Showing posts with label Istiklol. Show all posts
Showing posts with label Istiklol. Show all posts

Tuesday, October 27, 2015

Perlawanan Akhir Piala AFC 2015 : JDT Ialah Wakil Asia Timur Pertama Ke Peringkat Akhir



Penggantungan Persatuan Bolasepak Kuwait (KFA) oleh FIFA berkuatkuasa pada 16.10.2015 yang lalu kerana gagal untuk membuat pindaan undang-undang sukan telah memberikan impak yang sangat besar pada Piala AFC 2015 kali ini.

FAM versi Kuwait

Ini disebabkan oleh 2 pasukan pilihan dalam Piala AFC 2015 kali ini ialah dari Kuwait iaitu Al-Qadsia selaku juara bertahan manakala Al-Kuwait (Kuwait SC) selaku pasukan paling berjaya dengan 3 kejuaraan dalam sejarah kempen Piala AFC.



Dalam perlawanan separuh akhir pertama Al-Qadsia sedang mendahului JDT (Malaysia) dengan 3-1 manakala Kuwait SC sedang mendahului Istiklol (Tajikistan) dengan 4-0. Ini bermakna, kedua-dua pasukan JDT dan Istiklol yang kali pertama beraksi dalam kempen Piala AFC akan beraksi di perlawanan akhir Piala AFC buat julung kalinya.

Pasukan JDT juga bukan sahaja menempa sejarah sebagai pasukan pertama dari Malaysia menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Piala AFC, malahan merupakan pasukan pertama dari Asia Timur mara ke perlawanan akhir Piala AFC.



Pasukan JDT dibarisi oleh majoriti pemain kebangsaan yang diketuai oleh Shafiq Rahim yang mengemudi jentera tengah bersama-sama dengan bintang Singapura, Hariss Harun. Jentera serangan pula diterajui oleh bintang berpengalaman dari Argentina, Luciano Figueroa manakala benteng pertahanan ampuh dengan kehadiran Marcos Antonio (Brazil)



Pasukan Istiklol pula diperkuatkan dengan penjaring terbanyak mereka iaitu Kurshed Makhmudov serta bekas penyerang Lokomotiv Moscow, Manuchekhr Dhalilov. Benteng pertahanan Istiklol diketuai oleh Petro Kovalchuk (Ukraine) dan gawang gol pula dikawal oleh bekas pemain remaja Serbia, Nikola Stosic.



JDT juga perlu berhati-hati dengan kemampuan pasukan dari Dushanbe ini walaupun ini kali pertama mereka menyertai kempen Piala AFC. Di peringkat kumpulan Istiklol menjadi juara kumpulan mengatasi Al-Qadsia. Al-Qadsia juga tidak pernah menewaskan Istiklol di peringkat kumpulan.

Kemudian, di peringkat kalah mati, Istiklol menewaskan juara Syria, Al-Wahda menerusi penentuan sepakan penalti. Pada peringkat suku akhir pula, Istiklol membelasah Pahang 4-0 di Dushanbe. Walaupun Pahang menewaskan Istiklol 3-1 di Kuantan, tapi ini tidak dapat menghalang kemaraan Istiklol ke separuh akhir.

Pintu masuk stadium Pamir di Dushanbe, Tajikistan yang menjadi venue perlawanan akhir Piala AFC 2015

Berdasarkan undian, perlawanan akhir Piala AFC 2015 akan diadakan di Stadium Pamir, Dushanbe pada 31.10.2015. Di atas kertas Istiklol adalah calon juara berdasarkan kepada prestasi dan juga kekuatan sokongan daripada penyokong tempatan nanti. Namun, di bawah kendalian Mario Gomez, JDT sentiasa ada helah tersembunyi untuk menghadapi lawan mereka. Samada sejarah seterusnya tercipta bergantung kepada persembahan JDT di atas padang.

Luasakan kuasamu!!!



Friday, June 19, 2015

Piala AFC 2015 - JDT Dan Pahang Bakal Bertemu Di Perlawanan Akhir?



Pada 27.5.2015 telah lengkap diketahui 7 pasukan terakhir yang akan berentap pada saingan suku akhir Piala AFC 2015. Hanya pada 10.6.2015, Pahang telah diberikan kemenangan percuma 3-0 ke atas Persipura Jayapura (Indonesia) kerana perlawanan dibatalkan akibat beberapa orang pemain import Pahang tidak diberikan visa untuk memasuki Indonesia.

Preview dan pengenalan Piala AFC telahpun diceritakan dalam entri terdahulu. Selaku juara bertahan, Al-Qadsia (Kuwait) akan mengetuai cabaran mewakili Zon Barat diikuti oleh pasukan senegara Al-Kuwait, Al-Jaish (Syria) dan juga Istiklol (Tajikistan). Zon Timur pula diketuai oleh 2 kelab dari Hong Kong iaitu Kitchee dan South China serta Johor Darul Takzim (JDT) dan Pahang dari Malaysia.


Zon Barat Asia

Al-Qadsia (Kuwait)

Juara bertahan ini tampil sebagai Juara Liga Kuwait 2013-2014 dan diperkuatkan dengan bekas pemain FC Basel dan Portsmouth iaitu Danijel Subotic. Al-Qadsia juga mendapatkan khidmat penyerang Uzbekistan Ivan Nagaev, pemain tengah Nigeria Shehu Abdullahi dan pertahanan Ghana Rashid Sumaila.

