Showing posts with label Korea Utara. Show all posts
Showing posts with label Korea Utara. Show all posts

Tuesday, March 28, 2017

Kelayakan Piala Asia 2019 Pusingan Akhir - Korea Utara, Lubnan dan Hong Kong Adalah Lawan Malaysia



Kalau tidak.... hari ni lah detiknya perlawanan Malaysia menentang Korea Utara di bumi Korea Utara. Perlawanan apa ye? Perlawanan bolasepak pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2019. Kerajaan Malaysia enggan menghantar pasukan bolasepak Malaysia ke Korea Utara atas faktor keselamatan.

Apakan daya semuanya gara-gara kematian Kim Jong Nam iaitu abang tiri presiden Korea Utara di KLIA pada 13 Februari 2017 yang lalu. Detik-detik kematian Kim Jong Nam juga dapat dirakamkan melalui CCTV di KLIA. Namun, hubungan di antara Malaysia dan Korea Utara menjadi keruh kerana kematian Kim Jong Nam menjadi perhatian dunia serta pihak Korea Utara tidak mempercayai pihak Malaysia dalam mengendalikan siasatan kes kematian Kim Jong Nam ini.

Kim Jong Nam tiada kaitan dengan bolasepak Korea Utara

Berbalik pada perlawanan bolasepak antara Malaysia dan Korea Utara ni... perlawanan hari ini yang dijadualkan di Korea Utara telah dibatalkan dan ditunda ke 8 Jun 2017 di gelanggang berkecuali, Pihak FIFA juga menetapkan bahawa perlawanan pada 14 November 2017 yang sepatutnya diadakan di Malaysia juga ditukar ke gelanggang berkecuali demi memelihara nilai kesukanan.

Malaysia telah diundi bersama-sama dengan Korea Utara, Lubnan dan juga Hong Kong untuk kelayakan Piala Asia 2019 ini. 2 pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan layak ke Piala Asia 2019 nanti yang akan diadakan di UAE pada bulan Januari 2019.

Boleh dikatakan Malaysia agak tidak bernasib baik kerana diundi bersama dengan pasukan kuat seperti Korea Utara dan Lubnan. Korea Utara dan Lubnan masing-masing mendapat tempat ke-2 dalam pusingan kelayakan kedua Piala Asia 2019.

Baca : Malaysia di tempat ke-4 daripada 5 pasukan dalam Kelayakan Piala Asia 2019

Hong Kong menduduki tempat ke-3 dalam kumpulan manakala Malaysia yang mendapat tempat ke-4 dalam kumpulan tempoh hari telah menewaskan Timor Leste dengan jaringan 3-0 pada perlawanan play-off pertama.

Baca : Malaysia layak ke pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019


Siapa Korea Utara?

Pada pusingan kelayakan pertama, Korea Utara mendapat tempat ke-2 di belakang Uzbekistan setelah tewas kepada Uzbekistan 1 kali, dan 2 kali dikejutkan Filipina apabila seri 0-0 di gelanggang sendiri dan tewas 2-3 di Filipina.

Pak Kwang Ryong sewaktu bersama FC Basel di Switzerland

Tidak banyak yang diketahui berkenaan pemain Korea Utara ini. Namun, pemain yang perlu diberikan perhatian dan kawalan ketat ialah bekas pemain remaja FC Basel Pak Kwang Ryong yang kini bermain dengan kelab Lausanne di Switzerland.


Siapa Lubnan?

Lubnan mendapat tempat ke-2 di belakang Korea Selatan dalam pusingan pertama kelayakan Piala Asia 2019. Lubnan juga dikira agak bernasib baik kerana satu lagi pasukan pilihan iaitu Kuwait telah digantung oleh FIFA dan seterusnya diisytiharkan tewas untuk 3 perlawanan terakhir mereka.

Ada beberapa pemain Lubnan yang tidak asing dengan bolasepak Malaysia seperti Mohammad Ghadar (Kelantan), Mootaz Junaidi (Felda United), bekas pemain Terengganu Hassan Chaito dan bekas pemain Sarawak Hassan Mohamad.

Youssef Mohamad dan Roda Antar bersama kelab terakhir mereka di Eropah FC Koln di Jerman

Lubnan dipimpin oleh ketua pasukan berpengalaman mereka Roda Antar yang pernah bermain dengan beberapa kelab Jerman seperti Hamburg, Freiburg dan FC Koln. Beberapa orang pemain lain juga ada berpengkalan di Eropah seperti Hilal El-Helwe (Wolfsburg II), Bassel Zakaria Jradi (Stromsgodset) dan Feiz Shamsin (FC Voluntari)


Siapa Hong Kong?

Hong Kong mendapat tempat ke-3 pada pusingan kelayakan pertama Piala Asia 2019 di belakang Qatar dan China. Walaupun berjaya mengejutkan gergasi Asia China dengan dua keputusan seri tanpa jaringan namun Hong Kong tidak mampu menandingi kepantasan pemain-pemain Qatar.

