Tuesday, February 23, 2016

Kelab Asia Tenggara Dalam Liga Juara Asia 2016



Hari ni 23 Februari 2016 bermulalah sepakmula peringkat kumpulan bukan sahaja Piala AFC 2016 malah Liga Juara Asia 2016. Penyandang kejuaraan ini ialah kelab dari China iaitu Guangzhou Evergrande Tabao yang telah menewaskan pasukan Al-Ahli (UAE) di perlawanan akhir tahun lepas dengan agregat 1-0


Biasalah kalau kelab-kelab besar dari Timur Tengah atau Asia Timur jadi juara Liga Juara Asia ni. Kualiti dan persembahan diorang pun memang mantap dan jauh lebih baik kalau nak dibandingkan dengan mutu bolasepak Asia Tenggara.

Persoalannya... takkan takde langsung kelab dari Asia Tenggara masuk Liga Juara Asia ni? Memang ada.... kalau zaman dulu pasukan dari Indonesia dan Singapura... sekarang ni pasukan dari Thailand dan Vietnam yang bertanding dalam Liga Juara Asia

Persoalan seterusnya mampukah kelab Asia Tenggara bersaing dengan kelab-kelab besar Asia yang lain? Ke jadi pasukan belasahan jer? Tidak jugak... sebab Buriram United dari Thailand telah buktikan pada kita semua pada tahun lepas bahawa kelab Asia Tenggara mampu bersaing dalam Liga Juara Asia


Kelab Dari Asia Tenggara Yang Layak Automatik Ke Liga Juara Asia Sejak 2009

Setakat ni hanya kelab-kelab dari Thailand dan Vietnam saja yang layak bermain secara automatik dalam Liga Juara-Juara Asia 2016. Wakil kelab Thailand ialah Buriram United yang merupakan juara berganda Thailand manakala wakil dari Vietnam pula ialah Becamex Binh Durong yang merupakan juara berganda Vietnam.

Buriram United (Thailand)


Becamex Binh Durong


Sejak format kelayakan yang lebih ketat untuk Liga Juara Asia diperkenalkan pada tahun 2009. Kelab dari Indonesia sahaja yang layak secara automatik peringkat kumpulan iaitu Sriwijaya (2009), Persipura Jayapura (2010) dan Arema (2011).

Pada tahun berikutnya bermulalah kegemilangan kelab dari Thailand yang layak secara automatik iaitu Buriram United (2012), Muangthong United (2013) dan sekali lagi Buriram United (2014, 2015 dan 2016). Kelab dari Vietnam pula yang layak secara automatik ialah Becamex Binh Durong (2015 dan 2016).

Pencapaian Buriram United pada saingan Liga Juara Asia 2015 amat membanggakan kerana mendahului peringkat kumpulan pada awalnya mengatasi kelab-kelab dari Jepun, Korea Selatan dan China. 


Akhirnya Buriram United tersingkir berdasarkan "head to head" walaupun ternyata Buriram United mempunyai perbezaan jaringan melebihi Gamba Osaka (Jepun) dan Seongnam FC (Korea Selatan). Ketiga-tiga pasukan ini menamatkan peringkat kumpulan dengan mata yang sama iaitu terikat 10 mata.


Kelab Dari Asia Tenggara Dalam Kelayakan Liga Juara Asia Sejak Tahun 2009


2009 - Kelab-kelab yang mendapat tiket pusingan kelayakan ialah PSMS Medan (Indonesia), Singapore Armed Forces (Singapura) dan PEA (Thailand).

PEA tewas kepada Singapore Armed Forces 1-4 selepas masa tambahan dan seterusnya Singapore Armed Forces tewaskan PSMS Medan 2-1 selepas masa tambahan untuk layak ke peringkat kumpulan.

2010 - Kelab-kelab yang mendapat tiket pusingan kelayakan ialah Sriwijaya (Indonesia), Singapore Armed Forces (Singapura), Muangthong United (Thailand) dan SHB Da Nang (Vietnam).

Singapore Armed Forces menewaskan Muangthong United 4-3 menerusi sepakan penalti pada perlawanan akhir pusingan kelayakan setelah kedua-dua pasukan terikat 0-0 selepas masa tambahan untuk mara ke peringkat kumpulan.

Therdsak Chaiman (biru) ialah bintang import Singapore Armed Forces dari Thailand


2011 - Hanya Sriwijaya (Indonesia) dan Muangthong United (Thailand) yang mendapat tiket pusingan kelayakan Liga Juara Asia.

Setelah menewaskan Muangthong United menerusi sepakan penalti, Sriwijaya gagal layak ke peringkat kumpulan setelah dibelasah 0-4 dengan kelab Al-Ain (UAE) pada perlawanan akhir kelyakan.

2012 - Hanya Chonburi (Thailand) dan Persipura Jayapura (Indonesia) yang mendapat tiket pusingan kelayakan ini.

Namun, kedua-dua pasukan tidak layak ke peringkat kumpulan setelah tewas kepada lawan masing-masing. Chonburi tewas 0-2 kepada Pohang Steelers (Korea Selatan) manakala Persipura Jayapura tewas 0-3 kepada Adelaide United (Australia).

2013 - Hanya Buriram United (Thailand) yang mendapat tiket pusingan kelayakan kali ini.

Buriram United layak ke peringkat kumpulan setelah menewaskan Brisbane Roar (Australia) 3-0 menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 0-0 selepas masa tambahan.

2014 - Muangthong United (Thailand), Chonburi (Thailand), Tampines Rovers (Singapura) dan Ha Noi T&T (Vietnam) mendapat tiket pusingan kelayakan Liga Juara Asia kali ini.

Tiada pasukan dari Asia Tenggara yang layak ke peringkat kumpulan apabila Chonburi dibelasah Beijing Gu'oan (China) dengan jaringan 4-0 manakala Muangthong United tewas kepada Melbourne Victory (Australia) dengan jaringan 2-1.

Chonburi FC sentiasa di belakang Buriram United dalam Liga Juara Asia

2015 - Kelab yang mendapat tiket pusingan kelayakan ialah Bangkok Glass (Thailand), Chonburi (Thailand), Hanoi T&T (Vietnam), Persib Bandung (Indonesia), Yadanaborn (Myanmar), JDT (Malaysia) dan Warriors (Singapura).

Di peringkat akhir kelayakan, Hanoi T&T telah dibelasah FC Seoul (Korea Selatan) 7-0, Bangkok Glass tewas kepada Beijing Gu'oan (China) dengan 3-0 manakala Chonburi tewas kepada Kashiwa Reysol (Jepun) 3-2 selepas masa tambahan.

