Showing posts with label Gamba Osaka. Show all posts
Showing posts with label Gamba Osaka. Show all posts

Monday, January 30, 2017

Kelayakan Liga Juara Asia 2017 - Satu Lagi Misi Mustahil JDT?



Sekejap jer masa berlalu dan bermulanya tahun baru 2017 untuk kempen bolasepak AFC. Juara Asia pada tahun 2016 adalah milik Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan) yang menewaskan Al-Ain (UAE) manakala juara Piala AFC 2016 ialah milih Al-Quwa Al-Jawiya atau dikenali sebagai Air Force (Iraq) yang telah menewaskan Bengaluru FC (India).



JDT sekali lagi adalah wakil tunggal negara dalam kempen kelayakan Liga Juara Asia 2017. Kempen kelayakan tahun 2017 tampak lebih sukar berbanding tahun 2016 kerana lawan yang bakal dihadapi ialah kelab dari Thailand dan Jepun.



Pusingan Awal Pertama Liga Juara Asia 2017

Pusingan ini hanya melibatkan satu perlawanan dimana Global FC (Filipina) telah menewaskan Tampines Rovers (Singapura) dengan jaringan 2-0

Pusingan Awal Kedua Liga Juara Asia 2017

Lawan JDT kali ini ialah pasukan Bangkok United (Thailand) yang merupakan naib juara Liga Thailand musim lepas dan membuat penampilan kali ke-2 dalam Liga Juara Asia. Kebanyakan perlawanan berlangsung pada 31 Januari 2017. Selain daripada perlawanan Bangkok United dan JDT, Yadanaborn (Myanmar) akan bertandang ke tempat Sukhotai (Thailand), Global (Filipina) akan bertandang ke Brisbane Roar (Australia), Bengaluru (India) akan bertandang ke Al-Wehdat (Jordan) dan Al-Hidd (Bahrain) akan bertandang ke Nasaf Qarshi (Uzbekistan).

Dalam perlawanan yang lebih awal di Hong Kong, Kitchee FC telah membuat kejutan apabila menewaskan pasukan pilihan Hanoi T&T (Vietnam) dengan jaringan 3-2 setelah masa tambahan. Ini bermakna pasukan Vietnam yang tewas ini akan sekumpulan dengan Felda United dalam peringkat kumpulan Piala AFC 2017.

Pusingan Play-Off Liga Juara Asia 2017

Sekiranya JDT berjaya menumpaskan Bangkok United, JDT bakal berhadapan dengan gergasi Asia iaitu pasukan Gamba Osaka (Jepun). Pasukan-pasukan besar lain yang ada dalam pusingan play-off ini ialah Ulsan Hyundai (Korea Selatan), Shanghai SIPG, Shanghai Shenhua (kedua-duanya China), Esteghlal (Iran) dan Bunyodkor (Uzbekistan).

Sekiranya berlaku keajaiban dan JDT mampu menewaskan Gamba Osaka, JDT akan layak ke peringkat kumpulan Liga Juara Asia 2017 dan akan bersaing dalam peringkat kumpulan dengan Adelaide United (Australia), Jiangsu Suning (China) dan Jeju United (Korea Selatan).


Siapa Bangkok United?

Kekuatan Bangkok United ternyata bergantung kepada pemain-pemain import mereka. Walaupun liga Thailand tidak dihabiskan pada musim lepas akibat kemangkatan raja Thailand, mendiang Raja Bhumibol Adulyadej, Bangkok United muncul naib juara dengan hanya 2 kekalahan sahaja.

Trio import mereka yang berbisa ialah Dragan Boskovic (Montenegro), Jaycee John (Bahrain) dan Mario Gjurovski (Macedonia). Dragan Boskovic muncul penjaring terbanyak Bangkok United walaupun bermain di posisi tengah menyerang diikuti penyerang naturalisasi Bahrain, Jaycee John yang berasal dari Nigeria. Mario Gjurovski adalah top assist dalam pasukan Bangkok United.

Bangkok United baru saja mendapatkan pertahanan import berprofil tinggi iaitu Yohan Tavares (Portugal) yang pernah bermain di Liga Perancis, Belgium dan Portugal. Selain itu, pemain tengah kebangsaan Thailand, Pokklaw Anan juga baru berpindah ke Bangkok United dari Chonburi.

