Showing posts with label Lubnan. Show all posts
Showing posts with label Lubnan. Show all posts

Thursday, June 15, 2017

Kelayakan Piala Asia 2019 - Malaysia (1) Lubnan (2)



Tewas 1-2 kepada Lubnan di tempat sendiri... apa-apa pun, tahniah Malaysia! Walaupun tewas, namun nampak semangat juang yang tinggi dan juga corak permainan berani menyerang pihak lawan adalah satu tanda positif. Move on..... itu saja yang boleh dikatakan.

Serba-serbi adalah baru bagi pasukan kebangsaan Malaysia, bermula dari pucuk pimpinan FAM yang baru dikendalikan oleh Tengku Mahkota Johor (TMJ), jurulatih kebangsaan baru, Nelo Vingada dari Portugal yang pernah menjadi pembantu Carlos Queiroz satu ketika dahulu dan juga pembantu jurulatih Tan Cheng Hoe, bekas jurulatih Kedah.

Viganda dan Queiroz ikon jurulatih bolasepak Portugal

Ini adalah perlawanan pertama Malaysia untuk kempen kelayakan Piala Asia 2019 setelah perlawanan dengan Korea Utara tempoh hari ditangguhkan akibat isu diplomatik. Presiden FAM juga berhasrat untuk mengadakan perlawanan antarabangsa di stadium pilihan seluruh negara bermula dengan Stadium Larkin menentang Lubnan.

Baca : Kenali lawan Malaysia dalam Kelayakan Piala Asia 2019


Pasukan Lubnan turun tanpa Mohammed Ghaddar yang minta untuk tidak diturunkan menentang Malaysia akibat masalah dalaman. Bekas penyerang remaja USA, Hassan Ali Saad (Soony Saad) mengetuai jentera serangan sambil dibantu ketua pasukan Hassan Maatouk. Bekas pemain import Felda United, Mootaz Junaidi mengetuai bahagian pertahanan. Di bahagian tengah pula, bekas pemain remaja Bulgaria, Samir Ayass kerap kali membuat gerakan dan percubaan berbahaya.

Soony Saad - penyerang utama Sporting KC di Liga Amerika Syarikat

Samir Ayass (kanan) menghalang kemaraan ketua pasukan Ludogorets di Liga Bulgaria

Seperti biasa pasukan dari Timur Tengah memang terkenal dengan kepantasan larian mereka terutama sekali ketika membuat serangan mengejut dan juga serangan balas. Namun, pasukan negara terlebih dahulu membuat kejutan dengan mendahului 1-0 pada separuh masa pertama. 

Bermula dengan gerakan Syazwan Zainon dari kiri membuat hantaran lintang yang gagal disambut Hazwan Bakri. Penjaga gol Lubnan pula gagal menangkap kemas bola dan Mahali Jasuli dengan tenang memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol.

Mahali Jasuli kembali ke skuad kebangsaan dengan jaringan gol

Separuh masa kedua, pasukan Lubnan membuat keputusan drastik setelah ketinggalan 0-1 dengan mengeluarkan pemain tengah Mohamad Haidar dan memasukkan pemain sayap menyerang, Rabih Ataya. Gagal menjaringkan gol, Lubnan mengeluarkan Hassan Ali Saad dan memasukkan penyerang muda, Hilal El-Helwe yang pernah bermain untuk pasukan simpanan Wolfsburg di Liga Jerman. Masih lagi gagal menjaringkan gol, Lubnan menukar formasi kepada serangan dengan mengeluarkan Mootaz Junaidi dan memasukkan penyerang import baru Kelantan, Abou Bakr Al Mel.

Hilal El-Helwe

Semuanya nampak bakal memihak kepada pasukan negara sehinggalah pada 10 minit terakhir. Bermula dengan satu sepakan percuma akibat kekasaran Amri Yahyah kepada pemain lawan. Amri gagal untuk "track back" Rabih Ataya yang membuat larian di tepi padang dan terus menyepak masuk bola ke dalam gawang dari tepi padang yang sama sekali mengelirukan Azhan.

Pada masa kecederaan pula sekali lagi Amri diperdaya oleh larian mengelirukan Rabih Ataya yang bijak memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol kemenangan Lubnan dan seterusnya mengutip 3 mata penuh yang sangat berharga. Rabih Ataya ialah pemain sayap kelab Zob Ahan (Iran) yang menduduki tangga ke-4 liga bolasepak Iran.

Segala-galanya belum berakhir buat pasukan negara kerana ada 5 perlawanan lagi yang akan berakhir pada bulan Mac 2018. Lagipun juara dan naib juara kumpulan ini akan layak ke Piala Asia 2019 pada bulan Januari di UAE.

Ayuh... Ayuh Malaysiaku!


Tuesday, March 28, 2017

Kelayakan Piala Asia 2019 Pusingan Akhir - Korea Utara, Lubnan dan Hong Kong Adalah Lawan Malaysia



Kalau tidak.... hari ni lah detiknya perlawanan Malaysia menentang Korea Utara di bumi Korea Utara. Perlawanan apa ye? Perlawanan bolasepak pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2019. Kerajaan Malaysia enggan menghantar pasukan bolasepak Malaysia ke Korea Utara atas faktor keselamatan.

