Showing posts with label Mexico. Show all posts
Showing posts with label Mexico. Show all posts

Friday, October 30, 2015

Piala Dunia Bawah 17 Tahun 2015 : Hanya Tiga Juara Benua Di Peringkat Suku Akhir



Awal pagi tadi tamat peringkat kalah mati 16 pasukan Piala Dunia bawah 17 tahun yang diadakan di Chile. Seperti biasa memang takde pasukan Malaysia dalam kejohanan ni, tapi jangan tak tahu boleh tahan jugak skuad Malaysia bawah 17 tahun ni masa peringkat kelayakan iaitu kejohanan Asia bawah 16 tahun.

Semasa peringkat kelayakan Asia yang diadakan tahun lepas di Thailand, semua pasukan adalah bawah 16 tahun. Malaysia tewas di peringkat kumpulan kepada Korea Selatan hanya dengan 0-1, manakala di suku akhir Malaysia tewas kepada Australia dengan jaringan 1-2. 



Kalau Malaysia dapat kalahkan Australia dan mara ke separuh akhir tempoh hari, sudah pasti pasukan Malaysia dah ada kat Chile sekarang ni.... sebabnya ialah 4 pasukan yang mara hingga ke separuh akhir tahun lepas akan layak ke Chile. Sebab tu wakil Asia pada edisi kali ni ialah Korea Utara, Korea Selatan, Australia dan Syria.

Tapi bila dah habis pusingan kalah mati 16 pasukan, semua wakil Asia kecundang juga akhirnya. Syria terkandas di peringkat kumpulan, Korea Selatan tewas kepada Belgium 0-2, Korea Utara tewas kepada Mali 0-3 dan Australia dibelasah Nigeria 0-6.

Juara bertahan Piala Dunia bawah 17 tahun ialah Nigeria yang telah menewaskan Mexico dengan jaringan 3-0 pada tahun lepas. Bintang yang paling menyinar ketika itu tidak lain tidak bukan ialah penyerang muda Manchester City, Kelechi Iheanacho. 

Kelechi Iheanacho
Nigeria juga ialah pasukan paling berjaya dengan menggondol 4 kejuaraan diikuti dengan Brazil sebanyak 3 kejuaraan, Ghana dan Mexico dengan 2 kejuaraan manakala Soviet Union, Arab Saudi, Perancis dan Switzerland masing-masing dengan 1 kejuaraan.


Pasukan yang berjaya mara ke peringkat suku akhir adalah seperti berikut :-

Nigeria

Juara bertahan ini diperkuatkan dengan penyerang prolifik mereka iaitu Victor Osimshen. Selain daripada menjadi penjaring terbanyak dalam kejuaraan bawah 17 tahun Afrika 2015, Victor Osimshen juga adalah pendahulu penjaring terbanyak setakat ini. Ketua pasukan Kelechi Anwakali juga merupakan watak penting di tengah padang.

Victor Osimshen (No.9) - penjaring prolifik Nigeria

Nigeria layak ke suku akhir bertemu Brazil setelah membelasah Australia 6-0 di peringkat kalah mati 16 pasukan


Croatia

Diterajui oleh kapten pasukan Nikola Moro yang menjadi jeneral di tengah padang, Karlo Igor Majic pula mempunyai penyudah yang klinikal di posisi serangan. Croatia masih belum pernah tewas dalam kejohanan ini.

Ketua pasukan Croatia, Nikola Moro

Croatia layak ke suku akhir bertemu Mali setelah mengejutkan Jerman 2-0 di peringkat kalah mati 16 pasukan


Brazil

Walaupun prestasi Brazil tidak berapa memberangsangkan pada kejohanan kali ini termasuklah ketika tewas 0-1 kepada Korea Selatan tempoh hari, namun juara Amerika Selatan ini mampu meneruskan kemaraan mereka. Penjaring terbanyak kejuaraan Amerika Selatan bawah 17 tahun, Leandro harus lebih tajam di depan gawang.
Pemain Brazil meraikan gol yang dijaringkan oleh Leandro (No. 7)

Brazil layak ke suku akhir bertemu Nigeria setelah menewaskan New Zealand 1-0 di peringkat kalah mati 16 pasukan


Mexico

Mexico tampil mengejutkan beberapa pasukan pilihan seperti Argentina dan Jerman. Mexico selaku juara Amerika Tengah juga masih belum pernah tewas dalam kejohanan ini.

Francisco Venegas (tengah) menanduk masuk gol ketika menentang Jerman

Mexico layak ke suku akhir bertemu Ecuador setelah membenam tuan rumah Chile 4-1 di peringkat kalah mati 16 pasukan


Mali

Juara Afrika ini meneruskan rentak cemerlang mereka dan masih belum tewas dalam sebarang perlawanan. Sidiki Maiga, Aly Malle dan Amadou Haidara adalah trio serangan yang berbisa.

