Showing posts with label Brazil. Show all posts
Showing posts with label Brazil. Show all posts

Friday, October 30, 2015

Piala Dunia Bawah 17 Tahun 2015 : Hanya Tiga Juara Benua Di Peringkat Suku Akhir



Awal pagi tadi tamat peringkat kalah mati 16 pasukan Piala Dunia bawah 17 tahun yang diadakan di Chile. Seperti biasa memang takde pasukan Malaysia dalam kejohanan ni, tapi jangan tak tahu boleh tahan jugak skuad Malaysia bawah 17 tahun ni masa peringkat kelayakan iaitu kejohanan Asia bawah 16 tahun.

Semasa peringkat kelayakan Asia yang diadakan tahun lepas di Thailand, semua pasukan adalah bawah 16 tahun. Malaysia tewas di peringkat kumpulan kepada Korea Selatan hanya dengan 0-1, manakala di suku akhir Malaysia tewas kepada Australia dengan jaringan 1-2. 



Kalau Malaysia dapat kalahkan Australia dan mara ke separuh akhir tempoh hari, sudah pasti pasukan Malaysia dah ada kat Chile sekarang ni.... sebabnya ialah 4 pasukan yang mara hingga ke separuh akhir tahun lepas akan layak ke Chile. Sebab tu wakil Asia pada edisi kali ni ialah Korea Utara, Korea Selatan, Australia dan Syria.

Tapi bila dah habis pusingan kalah mati 16 pasukan, semua wakil Asia kecundang juga akhirnya. Syria terkandas di peringkat kumpulan, Korea Selatan tewas kepada Belgium 0-2, Korea Utara tewas kepada Mali 0-3 dan Australia dibelasah Nigeria 0-6.

Juara bertahan Piala Dunia bawah 17 tahun ialah Nigeria yang telah menewaskan Mexico dengan jaringan 3-0 pada tahun lepas. Bintang yang paling menyinar ketika itu tidak lain tidak bukan ialah penyerang muda Manchester City, Kelechi Iheanacho. 

Kelechi Iheanacho
Nigeria juga ialah pasukan paling berjaya dengan menggondol 4 kejuaraan diikuti dengan Brazil sebanyak 3 kejuaraan, Ghana dan Mexico dengan 2 kejuaraan manakala Soviet Union, Arab Saudi, Perancis dan Switzerland masing-masing dengan 1 kejuaraan.


Pasukan yang berjaya mara ke peringkat suku akhir adalah seperti berikut :-

Nigeria

Juara bertahan ini diperkuatkan dengan penyerang prolifik mereka iaitu Victor Osimshen. Selain daripada menjadi penjaring terbanyak dalam kejuaraan bawah 17 tahun Afrika 2015, Victor Osimshen juga adalah pendahulu penjaring terbanyak setakat ini. Ketua pasukan Kelechi Anwakali juga merupakan watak penting di tengah padang.

Victor Osimshen (No.9) - penjaring prolifik Nigeria

Nigeria layak ke suku akhir bertemu Brazil setelah membelasah Australia 6-0 di peringkat kalah mati 16 pasukan


Croatia

Diterajui oleh kapten pasukan Nikola Moro yang menjadi jeneral di tengah padang, Karlo Igor Majic pula mempunyai penyudah yang klinikal di posisi serangan. Croatia masih belum pernah tewas dalam kejohanan ini.

Ketua pasukan Croatia, Nikola Moro

Croatia layak ke suku akhir bertemu Mali setelah mengejutkan Jerman 2-0 di peringkat kalah mati 16 pasukan


Brazil

Walaupun prestasi Brazil tidak berapa memberangsangkan pada kejohanan kali ini termasuklah ketika tewas 0-1 kepada Korea Selatan tempoh hari, namun juara Amerika Selatan ini mampu meneruskan kemaraan mereka. Penjaring terbanyak kejuaraan Amerika Selatan bawah 17 tahun, Leandro harus lebih tajam di depan gawang.
Pemain Brazil meraikan gol yang dijaringkan oleh Leandro (No. 7)

Brazil layak ke suku akhir bertemu Nigeria setelah menewaskan New Zealand 1-0 di peringkat kalah mati 16 pasukan


Mexico

Mexico tampil mengejutkan beberapa pasukan pilihan seperti Argentina dan Jerman. Mexico selaku juara Amerika Tengah juga masih belum pernah tewas dalam kejohanan ini.

