Showing posts with label Universiti. Show all posts
Showing posts with label Universiti. Show all posts

Saturday, October 21, 2023

Pengalaman Pertama Daftar Anak Masuk Kolej - INTEC Shah Alam

 

Masa berlalu begitu pantas... anak sulung dah menamatkan zaman sekolah, dan kini bermula alam baru iaitu... campus life. Masa entry pertama blog ni dibuat... anak sulung baru berumur 9 tahun... sekarang dah 18 tahun 😂.

Selepas dapat keputusan tawaran biasiswa daripada Yayasan Peneraju dan juga tempat belajar di INTEC Shah Alam, maka dalam tempoh 5 hari dah nak kena bersiap untuk hari pendaftaran... memang kelam kabut... jadi bersiap dengan apa yang ada saja lah untuk hari pendaftaran. Kalau nak tau persediaan mungkin boleh baca blog ni....

Sejarah INTEC

INTEC Shah Alam ni lebih dikenali sebagai tempat persediaan pelajar sebelum ke luar negara. Perkataan INTEC tu sendiri daripada "International Education College" dimana sebelum ni juga dikenali sebagai PPP (Pusat Pendidikan Persediaan) dan PPLN (Pusat Persediaan Luar Negeri).

INTEC ditubuhkan pada tahun 1982 sebagai pusat persediaan di bawah ITM Mara. Pada tahun 2010, INTEC telah dinaiktaraf sebagai kolej dan pada tahun 2014 INTEC telah diswastakan dan tidak lagi bernaung di bawah MARA.

Berikut adalah program pengajian yang ditawarkan di INTEC Shah Alam :-
- American Degree Transfer Programme
- A-Levels
- A-Levels (German)
- Association of Chartered Certified Accounts (ACCA)
- Certified Accounting Technician (D-CAT)
- Foundation in Accounting (FIA)
- Korean Preparatory Programme
- Japanese Preparatory Programme
- South Australian Certificate of Education International (SACE)
- Diploma in Business Management
- Diploma in Accounting
- Diploma in Scientific Halal Practices
- Diploma in Islamic Finance
- Diploma in Public Management and Governance
- Certificate in Finance, Accounting and Business
- Association of Chartered Accountants (ACA) for Institute of Chartered Accountants in England and Wales
- English Language Proficiency
- Learn Korean with us
- ICDL - The Digital Skills Standard
- ACCA Accelerate Programme
- ACCA Intensive Revision Course 
- ACCA Modular Programme (Part-time)

31 Julai 2023 (Isnin) - Hari Pendaftaran

Kami decide untuk check in di homestay sekitar Shah Alam... untuk mengelakkan sebarang kelewatan yang tak patut masa hari pendaftaran. Secara tentatifnya... sebelah pagi adalah pendaftaran di kolej, dan sebelah petang adalah pendaftaran di asrama. Selepas sarapan di homestay, kami terus ke Intec Shah Alam di Seksyen 17 untuk pendaftaran.

Suasana di hari pendaftaran INTEC

INTEC ni kecik je macam sekolah... jadi tak jauh untuk jalan kaki dari satu tempat ke tempat yang lain. Belajar pun dalam kelas macam kat sekolah... Kelebihannya... mudah nak tanya lecturer on the spot dalam kelas, kalau ada apa-apa yang tak faham. Dulu pun, INTEC ni sebahagian daripada kolej ITM/UiTM. So, hari orientasi dia pun cuma 1 hari je lah... tak macam di kampus lain.

Perpustakaan INTEC

Asrama Pelajar INTEC

Agak-agak kat mana ye asrama pelajar INTEC? Secara tradisi dan sinonimnya asrama INTEC ada 3 iaitu kolej Cendana, Akasia dan Cemara. Kolej Akasia dan Cemara terletak di Seksyen 18 Shah Alam... lokasi dan suasana yang agak happening... boleh pergi mall, kedai makan dan beli barang runcit dengan jalan kaki je... Tapi yang kureng best sikit... kalau dapat tingkat atas (takde lif), fasiliti bangunan lama, dan kekadang takde air ☺.