2016 - Kelab yang mendapat tiket pusingan kelayakan ialah Muangthong United (Thailand), Chonburi (Thailand), Hanoi T&T (Vietnam), Yangon United (Myanmar), JDT (Malaysia) dan Tampines Rovers (Singapura).

Di peringkat akhir kelayakan, Chonburi dibelasah FC Tokyo (Jepun) dengan 9-0, Muangthong United tewas 3-0 kepada Shanghai SIPG (China) dan Hanoi T&T tewas 3-0 kepada Pohang Steelers (Korea Selatan)

Setakat ini JDT cuba membawa saingan Malaysia dalam Liga Juara Asia

Sejak tahun 2009, hanya pada tahun 2015 saja Malaysia telah diberikan satu slot atau tiket untuk kelayakan Liga Juara Asia yang telah diisi oleh JDT. Pencapaian ini bukan saja diambilkira daripada ranking dalam FIFA dan AFC tetapi juga beberapa lagi peraturan perlesenan bolasepak lain yang telah dipenuhi oleh JDT.

Masih banyak lagi kelab lain di Malaysia yang tidak ambil peduli berkenaan peraturan yang dikenakan oleh FIFA ini. Peraturan yang ditetapkan ni termasuklah berkaitan dengan kesukanan kelab, infrastruktur serta kemudahan kelab, kakitangan serta pengurusan kelab, perundangan kelab dan kewangan kelab

Baca : Peraturan Perlesenan Bolasepak


Contoh kalau stadium takde ciri-ciri keselamatan, pengurusan kelab bercampur aduk dengan politik (seperti yang terjadi pada kelab Kuwait) dan juga akaun kelab dah lama tak kena audit.... konpem tak boleh main dalam Liga Juara Asia atau AFC walaupun layak.

Masa untuk bolasepak kita berubah!




Monday, February 22, 2016

Piala AFC 2016 - Kenali Lawan Selangor Dan JDT Di Peringkat Kumpulan



Dua pasukan dari Malaysia yang akan menyertai Piala AFC 2016 ialah juara Liga Super Malaysia 2015 iaitu JDT dan naib juara Liga Super Malaysia 2015 iaitu Selangor. Selangor menggantikan pasukan Lions XII (juara Piala FA) yang tidak layak ke Piala AFC disebabkan Lions XII adalah pasukan jemputan dalam Liga Malaysia.

JDT - juara Piala AFC 2015

Pada mulanya, naib juara Liga Malaysia ialah Pahang manakala Selangor mendapat tempat ke-3 dalam Liga Malaysia. Namun, semuanya bertukar disebabkan kegagalan Pahang untuk melunaskan tunggakan gaji bekas pemain import mereka, Muhammad Borji. Ini menyebabkan Pahang telah dipotong mata dan jatuh ke tempat ke-3 dalam Liga Malaysia.

Namun begitu, peluang Pahang untuk ke Piala AFC 2016 masih lagi terbuka dengan syarat JDT melepasi pusingan kelayakan Liga Juara Asia menentang Muangthong United (Thailand) dan Shanghai SIPG (China) dan seterusnya layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia.

Namun begitu, JDT terkandas apabila tewas kepada Muangthong United 3-0 menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 0-0 setelah masa tambahan.

Baca : Kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2016


Selangor bukanlah pasukan yang asing dalam kejohanan Piala AFC ni... cuma Selangor masih belum berpeluang untuk menggondol Piala AFC. Pencapaian terbaik Selangor ialah mara ke suku akhir Piala AFC 2006 sebelum tewas kepada Al-Nejmeh (Lubnan) dengan agregat 0-1. Ini adalah penampilan kali ke-5 Selangor dalam kancah Piala AFC

Baca : Sejarah Kelab Dari Malaysia Dalam Piala AFC


Selangor telah diundi bersama-sama dengan Tampines Rovers (naib juara Liga Singapura), Ceres (juara Liga Filipina) dan Sheikh Jamal Dhamondi (juara Liga Bangladesh). Pada masa yang sama Tampines Rovers juga bertanding dalam pusingan pertama kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2016.

Sekiranya Tampines Rovers layak ke Liga Juara Asia 2016, maka slot Piala AFC akan diisi oleh pasukan Warriors. Namun, harapan Tampines Rovers punah apabila mereka ditewaskan juara liga India, Mohun Bagan dengan jaringan 3-1.


Siapa Tampines Rovers?

Ini adalah penampilan ke-8 Tampines Rovers dalam Piala AFC. Tampines Rovers diperkuatkan dengan beberapa orang pemain kebangsaan Singapura seperti penjaga gol, Izwan Mahbud, pemain tengah Hafiz Sujad dan penyerang Fazrul Nawaz. Tampines Rovers dipimpin oleh ketua pasukan kelahiran Serbia, Fahrudin Mustafic.

Tampines Rovers mempunyai 2 orang pemain import yang pernah bermain dalam Liga Malaysia iaitu bekas pertahanan DRB-Hicom dan Putrajaya SPA, Kwon Jun (Korea Selatan) dan juga bekas pemain remaja Ireland Utara yang pernah bermain dengan Kedah dan Sarawak iaitu Billy Mehmet.

Jermaine Pennant ketika mewakili Arsenal dan Liverpool

2 orang lagi pemain import Tampines Rovers ialah pemain sayap dari Kanada Jordan Webb dan juga bekas bintang Arsenal, Liverpool dan Stoke City dari England, Jermaine Pennant.


Siapa Ceres?

Ceres membuat penampilan ke-2 dimana pada musim lepas mereka terkandas di pusingan kelayakan Piala AFC 2015. Kekuatan Ceres terletak di bahagian tengah yang diisi oleh beberapa orang pemain naturalisasi seperti Manuel Ott, Paul Mulders, Martin Steuble dan Patrick Reichelt. Juan Luis Guirado pula ampuh di bahagian pertahanan sebagai ketua pasukan. Stephan Schrock pula dipinjamkan dari kelab Jerman SpVgg Greuther Fruth.

Stephan Schrock (No 7) ketika mewakili skuad Jerman bawah 19 tahun pada tahun 2005

Pemain-pemain naturalisasi ini berpengalaman bermain dalam Liga Jerman, Liga Itali, Liga Belgium, Liga Switzerland, Liga Belanda, Liga Amerika Syarikat dan Liga Sepanyol. Pemain-pemain import Ceres pula tidaklah berapa dikenali. Ceres menggunakan pemain-pemain import dari Korea Selatan, Ireland Utara dan Sepanyol.


Siapa Sheikh Jamal Dhanmondi?