Francisco Venegas (tengah) menanduk masuk gol ketika menentang Jerman

Mexico layak ke suku akhir bertemu Ecuador setelah membenam tuan rumah Chile 4-1 di peringkat kalah mati 16 pasukan


Mali

Juara Afrika ini meneruskan rentak cemerlang mereka dan masih belum tewas dalam sebarang perlawanan. Sidiki Maiga, Aly Malle dan Amadou Haidara adalah trio serangan yang berbisa.

Sidiki Maiga (No.7), Aly Malle (No. 9) dan Amadou Haidara (No. 18) konsisten menjaringkan gol untuk pasukan Mali

Mali layak ke suku akhir bertemu Croatia setelah menewaskan Korea Utara 3-0 di peringkat kalah mati 16 pasukan


Ecuador

Tiada siapa yang sangka Ecuador mampu mara sejauh ini. Selain daripada kapten mereka Joel Quintero dan pertahanan kiri Pervis Estupinan yang bahaya ketika menyerang, sandaran mereka juga terletak kepada pemain lincah seperti Yeison Guerrero dan Washington Corozo.

Ecuador bergantung kepada pemain-pemain lincah mereka seperti
Yeison Guerrero (no. 7) dan Washington Corozo (No. 10)

Ecuador layak ke suku akhir bertemu Mexico setelah mengejutkan Rusia 4-1 di peringkat kalah mati 16 pasukan


Belgium

Persembahan Belgium dalam kumpulan tidak membanggakan dan hanya menduduki tempat ke-3 di belakang Mali dan Ecuador. Namun, Belgium berjaya menyingkirkan gergasi Asia, Korea Selatan.

Penyerang Belgium, Jorn Vancamp sangat gembira setelah menamatkan cabaran Korea Selatan

Belgium layak ke suku akhir bertemu Costa Rica setelah menewaskan Korea Selatan 2-0 di peringkat kalah mati 16 pasukan


Costa Rica

Satu lagi pasukan underdog yang mencuri tumpuan ialah Costa Rica. Bahagian serangan mereka tidaklah merbahaya tetapi keseimbangan di setiap posisi adalah kekuatan utama mereka.

Pasukan Costa Rica tidak menyangka bahawa mereka mampu mengenepikan pasukan pilihan Perancis

Costa Rica layak ke suku akhir bertemu Belgium setelah mengejutkan juara Eropah, Perancis menerusi penentuan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 0-0 di peringkat kalah mati 16 pasukan.


Apa yang pasti, sudah ramai para pencari bakat (scout) dari seluruh dunia dah berada di Chile untuk menyaksikan kejohanan Piala Dunia bawah 17 tahun ini. Pemain yang menyinar bakal mendapat tawaran yang lumayan daripada kelab-kelab utama dunia seperti yang berlaku kepada Kelechi Iheanacho.

Tiada kelibat juara Asia, Korea Utara, tiada kelibat juara Oceania, New Zealand dan tiada juga kelibat juara Eropah, Perancis di peringkat suku akhir ini. Hanya Mexico (juara Amerika Tengah), Brazil (juara Amerika Selatan), Mali (juara Afrika) selain daripada juara bertahan Nigeria yang akan berentap sesama sendiri untuk menggondol Piala Dunia bawah 17 tahun edisi yang ke-16 ini.





Tuesday, June 23, 2015

Copa America 2015 - Peluang Bintang Muda Amerika Selatan Untuk Melonjakkan Nama Mereka



Copa America ataupun Piala Amerika adalah kejohanan bolasepak Amerika Selatan. Pada edisi kali ini, Copa America 2015 diadakan di negara Chile. Negara paling berjaya dan banyak menggondol trofi Copa America ni ialah Uruguay sebanyak 15 kejuaraan.

Tradisi kebiasaan Copa America ialah menjemput pasukan jemputan dan pasukan jemputan kali ini ialah Mexico dan Jamaica. Uruguay pula tampil untuk mempertahankan trofi yang dimenangi mereka sebelum ini iaitu pada tahun 2011 dengan menewaskan Paraguay 3-0.

Uruguay - Juara Copa America 2011
Baca : Semuanya Copa America Bahagian 1

Baca : Semuanya Copa America Bahagian 2


Saingan peringkat kumpulan telahpun selesai dengan 8 pasukan berjaya menempatkan diri di peringkat suku akhir. Beberapa orang pemain muda telah dikenalpasti bakal menyinar dalam kejohanan ini selain daripada bintang-bintang utama yang lain.



