Showing posts with label Belasungkawa. Show all posts
Showing posts with label Belasungkawa. Show all posts

Monday, September 25, 2017

Belasungkawa : Al-Fatihah Untuk Allahyarham Abdul Razak bin Hj Md Dahan



Hari ini hari Isnin... 25 September 2017, bermakna genap seminggu arwah abah pergi menemui Yang Maha Pencipta pada hari Isnin 18 September 2017, lebih kurang jam 4.30 petang. Arwah abah meninggal dalam keadaan tidur di keretanya yang diletakkan di Petronas Taman Len Sen Cheras.

Pagi tu arwah abah keluar solat Subuh seperti biasa dan tak pulang ke rumah. Arwah abah dah lama tak pakai handphone untuk dihubungi... masa keluar pagi tu pun tak bawa IC dan dompet sebab nak pergi surau jer...

Arwah abah dan mak semasa menunaikan umrah pada April 2015

Baca : Pengalaman Umrah dengan mak abah

Masa tu pun agak kelam kabut sebab sorang adik admitted kat Hospital Sungai Buloh dan sorang lagi adik baru je dihantar ke bahagian kecemasan di Hospital Serdang dan terus masuk wad. Waktu tengahari mak cakap abah tak balik rumah lagi... pusing pusing kat masjid dan surau-surau tempat abah biasa pergi, tapi tak nampak pun arwah abah ataupun keretanya.

Lepas Asar mak call bagitau ada orang datang rumah cakap arwah abah tak sedar diri dalam kereta. Mula-mula mak tak percaya, tapi bila ditunjukkan gambar kereta arwah abah... ye betul lah tu. Bila sampai rumah mak, tak sempat pun jumpa utusan berita tu kerana beliau ada urusan lain. 

Dari rumah mak terus ke Petronas Len Sen Cheras... jalan agak sesak sebab seberang Petronas ada pasar lambak Len Sen. Agak terkejut sebab nampak trak polis, dan lilitan kuning di sekeliling kawasan kereta arwah abah. Terus ke kereta arwah abah nampak arwah abah dah dibaringkan dengan mukanya ditutup... secara spontan terus kejut abah sebab disangkakan abah masih tidur.

Petronas Taman Len Sen, Cheras

Pihak polis maklumkan arwah abah dah takde kira-kira sejam yang lalu... dan hadir cuma untuk cam jenazah sahaja... Alfatihah.... untuk Allahyarham Abdul Razak bin Hj Md Dahan. Rupa-rupanya adik sorang lagi dah dimaklumkan tentang pemergian arwah abah melalui panggilan telefon... adik pun ingatkan panggilan tu main-main. Pihak polis dapat nombor telefon adik daripada no ic adik yang ada dalam kereta arwah abah.

Seorang anggota polis berbangsa Sikh dan berpangkat Sarjan bagitau bahawa jenazah arwah abah akan dibawa ke HUKM Cheras dan minta supaya dokumen pengenalan diri dan rekod kesihatan abah dibawa ke HUKM Cheras. Jenazah arwah abah dibawa ke HUKM Cheras dengan trak polis. Dalam perjalanan balik ke rumah, adik yang dapat panggilan polis pun tiba... dan juga poksu (adik abah) yang baru pulang dari kerja.

Lepas dapatkan dokumen arwah abah di rumah, terus ke HUKM Cheras. Imam yang akan uruskan jenazah arwah abah, akan hadir selepas Isyak. Poksu dan adik dah pergi balai untuk buat report dan juga permit kubur.

Kaunter Bilik Jenazah HUKM Cheras
Sumber : Forensic Pathology

Imam dan pembantunya pun sampai... begitu juga ada beberapa orang rakan yang hadir ziarah di bilik mayat HUKM Cheras. Imam ajak mandikan jenazah arwah abah sama-sama... satu pengalaman yang cukup menginsafkan. Imam juga request untuk dibawakan jubah dan kain serban yang baru untuk dipakaikan dan dikafankan bersama dengan arwah abah sebab arwah abah meninggal dalam keadaan pakaian begitu... Mujur adik ipar ada di rumah, dan datang ke bilik mayat membawa jubah dan serban arwah abah.