Satu lagi fakta menarik Bangkok United ialah mereka mempunyai ramai pemain naturalisasi dalam skuad mereka seperti bekas pemain remaja USA, Anthony Petch Ampaipitakwong, pemain kacukan Sepanyol-Thai, Ernesto Amantegui Phumipha, bekas pemain remaja Wales dan Cardiff City, Mika Chunuonsee, pemain kacukan Jerman-Thai yang pernah bersama skuad remaja Stuttgart, Manuel Bihr dan yang terbaru ialah pemain kacukan Sweden-Thai, Oscar Kahl.


Mika Chunuonsee (no 15) bersama skuad Wales bawah 17 tahun.
Turut kelihatan Gareth Bale (no 6) dan Aaron Ramsey (no 10)
Anthony Ampaipitakwong ketika bersama pasukan San Jose Earthquakes di USA

Tidak lupa juga pemain pengalaman Bangkok United yang pernah menyertai akademi bolasepak di England seperti Everton dan Crystal Palace iaitu Teeratep Winothai dan Sompong Soleb. Adunan pelbagai kepakaran ini membuatkan Bangkok United sebuah pasukan yang unik.


Siapa Gamba Osaka?

Pada musim lepas Gamba Osaka cuma menduduki di tangga ke-4 liga. Gamba Osaka diterajui oleh legenda bolasepak Jepun yang beraksi di bahagian tengah iaitu Yasuhito Endo yang kini berumur 37 tahun. Pemain serba boleh Yasuyuki Konno yang berumur 34 tahun juga adalah watak penting di bahagian tengah.

Gamba Osaka akan terasa kehilangan bintang mereka iaitu Takashi Usami yang telah berhijrah ke Jerman bersama FC Ausburg. Sebelum ini Takashi Usami pernah dipinjamkan ke Bayern Munich dan Hoffenheim.

Takashi Usami telah berhijtah ke FC Augsburg di Jerman

Gamba Osaka juga berjaya mendapatkan Ademilson, penyerang Brazil dari Sao Paulo secara kekal yang sebelum ini cuma dipinjamkan. Pertahanan Brazil, Fabio juga baru berhijrah ke Gamba Osaka dari Yokohama F Marinos.

Antara pemain bernilai dalam skuad Gamba Osaka ialah Masaaki Higashiguchi (penjaga gol), Shu Kurata (sayap kiri), Daiki Niwa (pertahanan tengah) dan Hiroki Fujiharu (pertahanan kiri). Tidak lupa juga bintang muda yang sedang meningkat naik iaitu Yosuke Ideguchi yang mendapat anugerah "rookie of the year" untuk tahun 2016.

Yosuke Ideguchi (No 20)


Berbanding tahun lepas, misi JDT untuk ke juara Liga Asia tampak lebih sukar kali ini kerana bertemu dengan lawan yang lebih kuat, Namun, semuanya bakal ditentukan di atas padang walaupun di atas kertas sudah boleh ucapkan selamat tinggal kepada Liga Juara Asia.

Liga Juara Asia 2017 juga dikejutkan dengan ketiadaan Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan) selaku juara bertahan untuk mempertahankan kejuaraan akibat skandal rasuah. Tempat Jeonbuk Hyundai Motors diambil alih oleh Jeju United yang bakal menjadi lawan samada JDT, Bangkok United atau Gamba Osaka ini.

All the best JDT!








Monday, June 22, 2015

Juara Liga Asia 2015



Pada 27 Mei 2015 yang lalu... telah selesai peringkat kalah mati pusingan 16 pasukan untuk Liga Juara Asia 2015. Maka, 4 pasukan terkuat di Zon Barat telah pun diketahui dan begitu juga 4 pasukan terkuat di Zon Timur telahpun disahkan.

Preview atau pengenalan pasal Liga Juara Asia telahpun diceritakan dalam blog saya yang satu lagi... Maaf, nampaknya tak dapat nak maintain blog satu lagi tu.... Mungkin jodoh yang panjang dengan blog sekarang ni... hehe...