Chile 

Pasukan tuan rumah ini cemerlang di peringkat kumpulan dimana mereka membelasah Bolivia 5-0 di perlawanan terakhir kumpulan. Diketuai penyerang sensasi mereka Alexis Sanchez, semestinya Chile mengidamkan trofi ini buat pertama kali apalagi beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Walaupun dilanda dengan kemelut bintang mereka, Arturo Vidal yang terbabit dengan kemalangan jalan raya akibat pengaruh alkohol, prestasi Chile tampak konsisten dan tidak terganggu dengan kemelut yang melanda. Penyerang muda Chile, Eduardo Vargas tidak ketinggalan untuk membantu Chile menjulang trofi pertama mereka.

Eduardo Vargas (Napoli)

Bolivia 

Pernah menjadi juara sekali sahaja iaitu pada tahun 1963 sebagai tuan rumah. Tampil sebagai pasukan bukan berstatus pilihan tetapi Bolivia mampu layak ke pusingan kalah mati dengan menyingkirkan Ecuador dan Mexico.

Bolivia tiada juga bintang ternama melainkan penyerang berpengalaman mereka iaitu Marcelo Moreno yang berkasi di China bersama kelab Changchun Yatai. Inilah peluang pemain muda seperti Romel Quinonez (penjaga gol) dan pemain yang baru saja disambar oleh kelab Greece, Panetolikos  iaitu Danny Bejarano untuk mencipta nama di kejohanan ini.

Danny Bejarano (Panetolikos)

Argentina 

Pasukan paling berjaya dalam Copa America di belakang Uruguay. Argentina tampil dengan konsisten di peringkat kumpulan diketuai oleh bintang sensasi mereka Lionel Messi. Kali terakhir Argentina menjulang Copa America ialah pada tahun 1993.

Hanya Marcos Rojo (Manchester United), Roberto Pereyra (Juventus) dan Erik Lamela (Tottenham Hotspurs) yang berusia 25 tahun dan ke bawah berada dalam skuad Argentina kali ini.

Marcos Rojo (Manchester United)

Paraguay 

Kali terakhir menjulang Copa America pada tahun 1979. Paraguay juga cemerlang di peringkat kumpulan tanpa tewas di belakang Argentina.

Walaupun Paraguay mengharapkan trio serangan veteran mereka iaitu Roque Santa Cruz, Luca Barrios dan Nelson Valdez dalam kejohanan ini, namun kelibat bintang muda Paraguay iaitu Derlis Gonzalez yang beraksi di bahagian sayap tidak boleh diperkecilkan.

Derlis Gonzalez (FC Basel)

Uruguay 

Barisan serangan Uruguay tempang tanpa kelibat penyerang sensasi mereka Luis Suarez yang masih lagi digantung FIFA akibat insiden menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini pada kempen Piala Dunia yang lalu.

Bintang muda Atletico Madrid iaitu Jose Gimenez juga semakin menyinar. Bukan sahaja kental bertahan mengekang asakan musuh, tetapi keupayaan menjaringkan gol juga tidak dipertikaikan lagi. Sudah pasti Uruguay tidak akan melepaskan trofi Copa America kepada pasukan lain.

Jose Gimenez (Atletico Madrid)

Brazil 

Barisan serangan Brazil juga bakal tempang apabila kapten mereka, Neymar dikenakan penggantungan 4 perlawanan setelah menerima kad merah pada pertemuan dengan Colombia kerana dengan sengaja menendang bola ke arah pemain Colombia, menanduk pemain Colombia yang lain dan juga bertengkar dengan pengadil perlawanan.

Pemain sayap yang beraksi bersama Shakhtar Donetsk iaitu Fred juga semakin mendapat tempat dalam skuad Dunga di Copa America.

Fred (Shakhtar Donetsk)


Peru 

Kali terakhir Peru menjulang trofi Copa America ialah pada tahun 1975. Sepertimana Paraguay, Peru juga tampil dengan trio serangan veteran iaitu Claudio Pizarro, Paolo Guerrero dan Jefferson Farfan.

Sudah pasti edisi kali ini pemain muda seperti Christian Cueva, Carlos Ascues dan Andre Carillo cuba untuk menonjolkan diri dan menyinar di atas pentas Copa America.