Hong Kong tidaklah sekuat mana namun Malaysia kelihatan agak sukar dan liat untuk menewaskan Hong Kong. Hong Kong juga banyak mengharapkan pemain-pemain naturalisasi mereka seperti Jack Sealy yang kini bermain dengan kelab China Changchun Yatai dan Jaimes McKee (Eastern). Hong Kong diterajui oleh ketua pasukan iaitu penjaga gol Yapp Hung Fai yang terkenal kerana kemampuan menyelamatkan beberapa sepakan penalti.

Yapp Hung Fai (kiri) telah beberapa kali menyelamatkan sepakan penalti penting

Kemampuan Hong Kong untuk mengejutkan pasukan yang tinggi ranking dan juga tidak mensia-siakan perlawanan persahabatan antarabangsa menyebabkan ranking Hong Kong meningkat dan memintas Vietnam sehinggakan kelab bolasepak mereka Eastern layak secara otomatik ke peringkat kumpulan Liga Juara Asia.


Semoga dengan perlantikan Mario Gomez sebagai jurulatih baru skuad kebangsaan Malaysia dan juga muka baru pentadbiran FAM akan memberikan sinar harapan baru kepada skuad negara.

Ayuh... Ayuh Malaysiaku!





Thursday, January 21, 2016

Piala Asia Bawah 23 Tahun 2016 : Kelayakan Bolasepak Sukan Olimpik 2016 Bermula Di Sini



Sejak 12 haribulan sampailah 30 Januari 2016 sedang berlangsungnya kejohanan bolasepak bawah 23 tahun yang diadakan di Qatar. Kejohanan tahun 2016 ini adalah edisi ke-2 kejohanan dimana dalam edisi pertama 3 tahun lepas yang diadakan di Oman, Iraq muncul juara setelah menewaskan Arab Saudi 1-0 pada perlawanan akhir.

Iraq - juara Piala Asia bawah 22 tahun yang pertama pada tahun 2013

Piala Asia Bawah 23 Tahun ini juga bertindak sebagai kelayakan bolasepak sukan Olimpik. Tiga pasukan terbaik dalam kejohanan kali ini akan layak ke sukan Olimpik 2016 yang diadakan di Rio de Janeiro, Brazil sebagai wakil dari Asia. Pada sukan Olimpik 2012, Korea Selatan, Jepun dan UAE adalah wakil dari Asia.

Seperti biasa pasukan Malaysia tiada di sini sebab telah tersingkir pada pusingan kelayakan tempoh hari pada bulan Mac 2015 di Kuala Lumpur 0-1 dengan Jepun dan 1-2 dengan Vietnam. Seandainya, pada masa tu Malaysia mampu menewasan Vietnam, sudah pasti Malaysia ada di Qatar sekarang, sekumpulan dengan Jordan, UAE dan Australia.

Malaysia tewas 1-2 kepada Vietnam di Shah Alam

Tamat sudah perlawanan peringkat kumpulan dan 8 pasukan telah layak ke suku akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun 2016 ini. Jepun adalah pasukan pertama yang mengesahkan kelayakan ke peringkat suku akhir :-

Jepun

Jepun layak lebih awal setelah menewaskan Korea Utara 1-0 dan membelasah Thailand 4-0. Jentera serangan Jepun yang diketuai Yuya Kubo iaitu penyerang kelab BSC Young Boys (Switzerland) sangat berbahaya. Selain itu, Musashi Suzuki (Albirex Niigata) dan juga Takumi Minamino (FC Red Bull Salzburg) membantu di bahagian serangan.

Takumi Minamino beraksi dalam liga Austria

Jepun dijadualkan bertemu dengan Iran dalam suku akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun 2016 ini merangkap kepada kelayakan Sukan Olimpik Rio 2016 pada 22 Januari 2016.


Korea Selatan

Kekuatan Korea Selatan ialah kemampuan pemain tengah dan sayap mereka untuk menjaringkan gol. Itu yang telah dibuktikan oleh Moon Chang Jin (Pohang Steelers) dan Kwon Chang Hoon (Suwon Samsung Bluewings).

Moon Chang Jin memintas pemain Uzbekistan

Selain itu pengalaman pemain yang berkelana di Eropah seperti pemain sayap Ryu Seung Woo (Bayer Leverkusen) dan juga penyerang Hwang Hee Chan (FC Red Bull Salzburg) juga akan membantu kepada kejayaan Korea Selatan.

Korea Selatan akan menentang Jordan di peringkat suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 23 Januari 2016.


Iraq

Kekuatan juara bertahan ini juga bergantung kepada pemain tengah mereka seperti Mahdi Kamil dan Humam Tariq. Hampir kesemua pemain Iraq beraksi dalam liga tempatan mereka dan juga di Arab Saudi.