Zon Barat Asia

Naft Tehran (Iran)

Tidak seperti pasukan senegara yang lain iaitu Foolad, Tractor Sazi dan Persepolis, Naft Tehran hanya layak setelah menang dalam perlawanan kelayakan Liga Juara Asia. Naft Tehran juga hanya mendapat tempat ke-3 dalam Liga Iran musim 2013-2014 dan ini merupakan penampilan sulong mereka dalam Liga Juara Asia 2015. Boleh tahan bukan?

Dengan jolokan Iran Dortmund, Naft Tehran hanya diperkuatkan dengan 2 pemain kebangsaan Iran iaitu penjaga gol, Alireza Beiranvand dan juga Vahid Amiri. Pemain import Naft Tehran pula ialah pertahanan tengah dari Brazil, Leandro Padovani, pemain Cameroon bawah 23 tahun, David Wirikom dan juga bekas pemain muda Ajax iaitu Donovan Deekman.

Donovan Deekman ketika beraksi dengan kelab Henreeven

Naft Tehran menewaskan Al-Ahli (Arab Saudi) berdasarkan peraturan gol tempat lawan setelah terikat agregat 2-2 untuk mara ke suku akhir

Lekhwiya (Qatar)

Lekhwiya tampil sebagai juara liga Qatar dan telah mendapatkan khidmat jurulatih Denmark, Michael Laudrup menunjukkan cita-cita besar kelab ini di peringkat Asia. Michael Laudrup juga telah membawa masuk bekas pertahanan Swansea iaitu Chico Flores untuk menguatkan benteng pertahanan. Selain daripada bekas pemain Chelsea, Vladimir Weiss... Lekhwiya juga dikuatkan dengan tonggak import dari Korea Selatan, Nam Tae Hee dan juga bintang Tunisia, Youssef Msakni.

Selain itu, beberapa orang pemain asing juga telah diberikan kerakyatan Qatar bagi membolehkan mereka mengambil pemain import lain dan juga supaya mereka boleh mewakili pasukan kebangsaan Qatar seperti Sebastian Soria (Uruguay), Amin Lecomte dan Karim Boudiaf (Perancis), Luiz Junior (Brazil), Mohammed Razak (Ghana) dan Mohammed Tresor Abdullah (Congo).

Chico Flores ketika beraksi bersama Swansea City

Lekhwiya menewaskan pasukan senegara Al-Sadd dengan agregat 4-3 untuk mara ke suku akhir

Al-Hilal (Arab Saudi)

Antara kelab paling berjaya di Arab Saudi dan tampil sebagai naib juara Liga Arab Saudi musim 2013-2014 di belakang Al Nassr. Al-Hilal diperkuatkan dengan tonggak import dari Brazil iaitu Digao dan bekas pemain Hamburg, Thiago Neves. Pertahanan kental dari Korea Selatan iaitu Kwak Tae Hwi juga melengkapkan trio import Al-Hilal.

Al-Hilal juga adalah naib juara Liga Juara Asia 2014 setelah tewas kepada W.S. Wanderers (Australia) dengan agregat 1-0 di perlawanan akhir

Thiago Neves ketika beraksi bersama Hamburg

Al-Hilal menewaskan Persepoplis (Iran) dengan agregat 3-1 untuk mara ke suku akhir


Al-Ahli (Emeriyah Arab Bersatu)

Muncul sebagai juara Liga Teluk Arab musim 2013-2014, Al-Ahli diperkuatkan dengan bekas pemain sayap Liverpool, Oussama Assaidi dan juga pemain kebangsaan Brazil iaitu Everton Ribeiro. Selain itu pemain muda Korea Selatan iaitu Kwon Kyung Won juga melengkapkan trio import Al-Ahli.

Selain itu, pemain kebangsaan Chile yang mempunyai kerakyatan Palestin iaitu Luis Jimenez mempunyai pengalaman luas dalam Seria A Itali selain pernah bermain dengan West Ham United. Bintang muda Iraq pula iaitu Humam Tariq tidak akan beraksi kerana dipinjamkan ke kelab lain.

