Friday, December 11, 2015

FIFA Club World Cup 2015 - Pertembungan Kuasa Bolasepak Antara Benua



Dari 10 hingga 20 Disember 2015 akan diadakan kejohanan FIFA Club World Cup tahun 2015 di Jepun. Ini adalah edisi kejohanan yang ke-12 dan bolehlah dikatakan bahawa FIFA Club World Cup ni ialah kejohanan untuk menentukan juara antara benua.

Edisi pertama FIFA Club World Cup telah diadakan pada tahun 2000 dengan Brazil menjadi tuan rumah. Edisi ke-2 hanya diadakan pada tahun 2005 setelah beberapa masalah diselesaikan oleh FIFA dan edisi berikutnya diteruskan sehinggalah ke hari ini.

Pasukan paling berjaya dalam kejohanan ini ialah pasukan dari Eropah dengan 7 kali kejuaraan manakala pasukan dari Amerika Selatan dengan 6 kejuaraan. Juara pada edisi yang lepas ialah Real Madrid (Eropah) yang telah menewaskan San Lorenzo (Amerika Selatan) di perlawanan akhir dengan jaringan 2-0.

Real Madrid - juara FIFA Club World Cup 2014

Pencapaian terbaik pasukan dari Afrika ialah menjadi naib juara kejohanan seperti yang dilakukan oleh kelab dari Congo, TP Mazembe apabila tewas di perlawanan akhir 0-3 kepada Inter Milan pada tahun 2010. 3 tahun kemudian pula, pasukan dari Morocco iaitu Raja Casablanca tewas 0-2 kepada Bayern Munich di perlawanan akhir.

TP Mazembe juga dikenali sebagai Juventus Afrika

Pencapaian terbaik pasukan dari Asia pula hanyalah di tempat ke-3 seperti yang dilakukan oleh Urawa Red Diamonds (2007), Gamba Osaka (2008), Pohang Steelers (2009) dan Al-Sadd (2011). Pencapaian terbaik pasukan Amerika Utara dan Tengah pula ialah di tempat ke-3 seperti dilakukan oleh Necaxa (2000), Saprissa (2005) dan Monterrey (2012). Manakala pencapaian terbaik pasukan dari Oceania telah dilakukan pada edisi lepas oleh pasukan Auckland City dari New Zealand yang mendapat tempat ke-3.

Auckland City (biru) membuat kejutan setelah menewaskan Cruz Azul (Mexico) menerusi sepakan penalti
dan seterusnya mendapat tempat ke-3 pada kejohanan edisi tahun 2014

Pasukan-pasukan yang menyertai FIFA Club World Cup Tahun 2015 ini ialah Barcelona (Eropah), River Plate (Amerika Selatan), TP Mazembe (Afrika), Guangzhou Evergrande (Asia), Club America (Amerika Utara dan Tengah), Auckland City (Oceania) dan Sanfrecce Hiroshima (tuan rumah).

Juara Liga Jepun - Sanfrecce Hiroshima


Perlawanan Play-Off (10 Disember 2015)

Pasukan tuan rumah Sanfrecce Hiroshima telah mengenepikan cabaran kelab dari New Zealand, Auckland City 2-0.

Suku Akhir (13 Disember 2015)

Sanfrecce Hiroshima akan bertemu juara Afrika TP Mazembe manakala dalam satu lagi perlawanan suku akhir, juara Asia Guangzhou Evergrande dari China akan menentang juara Amerika Utara dan Tengah iaitu Club America dari Mexico.

Wakil Mexico kali ini ialah Club America

Pemenang suku akhir akan mara ke separuh akhir, manakala yang tewas akan bertemu sesama sendiri untuk penentuan tempat ke-5 dan tempat ke-6.

Separuh Akhir (16 dan 17 Disember 2015)

Juara Amerika Selatan iaitu River Plate dari Argentina akan menanti pemenang samada Sanfrecce Hiroshima atau TP Mazembe pada 16 Disember 2015

Manakala Barcelona sebagai juara Eropah dari Sepanyol menanti pemenang antara Guangzhou Evergrande atau Club America pada 17 Disember 2015

Pemenang Separuh Akhir akan mara ke perlawanan Akhir manakala pasukan yang tewas akan bertemu sesama sendiri untuk penentuan tempat ke-3 dan tempat ke-4.

Akhir (20 Disember 2015)

Secara tradisinya perlawanan akhir akan mempertemukan juara Eropah dan juara Amerika Selatan. Hanya pada tahun 2010 dan 2013 sahaja, wakil Afrika berjaya mara ke perlawanan akhir menentang wakil Eropah.

Mimpi ngeri pemain pertahanan

Ternyata pasukan pilihan untuk edisi kali ini ialah Barcelona dari Sepanyol. Wakil dari Amerika Selatan kali ini agak kurang pengalaman kerana ini adalah kali pertama River Plate tampil dalam kejohanan FIFA Club World Cup.

Adakah ini zaman kebangkitan semula River Plate?

Pasukan yang berkemungkinan besar akan membuat kejutan ialah juara Asia dari China, Guangzhou Evergrande yang dibimbing oleh bekas pengendali Brazil, Luiz Felipe Scolari. Bekas bintang Tottenham Hotspurs iaitu Paulinho akan mengetuai jentera tengah sambil dibantu oleh bintang Brazil lain seperti Robinho.

Mampukah Robinho bersinar bersama Juara Asia? Dari kiri... Paulinho, Ricardo Goulart dan Robinho

Siapakah juara antara benua yang baru??? Juara Eropah atau Juara Amerika Selatan???



No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...