Ini adalah penampilan pertama juara Liga Bangladesh ini dalam kancah Piala AFC. Tidak banyak yang diketahui mengenai pasukan ini. Pemain tempatan yang berprofil tinggi ialah Jamal Bhuyan yang berpengalaman luas dalam Liga Denmark. Selain itu, Sheikh Jamal Dhanmondi juga diperkuatkan dengan pemain kebangsaan seperti Nasiruddin Chowdury dan Mamunul Islam.

Jamal Bhuyan ketika mewakili kelab Denamrk Avedore IF

Sheikh Jamal menggunakan khidmat pemain import dari Nigeria, Gambia dan Haiti. Penyerang Nigeria Kabiru Musa pernah bermain untuk pasukan kebangsaan Nigeria.


JDT pula telah diundi bersama-sama dengan Bengaluru FC (naib juara Liga India), Lao Toyota FC (juara Laos) dan Ayeyawady United (juara piala Aung San Myanmar). JDT juga sedang bertanding dalam pusingan ke-2 Liga Juara-Juara Asia 2016. Sekiranya JDT layak ke Liga Juara Asia 2016, maka slot Piala AFC akan diisi oleh Pahang, namun itu semua tidak berlaku.

Siapa Bengaluru FC?

Ini bukan kali pertama mereka bertemu. Pada tahun lepas JDT menewaskan Bengaluru FC 2-1 setelah masa tambahan dalam pusingan pertama kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2015.

Bengaluru FC membawa masuk penyerang import Korea Utara kelahiran Jepun, Kim Song-Yong untuk menguatkan jentera serangan mereka. Bekas pemain remaja Ireland Utara, Michael Collins juga dibawa masuk untuk menggerakkan jentera tengah. Curtis Osano (Kenya) dan John Johnson (England) masih dikekalkan khidmat mereka.

Bekas ketua pasukan Scunthorpe United, Michael Collins

Tidak ramai pemain kebangsaan India dalam Bengaluru FC dengan pertahanan Lalchhuan Mawia serta pemain tengah Eugeneson Lyongdoh antara yang dikenalpasti. Sunil Chettri masih lagi memberikan khidmatnya tetapi kali ini dipinjamkan dari kelab Mumbai City.


Siapa Lao Toyota FC?

Persembahan Lao Yoyota FC dalam kempen Piala AFC 2015 tidaklah teruk sangat apabila seri 3 kali di tempat sendiri dan tewas tipis 3 kali di tempat lawan. Semestinya dalam penampilan ke-2 kali ni juara Laos ini akan cuba mempertingkatkan persembahan dan kualiti mereka.

Tiada lagi penyerang import Ivory Coast, Frederic Pooda yang telah berhijrah ke Sime Darby FC. Dengan Toyota sebagai penaja utama, tidak hairanlah majoriti pemain import mereka dari Jepun seperti pertahanan Itsuki Yamada yang berpengalaman dalam Liga Singapura bersama Albirex Niigata dan juga penyerang veteran, Kazuo Honma yang berpengalaman luas bermain dalam Liga Hungary di Eropah

Kazuo Honma pernah beraksi dengan gergasi bolasepak Hungary, Ferencvaros

Antara pemain tempatan yang bakal menyinar ialah pertahanan berpengalaman Saynakhonevieng Phommapanya dan juga ketua pasukan Paseuthsack Souliyavong yang menggerakkan jentera tengah.


Siapa Ayeyawady United?

Ayeyawady United sudah membuat 3 kali penampilan dalam Piala AFC dimana pada penampilan yang lepas Ayeyawady United telah mara dari peringkat kumpulan sebelum dibelasah JDT 5-0 dalam perlawanan kalah mati. Ayewayady United sekali lagi diundi bersama juara Laos, Lao Toyota dalam peringkat kumpulan sama seperti tahun lepas.

Skuad Ayeyawady United dibarisi dengan ramai pemain-pemain muda tempatan dan antara yang dijangka menyerlah ialah bekas pemain import Perak, Kyaw Zayar Win selain daripada beberapa orang pemain kebangsaan lain seperti Phyo Ko Ko Thien dan ketua pasukan Min Min Thu.

Kyaw Zayar Win ketika bersama pasukan Perak

Ayeyawady United menggunakan khidmat pemain import dari Ghana, Nigeria, Jepun dan juga penyerang kebangsaan Thailand Kirati Keawsombat.


Dengan status sebagai juara bertahan Piala AFC, sudah pasti JDT akan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan trofi ini dan terus menaikkan ranking bolasepak negara. Selangor sebagai pasukan berpengalaman dalam Piala AFC pula sudah pasti akan membuat persembahan terbaik dan terus bersaing dalam kancah Piala AFC ini.




Saturday, February 13, 2016

Pemain Import Liga Super Malaysia 2016 - Hanya Sarawak Menampilkan 100% Muka Import Baru



Hari ni plak, 13 Februari 2016 bermulanya sepakmula Liga Super Malaysia 2016. JDT akan mempertahankan kejuaraan manakala Kedah, Pulau Pinang dan T-Team (Terengganu II) adalah pasukan baru yang dinaikkan dari Liga Perdana 2015.

Ada sebahagian daripada pemain import akan terus beraksi dalam Liga Malaysia manakala sebahagian lagi adalah pemain-pemain import baru yang tidak sabar untuk membuktikan kemampuan masing-masing bersama pasukan baru mereka. Senarai pemain import baru Liga Super 2016 adalah seperti berikut :-

Baca : Pemain Import Liga Super 2017


Felda United

Felda United ialah antara pasukan yang sentiasa memberikan saingan yang kuat. Mereka mengekalkan khidmat pemain import Zah Rahan Krangar (Liberia) dan Thiago Augusto Fernandes (Brazil). Ndumba Makeche (Australia) telah dilepaskan ke Sarawak manakala Bojan Miladinovic (Serbia) tidak disambungkan kontrak.

Lutfulla Turaev (kiri) mengekang asakan pemain Korea Selatan

Pemain-pemain import baru Felda United ialah :-

Gilberto Alemao - pertahanan dari Brazil yang juga dikenali dengan nama Gilberto Carlos Marangoni Filho
Lutfulla Turaev - pemain tengah kebangsaan Uzbekistan

* Bekas penyerang Terengganu, Kelantan, Selangor dan NS Matrix Francis Forkey Doe (Liberia) telah menggantikan Thiago Augusto Fernandes yang mengalami kecederaan yang serius


JDT

Duo import juara Piala AFC ini dikekalkan iaitu Marcos Antonio (Brazil) dan Hariss Harun (Singapura). Jorge Pereyra Diaz juga telah kembali setelah tamat tempoh pinjaman di kelab Argentina, Independiente. Pada mulanya, Paulo Rangel menggantikan Luciano Figueroa yang telah bersara tetapi Paulo Rangel telah diturunkan untuk bermain dengan JDT II.