Alhamdulillah... rezeki Adam dan batch dia kali ni sebab dapat kolej atau asrama baru yang dikenali sebagai Palm Garden terletak di Bandar Baru Klang... dan bertentangan dengan i-City Shah Alam. Ini adalah inisiatif daripada Intec sendiri yang berurusan dengan sebuah syarikat yang menyediakan penempatan pelajar di sekitar Shah Alam. Yayasan Peneraju juga telah request daripada Intec untuk ditempatkan semua pelajar bawah tajaan mereka di Palm Garden sahaja.

Bersama penyelaras asrama aka boss syarikat yang sediakan penempatan pelajar...
Siapa kenal??

Palm Garden ni ialah apartment dimana ada beberapa unit belum terjual dan sudah terjual bersetuju untuk menyewakan unit tersebut kepada mana-mana pihak berminat. Walaupun lokasinya agak jauh dari Intec berbanding kolej lain (20 minit perjalanan), tetapi kelebihannya adalah fasiliti yang bagus, ada gym, badminton court, swimming pool, ada lif. Apartment ni 3 bilik.. dimana 1 bilik boleh muat 2 pelajar, ada kitchen cabinet dan dibenarkan memasak (boleh jimat kos makanan luar), ada mesin basuh, ada peti sejuk, ada wifi (bil utiliti tak boleh lebih RM200 sebulan.. kalau lebih pelajar kena tanggung).

Ruang belajar di ruang tamu

1 bilik 2 orang = 3 bilik 6 orang

dapat mesin basuh baru

kitchen cabinet

Nak dapat rumah ni pun tak seindah yang disangka lah... 😂. Pada mulanya dapat rumah lain di Tingkat 1, tapi rupa-rupanya renovation rumah tu belum siap sepenuhnya... dan memang tak boleh nak tinggal situ... lepas request unit lain, dapatlah replacement rumah sekarang di Tingkat 19.

Walau dimana lokasi sekalipun terletaknya asrama pelajar INTEC... ada bas yang disediakan sebagai pengangkutan dari asrama ke kolej. Para pelajar kena alert dengan jadual perjalanan setiap bas... untuk mengelakkan lewat masuk ke kelas.

Sekiranya ingin bawa kenderaan sendiri... kena cek dengan penyelia asrama masing-masing kerana setiap asrama berbeza peraturannya. Contohnya jika asrama di Palm Garden, ada bayaran tambahan parking sekiranya ingin bawa kereta sendiri.

Mudah-mudahan dapat stay asrama atau rumah ni sampai habis belajar... dan tak perlu pindah ke kediaman lain... Amin.....




Friday, October 20, 2023

Pengalaman Anak Mohon Biasiswa - Halatuju Pendidikan Selepas SPM

 

Selepas keputusan SPM diumumkan, maka bermulalah perjalanan anak-anak untuk halatuju mereka ke menara gading samada ke matrikulasi, kolej atau universiti. Antara perkara yang perlu mereka tahu dan kena tahu ialah samada terdapat mana-mana badan kerajaan atau swasta yang menyediakan biasiswa atau bantuan pelajaran untuk membiayai dana pendidikan mereka.

Malah... ada yang seawal keputusan percubaan SPM (sekiranya cemerlang) telah memohon dana pembiayaan untuk mendapatkan biasiswa penuh, separa penuh ataupun pinjaman boleh ubah. Antara sumber yang boleh dipercayai untuk mendapatkan maklumat sebegini ialah di FB Halatuju Pendidikan Selepas SPM. Selain itu, boleh juga dapatkan maklumat daripada guru kaunseling sekolah masing-masing.

Bantuan pendidikan yang diperolehi ni tak semestinya untuk mereka yang melanjutkan ke luar negara, malah ada juga bantuan yang diberikan untuk belajar dalam negara. Jika tidak dapat mana-mana bantuan, maka bolehlah pertimbangkan mohon PTPTN ataupun "self sponsor" untuk mereka yang berkemampuan.

Untuk anak kami Adam, kami create whatsapp group untuk memantau perjalanan memohon biasiswa untuk pendidikan Adam seterusnya.