Selepas dapat permit kubur, barulah jenazah arwah abah dilepaskan dari HUKM Cheras dan dibawa ke rumah. Adik-adik yang masuk wad pun dah dapat pelepasan untuk pulang oleh pihak hospital. Adik yang kerja di Penggerang, Kota Tinggi awal pagi besoknya akan sampai. Jiran-jiran dan saudara mara juga dah sampai di rumah untuk sama-sama sedekahkan Yaasin untuk arwah abah.

Pagi besoknya pukul 10 pagi, jenazah arwah abah dibawa ke Masjid Bandar Tun Hussein Onn Cheras untuk solat jenazah dengan bantuan Biro Khairat Kematian Bandar Tun Hussein Onn. Ramai kenalan dan jemaah yang hadir di sini memberikan penghormatan terakhir.

Solat Jenazah di Masjid Bandar Tun Hussein Onn Cheras

Selesai solat jenazah, arwah abah dibawa ke tanah perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn atau dikenali sebagai Suakekal Bandar Tun Hussein Onn untuk disemadikan. Alhamdulillah... syukur pada Allah swt kerana dipermudahkan semua urusan.

Pusara arwah abah

Setiap hari... setiap masa dan setiap keadaan, ada sahaja orang di sekeliling kita yang pergi buat selama-lamanya meninggalkan dunia yang sementara ini. Semoga kita semua mengakhiri hayat kita dengan Husnul Khatimah ataupun "pengakhiran yang baik"

Sedekahkan Al-Fatihah untuk Allahyarham Abdul Razak bin Hj Md Dahan





Friday, March 31, 2017

Belasungkawa : Nik Mohamed Adzhar bin Nik Mohamed Resli



Terkejut.... masih lagi terkejut... Itulah yang boleh digambarkan apabila mendapat berita dan perkhabaran dari Kelantan pada pagi hari Rabu 29 Mac 2017 apabila perginya seorang sahabat yang dikenali sejak zaman sekolah menengah lagi.

Allahyarham Nik Mohamed Adzhar bin Nik Mohamed Resli atau lebih dikenali sebagai Nik Adzhar atau Pok Nik ialah seorang guru atau ustaz di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas, Kelantan. Arwah merupakan senior setahun di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang dan merupakan rakan sebilik di kampus utama Universiti Islam Antarabangsa di Gombak selama 4 tahun.

Allahyarham Nik Adzhar, dua dari kanan... Al-Fatihah

Sejak graduasi dari universiti memang tak pernah jumpa arwah secara berhadapan... cuma bertanya khabar dan menjenguk keadaan di laman muka buku sahaja. Rata-rata sahabat handai, rakan taulan dan tidak kurang juga anak murid arwah sangat terkejut dengan berita kematian arwah.

Nota yang pernah ditulis oleh arwah

Arwah ditemui lemas di Tasik Putra, Kg Kubang Panjang, Pasir Mas, Kelantan. Arwah dikatakan telah keluar rumah pada malam hari Isnin 27 Mac 2017 dan diberitakan tidak pulang ke rumah sehinggalah isteri arwah membuat laporan polis atas kehilangan arwah.

Berita kematian arwah ada dilaporkan di Sinar TV. Klik SINI.


Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham Ustaz Nik Mohamed Adzhar bin Nik Mohamed Resli... dan semoga arwah tenang dan damai berehat di alam sana... Aminn...


Friday, October 28, 2016

Belasungkawa : Sedekahkan Al-Fatihah Untuk Allahyarham Mohd Badli Haryadi



Hari ni hari Jumaat... bermakna genap seminggu pemergian arwah Mohd Badli Haryadi meninggalkan dunia yang sementara ini bertemu dengan Yang Maha Pencipta. Allahyarham atau lebih mesra dengan panggilan Abang Bad bertarung dengan penyakit kanser hati sebelum menghembuskan nafas terakhir pada tengahari hari Jumaat.

Gambar kenangan bersama arwah ketika menziarahinya beberapa minggu setelah Aidilfitri 2016

Abang Bad ialah senior di universiti masa kat uia. Arwah ambik course law masa kat uia. Arwah juga ialah bekas presiden pertama Kelab Karisma UIAM pada tahun 2000 atau dikenali sebagai Kursus Kepimpinan Rakan Muda.

Kelab Karisma UIAM ni ialah pasukan fasilitator yang membuat program-program kesedaran di sekolah-sekolah dengan fokus utama kepada pelajar-pelajar yang bermasalah. Kalau nak buat program ni kami akan berhubungan dengan guru kaunseling sekolah melalui pengetua sekolah masing-masing.