Juan Martin Lucero pernah bermain bersama dengan Jorge Pereyra Diaz di Independiente musim lepas

Pemain import baru JDT ialah penyerang dari Argentina, Juan Martin Lucero yang telah dibeli dari kelab Argentina, Independiete


Kedah 

Juara Liga Perdana 2015 ini mengekalkan trio import mereka iaitu Liridon Krasniqi (Kosovo), Sandro Mendonca (Brazil) dan Bang Seung-hwan (Korea Selatan).

Carlos Kahe (kiri) ketika mewakili Borussia M'Gladbach dan
bintang Republik Czech Tomas Galasek (kanan) ketika mewakili FC Nurnberg

Pemain import baru Kedah untuk musim 2016 ialah Carlos Kahe (Brazil), bekas penyerang remaja Brazil yang menggantikan Chidi Edeh yang tidak menyambungkan kontraknya bersama Kedah. Carlos Kahe juga dikenali sebagai Carlos Eduardo de Souza Floresta berpengalaman main di Liga Jerman dan Liga Turki.


Kelantan 

Kali ini Kelantan dikenali sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors disebabkan oleh penajaan atau "sponsor". Kelantan hanya mengekalkan pertahanan import Australia, Jonathan McKain manakala pemain import lain telah beralih angin termasuk Gilmar yang dilepaskan ke Sarawak.

Jonatan Lucca (paling kanan) ketika bersama skuad remaja AS Roma

Pemain import baru Kelantan ialah :-

Jonatan Lucca - bekas pemain remaja AS Roma, Itali dari Brazil
Baze Illijoski - penyerang kebangsaan Macedonia
Dramane Traore - penyerang kebangsaan Senegal yang pernah beraksi dengan PDRM


Pahang

Hanya Zesh Rehman (Pakistan) sahaja yang dikekalkan Pahang dalam skuad mereka kali ini. Pemain-pemain lain tidak disambungkan kontrak manakala Matias Conti kini bermain dalam Liga Chile, Universidad de Concepcion.

German Pacheco ketika bersama Atletico Madrid

Pemain import baru Pahang untuk musim 2016 ialah :-

Nejc Potokar - pertahanan dari Slovenia
Dalibor Volas - bekas penyerang remaja Slovenia
German Pacheco - bekas penyerang remaja Atletico Madrid dari Argentina


PDRM

PDRM hanya mengekalkan bintang Maldives iaitu penyerang prolifik Ali Ashfaq. Jaime Braganca tidak disambungkan kontrak, Mohamadou Sumareh dilepaskan ke Perlis dan Dramane Traore dilepaskan ke Kelantan.

Safuwan Baharudin ketika bersama Melbourne City FC

Pemain import baru PDRM ialah :-

Suleymane Konate - pertahanan dari Mali
Andrezinho - pemain tengah dari Brazil yang pernah bermain bersama Johor FA dan JDT
Safuwan Baharudin - pemain serba boleh Singapura yang pernah dipinjamkan ke kelab Australia, Melbourne City FC


Pulau Pinang 

Naib juara Liga Perdana 2015 ini hanya mengekalkan pertahanan import mereka iaitu Reinaldo Lobo (Brazil)

Brent Griffiths ketika bersama pasukan Central Coast Mariners

Pemain-pemain import baru Pulau Pinang ialah :-

Matias Cordoba - pemain tengah dari Argentina
Brent Griffiths - bekas pertahanan remaja Blackburn Rovers dari England, warganegara Australia
Charles Souza Chad - bekas penyerang PDRM dan Perak ini baru sahaja menggantikan penyerang dari Brazil, Jose Tadeu yang gagal menjaringkan gol sama sekali untuk Pulau Pinang dalam pelawanan pemanas badan

* Pulau Pinang tidak jadi mengambil Charles Souza Chad sebagai pemain import, sebaliknya mengambil bekas penyerang remaja Nigeria, Osas Saha atau dikenali Osas Marvelous Ikpefua yang berpengalaman di Liga Indonesia


Perak

Pada musim 2016, Perak tampil dengan nama Perak The Bos Gaurus. Perak hanya mengekalkan bekas pertahanan remaja Brazil iaitu Thiago Junior.

Vokhid Sodiev (putih) berentap dengan pemain Arab Saudi

Pemain import baru Perak ialah :-

Erick Weeks Lewis - pemain tengah kebangsaan Liberia
Elias - juga dikenali dengan nama Elias Fernandes de Oliveira ialah penyerang Brazil yang berpengalaman dalam Liga Korea Selatan
Vokhid Shodiev - pemain tengah kebangsaan Uzbekistan


Sarawak

Sarawak tidak mengekalkan pemain-pemain import lama mereka. Dengan K Rajagopal sebagai jurulatih baru mereka, pasukan Sarawak nampak lebih mencabar.

Davide Grassi (kanan baju merah) ketika bersama Aberdeen dalam Liga Scotland

Pemain import baru Sarawak ialah :-

Davide Grassi - pertahanan dari Itali yang berpengalaman luas dalam pelbagai Liga di benua Eropah
Juninho - pemain naturalisasi Timor Leste dari Brazil yang pernah bermain untuk Selangor
Gilmar - bekas penyerang Kelantan dari Brazil
Ndumba Makeche - bekas penyerang Felda United etnik Zambia dari Australia


Selangor

Juara Piala Malaysia 2015 ini hanya mengekalkan pemain sayap Indonesia, Andik Vermansyah dan juga pertahanan dari Australia, Robert Cornwaithe. Pemain-pemain import lain tidak disambungkan kontrak termasuk Guilherme de Paula yang kini bermain di Liga Cyprus bersama Ethnikos Achna.

Mauro Olivi - penyerang prolifik dari Argentina

Pemain import baru Selangor untuk musim 2016 ialah :-

Mauro Olivi - penyerang prolifik dari Argentina
Patrick Wleh - penyerang prolifik Liberia yang dipinjamkan dari PKNS FC


Terengganu

Terengganu masih menaruh kepercayaan kepada 3 orang pemain import mereka iaitu Vincent Bikana (Cameroon), Gustavo Lopez (Argentina) dan Issey Nakajima-Farran (Kanada/Jepun), Paulo Rangel yang telah ditamatkan kontraknya lebih awal kini bersama JDT II.

Abam sado, Juan Jose Morales sah jadi milik Terengganu

Pemain import Terengganu yang baru ialah Juan Jose Morales, penyerang tegap dari Argentina


T-Team

T-Team layak ke Liga Super 2016 setelah menewaskan ATM 2-1 dalam perlawanan play-off. T-Team juga dikenali sebagai Terengganu II hanya mengekalkan bekas penyerang remaja Croatia iaitu Tomislav Busic.