Christian Cueva (Alianza Lima)


Colombia 

Penyerang Carlos Bacca juga menerima kad merah akibat insiden pergaduhan dengan Neymar tempoh hari. Bintang Real Madrid, James Rodriguez agak tenggelam dalam kejohanan ini, juga kapten pasukan Falcao yang masih buntu mencari jaringan.

Namun pemain yang mencuri tumpuan ialah pemain pertahanan yang menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Brazil iaitu Jeison Murillo. Baru sahaja disambar Inter Milan dari kelab Sepanyol, Granada, pemain ini menunjukkan persembahan kental di bahagian pertahanan.

Jeison Murillo (Inter Milan)

Baca : Pemain Muda Piala Emas CONCACAF 2015

Sudah menjadi tradisi, pentas kejohanan seperti Copa America ini adalah medan untuk menyinar dan para pemain menunjukkan skil dan bakat masing-masing. Sudah pasti juga mana-mana pasukan di seluruh dunia akan mendapatkan pemain Amerika Latin untuk dimasukkan dalam pasukan masing-masing sebagai rencah utama bolasepak mereka.





Friday, June 12, 2015

Suku Akhir Piala Dunia bawah 20 tahun 2015



Korang perasan tak sekarang ni World Cup tengah berlangsung kat New Zealand? Ya... memang sedang main sekarang. Tapi ni World Cup untuk budak-budak bawah 20 tahun jer...

Publisiti memang takde sangat... kalau ada yang teringin nak tahu pun, mestilah ahli keluarga budak-budak bawah 20 tahun ni yang main bola. Satu famili pergi New Zealand tengok anak masing-masing main bola sambil bercuti kat New Zealand. Lagipun, sekarang ni tengah musim autumn-winter kat New Zealand.



Satu lagi yang akan menyibuk masa World Cup bawah 20 ni ialah "scouts" atau pencari bakat-bakat bolasepak seluruh dunia. Memang inilah kerja diorang mencari bakat-bakat baru seluruh dunia untuk diserapkan dalam kelab masing-masing pada musim akan datang.

Piala Dunia bawah 20 tahun 2015 ni adalah kejohanan kali ke-12 dimana juara bertahan edisi lepas iaitu Perancis gagal layak dan tidak akan mempertahankan Piala Dunia bawah 20 tahun ni. Myanmar, Senegal, Fiji dan Serbia membuat penampilan pertama mereka kali ini.

Juara Piala Dunia 2013 (bawah 20) ialah Perancis

Seperti yang dijangka Argentina adalah pasukan paling berjaya dalam Piala Dunia bawah 20 tahun ini dengan 6 kejuaraan diikuti Brazil dengan 5 kejuaraan.

Nama lama Piala Dunia bawah 20 tahun ni ialah FIFA World Youth Championship (1977-2005) yang Malaysia pernah jadi tuan rumah tahun 1997... ingat tak? Masa tu Malaysia ada main dan layak sebagai tuan rumah kejohanan jer...

Secara keseluruhannya... pasukan dari Asia tidak berapa menonjol dalam Piala Dunia bawah 20 tahun ni. Paling ok pun ialah Qatar pernah jadi naib juara 1981, Korea Selatan tempat ke-4 tahun 1983, Jepun naib juara tahun 1999 dan Iraq tempat ke-4 tahun 2013. Pasukan Asia pada edisi kali ni ialah Myanmar, Korea Utara, Qatar dan Uzbekistan. Mampukah mereka memberikan cabaran?

Pusingan peringkat kumpulan dah tamat. Yang paling mengejutkan ialah Argentina sama sekali tidak layak ke peringkat kalah mati (mendapat tempat ke-3 bukan terbaik bersama-sama Honduras). Brazil, Portugal dan Jerman nampak gagah apabila menang kesemua perlawanan peringkat kumpulan.

Uruguay dan Mali pula ditentukan kedudukan dalam kumpulan berdasarkan sistem undian ("drawing of lots"). Setelah diundi, Uruguay mendapat tempat ke-2 dalam kumpulan dan Mali mendapat tempat ke-3 (Mujur Mali layak juga ke pusingan kalah mati sebagai antara pasukan tempat ke-3 terbaik). Apa itu "drawing of lots"? Entri Piala Bangsa Afrika pernah cerita pasal "drawing of lots" sebelum ini.