Gambar kenangan bersama arwah di pondok Tok Kenali, Tumpat, Kelantan.
YB Dato' Asyraf Wajdi Dusuki juga ada bersama

Gambar kenangan bersama arwah dalam satu program di Genting Highland

Kini kelab Karisma UIAM dah kena rebranding dan dinamakan sebagai Inspire Club IIUM ataupun Kelab Inspire UIAM. Proses rebranding ni telah dibuat pada tahun 2010. Sungguh tak disangka legasi arwah dan rakan-rakan seperjuangan telah diteruskan sehingga kini dan memberikan manfaat kepada ramai orang di luar sana.


Semoga kita semua di dunia yang sementara ini hidup dengan memberi manfaat kepada orang lain serta sentiasa di bawah Rahmat dan Redha Allah swt... Aminnn... Didoakan juga agar kita semua diberikan sebaik-baik penutup di akhir hayat kita atau dalam keadaan Husnul Khatimah... Aminn...

Sedekahkan Al-Fatihah untuk Allahyarham Mohd Badli Haryadi....



Sunday, September 27, 2015

Belasungkawa : Kenalan Maut Dalam Kemalangan Jalan Raya Di Kedah



Seringkali kita dikejutkan dengan kematian ahli keluarga kita, saudara mara dan juga sahabat handai. Bagi mereka yang meninggalkan kita disebabkan faktor umur dan juga penyakit yang berpanjangan, mungkin orang di sekeliling mereka sudah bersedia dengan berita pemergian mereka.

Namun begitu, pada kebiasaannya pemergian mereka yang terlibat dalam kemalangan jalan raya adalah sesuatu yang tidak disangka-sangka akan berlaku. Ini yang telah berlaku kepada salah seorang junior di UIA dulu iaitu Allahyarhamah Noor Haslinda bt Hashim yang telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Ayer Hitam, Kedah Darul Aman.



Kemalangan berlaku lebih kurang pukul 5.00 pm pada hari Jumaat, 25 September baru-baru ini setelah Toyota Unser yang dinaiki mereka sekeluarga telah dirempuh dengan sebuah bas dari belakang. Turut terlibat dalam kemalangan tersebut ialah sebuat kereta Proton Waja dan sebuah motorbike.





Setelah bertarung nyawa.... akhirnya arwah menghembuskan nafas-nafas terakhir di Hospital Alor Setar lebih kurang jam 8.00 pm. Arwah pergi meninggalkan suami dan 2 orang anak lelaki berumur 5 dan 2 tahun. Mereka yang lain telah selamat dalam kemalangan jalan raya tersebut.




Semasa di universiti dulu banyak terlibat dalam program-program bersama dengan arwah. Kali terakhir bertemu arwah pula lebih kurang 8 tahun yang lepas di Kolej Jururawat Masterskill di Hulu Langat. Masa tu isteri baru je kerja di Masterskill sebagai lecturer..... terserempak dengan arwah yang rupa-rupanya mengajar juga di kolej tersebut, tetapi dalam proses nak berhenti kerja sebab dapat tawaran bekerja sebagai PTD.

Arwah berasal dari Pasir Gudang, Johor dan bekerja sebagai Penjawat Awam (PTD) di Putrajaya. Arwah menyambut Aidiladha di kampung suaminya di Alor Setar Kedah. Jenazah arwah telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam USJ 22 selepas zohor pada 26 September 2015.

Alfatihah.....





Tuesday, July 7, 2015

Al-Fatihah : Kemalangan Jalan Raya Melibatkan Rozaimi Abdul Rahman



Belasungkawa....

Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Awangku Mohd Farris Mahamud (21 tahun), bekas pemain skuad Piala Presiden Sabah yang telah meninggal dunia baru-baru ini, yang tidak sedarkan diri setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya bersama-sama dengan penyerang muda kebangsaan, Rozaimi Abdul Rahman (23 tahun).