Sebelum ke T-Team, bintang Nepal ini beraksi dalam Liga Indonesia

Pemain import baru T-Team untuk musim 2016 ialah :-

Abdoulaye Maiga - bekas pertahanan kebangsaan Mali
Makan Konate - pemain tengah dari Mali yang pernah bermain dalam Liga Indonesia
Rohit Chand - pemain kebangsaan Nepal yang paling bernilai

* Bekas pemain import Sime Darby dari Uzbekistan, Dilshod Sharofetdinov telah menggantikan Rohit Chand yang mengalami kecederaan serius
* Penyerang muda dari Brazil Patrick Dos Santos Cruz telah menggantikan Tomislav Busic yang telah tamat kontrak


Diharapkan pemain-pemain import ini akan menjadi sebab agar pemain tempatan menjadi kuat bersaing dan sentiasa upgrade skil mereka dari semasa ke semasa. Tiada istilah pemain import akan menenggelamkan bakat tempatan. Apa yang penting setiap pasukan haruslah mendapatkan pemain import berkualiti dan bukan sekadar tangkap muat sahaja.




Friday, February 12, 2016

Pemain Import Liga Perdana Malaysia 2016 - Hanya DRB-Hicom, JDT II, Kuala Lumpur Dan PKNS FC Kekalkan Sebahagian Pemain Import Mereka



Hari ni 12 Februari 2016 bermulalah Liga Perdana Malaysia 2016 dengan sepakmula bermula petang ni antara Selangor UiTM FC dengan Sabah pada pukul 4.45pm diikuti dengan 4 game yang lain pada waktu malam iaitu T-Team vs Perlis, Sime Darby FC vs Melaka, PKNS FC vs Kuala Lumpur dan JDT II vs DRB-HICOM. Game antara Negeri Sembilan vs Kuantan FA pula akan berlangsung pada hari Sabtu, 13 Fenruari 2016.

Ada pasukan yang dah mengesahkan kuota pemain import mereka seawal sebelum pra musim lagi malah ada pula pasukan yang hanya dapat mengesahkan kuota pemain import mereka di saat-saat akhir. Berikut ialah senarai pemain import Liga Perdana Malaysia 2016 :-

Baca : Pemain Import Liga Perdana 2017


ATM

Pasukan yang menghadapi masalah kewangan ini baru saja diturunkan ke Liga Perdana pada 31 Januari yang lalu setelah tewas kepada T-Team 1-2 dalam perlawanan play-off. ATM telah gagal untuk melunaskan gaji beberapa orang pemain mereka dan setakat ini mereka tidak menggunakan pemain import untuk musim 2016.


DRB-Hicom

DRB-Hicom mengekalkan pertahanan Sepanyol keturunan Ghana, Godwin Antwi dan juga penyerang dari Croatia, Ivan Babic. Kedua-dua pemain import dari Jepun tidak disambungkan kontrak.

Adakah Philip Lund (kiri) ialah pemain Denmark pertama bermain dalam Liga Malaysia?

Pemain import baru DRB-Hicom ialah :-

Philip Lund - penyerang dari Denmark yang gagal ujian pemilihan bersama Tampines Rovers (Singapura)
Kim Jin-yong - bekas pemain kebangsaan Korea Selatan yang pernah bermain dengan pasukan Negeri Sembilan


JDT II

JDT II masih mengekalkan duo import dari Singapura iaitu Shahril Ishak dan Baihakki Khaizan. Manakala status pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez masih menjadi tanda tanya.

Paulo Rangel akur untuk bermain dengan JDT II dan bukannya JDT

Pemain import baru JDT II ialah penyerang sensasi dari Brazil yang pernah beraksi bersama Perak, Selangor dan Terengganu iaitu Paulo Rangel.


Kuala Lumpur

Kuala Lumpur mengekalkan pemain muda Mali yang beraksi di posisi tengah iaitu Modibo Konte. Manakala ketiga-tiga trio import dari Korea Selatan tidak disambungkan kontrak.

Mario Karlovic (kiri) pernah beraksi untuk Terengganu dan ATM

Pemain import baru Kuala Lumpur ialah :-

Leo Carioca - pertahanan dari Brazil yang juga dikenali sebagai Leonardo Moreira de Carvalho
Casagrande - penyerang dari Brazil yang juga dikenali sebagai Anselmo Arruda da Silva
Mario Karlovic - bekas pemain remaja Australia yang pernah beraksi dengan Terengganu dan ATM


Kuantan FA

Kuantan tidak mengekalkan pemain-pemain import mereka musim lepas. Pemain import baru untuk Kuantan FA ialah :-

Rekod pelontar hantaran dalaman terjauh di dunia masih lagi milik Ljubo Baranin

Ljubo Baranin - bekas pertahanan remaja Serbia yang mempunyai reputasi sebagai pelontar hantaran ke dalam paling jauh di dunia?
Srdan Vidakovic - pemain tengah dari Croatia
Dao Bakary - pemain import dari Ivory Coast yang pernah beraksi bersama Perlis dan UiTM FC
Shunsuke Nakatake - pemain tengah dari Jepun yang berpengalaman bermain dalam Liga Singapura


Melaka United

Juara Piala FAM 2015 ini berbelanja besar setelah dinaikkan ke Liga Perdana 2016. Pemain import Melaka United ialah :-

Labinot Harbuzi - bintang remaja Sweden keturunan Kosovo/Albania

Balsa Bozovic - pemain tengah dari Montenegro
Labinot Harbuzi - bekas bintang remaja Sweden etnik Kosovo/Albania yang beraksi di posisi tengah atau serangan
Illija Spasojevic - penyerang prolifik yang berpengalaman bermain dalam liga Indonesia. "Spaso" juga adalah bekas pemain remaja Yugoslavia, Serbia-Montenegro dan juga Montenegro.
Shin Jae-pil - pertahanan berpengalaman dari Korea Selatan


Negeri Sembilan

Pasukan Negeri Sembilan hampir 100% berwajah baru apabila rombakan besar-besaran dibuat setelah mereka gagal layak ke Liga Super 2016. Pemain import baru Negeri Sembilan ialah :-

Andrew Nabbout (kiri) adalah antara pemain asing yang menyinar dalam Liga Australia

Taylor Regan - pertahanan dari Australia
Alex Smith - pemain tengah/serangan dari England yang berpengalaman bermain dalam Liga Australia
Joel Chianese - penyerang dari Australia yang pernah bermain untuk pasukan Sabah
Andrew Nabbout - pemain sayap dari Australia etnik Lubnan


Perlis

Naib juara Liga FAM 2015 ini juga bakal memberikan cabaran setelah Dollah Salleh dilantik menjadi jurulatih baru mereka. Pemain import Perlis ialah :-

Kayne Vincent ketika menyarung jersi Chonburi FC di Thailand

Obinna Nwaneri - pertahanan kebangsaan Nigeria yang pernah bermain untuk Kelantan dan ATM FA
Mohamadou Sumareh - pemain dari Gambia yang pernah berkasi dengan PDRM FA
Edward Junior Wilson - penyerang kebangsaan Liberia yang prolifik dan pernah beraksi bersama Felda United
Kayne Vincent - penyerang kebangsaan New Zealand yang juga berkacukan Jepun dan berpengalaman bermain dalam Liga New Zealand, Australia, Jepun, India dan Thailand.


