Thursday, January 28, 2016

Kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2016 - JDT Hanya Bermimpi?



Pada 21 November 2015 yang lalu... pasukan dari China, Guangzhou Evergrande Tabao baru saja ditabalkan sebagai juara Asia apabila menewaskan pasukan Al-Ahli (UAE) dengan agregat 1-0 pada perlawanan akhir. Ini adalah kejuaraan ke-2 Guangzhou Evergrande Tabao setelah melakukannya kali pertama pada tahun 2013.

Baca : Perlawanan Akhir Liga Juara-Juara Asia 2015

Pemenang Juara Liga Asia 2015 - Guangzhou Evergrande Tabao

Tak lama lagi bermulalah pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2016 pula dimana hanya JDT yang layak untuk memasuki pusingan ini. Berbeza dengan tahun lepas, kali ni JDT terus ke pusingan ke-2 kelayakan tanpa melalui pusingan pertama. Ini disebabkan Myanmar (Yangon United) dan Malaysia (JDT) mengisi slot kekosongan yang ditinggalkan oleh Indonesia akibat digantung oleh FIFA.

Baca : Kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2015


Pusingan Awal Pertama Liga Juara Asia 2016

Jadi hanya pasukan dari ranking yang lebih rendah iaitu Mohun Bagan sebagai juara Liga India dan Tampines Rovers naib juara Liga Singapura saja yang akan melalui pusingan pertama kelayakan Liga Juara Asia 2016 pada 27 Januari 2016 dimana pemenang akan bertemu dengan pasukan tempat ke-3 Liga China iaitu Shandong Luneng. Mohun Bagan dari India telah mengejutkan Tampines Rovers dari Singapura dengan jaringan 3-1.


Pusingan Awal Kedua Liga Juara Asia 2016

JDT yang tampil sebagai juara Liga Malaysia harus menewaskan pasukan Muangthong United, naib juara Liga Thailand yang membuat penampilan ke-5 dalam kempen Liga Juara Asia dan seterusnya menewaskan Shanghai SIPG yang merupakan naib juara Liga China. Ini merupakan penampilan sulong Shanghai SIPG dalam kempen Liga Juara Asia.


Pusingan Awal Kedua ni dijadualkan berlangsung pada 2 Februari 2016. Selain daripada pertembungan JDT dan Muangthong United di Thailand, ada 3 perlawanan lagi yang berlangsung serentak iaitu Kitchee (Hong Kong) akan bertandang ke Vietnam menentang Ha Noi T&T, Yangon United (Myanmar) akan ke Thailand menentang Chonburi FC dan Mohun Bagan (India) akan ke China menentang Shandong Luneng Taishan.

Sekiranya JDT berjaya melepasi kesemua pusingan kelayakan, JDT akan bermain dalam kumpulan G bersama-sama dengan juara berganda Australia, Melbourne Victory, Gamba Osaka sebagai juara Piala Emperor Jepun dan naib juara Liga Jepun serta naib juara Liga Korea, Suwon Samsung Bluewings. Sepakmula peringkat kumpulan ini bermula pada 24 Februari 2016.

Tetapi jika JDT terkandas dalam mana-mana pusingan kelayakan, JDT akan mempertahankan Piala AFC 2015 yang telah dimenangi mereka dan akan bermain dalam kumpulan H bersama-sama dengan naib juara Liga India, Bengaluru FC, juara Liga Laos, Lao Toyota FC dan juara Piala Aung San Myanmar, Ayeyawady United juga akan bermula pada 24 Februari 2016.


Siapa Muangthong United?

Cabaran JDT bermula pada 2 Februari 2016 apabila bertandang ke kandang Muangthong United di kawasan Nonthaburi, Bangkok Thailand. Tidak ramai pemain kebangsaan Thailand dalam pasukan ini, namun tonggak import mereka adalah tunjang utama Muangthong United.

Benteng gol mereka dikawal oleh penjaga gol utama Thailand, Kawin Thamsatchanan. Bahagian serangan pula amat berbisa dengan kehadiran bintang Thailand yang pernah berkelana di Manchester City, Switzerland dan Sepanyol iaitu Teerasil Dangda. Selain itu, penyerang import dari Brazil Cleiton Silva pula sangat klinikal dan prolifik.

Teerasil Dangda bermain untuk pasukan Almeria, Sepanyol secara pinjaman baru-baru ini

Tiada lagi bintang import Korea Selatan dalam skuad Muangthong United kali ini yang pernah bermain dengan gergasi Rusia, Zenit St Petersburg yang telah dilepaskan bersama-sama dengan bekas pemain kebangsaan Macedonia, Mario Gjurovski.

Tinggal kenangan - Kim Dong Jin pernah bersama-sama dengan Martin Skrtel dan Andrei Arshavin

Bekas pertahanan remaja Jepun Naoki Aoyama juga mengemudi benteng pertahanan Muangthong United. Bahagian tengah pasukan ini pula dijana oleh ketua pasukan berpengalaman mereka, Datsakorn Thonglao.

Muangthong United memperkuatkan skuad mereka kali ini dengan kehadiran 2 orang pemain import Brazil yang baru iaitu bekas pertahanan remaja Brazil, Fabricio Silva Dornellas dan juga penyerang Junior Negao.


Siapa Shanghai SIPG?

Perkataan SIPG ni datang dari penaja kelab ini iaitu Shanghai International Port (Group). Dahulunya pasukan ni dikenali dengan nama Shanghai Dongya, Shanghai East Asia dan Shanghai Tellace. Sejak dinaikkan ke Liga Super China pada tahun 2013, kualiti Shanghai SIPG semakin meningkat dan menjadi naib juara Liga Super China pada tahun 2015 di belakang juara Asia, Guangzhou Evergrande Tabao.

Dibimbing oleh jurulatih berpengalaman Sven Goran Eriksson, Shanghai SIPG tidak mempunyai ramai pemai kebangsaan China dalam pasukan mereka. Pemain tempatan yang berpengalaman ialah Sun Xiang yang pernah beraksi dengan PSV Eindhoven dan Yu Hai yang pernah beraksi dengan Vitesse Arnhem.

Sun Xiang dan Philip Cocu dalam skuad PSV Eindhoven suatu ketika dahulu

Tonggak import yang berprofil tinggi ialah Asamoah Gyan (Ghana) yang dikatakan mendapat bayaran tinggi di sini melebihi Yaya Toure di Manchester City! Kehadiran Elkeson (Brazil) sebagai pemain import baru Shanghai SIPG dari Juara Asia Guangzhou Evergrande juga menunjukkan kesungguhan Shanghai SIPG dalam kempen kali ini.

Setelah bantu Guangzhou Evergrande jadi juara Asia musim lepas,
kini Elkeson akan membantu pasukan barunya, Shanghai SIPG pula

Selain itu pertahanan Korea Selatan, Kim Ju-young mengawal benteng Shanghai SIPG selain daripada Dario Conca (Argentina) yang kreatif menggerakkan jentera tengah Shanghai SIPG serta pemain sayap muda dari Ivory Coast, Jean Evrard Kouassi yang menyerang dari bahagian tepi.


Sepertimana musim lepas, JDT sangat optimis untuk melepasi pusingan kelayakan dan terus mara ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia 2016. Bezanya kali ni JDT di bawah kendalian Mario Gomez yang lebih taktikal dan menerapkan permainan yang lebih kompak berbanding Bojan Hodak.

Sekiranya benar JDT mampu melepasi semua pusingan kelayakan, maka satu lagi sejarah akan tercipta dalam bolasepak Malaysia. Selamat maju jaya JDT!!!




No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...