Monday, September 25, 2017

Belasungkawa : Al-Fatihah Untuk Allahyarham Abdul Razak bin Hj Md Dahan



Hari ini hari Isnin... 25 September 2017, bermakna genap seminggu arwah abah pergi menemui Yang Maha Pencipta pada hari Isnin 18 September 2017, lebih kurang jam 4.30 petang. Arwah abah meninggal dalam keadaan tidur di keretanya yang diletakkan di Petronas Taman Len Sen Cheras.

Pagi tu arwah abah keluar solat Subuh seperti biasa dan tak pulang ke rumah. Arwah abah dah lama tak pakai handphone untuk dihubungi... masa keluar pagi tu pun tak bawa IC dan dompet sebab nak pergi surau jer...

Arwah abah dan mak semasa menunaikan umrah pada April 2015

Baca : Pengalaman Umrah dengan mak abah

Masa tu pun agak kelam kabut sebab sorang adik admitted kat Hospital Sungai Buloh dan sorang lagi adik baru je dihantar ke bahagian kecemasan di Hospital Serdang dan terus masuk wad. Waktu tengahari mak cakap abah tak balik rumah lagi... pusing pusing kat masjid dan surau-surau tempat abah biasa pergi, tapi tak nampak pun arwah abah ataupun keretanya.

Lepas Asar mak call bagitau ada orang datang rumah cakap arwah abah tak sedar diri dalam kereta. Mula-mula mak tak percaya, tapi bila ditunjukkan gambar kereta arwah abah... ye betul lah tu. Bila sampai rumah mak, tak sempat pun jumpa utusan berita tu kerana beliau ada urusan lain. 

Dari rumah mak terus ke Petronas Len Sen Cheras... jalan agak sesak sebab seberang Petronas ada pasar lambak Len Sen. Agak terkejut sebab nampak trak polis, dan lilitan kuning di sekeliling kawasan kereta arwah abah. Terus ke kereta arwah abah nampak arwah abah dah dibaringkan dengan mukanya ditutup... secara spontan terus kejut abah sebab disangkakan abah masih tidur.

Petronas Taman Len Sen, Cheras

Pihak polis maklumkan arwah abah dah takde kira-kira sejam yang lalu... dan hadir cuma untuk cam jenazah sahaja... Alfatihah.... untuk Allahyarham Abdul Razak bin Hj Md Dahan. Rupa-rupanya adik sorang lagi dah dimaklumkan tentang pemergian arwah abah melalui panggilan telefon... adik pun ingatkan panggilan tu main-main. Pihak polis dapat nombor telefon adik daripada no ic adik yang ada dalam kereta arwah abah.

Seorang anggota polis berbangsa Sikh dan berpangkat Sarjan bagitau bahawa jenazah arwah abah akan dibawa ke HUKM Cheras dan minta supaya dokumen pengenalan diri dan rekod kesihatan abah dibawa ke HUKM Cheras. Jenazah arwah abah dibawa ke HUKM Cheras dengan trak polis. Dalam perjalanan balik ke rumah, adik yang dapat panggilan polis pun tiba... dan juga poksu (adik abah) yang baru pulang dari kerja.

Lepas dapatkan dokumen arwah abah di rumah, terus ke HUKM Cheras. Imam yang akan uruskan jenazah arwah abah, akan hadir selepas Isyak. Poksu dan adik dah pergi balai untuk buat report dan juga permit kubur.

Kaunter Bilik Jenazah HUKM Cheras
Sumber : Forensic Pathology

Imam dan pembantunya pun sampai... begitu juga ada beberapa orang rakan yang hadir ziarah di bilik mayat HUKM Cheras. Imam ajak mandikan jenazah arwah abah sama-sama... satu pengalaman yang cukup menginsafkan. Imam juga request untuk dibawakan jubah dan kain serban yang baru untuk dipakaikan dan dikafankan bersama dengan arwah abah sebab arwah abah meninggal dalam keadaan pakaian begitu... Mujur adik ipar ada di rumah, dan datang ke bilik mayat membawa jubah dan serban arwah abah.

Selepas dapat permit kubur, barulah jenazah arwah abah dilepaskan dari HUKM Cheras dan dibawa ke rumah. Adik-adik yang masuk wad pun dah dapat pelepasan untuk pulang oleh pihak hospital. Adik yang kerja di Penggerang, Kota Tinggi awal pagi besoknya akan sampai. Jiran-jiran dan saudara mara juga dah sampai di rumah untuk sama-sama sedekahkan Yaasin untuk arwah abah.

Pagi besoknya pukul 10 pagi, jenazah arwah abah dibawa ke Masjid Bandar Tun Hussein Onn Cheras untuk solat jenazah dengan bantuan Biro Khairat Kematian Bandar Tun Hussein Onn. Ramai kenalan dan jemaah yang hadir di sini memberikan penghormatan terakhir.

Solat Jenazah di Masjid Bandar Tun Hussein Onn Cheras

Selesai solat jenazah, arwah abah dibawa ke tanah perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn atau dikenali sebagai Suakekal Bandar Tun Hussein Onn untuk disemadikan. Alhamdulillah... syukur pada Allah swt kerana dipermudahkan semua urusan.

Pusara arwah abah

Setiap hari... setiap masa dan setiap keadaan, ada sahaja orang di sekeliling kita yang pergi buat selama-lamanya meninggalkan dunia yang sementara ini. Semoga kita semua mengakhiri hayat kita dengan Husnul Khatimah ataupun "pengakhiran yang baik"

Sedekahkan Al-Fatihah untuk Allahyarham Abdul Razak bin Hj Md Dahan





No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...