PKNS FC

PKNS FC mengekalkan duo import dari Argentina iaitu Gonzalo Soto dan Gabriel Guerra. Patrick Wleh telah berhijrah ke Selangor manakala pemain import dari Timor Leste tidak disambungkan kontraknya

Matias Jadue pernah bermain untuk pasukan remaja Chile
sebelum memilih untuk mewakili pasukan senior Palestin


Pemain import baru PKNS FC ialah :-

Juan Manuel Cobelli - penyerang dari Argentina
Matias Jadue - penyerang kebangsaan Palestin dari Chile


Sabah

Sabah juga tidak mengekalkan pemain-pemain import mereka musim lepas. Pemain import baru Sabah ialah :-

Igor Cerina (No 5) mewakili Balestier Khalsa ketika menentang JDT dalam Piala AFC 2015

Igor Cerina - pertahanan dari Croatia yang berpengalaman bermain di Liga Singapura dan pentas piala AFC
Marco Tulio - pemain tengah dari Brazil yang pernah beraksi dengan pasukan T-Team dan Perak
Prince Nnake - bekas penyerang kebangsaan Nigeria
Dedi Kusnandar - bintang muda Indonesia yang sedang meningkat naik bermain di posisi tengah


Sime Darby

Sime Darby telah diturunkan dari Liga Super 2015 dan tidak mengekalkan pemain-pemain import mereka. Pemain import baru Sime Darby ialah :-

Frederic Pooda (kiri) mewakili Lao Toyota dalam perlawanan Piala AFC 2015 menentang Persib Bandung


Ha Dae-won - pertahanan dari Korea Selatan yang berpengalaman di Liga Indonesia
Frederic Pooda - penyerang dari Ivory Coast yang disambar dari juara Laos, kelab Lao Toyota
Mateo Roskam - penyerang dari Croatia yang kembali ke Sime Darby setelah setahun menabur bakti di Singapura bersama Tampines Rovers
Lee Kil-hoon - pemain tengah dari Korea Selatan yang pernah bermain untuk Pulau Pinang


UiTM FC

UiTM FC juga tidak mengekalkan pemain-pemain import mereka musim lepas dan ini adalah kali pertama UiTM FC menggunakan kuota 4 orang pemain import. Pemain import baru UiTM FC ialah :-

Penjaga gol Kyrgysztan, Pavel Matyash membuat halangan terhadap serangan Australia

Kang Jin-wook - bekas pertahanan remaja Korea Selatan yang pernah beraksi dalam Liga Perancis bersama kelab FC Metz
Pavel Purishkin - penyerang prolifik dari Uzbekistan
Eliel - juga dikenali dengan nama Eliel da Cruz Guardiano, penyerang dari Brazil yang bernah beraksi untuk pasukan Perak
Pavel Matyash - penjaga gol kebangsaan Kyrgysztan 


Inilah masanya untuk pemain import Liga Perdana 2016 menunjukkan aksi terbaik mereka di atas padang dan bukannya status dan sejarah kegemilangan mereka semata-mata yang menajadi ukuran. Kegagalan mereka menunjukkan kebolehan istimewa mengatasi pemain tempatan sedia ada akan menyaksikan mereka bakal disingkirkan sebelum tamatnya Liga Perdana 2016.




Thursday, January 28, 2016

Kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2016 - JDT Hanya Bermimpi?



Pada 21 November 2015 yang lalu... pasukan dari China, Guangzhou Evergrande Tabao baru saja ditabalkan sebagai juara Asia apabila menewaskan pasukan Al-Ahli (UAE) dengan agregat 1-0 pada perlawanan akhir. Ini adalah kejuaraan ke-2 Guangzhou Evergrande Tabao setelah melakukannya kali pertama pada tahun 2013.

Baca : Perlawanan Akhir Liga Juara-Juara Asia 2015

Pemenang Juara Liga Asia 2015 - Guangzhou Evergrande Tabao

Tak lama lagi bermulalah pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2016 pula dimana hanya JDT yang layak untuk memasuki pusingan ini. Berbeza dengan tahun lepas, kali ni JDT terus ke pusingan ke-2 kelayakan tanpa melalui pusingan pertama. Ini disebabkan Myanmar (Yangon United) dan Malaysia (JDT) mengisi slot kekosongan yang ditinggalkan oleh Indonesia akibat digantung oleh FIFA.

Baca : Kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2015


Pusingan Awal Pertama Liga Juara Asia 2016

Jadi hanya pasukan dari ranking yang lebih rendah iaitu Mohun Bagan sebagai juara Liga India dan Tampines Rovers naib juara Liga Singapura saja yang akan melalui pusingan pertama kelayakan Liga Juara Asia 2016 pada 27 Januari 2016 dimana pemenang akan bertemu dengan pasukan tempat ke-3 Liga China iaitu Shandong Luneng. Mohun Bagan dari India telah mengejutkan Tampines Rovers dari Singapura dengan jaringan 3-1.


Pusingan Awal Kedua Liga Juara Asia 2016

JDT yang tampil sebagai juara Liga Malaysia harus menewaskan pasukan Muangthong United, naib juara Liga Thailand yang membuat penampilan ke-5 dalam kempen Liga Juara Asia dan seterusnya menewaskan Shanghai SIPG yang merupakan naib juara Liga China. Ini merupakan penampilan sulong Shanghai SIPG dalam kempen Liga Juara Asia.


Pusingan Awal Kedua ni dijadualkan berlangsung pada 2 Februari 2016. Selain daripada pertembungan JDT dan Muangthong United di Thailand, ada 3 perlawanan lagi yang berlangsung serentak iaitu Kitchee (Hong Kong) akan bertandang ke Vietnam menentang Ha Noi T&T, Yangon United (Myanmar) akan ke Thailand menentang Chonburi FC dan Mohun Bagan (India) akan ke China menentang Shandong Luneng Taishan.