Pusingan kalah mati 16 pasukan pun telah berakhir  pada 11.6.2015 dengan meninggalkan 8 pasukan untuk berentap sesama sendiri dalam peringkat suku akhir :-


USA - tampil setelah layak di peringkat playoff kejuaraan Concacaf 2015 bawah 20 tahun. Menjadi naib juara kumpulan A di belakang Ukraine dan telah menewaskan Colombia 1-0 di peringkat kalah mati.

Gideon Zelalem - pemain keturunan Ethiopia, warganegara Jerman
tetapi akhirnya memilih untuk mewakili USA

Portugal - tampil sebagai Naib Johan kejuaraan Eropah UEFA 2014 bawah 19 tahun. Menjadi juara kumpulan C dan telah menewaskan pasukan tuan rumah, New Zealand dengan jaringan 2-1 di peringkat kalah mati.

Andre Silva - pemain remaja Porto ini menjadi rebutan antara Arsenal dan Chelsea

Senegal -  tampil sebagai Naib Johan kejuaraan Afrika 2015 bawah 20 tahun. Mendapat tempat ke-3 kumpulan C di belakang Portugal dan Colombia dan telah menewaskan Ukraine di peringkat kalah mati menerusi sepakan penalti 3-1 setelah terikat 1-1 sehingga masa tambahan.

Sidy Sarr - pemain tengah berbakat ini sedang diintai gergasi Turki, Galatasaray

Serbia - tampil setelah layak ke separuh akhir kejuaraan Eropah UEFA 2014 bawah 19 tahun. Menjadi juara kumpulan D dan telah menewaskan Hungary 2-1 setelah masa tambahan di peringkat kalah mati.

Milos Veljkovic - barisan pertahanan Serbia diperkuatkan dengan
kehadiran pemain muda Tottenham Hotspurs ini

Mali -  tampil sebagai pemenang tempat ke-4 kejuaraan Afrika 2015 bawah 20 tahun. Mendapat tempat ke-3 kumpulan D di belakang Serbia dan Uruguay dan telah mengejutkan Ghana 3-0 di peringkat kalah mati.

Adama Traore - barisan serangan Mali diketuai oleh penyerang muda Lille

Brazil - tampil sebagai pemenang tempat ke-4 kejuaraan remaja Amerika Selatan 2015. Menjadi juara kumpulan E dan telah menewaskan Uruguay 5-4 melalui penentuan sepakan penalti setelah terikat 0-0 setelah masa tambahan di peringkat kalah mati.

Andreas Pereira - penyerang muda Manchester United mengambil keputusan untuk mewakili Brazil bawah 20
setelah selama ini mewakili pasukan remaja Belgium di peringkat bawah 15 tahun lagi

Jerman - tampil sebagai Johan kejuaraan Eropah UEFA 2014 bawah 19 tahun. Menjadi juara kumpulan F dan telah menewaskan Nigeria 1-0 di peringkat kalah mati.

Hany Mukhtar - tidak seperti rakan sepasukannya yang lain beraksi dalam Liga Jerman,
Hany Mukhtar beraksi dalam Liga Portugal bersama Benfica

Uzbekistan - tampil setelah layak ke separuh akhir kejuaraan AFC 2014 bawah 19 tahun. Menjadi naib juara Kumpulan F di belakang Jerman dan mengejutkan Austria 2-0 di peringkat kalah mati.

Zabikhillo Urinboev (No 19) - penyerang muda Uzbekistan ini
pernah diintai oleh kelab AS Roma dan Napoli dari Itali

Impian untuk melihat perlawanan akhir di antara Brazil dan Portugal mungkin tidak kesampaian kerana mereka akan bertemu di peringkat suku akhir lagi. Kemungkinan perlawanan akhir adalah di antara Jerman dengan Portugal atau Jerman menentang Brazil. Namun pasukan Serbia dilihat boleh menjadi status pengacau dalam kejohanan ini dan mampu melakukan kejutan.

2 orang pemain Jerman iaitu Hany Mukhtar dan Marc Stendera bersama-sama dengan penyerang Portugal, Andre Silva berpeluang untuk merebut kasut emas selaku penjaring terbanyak kejohanan. Apa yang pasti... pemain yang menyerlah akan membuka pintu peluang untuk mereka beraksi dengan kelab-kelab terkemuka pada masa-masa akan datang.








Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...