Monday, December 14, 2015

5 Pasukan Baru Euro 2016 Yang Bakal Mencuri Tumpuan



Kelmarin selesai undian kumpulan untuk menentukan kumpulan 24 pasukan yang bertanding dalam EURO 2016 yang akan diadakan di Perancis pertengahan tahun depan. 18 pasukan layak secara otomatik selaku juara dan naib juara kumpulan masing-masing manakala Turki pula layak sebagai pasukan tempat ke-3 yang terbaik.


Sebagai tuan rumah, Perancis telahpun layak secara otomatik manakala 4 lagi pasukan layak dalam perlawanan play-off. 4 pasukan tersebut ialah Ukraine, Sweden, Republik Ireland dan Hungary yang berjaya menumpaskan lawan masing-masing iaitu Slovenia, Denmark, Bosnia Herzegovina dan Norway.



Dalam 24 pasukan yang bertanding, hanya 5 pasukan yang membuat penampilan kali pertama dalam kejohanan akhir Euro ini iaitu Iceland, Ireland Utara, Wales, Albania dan Slovakia. Sejauh manakah pasukan-pasukan ini akan mara bergantung kepada taktikal dan kekuatan masing-masing.


Iceland

Iceland adalah antara pasukan yang layak awal ke Euro 2016 dan mendapat tempat ke-2 dalam kumpulan di belakang Republik Czech. Iceland cemerlang di peringkat kumpulan termasuk menewaskan Belanda 2 kali iaitu 2-0 Reykjavik dan 1-0 di Amsterdam. Iceland cuma tewas 2 kali iaitu kepada Republik Czech dan juga Turki.

Kolbein Sigbursson (kanan) ketika dalam pasukan Ajax

Iceland diketuai oleh ketua pasukan mereka Aron Gunnarsson yang bermain untuk Cardiff City. Bahagian serangan Iceland diketuai oleh bintang Swansea City, Gylfi Sigurdsson selain daripada penyerang yang sedang meningkat naik, Kolbein Sigborsson (Nantes). Pemain lain yang perlu diberi perhatian ialah bekas pemain akademi Chelsea dan Fulham, Johann Gudmundsson (Charlton Athletic).

Ireland Utara

Ireland Utara juga membuat kejutan apabila menjuarai kumpulan mengatasi Romania dan Hungary dengan hanya tewas sekali iaitu 0-2 kepada Romania. Ireland Utara ialah pasukan yang mempunyai ranking yang paling rendah di kalangan 24 pasukan.

Penjaring terbanyak Ireland Utara di peringkat kelayakan ialah Kyle Lafferty (Norwich City) yang pernah bermain di Liga Scotland, Liga Switzerland dan Liga Itali. Ireland Utara diketuai oleh pemain tengah Southampton, Steven Davis yang mengemudi bahagian tengah selain bintang West Bromwich Albion, Chris Brunt di bahagian sayap.

Kyle Lafferty (kanan) ketika beraksi dalam Liga Itali bersama Palermo

Bahagian pertahanan Ireland Utara dibarisi pemain berpengalaman seperti bekas pemain Manchester United, Johnny Evans dan juga pertahanan West Bromwich Albion, Gareth McAuley yang akan membantu serangan sekiranya diperlukan.

Wales

Wales juga layak selaku naib juara kumpulan di belakang Belgium. Wales mampu menyaingi kehebatan Belgium apabila seri 0-0 di Brussels dan menang 1-0 di Cardiff. Namun, Wales tak mampu menyaingi Bosnia Herzegovina apabila hanya seri 0-0 di Cardiff dan tewas 0-2 di Zenica, Sarajevo.

Ben Davies (putih) mengekang kemaraan Mohamed Salah (Fiorentina)

Wales diketuai ketua pasukan mereka Ashley Williams (Swansea City) yang mengemudi barisan pertahanan. Selain itu, bintang utama mereka seperti Gareth Bale (Real Madrid) dan Aaron Ramsey (Arsenal) adalah sandaran utama mereka dalam kempen kali ini. Pemain muda seperti Ben Davies (Tottenham Hotspurs) pasti akan cuba menyerlah dalam kejohanan ini.

Albania

Albania muncul naib juara kumpulan di belakang Portugal. Walaupun mengejutkan Portugal dengan kemenangan 1-0 di Aveiro, Portugal namun Albania tewas kepada Portugal 0-1 dengan jaringan pada masa kecederaan di Elbasan.

Perlawanan kontroversi di Belgrade pasti menjadi titik hitam dalam sejarah bolasepak dimana para penyokong Serbia masuk ke padang dan menyerang pemain Albania sehingga menyebabkan FIFA menghadiahkan kemenangan percuma 3-0 kepada Albania. Sekali lagi di Elbasan, pemain Albania telah membenarkan Serbia menjaringkan 2 gol pada masa kecederaan bagi membolehkan Serbia menang 2-0.

Elseid Hysaj (kanan) berentap dengan Paul Pogba (Juventus)

Tiada pemain Albania yang benar-benar menyerlah. Mereka menyerlah sebagai satu unit dan satu pasukan. Peningkatan Albania yang mendadak juga berkait rapat dengan kehadiran beramai-ramai pemain remaja Switzerland etnik Albania yang boleh mewakili pasukan kebangsaan Albania.

Albania diketuai oleh kapten mereka Lorik Cana (Nantes) yang mengemudi jentera tengah. Benteng gol pula dijaga oleh Etrit Berisha (Lazio). Pemain muda Albania yang dijangka menyerlah ialah pertahanan kanan mereka Elseid Hysaj (Napoli).

Slovakia

Slovakia layak ke Euro 2016 sebagai naib juara kumpulan di belakang Sepanyol. Di peringkat kumpulan Slovakia pernah mengejutkan Sepanyol dengan jaringan 2-1 di Zilina. Slovakia hanya tewas 2 kali iaitu kepada Sepanyol 0-2 di Oviedo dan juga dikejutkan Belarus 0-1 di stadium sendiri.

Robert Mak (kanan) ketika bersama FC Nurnberg

2 orang pemain paling berpengaruh Slovakia ialah Martin Skrtel (Liverpool) dan Marek Hamsik (Napoli) akan mengetuai cabaran Slovakia kali ini. Dipenuhi dengan pemain senior, Robert Mak (PAOK) yang pernah bersama Manchester City adalah masa hadapan pasukan Slovakia. Pemain-pemain sayap seperti Vladimir Weiss (Lekhwiya) dan Miroslav Stoch (Bursapor) dijangka akan menyengat untuk membantu serangan.


Pasukan seperti Ukraine juga boleh dikategorikan sebagai pasukan baru juga kerana pada tahun 2012 mereka layak ke Euro atas tiket sebagai tuan rumah. Manakala pasukan Hungary pula layak kali pertama ke Euro pada zaman bolasepak moden. Penampilan Hungary dalam Euro sebelum ini ialah pada tahun 1964 dan 1972 sahaja.

Euro 2016 kali ini juga menyaksikan tiadanya gergasi Eropah seperti Belanda dan Serbia yang tersingkir di peringkat kumpulan. Bekas juara seperti Greece juga tidak membuat penampilan dalam Euro 2016 setelah mendapat tempat tercorot di peringkat kumpulan.


No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...