Sekiranya JDT berjaya melepasi kesemua pusingan kelayakan, JDT akan bermain dalam kumpulan G bersama-sama dengan juara berganda Australia, Melbourne Victory, Gamba Osaka sebagai juara Piala Emperor Jepun dan naib juara Liga Jepun serta naib juara Liga Korea, Suwon Samsung Bluewings. Sepakmula peringkat kumpulan ini bermula pada 24 Februari 2016.

Tetapi jika JDT terkandas dalam mana-mana pusingan kelayakan, JDT akan mempertahankan Piala AFC 2015 yang telah dimenangi mereka dan akan bermain dalam kumpulan H bersama-sama dengan naib juara Liga India, Bengaluru FC, juara Liga Laos, Lao Toyota FC dan juara Piala Aung San Myanmar, Ayeyawady United juga akan bermula pada 24 Februari 2016.


Siapa Muangthong United?

Cabaran JDT bermula pada 2 Februari 2016 apabila bertandang ke kandang Muangthong United di kawasan Nonthaburi, Bangkok Thailand. Tidak ramai pemain kebangsaan Thailand dalam pasukan ini, namun tonggak import mereka adalah tunjang utama Muangthong United.

Benteng gol mereka dikawal oleh penjaga gol utama Thailand, Kawin Thamsatchanan. Bahagian serangan pula amat berbisa dengan kehadiran bintang Thailand yang pernah berkelana di Manchester City, Switzerland dan Sepanyol iaitu Teerasil Dangda. Selain itu, penyerang import dari Brazil Cleiton Silva pula sangat klinikal dan prolifik.

Teerasil Dangda bermain untuk pasukan Almeria, Sepanyol secara pinjaman baru-baru ini

Tiada lagi bintang import Korea Selatan dalam skuad Muangthong United kali ini yang pernah bermain dengan gergasi Rusia, Zenit St Petersburg yang telah dilepaskan bersama-sama dengan bekas pemain kebangsaan Macedonia, Mario Gjurovski.

Tinggal kenangan - Kim Dong Jin pernah bersama-sama dengan Martin Skrtel dan Andrei Arshavin

Bekas pertahanan remaja Jepun Naoki Aoyama juga mengemudi benteng pertahanan Muangthong United. Bahagian tengah pasukan ini pula dijana oleh ketua pasukan berpengalaman mereka, Datsakorn Thonglao.

Muangthong United memperkuatkan skuad mereka kali ini dengan kehadiran 2 orang pemain import Brazil yang baru iaitu bekas pertahanan remaja Brazil, Fabricio Silva Dornellas dan juga penyerang Junior Negao.


Siapa Shanghai SIPG?

Perkataan SIPG ni datang dari penaja kelab ini iaitu Shanghai International Port (Group). Dahulunya pasukan ni dikenali dengan nama Shanghai Dongya, Shanghai East Asia dan Shanghai Tellace. Sejak dinaikkan ke Liga Super China pada tahun 2013, kualiti Shanghai SIPG semakin meningkat dan menjadi naib juara Liga Super China pada tahun 2015 di belakang juara Asia, Guangzhou Evergrande Tabao.

Dibimbing oleh jurulatih berpengalaman Sven Goran Eriksson, Shanghai SIPG tidak mempunyai ramai pemai kebangsaan China dalam pasukan mereka. Pemain tempatan yang berpengalaman ialah Sun Xiang yang pernah beraksi dengan PSV Eindhoven dan Yu Hai yang pernah beraksi dengan Vitesse Arnhem.

Sun Xiang dan Philip Cocu dalam skuad PSV Eindhoven suatu ketika dahulu

Tonggak import yang berprofil tinggi ialah Asamoah Gyan (Ghana) yang dikatakan mendapat bayaran tinggi di sini melebihi Yaya Toure di Manchester City! Kehadiran Elkeson (Brazil) sebagai pemain import baru Shanghai SIPG dari Juara Asia Guangzhou Evergrande juga menunjukkan kesungguhan Shanghai SIPG dalam kempen kali ini.

Setelah bantu Guangzhou Evergrande jadi juara Asia musim lepas,
kini Elkeson akan membantu pasukan barunya, Shanghai SIPG pula

Selain itu pertahanan Korea Selatan, Kim Ju-young mengawal benteng Shanghai SIPG selain daripada Dario Conca (Argentina) yang kreatif menggerakkan jentera tengah Shanghai SIPG serta pemain sayap muda dari Ivory Coast, Jean Evrard Kouassi yang menyerang dari bahagian tepi.


Sepertimana musim lepas, JDT sangat optimis untuk melepasi pusingan kelayakan dan terus mara ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia 2016. Bezanya kali ni JDT di bawah kendalian Mario Gomez yang lebih taktikal dan menerapkan permainan yang lebih kompak berbanding Bojan Hodak.

Sekiranya benar JDT mampu melepasi semua pusingan kelayakan, maka satu lagi sejarah akan tercipta dalam bolasepak Malaysia. Selamat maju jaya JDT!!!




Thursday, January 21, 2016

Piala Asia Bawah 23 Tahun 2016 : Kelayakan Bolasepak Sukan Olimpik 2016 Bermula Di Sini



Sejak 12 haribulan sampailah 30 Januari 2016 sedang berlangsungnya kejohanan bolasepak bawah 23 tahun yang diadakan di Qatar. Kejohanan tahun 2016 ini adalah edisi ke-2 kejohanan dimana dalam edisi pertama 3 tahun lepas yang diadakan di Oman, Iraq muncul juara setelah menewaskan Arab Saudi 1-0 pada perlawanan akhir.

Iraq - juara Piala Asia bawah 22 tahun yang pertama pada tahun 2013

Piala Asia Bawah 23 Tahun ini juga bertindak sebagai kelayakan bolasepak sukan Olimpik. Tiga pasukan terbaik dalam kejohanan kali ini akan layak ke sukan Olimpik 2016 yang diadakan di Rio de Janeiro, Brazil sebagai wakil dari Asia. Pada sukan Olimpik 2012, Korea Selatan, Jepun dan UAE adalah wakil dari Asia.

Seperti biasa pasukan Malaysia tiada di sini sebab telah tersingkir pada pusingan kelayakan tempoh hari pada bulan Mac 2015 di Kuala Lumpur 0-1 dengan Jepun dan 1-2 dengan Vietnam. Seandainya, pada masa tu Malaysia mampu menewasan Vietnam, sudah pasti Malaysia ada di Qatar sekarang, sekumpulan dengan Jordan, UAE dan Australia.

