masaaki Higashiguchi (penjaga gol), Shu Kurata (sayap kiri), Daiki Niwa (pertahanan tengah) dan Hiroki Fujiharu (pertahanan kiri). Tidak lupa juga bintang muda yang sedang meningkat naik iaitu Yosuke Ideguchi yang mendapat anugerah "rookie of the year" untuk tahun 2016.

Yosuke Ideguchi (No 20)


Berbanding tahun lepas, misi JDT untuk ke juara Liga Asia tampak lebih sukar kali ini kerana bertemu dengan lawan yang lebih kuat, Namun, semuanya bakal ditentukan di atas padang walaupun di atas kertas sudah boleh ucapkan selamat tinggal kepada Liga Juara Asia.

Liga Juara Asia 2017 juga dikejutkan dengan ketiadaan Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan) selaku juara bertahan untuk mempertahankan kejuaraan akibat skandal rasuah. Tempat Jeonbuk Hyundai Motors diambil alih oleh Jeju United yang bakal menjadi lawan samada JDT, Bangkok United atau Gamba Osaka ini.

All the best JDT!








No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...