Allahyarham Awangku Mohd Farris Mahamud

Allahyarham telah bertarung nyawa selama lebih kurang 7 jam sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir lebih kurang pukul 8.30 malam, 6 Julai 2015. Allahyarham dikatakan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

Kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Tuaran Lama, Kota Kinabalu, Sabah pada waktu tengahari, 6 Julai 2015 itu telah menjadi viral kerana ia melibatkan penyerang muda kebangsaan yang juga beraksi bersama Sabah, Rozaimi Abdul Rahman. Allahyarham dan Rozaimi Abdul Rahman juga mempunyai ikatan persaudaraan.

Rozaimi Abdul Rahman

Keadaan Rozaimi Abdul Rahman dilaporkan parah tetapi masih stabil dan telah dipindahkan ke KPJ Sabah dari Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Dalam kemalangan tengahari semalam, kereta yang dipandu Allahyarham dikatakan gagal untuk dikawal sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan raya, melanggar pokok dan tiang, berpusing beberapa kali sebelum merempuh tembok sebuah rumah di tepi jalan raya.




Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh dan diharapkan agar Rozaimi Abdul Rahman cepat sembuh daripada kecederaan yang dialaminya.

Al-fatihah.....








Friday, July 18, 2014

Pray for MH17


Belum pun 4 bulan lagi misteri tragedi MH370 terjadi, dunia dikejutkan pula dengan tragedi MH17 yang didakwa ditembak jatuh di Torez, Ukraine iaitu kawasan bergolak di Ukraine sebentar tadi.


Pergolakan di Ukraine berlaku apabila kerajaan Rusia enggan mengiktiraf kerajaan Ukraine yang baru dan seterusnya mengambil alih semenanjung Crimea di Ukraine dengan bantuan tentera dan penduduk tempatan yang pro-Rusia.

Dijangka tiba di KLIA jam 6.10 pagi hari ini, MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal. Majoriti penumpang adalah warganegara Belanda dan dikatakan terdapat 20 orang rakyat Malaysia dalam pesawat tersebut. MH17 terputus hubungan dengan menara kawalan ketika berada di ruang udara Ukraine.



Pihak-pihak yang bertelagah di Ukraine menawarkan gencatan senjata selama 3 hari untuk memudahkan siasatan nahas pesawat atas dasar kemanusiaan. Walau apa pun, salam takziah kepada keluarga mangsa dan semoga tabah menghadapi dugaan yang tak disangka-sangka ini.


Thursday, July 17, 2014

Belasungkawa...


17.7.2014 - Lebih kurang 2 minggu lagi kita semua akan menyambut lebaran di kampung halaman masing-masing. Ooo ye... tahun ini giliran kami sekeluarga menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung isteri di Sabah, lebih tepat lagi di Taman Layar Impian, Tuaran Sabah.


Pada Hari Raya tahun lepas, kami sekeluarga menyambutnya di Taman Indah Jaya, Hulu Langat, Selangor buat julung kalinya. Maklumlah keluarga baru sahaja pindah ke Lembah Kelang setelah berpuluh-puluh tahun tinggal di Muar, Johor. Benarlah hijrah itu memerlukan pengorbanan, hijrah itu menuju kejayaan dan kemajuan!


Sepanjang menyambut Aidilfitri di Muar sejak berpuluh-puluh tahun, agak sukar ataupun entah kenapa selalu terlupa untuk mengambil gambar kenangan keluarga di pagi Aidilfitri. Tapi Alhamdulillah pada hari raya tahun lepas, kami semua berkesempatan untuk mengambil gambar kenangan di pagi Hari Raya dan sememangnya itulah gambar terakhir Allahyarham Muhammad Redza bin Abdul Razak bersama keluarga yang genap 4 bulan meninggalkan kami sekeluarga pada hari ini.

*Allahyarham Muhammad Redza yang berbaju hijau*

Arwah meninggalkan kami pada usia yang masih muda iaitu 25 tahun. Walau apa pun sebab kematian arwah, walau siapa pun punca pemergian arwah, semuanya telah diaturkan oleh Allah swt yang Maha Mengetahui. Kami sekeluarga telah diajar untuk sabar dan redha atas pemergian arwah yang tak disangka-sangka. Pastinya Aidilfitri kali ini akan sepi tanpa gelak tawa dan gurau senda arwah.



Semoga Allah swt melimpahkan maghfirah keampunan dan rahmah kasih sayang kepada Allahyarham Muhammad Redza bin Abdul Razak. Al-fatihah...

Allahyarham Muhammad Redza bin Abdul Razak
9.8.1989 - 17.3.2014




Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...