Mahdi Kamil melepaskan diri dari kawalan pemain Korea Selatan

Walaupun tanpa kelibat pemain yang menimba pengalaman di Eropah, Iraq sering kali membuat kejutan dalam mana-mana kejohanan di peringkat Asia

Iraq menanti cabaran UAE dalam suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 23 Januari 2016.


Qatar

Qatar cemerlang dalam peringkat kumpulan apabila menang semua perlawanan termasuklah menyingkirkan cabaran terkuat mereka Iran dengan jaringan 2-1 tempoh hari. 50% skuad Qatar kali ini mempunyai pemain-pemain yang menimba pengalaman di Eropah seperti Belgium, Sepanyol dan Austria termasuklah kapten pasukan Ahmed Moein Doozandeh.

Ahmed Moein Doozandeh disekat pemain China

Pemain-pemain yang beraksi dalam liga tempatan tidak kurang hebatnya seperti penyerang Ahmed Alaaeldin Abdelmotaal (Al-Rayyan) dan pertahanan Abdelkarim Hassan Fadlalla (Al-Sadd). Sudah pasti sebagai tuan rumah, Qatar ingin menjulang trofi ini di gelanggang sendiri

Qatar menanti cabaran getir Korea Utara di suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 22 Januari 2016.


Iran

Tanpa kelibat bintang sensasi mereka Sardar Azmoun yang tidak dapat pelepasan daripada kelabnya FC Rostov di Rusia, Iran meletakkan sandaran kepada penyerang Amir Motahhari. Pemain sayap yang beraksi di kelab Belanda AZ Alkmaar, Alireza Jahanbakhsh Jorandeh juga tidak mendapat pelepasan untuk beraksi dalam kejohanan kali ini. Nasib serupa juga menimpa bekas pemain remaja Ateltico Madrid, Saeid Ezatolahi Afagh yang tidak dilepaskan oleh FC Rostov.


Namun, tanpa bintang-bintang yang disebutkan Iran masih kompetitif dan sentiasa mencabar kepada kejuaraan dalam mana-mana pertandingan bolasepak.

Iran dijadualkan menentang Jepun di suku akhir pada 22 Januari 2016.


Korea Utara

Saingan sengit dalam kumpulan B menyaksikan akhirnya Korea Utara layak ke suku akhir berdasarkan "tiebreakers". Korea Utara, Arab Saudi dan Thailand terikat dengan 2 mata. Perbezaan jaringan Korea Utara dan Arab Saudi lebih baik dari Thailand. Jumlah jaringan dan bolos yang sama antara Korea Utara dan Arab Saudi menyebabkan satu lagi syarat jadi penentu iaitu siapa paling kurang kad kuning menyaksikan Korea Utara layak ke suku akhir.

Jang Kuk Chol (kanan) mengasak pemain Jepun

Tidak banyak yang diketahui berkenaan dengan kekuatan Korea Utara ini. Pemain-pemain yang dikenalpasti bakal mencuri tumpuan ialah pertahanan kental, Jang Kuk Chol dan juga pemain tengah Yun Il Gwang.

Korea Utara berhadapan dengan cabaran getir di suku akhir apabila dijadualkan bertemu dengan pasukan tuan rumah Qatar pada 22 Januari 2016


UAE

Tidak seperti pasukan senior mereka, skuad UAE bawah 23 tahun tidak ramai yang menonjol. Antara pemain yang dijangka menyinar ialah pemain tengah Ahmed Barman Ali (Al Ain) dan juga kapten pasukan Abdulla Ali.

Ahmed Barman Ali (tengah) diasak pemain Jordan

UAE akan bertemu juara bertahan Iraq di suku akhir yang dijadualkan pada 23 Januari 2016

Jordan

Seperti UAE, skuad Jordan juga tidak ramai yang menonjol. Diketuai kapten pasukan Raja'i Ayed Fadel Hassan (Al-Wehdat) yang pernah beraksi dengan skuad senior Jordan.

Kapten pasukan Jordan cuba mengekang bintang Australia Mustafa Amini

Skuad Jordan juga tiada penyerang tulen dalam kejohanan kali ini, sebaliknya mereka menurunkan pemain sayap atau tengah yang mempu menjadi penyerang. Penyerang terbanyak Jordan setakat ini ialah pemain keturunan Palestin, Baha' Faisal Abu Seif (Al-Wahdat)


Mana-mana pasukan yang layak ke sukan Olimpik Rio 2016 yang dijadualkan pada bulan Ogos 2016 nanti seharusnya mempamerkan mutu persembahan yang tinggi untuk membuktikan bahawa pasukan dari Asia bukan lagi pasukan belasahan. 

Pencapaian Korea Selatan dan Jepun di sukan Olimpik 2012 United Kingdom sangat membanggakan. Korea Selatan tewas kepada Brazil 0-3 manakala Jepun tewas 1-3 kepada Mexico di peringkat separuh akhir. Dalam penentuan tempat ke-3 dan ke-4 pula, Korea Selatan mengejutkan Jepun apabila Korea Selatan menang 2-0 untuk menggondol pingat gangsa.



Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...