Apakan daya semuanya gara-gara kematian Kim Jong Nam iaitu abang tiri presiden Korea Utara di KLIA pada 13 Februari 2017 yang lalu. Detik-detik kematian Kim Jong Nam juga dapat dirakamkan melalui CCTV di KLIA. Namun, hubungan di antara Malaysia dan Korea Utara menjadi keruh kerana kematian Kim Jong Nam menjadi perhatian dunia serta pihak Korea Utara tidak mempercayai pihak Malaysia dalam mengendalikan siasatan kes kematian Kim Jong Nam ini.

Kim Jong Nam tiada kaitan dengan bolasepak Korea Utara

Berbalik pada perlawanan bolasepak antara Malaysia dan Korea Utara ni... perlawanan hari ini yang dijadualkan di Korea Utara telah dibatalkan dan ditunda ke 8 Jun 2017 di gelanggang berkecuali, Pihak FIFA juga menetapkan bahawa perlawanan pada 14 November 2017 yang sepatutnya diadakan di Malaysia juga ditukar ke gelanggang berkecuali demi memelihara nilai kesukanan.

Malaysia telah diundi bersama-sama dengan Korea Utara, Lubnan dan juga Hong Kong untuk kelayakan Piala Asia 2019 ini. 2 pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan layak ke Piala Asia 2019 nanti yang akan diadakan di UAE pada bulan Januari 2019.

Boleh dikatakan Malaysia agak tidak bernasib baik kerana diundi bersama dengan pasukan kuat seperti Korea Utara dan Lubnan. Korea Utara dan Lubnan masing-masing mendapat tempat ke-2 dalam pusingan kelayakan kedua Piala Asia 2019.

Baca : Malaysia di tempat ke-4 daripada 5 pasukan dalam Kelayakan Piala Asia 2019

Hong Kong menduduki tempat ke-3 dalam kumpulan manakala Malaysia yang mendapat tempat ke-4 dalam kumpulan tempoh hari telah menewaskan Timor Leste dengan jaringan 3-0 pada perlawanan play-off pertama.

Baca : Malaysia layak ke pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019


Siapa Korea Utara?

Pada pusingan kelayakan pertama, Korea Utara mendapat tempat ke-2 di belakang Uzbekistan setelah tewas kepada Uzbekistan 1 kali, dan 2 kali dikejutkan Filipina apabila seri 0-0 di gelanggang sendiri dan tewas 2-3 di Filipina.

Pak Kwang Ryong sewaktu bersama FC Basel di Switzerland

Tidak banyak yang diketahui berkenaan pemain Korea Utara ini. Namun, pemain yang perlu diberikan perhatian dan kawalan ketat ialah bekas pemain remaja FC Basel Pak Kwang Ryong yang kini bermain dengan kelab Lausanne di Switzerland.


Siapa Lubnan?

Lubnan mendapat tempat ke-2 di belakang Korea Selatan dalam pusingan pertama kelayakan Piala Asia 2019. Lubnan juga dikira agak bernasib baik kerana satu lagi pasukan pilihan iaitu Kuwait telah digantung oleh FIFA dan seterusnya diisytiharkan tewas untuk 3 perlawanan terakhir mereka.

Ada beberapa pemain Lubnan yang tidak asing dengan bolasepak Malaysia seperti Mohammad Ghadar (Kelantan), Mootaz Junaidi (Felda United), bekas pemain Terengganu Hassan Chaito dan bekas pemain Sarawak Hassan Mohamad.

Youssef Mohamad dan Roda Antar bersama kelab terakhir mereka di Eropah FC Koln di Jerman

Lubnan dipimpin oleh ketua pasukan berpengalaman mereka Roda Antar yang pernah bermain dengan beberapa kelab Jerman seperti Hamburg, Freiburg dan FC Koln. Beberapa orang pemain lain juga ada berpengkalan di Eropah seperti Hilal El-Helwe (Wolfsburg II), Bassel Zakaria Jradi (Stromsgodset) dan Feiz Shamsin (FC Voluntari)


Siapa Hong Kong?

Hong Kong mendapat tempat ke-3 pada pusingan kelayakan pertama Piala Asia 2019 di belakang Qatar dan China. Walaupun berjaya mengejutkan gergasi Asia China dengan dua keputusan seri tanpa jaringan namun Hong Kong tidak mampu menandingi kepantasan pemain-pemain Qatar.

Hong Kong tidaklah sekuat mana namun Malaysia kelihatan agak sukar dan liat untuk menewaskan Hong Kong. Hong Kong juga banyak mengharapkan pemain-pemain naturalisasi mereka seperti Jack Sealy yang kini bermain dengan kelab China Changchun Yatai dan Jaimes McKee (Eastern). Hong Kong diterajui oleh ketua pasukan iaitu penjaga gol Yapp Hung Fai yang terkenal kerana kemampuan menyelamatkan beberapa sepakan penalti.

Yapp Hung Fai (kiri) telah beberapa kali menyelamatkan sepakan penalti penting

Kemampuan Hong Kong untuk mengejutkan pasukan yang tinggi ranking dan juga tidak mensia-siakan perlawanan persahabatan antarabangsa menyebabkan ranking Hong Kong meningkat dan memintas Vietnam sehinggakan kelab bolasepak mereka Eastern layak secara otomatik ke peringkat kumpulan Liga Juara Asia.


Semoga dengan perlantikan Mario Gomez sebagai jurulatih baru skuad kebangsaan Malaysia dan juga muka baru pentadbiran FAM akan memberikan sinar harapan baru kepada skuad negara.

Ayuh... Ayuh Malaysiaku!





Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...