✅ selesai di setiap peringkat 
❌ gagal di peringkat tersebut
🌟 berjaya mendapat tawaran

Penting untuk berbincang dengan anak, bidang apa atau kerjaya apa yang menjadi target mereka pada masa hadapan. Sebaiknya seawal Tingkatan 4 dah boleh berbincang dengan mereka berkenaan ni.... kalau bertukar-tukar matlamat dan halatuju di peringkat ni... biasalah... 😅 Asalkan dia minat... Masa anak dah Form 5 diharapkan, anak kita dah nampak bayangan masa hadapan mereka. Hulurkan bantuan dengan mendengar pendapat mereka, memberikan pendapat dan cadangan... supaya jelas apa yang bakal anak kita lalui.

Macam Adam pada mulanya dia minat bidang Ekonomi... masa Form 5 dia dapat info daripada cikgu Prinsip Akaun dia berkenaan ACCA iaitu Sijil Akauntan Professional. Dan dengan ada ACCA ni pun dia boleh support dan tambah nilai minat dia dalam bidang Ekonomi. Adam pun ada dapatkan maklumat-maklumat ACCA daripada beberapa orang senior dia. Basically ACCA ni bukan diploma atau ijazah, tapi sijil professional yang diiktiraf seluruh dunia.

Road to ACCA

Perjalanan nak cari biasiswa ni bermula lepas habis SPM, guna result trial SPM dulu... ada juga yang kena tunggu result SPM sebenar baru boleh mohon. Selain cari biasiswa, masa ni pun dah boleh masuk permohonan ke universiti awam di UPU online.

Antara banyak-banyak yang Adam mohon ni... dia dah ada target no 1 iaitu untuk melanjutkan pelajaran dalam ACCA dan dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Peneraju. Permohonan-permohonan lain dibuat juga sebagai backup sekiranya tak dapat... dan juga ambil pengalaman untuk tempuhi assessment. Itupun banyak yang Adam tak dapat apply biasiswa, sebab tak dapat capai target minimum kebanyakan biasiswa... Add Math A- 😐

Selepas tarikh keputusan SPM sebenar diumumkan, maka bermulalah proses assessment ataupun penilaian untuk kesemua calon biasiswa ni. Ada assessment yang dilakukan secara bersemuka dan ada juga assessment yang dilakukan secara online. Para pelajar kena alert dengan email masing-masing kerana pada kebiasaannya makluman akan disalurkan ke email. Assessment ni berbeza untuk setiap badan yang tawarkan biasiswa... ada yang perlukan kita siapkan English essay untuk topik tertentu, online interview, online test, grouping assessment, presentation dan banyak lagi.

Alhamdulillah... setelah semua keputusan diperolehi... Adam decide untuk terima biasiswa penuh daripada Yayasan Peneraju untuk melanjutkan pelajarannya dalam ACCA. Adam pilih penempatan di INTEC Shah Alam. Selain INTEC, ACCA di bawah Yayasan Peneraju ada juga penempatan di Sunway TES, TYMBA dan UOW Malaysia KDU College. Kalau pilih penempatan lain, ada kemungkinan kena top up bayaran disebabkan kos penginapan dan makanan terutamanya di kolej lain adalah lebih tinggi.

Antara tawaran yang ditolak 🙏

Yayasan Peneraju juga ada membuka peluang biasiswa setelah pelajar-pelajar mendapatkan universiti terlebih dahulu... contohnya pengajian ACCA di UiTM Tapah. Ini bermakna pelajar terima dahulu tawaran di universiti dan memohon biasiswa kemudian.

Yayasan Peneraju menanggung sepenuhnya yuran pengajian, penginapan dan duit poket sebanyak RM750.00 sebulan. Duit poket ni dibayar 3 bulan sekali... dan adakalanya dapat lewat atas sebab-sebab pentadbiran... So memang pada awalnya kena pakai duit sendiri... mujur Adam ada buat kerja part time lepas habis SPM... adalah duit belanja.... Bila dah dapat biasiswa penuh ni... kena jaga prestasi pelajaran... jangan leka, jangan banyak main... dan kena fokus pada pelajaran. Kalau result tak achieve... biasiswa akan ditarik balik.

Dalam tempoh 3 tahun pertama, biasanya akan dapat kerja dengan company atau firm Malaysia sama ada dalam atau luar negara. Didoakan semoga lebih ramai lagi bumiputra menjadi akauntan professional dengan asbab bantuan daripada Yayasan Peneraju... Amin Ya Rabb.....



Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...