Sidiki Maiga (No.7), Aly Malle (No. 9) dan Amadou Haidara (No. 18) konsisten menjaringkan gol untuk pasukan Mali

Mali layak ke suku akhir bertemu Croatia setelah menewaskan Korea Utara 3-0 di peringkat kalah mati 16 pasukan


Ecuador

Tiada siapa yang sangka Ecuador mampu mara sejauh ini. Selain daripada kapten mereka Joel Quintero dan pertahanan kiri Pervis Estupinan yang bahaya ketika menyerang, sandaran mereka juga terletak kepada pemain lincah seperti Yeison Guerrero dan Washington Corozo.

Ecuador bergantung kepada pemain-pemain lincah mereka seperti
Yeison Guerrero (no. 7) dan Washington Corozo (No. 10)

Ecuador layak ke suku akhir bertemu Mexico setelah mengejutkan Rusia 4-1 di peringkat kalah mati 16 pasukan


Belgium

Persembahan Belgium dalam kumpulan tidak membanggakan dan hanya menduduki tempat ke-3 di belakang Mali dan Ecuador. Namun, Belgium berjaya menyingkirkan gergasi Asia, Korea Selatan.

Penyerang Belgium, Jorn Vancamp sangat gembira setelah menamatkan cabaran Korea Selatan

Belgium layak ke suku akhir bertemu Costa Rica setelah menewaskan Korea Selatan 2-0 di peringkat kalah mati 16 pasukan


Costa Rica

Satu lagi pasukan underdog yang mencuri tumpuan ialah Costa Rica. Bahagian serangan mereka tidaklah merbahaya tetapi keseimbangan di setiap posisi adalah kekuatan utama mereka.

Pasukan Costa Rica tidak menyangka bahawa mereka mampu mengenepikan pasukan pilihan Perancis

Costa Rica layak ke suku akhir bertemu Belgium setelah mengejutkan juara Eropah, Perancis menerusi penentuan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 0-0 di peringkat kalah mati 16 pasukan.


Apa yang pasti, sudah ramai para pencari bakat (scout) dari seluruh dunia dah berada di Chile untuk menyaksikan kejohanan Piala Dunia bawah 17 tahun ini. Pemain yang menyinar bakal mendapat tawaran yang lumayan daripada kelab-kelab utama dunia seperti yang berlaku kepada Kelechi Iheanacho.

Tiada kelibat juara Asia, Korea Utara, tiada kelibat juara Oceania, New Zealand dan tiada juga kelibat juara Eropah, Perancis di peringkat suku akhir ini. Hanya Mexico (juara Amerika Tengah), Brazil (juara Amerika Selatan), Mali (juara Afrika) selain daripada juara bertahan Nigeria yang akan berentap sesama sendiri untuk menggondol Piala Dunia bawah 17 tahun edisi yang ke-16 ini.





Sunday, July 19, 2015

2015 Concacaf Gold Cup - Peluang Pemain Muda Untuk Menyinar?



Di Amerika Syarikat dan Kanada sedang diadakan kejohanan Piala Emas CONCACAF 2015 ataupun 2015 CONCACAF Gold Cup dari 7 hingga 26 Julai 2015. CONCACAF Gold Cup ialah kejohanan bolasepak yang disertai oleh pasukan-pasukan dari Amerika Utara, Amerika Tengah dan Kepulauan Carribean.

Pasukan paling berjaya dalam Gold Cup ini ialah Mexico dengan 6 kejuaraan diikuti juara bertahan Amerika Syarikat dengan 5 kejuaraan dan Kanada dengan 1 kejuaraan sahaja. Pada edisi yang lepas Amerika Syarikat muncul juara setelah menewaskan Panama dengan jaringan 1-0.

Amerika Syarikat - Juara Piala Emas Concacaf 2013


Saingan peringkat kumpulan telahpun selesai dan berikut adalah pasukan-pasukan yang telah melayakkan diri ke peringkat suku akhir :-


Amerika Syarikat

Status selaku juara bertahan, tuan rumah dan kuasa utama bolasepak di rantau CONCACAF tampak sukar untuk digugat. Kedukukan Amerika Syarikat di ranking ke-34 dunia juga menunjukkan dominasi mereka di rantau ini mengatasi Mexico dan Costa Rica.

John Brooks
Khidmat pemain berpengalaman seperti Michael Bradley dan Clint Dempsey amat ditagih di samping pemain-pemain muda yang sedikit demi sedikit masuk ke dalam kesebelasan utama Amerika Syarikat ini. Antara pemain muda yang bakal menonjol ialah pertahanan kental mereka John Brooks yang beraksi dalam Liga Jerman.



Jamaica

Walaupun Jamaica adalah kuasa besar bolasepak di rantau Carribean, tetapi dalam rantau CONCACAF, pencapaian terbaik Jamaica hanyalah tempat -3 pada tahun 1993. Dibarisi dengan kebanyakan pemain yang beraksi dalam Liga Inggeris, Jamaica hanya menduduki di tangga ke-76 ranking dunia FIFA.

Kemar Lawrence
Barisan pertahanan Jamaica tampak ampuh dengan hanya melepaskan 2 gol kepada Costa Rica dan hanya melepaskan 3 gol dalam saingan Copa America baru-baru ini. Pemain muda seperti Kemar Lawrence yang beraksi di Liga Amerika Syarikat juga membantu mengemudi barisan pertahanan Jamaica ini.