Malaysia tewas 1-2 kepada Vietnam di Shah Alam

Tamat sudah perlawanan peringkat kumpulan dan 8 pasukan telah layak ke suku akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun 2016 ini. Jepun adalah pasukan pertama yang mengesahkan kelayakan ke peringkat suku akhir :-

Jepun

Jepun layak lebih awal setelah menewaskan Korea Utara 1-0 dan membelasah Thailand 4-0. Jentera serangan Jepun yang diketuai Yuya Kubo iaitu penyerang kelab BSC Young Boys (Switzerland) sangat berbahaya. Selain itu, Musashi Suzuki (Albirex Niigata) dan juga Takumi Minamino (FC Red Bull Salzburg) membantu di bahagian serangan.

Takumi Minamino beraksi dalam liga Austria

Jepun dijadualkan bertemu dengan Iran dalam suku akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun 2016 ini merangkap kepada kelayakan Sukan Olimpik Rio 2016 pada 22 Januari 2016.


Korea Selatan

Kekuatan Korea Selatan ialah kemampuan pemain tengah dan sayap mereka untuk menjaringkan gol. Itu yang telah dibuktikan oleh Moon Chang Jin (Pohang Steelers) dan Kwon Chang Hoon (Suwon Samsung Bluewings).

Moon Chang Jin memintas pemain Uzbekistan

Selain itu pengalaman pemain yang berkelana di Eropah seperti pemain sayap Ryu Seung Woo (Bayer Leverkusen) dan juga penyerang Hwang Hee Chan (FC Red Bull Salzburg) juga akan membantu kepada kejayaan Korea Selatan.

Korea Selatan akan menentang Jordan di peringkat suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 23 Januari 2016.


Iraq

Kekuatan juara bertahan ini juga bergantung kepada pemain tengah mereka seperti Mahdi Kamil dan Humam Tariq. Hampir kesemua pemain Iraq beraksi dalam liga tempatan mereka dan juga di Arab Saudi.

Mahdi Kamil melepaskan diri dari kawalan pemain Korea Selatan

Walaupun tanpa kelibat pemain yang menimba pengalaman di Eropah, Iraq sering kali membuat kejutan dalam mana-mana kejohanan di peringkat Asia

Iraq menanti cabaran UAE dalam suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 23 Januari 2016.


Qatar

Qatar cemerlang dalam peringkat kumpulan apabila menang semua perlawanan termasuklah menyingkirkan cabaran terkuat mereka Iran dengan jaringan 2-1 tempoh hari. 50% skuad Qatar kali ini mempunyai pemain-pemain yang menimba pengalaman di Eropah seperti Belgium, Sepanyol dan Austria termasuklah kapten pasukan Ahmed Moein Doozandeh.

Ahmed Moein Doozandeh disekat pemain China

Pemain-pemain yang beraksi dalam liga tempatan tidak kurang hebatnya seperti penyerang Ahmed Alaaeldin Abdelmotaal (Al-Rayyan) dan pertahanan Abdelkarim Hassan Fadlalla (Al-Sadd). Sudah pasti sebagai tuan rumah, Qatar ingin menjulang trofi ini di gelanggang sendiri

Qatar menanti cabaran getir Korea Utara di suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 22 Januari 2016.


Iran

Tanpa kelibat bintang sensasi mereka Sardar Azmoun yang tidak dapat pelepasan daripada kelabnya FC Rostov di Rusia, Iran meletakkan sandaran kepada penyerang Amir Motahhari. Pemain sayap yang beraksi di kelab Belanda AZ Alkmaar, Alireza Jahanbakhsh Jorandeh juga tidak mendapat pelepasan untuk beraksi dalam kejohanan kali ini. Nasib serupa juga menimpa bekas pemain remaja Ateltico Madrid, Saeid Ezatolahi Afagh yang tidak dilepaskan oleh FC Rostov.


Namun, tanpa bintang-bintang yang disebutkan Iran masih kompetitif dan sentiasa mencabar kepada kejuaraan dalam mana-mana pertandingan bolasepak.

Iran dijadualkan menentang Jepun di suku akhir pada 22 Januari 2016.


Korea Utara

Saingan sengit dalam kumpulan B menyaksikan akhirnya Korea Utara layak ke suku akhir berdasarkan "tiebreakers". Korea Utara, Arab Saudi dan Thailand terikat dengan 2 mata. Perbezaan jaringan Korea Utara dan Arab Saudi lebih baik dari Thailand. Jumlah jaringan dan bolos yang sama antara Korea Utara dan Arab Saudi menyebabkan satu lagi syarat jadi penentu iaitu siapa paling kurang kad kuning menyaksikan Korea Utara layak ke suku akhir.

Jang Kuk Chol (kanan) mengasak pemain Jepun

Tidak banyak yang diketahui berkenaan dengan kekuatan Korea Utara ini. Pemain-pemain yang dikenalpasti bakal mencuri tumpuan ialah pertahanan kental, Jang Kuk Chol dan juga pemain tengah Yun Il Gwang.

Korea Utara berhadapan dengan cabaran getir di suku akhir apabila dijadualkan bertemu dengan pasukan tuan rumah Qatar pada 22 Januari 2016


UAE

Tidak seperti pasukan senior mereka, skuad UAE bawah 23 tahun tidak ramai yang menonjol. Antara pemain yang dijangka menyinar ialah pemain tengah Ahmed Barman Ali (Al Ain) dan juga kapten pasukan Abdulla Ali.

Ahmed Barman Ali (tengah) diasak pemain Jordan

UAE akan bertemu juara bertahan Iraq di suku akhir yang dijadualkan pada 23 Januari 2016

Jordan

Seperti UAE, skuad Jordan juga tidak ramai yang menonjol. Diketuai kapten pasukan Raja'i Ayed Fadel Hassan (Al-Wehdat) yang pernah beraksi dengan skuad senior Jordan.

Kapten pasukan Jordan cuba mengekang bintang Australia Mustafa Amini

Skuad Jordan juga tiada penyerang tulen dalam kejohanan kali ini, sebaliknya mereka menurunkan pemain sayap atau tengah yang mempu menjadi penyerang. Penyerang terbanyak Jordan setakat ini ialah pemain keturunan Palestin, Baha' Faisal Abu Seif (Al-Wahdat)


Mana-mana pasukan yang layak ke sukan Olimpik Rio 2016 yang dijadualkan pada bulan Ogos 2016 nanti seharusnya mempamerkan mutu persembahan yang tinggi untuk membuktikan bahawa pasukan dari Asia bukan lagi pasukan belasahan. 

Pencapaian Korea Selatan dan Jepun di sukan Olimpik 2012 United Kingdom sangat membanggakan. Korea Selatan tewas kepada Brazil 0-3 manakala Jepun tewas 1-3 kepada Mexico di peringkat separuh akhir. Dalam penentuan tempat ke-3 dan ke-4 pula, Korea Selatan mengejutkan Jepun apabila Korea Selatan menang 2-0 untuk menggondol pingat gangsa.



Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...