Danijel Subotic (Switzerland)

Al-Qadsia mengejutkan juara berganda Jordan, Al-Wehdat 1-0 di tempat lawan untuk mara ke suku akhir

Al-Kuwait (Kuwait)

Juga dikenali sebagai Kuwait SC layak sebagai juara Emir Cup 2013-2014. Al-Kuwait hanya menggunakan khidmat 2 orang pemain import iaitu Chadi Hammami (Tunisia) dan Rogerio (Brazil).

Chadi Hammami (jersi putih)

Al-Kuwait telah mengejutkan juara Liga Iraq 2013-2014 Al-Shorta dengan jaringan 2-0 di gelanggang berkecuali untuk mara ke suku akhir

Al-Jaish (Syria)

Sebagai juara Piala Syria, Al-Jaish melepasi pusingan kelayakan dan mengungguli peringkat kumpulan. Al-Jaish beraksi cemerlang walaupun tanpa kelibat pemain import.

Bassel Moustafa (jersi merah)

Al-Jaish tiada masalah untuk menumpaskan Al-Jazeera (Jordan) 1-0 di gelanggang berkecuali dan mara ke suku akhir

Istiklol (Tajikistan)

Sebagai juara berganda Tajikistan, Istiklol membuat penampilan pertama dalam Piala AFC ini. Diperkuatkan dengan bekas pertahanan Valencia, Jose Ballester (Sepanyol) dan juga Petro Kovalchuk (Ukraine). Bahagian serangan Istiklol pula dikemudi oleh Manolo Bleda (Sepanyol) dan bekas penyerang Lokomotiv Moscow, Manuchekhr Dzhalilov. Manakala benteng gol dikemudi oleh pemain muda Serbia, Nikola Stosic.

Nikola Stosic (ungu) - penjaga gol remaja Serbia

Istiklol menewaskan juara Liga Syria, Al-Wahda menerusi sepakan penalti 4-2, setelah terikat 1-1 sehingga masa tambahan untuk mara ke suku akhir


Zon Timur Asia

Kitchee (Hong Kong)

Mendapat jolokan "Hong Kong Barca" kerana kebanjiran pemain import dari Sepanyol. Penjaring terbanyak edisi lepas, Juan Beloncoso masih lagi konsisten menjaringkan gol. Bekas penyerang Espanyol, Jordi Tarres juga membantu serangan Kitchee. Kitchee menggunakan khidmat bekas penjaga gol Valencia, Jose Molina sebagai ketua jurulatih mereka.

Juan Beloncoso

Kitchee mengejutkan juara Liga Indonesia, Persib Bandung di tempat lawan dengan jaringan 2-0 untuk mara ke suku akhir.


South China (Hong Kong)

Menang semua perlawanan di peringkat kumpulan, menjaringkan 19 gol dan hanya bolos 3 menunjukkan kekuatan South China. Bahagian serangan diketuai oleh penyerang veteran Daniel McBreen yang pernah beraksi dengan Newcastle United berganding bersama Mahama Awal (Cameroon) yang merupakan produk akademi bolasepak Auxerre di Perancis. Pemain terbaik Hong Kong dan juga ketua pasukan, Chan Wai Ho mengemudi benteng pertahanan South China dengan baik.

Mahama Awal (jersi merah)

South China tiada masalah untuk menyingkirkan juara India, Bengaluru FC dengan jaringan 2-0 untuk mara ke suku akhir.

JDT (Malaysia)

Juara Liga Super Malaysia ini diperkuatkan oleh gandingan pemain import Argentina, Luciano Figueroa dan juga Jorge Pereyra Diaz. Bahagian pertahanan pula dikemudi dengan baik oleh bekas pertahanan FC Nurnberg, Marcos Antonio (Brazil). Seorang lagi kuota import diisi oleh bekas pemain muda terbaik Singapura, Hariss Harun.

Marcos Antonio ketika bersama FC Nurnberg

JDT membelasah Ayeyawady United (Myanmar) dengan jaringan 5-0 untuk mara ke suku akhir


Pahang (Malaysia)

Selama beberapa musim, juara Piala FA Malaysia ini sangat mempercayai sumbangan pemain import mereka iaitu Matias Conti (Argentina), Dickson Nwakaeme (Nigeria), Damion Stewart (Jamaica) dan Zesh Rehman (Pakistan)

Damion Stewart ketika beraksi bersama QPR

Pahang mendapat kemenangan percuma 3-0 ke atas Persipura Jayapura (Indonesia) setelah perlawanan yang dijadualkan telah dibatalkan.


Pada 18.6.2015 undian suku akhir telahpun diadakan. Juara bertahan Al-Qadsia (Kuwait) telah diundi bertemu Al-Jaish (Syria). Menanti mereka di separuh akhir samada JDT (Malaysia) ataupun South China (Hong Kong). Perlawanan pertama dijadualkan pada 25.8.2015 dan perlawanan timbal balik pada 15.9.2015.



Dalam perlawanan lain pula, pasukan Al-Kuwait (Kuwait) menanti kunjungan Kitchee (Hong Kong). Menanti mereka di separuh akhir satu lagi ialah samada Istiklol (Tajikistan) ataupun Pahang (Malaysia). Perlawanan pertama dijadualkan pada 26.8.2015 dan timbal balik pada 16.9.2015.



Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...