Trinidad and Tobago

Pasukan ini mampu menyaingi kehebatan Mexico di peringkat kumpulan dan muncul juara kumpulan setelah seri 4-4 dengan Mexico. Trinidad and Tobago adalah kuasa besar bolasepak di rantau Carribean selain daripada Jamaica. Kedudukan ranking FIFA mereka juga lebih baik daripada Jamaica iaitu di kedudukan ke-64 dunia.

Joevin Jones
Diketuai kapten dan penyerang berpengalaman Kenwyne Jones, kemampuan kesebelasan utama Trinidad and Tobago adalah sekata dan seimbang. Beberapa orang pemain muda juga telah diberikan kepercayaan oleh jurulatih mereka untuk menyinar seperti pemain pertahanan dan sayap kiri, Joevin Jones yang beraksi di Liga Amerika Syarikat.



Mexico

Selain daripada Amerika Syarikat, Mexico juga adalah pasukan pilihan dan juga kuasa besar bolasepak di rantau ini walaupun kedudukan ranking FIFA mereka iaitu di tangga ke-40 tidak menceritakan kehebatan sebenar pasukan ini.

Diego Reyes
Mexico dibarisi pemain-pemain berpengalaman dan hanya beberapa pemain muda sahaja yang diberikan kepercayaan dalam kesebelasan utama iaitu Jesus Corona (Twente) dan juga pertahanan Porto yang akan dipinjamkan ke Real Sociedad, Diego Reyes.



Haiti

Pada tahun 1970-an, Haiti adalah kuasa bolasepak di rantau ini dan sedikit demi sedikit Haiti terus tenggelam. Haiti berada di ranking FIFA yang ke-79 setakat 9 Julai 2015 dan siapa sangka pemain import NS Matrix, Jean Alexandre tersenarai dalam kesebelasan utama Haiti.

Duckens Nazon

Tiada pemain yang ketara kebolehannya beraksi dalam skuad Haiti namun pemain muda seperti Duckens Nazon yang beraksi di Liga Perancis adalah penyerang muda harapan mereka. Penyerang Haiti yang lain pula beraksi di Liga bolasepak Cyprus.


Costa Rica

Pada tahun 1960-an, Costa Rica telah menggondol beberapa kejuaraan di rantau ini begitu juga pada tahun 1989. Namun, pada era moden pencapaian terbaik Costa Rica ialah menjadi naib juara pada tahun 2002. Costa Rica beraksi cemerlang pada Piala Dunia 2014 yang lepas sebelum tunduk pada Belanda menerusi penentuan sepakan penalti.

Joel Campbell
Pencapaian Costa Rica yang cemerlang di Piala Dunia menjadikan mereka adalah pasukan pilihan namun sehingga kini persembahan mereka tidak menyerlah. Kini, Costa Rica berada di kedudukan ke 41 ranking FIFA. Selain daripada kapten pasukan Bryan Ruiz, pemain Arsenal Joel Campbell dijangka akan menyinar dalam kejohanan ini.


Panama

Seri dalam kesemua saingan peringkat kumpulan, akhirnya Panama layak ke peringkat suku akhir sebagai salah satu pasukan tempat ke-3 kumpulan terbaik. Naib juara edisi 2 tahun lepas ini tidak berapa menonjol dan persembahan mereka amat mengecewakan.

Harold Cummings

Berada di kedudukan 62 ranking dunia setakat 9 Julai 2015, Panama membariskan banyak pemain senior yang berpengalaman. Antara pemain muda yang diberi kepercayaan mengemudi barisan pertahanan ialah Harold Cummings yang beraksi di Liga Colombia


Cuba

Tampil bukan sebagai pasukan pilihan, tetapi layak di saat-saat akhir setelah menewaskan Guatemala 1-0 dan layak sebagai antara pasukan tempat ke-3 kumpulan terbaik. Kesemua pemain Cuba bermain dalam liga tempatan negara mereka.

Maikel Reyes

Pasukan Cuba berada di ranking 104 dunia setakat 9 Julai 2015 juga tampil dengan formasi yang sangat defensif dan hanya menaraikan 2 orang penyerang sahaja. Salah seorangnya ialah penyerang muda mereka, Maikel Reyes yang bermain dengan kelab tempatan, Pinar del Rio.


Baca : Pemain Muda Copa America 2015

Semasa entri ini ditulis, Amerika Syarikat dan Jamaica telah meneruskan kemaraan ke peringkat sepatuh akhir setelah menamatkan cabaran lawan masing-masing iaitu Cuba dan Haiti.

Dominasi Amerika Syarikat dan Mexico di rantau Amerika Utara, Amerika Tengah dan Kepulauan Carribean terlalu ketara sehingga menenggelamkan pasukan-pasukan kerdil yang lain. Semoga akan bangkit pasukan lain yang mampu menandingi 2 kuasa besar dalam CONCACAF ini.




Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...