Oussama Assaidi ketika beraksi bersama Liverpool

Al-Ahli menewaskan pasukan senegara mereka Al-Ain berdasarkan peraturan gol tempat lawan setelah terikat dengan agregat 3-3 untuk mara ke suku akhir


Zon Timur Asia

Guangzhou Evergrande Taobao (China)

Tampil sebagai juara Liga Super China 2014, jurulatih mereka Fabio Cannavaro bukanlah orang asing dalam dunia bolasepak. Membawa duo import dari Itali ke dalam kelab iaitu Alessandro Diamanti dan Alberto Gilardino dan kemudiannya kedua-dua mereka dipinjamkan ke Fiorentina.

Penjaring terbanyak kejohanan setakat ini ialah Ricardo Goulart dari Brazil bersama-sama dengan pemain import Brazil lain seperti Elkeson, Rene Junior dan juga bekas penyerang Red Bull Salzburg, Alan. Pertahanan muda dari Korea Selatan, Kim Young Gwon juga mengukuhkan barisan pertahanan mereka.

Zheng Zhi, ketua pasukan Guangzhou Evergrande pernah beraksi bersama Charlton Athletic dan Celtic

Guangzhou Evergrande Taobao telah menyingkirkan juara Piala FA Korea Selatan, Seongnam FC dengan agregat 3-2 untuk layak ke suku akhir.

Gamba Osaka (Jepun)

Sebagai juara berganda Jepun, Gamba Osaka diketuai oleh kapten berpengalaman Yasushito Endo. Benteng pertahanan pula dikuatkan dengan tonggak Korea Selatan, Kim Jung Ya dan Oh Jae Suk. Barisan hadapan pula dikuatkan dengan pemain dari Brazil, Lins dan Patric.

Takashi Usami pernah beraksi bersama Bayern Munich

Ternyata FC Seoul (Korea Selatan) bukan lawan Gamba Osaka. Gamba Osaka layak ke suku akhir dengan agregat 6-3.

Kashiwa Reysol (Jepun)

Walaupun layak menerusi pusingan kelayakan, Kashiwa Reysol tidak menghadapi masalah untuk ke suku akhir. Dengan hanya 2 orang pemain import iaitu Leandro (Brazil) dan Kim Chang Soo (Korea Selatan), 2 orang lagi tonggak import lagi iaitu Christiano dan Eduardo (kedua-duanya dari Brazil) adalah secara pinjaman dari kelab lain.

Kim Chang Soo (No 12)

Kashiwa Reysol mengejutkan naib juara Liga Korea, Suwon Samsung Bluewings berdasarkan peraturan gol tempat lawan setelah masing-masing terikat dengan agregat 4-4 untuk mara ke suku akhir.

Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan)

Selaku juara liga Korea, Jeonbuk Hyundai Motors diperkuatkan dengan bekas penyerang Schalke, Edu. 2 orang lagi tonggak Brazil ialah Eninho dan Leonardo yang berpengalaman bermain di Liga Greece. Barisan pertahanan pula diperkuatkan dengan Alex Wilkinson, pemain berpengalaman dari Australia.

Sumbangan ketua pasukan berpengalaman, Lee Dong Gook juga tidak pernah dilupakan.

Eduardo Goncalves de Oliveira

Jeonbuk Hyundai Motors menamatkan cabaran Beijing Gu'oan (China) dengan agregat 2-1 seterusnya layak ke pusingan suku akhir.


Undian suku akhir pada 18.6.2015 telahpun disempurnakan. Untuk zon Asia Barat pasukan Al-Hilal (Arab Saudi) menanti kunjungan pasukan Lekhwiya (Qatar). Menanti mereka di separuh akhir samada pasukan Naft Tehran (Iran) ataupun Al-Ahli (UAE). Hanya pada 20.10.2015 bakal diketahui siapakah yang paling kuat di zon Asia Barat.

Dalam laluan yang lain pula, Kashiwa Reysol (Jepun) menanti kunjungan Guangzhou Evergrande Tabao (China). Manakala Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan) pula menanti kunjungan Gamba Osaka (Jepun). Hanya pada 21.10.2015 bakal diketahui siapakah yang paling kuat di zon Asia Timur.

Baca : Perlawanan Akhir Liga Juara Asia 2015







Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...